Skip to content

Perang Tabuk: Sejarah dan Kronologi

perang tabuk

Artikel ini akan membincangkan Perang Tabuk, salah satu peperangan kaum muslimin yang dapat memberi pengajaran yang berguna kepada umat Islam.

Bilakah Perang Tabuk Berlaku?

Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun kelima Hijrah. Perang Tabuk melibatkan pertempuran kaum muslimin dengan tentera Rom di sebuah kawasan yang bernama Tabuk. Perang tersebut dikenali sebagai Ghazwatul ‘Usrah, yang bermaksud perang dalam masa yang sukar kerana Madinah sedang mengalami cuaca yang sangat panas, manakala perjalanan ke Tabuk pula mengambil masa yang panjang. 

Sebab Berlakunya Perang Tabuk

Kerajaan Rom merupakan kuasa yang kuat dan besar pada ketika itu. Kekukuhan pengaruh Rasulullah SAW di Semenanjung Tanah Arab dirasakan menggugat kuasa Kerajaan Rom. Bagi menyekat pengaruh Rasulullah SAW, Maharaja Rom Timur (Byzantine) mengambil keputusan untuk menyerang utara Tanah Arab dan menyiapkan bala tentera yang terdiri dari bangsa Rom dan Arab di bawah pemerintahannya.

Persiapan Perang Kaum Muslimin

Apabila mendengar khabar persiapan tentera Rom untuk menyerang Madinah, Rasulullah SAW menyeru kaum muslimin untuk bersiap sedia menghadapi peperangan. Maka, kaum muslimin yang beriman berlumba-lumba memberikan harta mereka untuk melengkapkan persiapan perang. Uthman bin Affan meyumbang sebanyak 900 ekor unta dan 100 ekor kuda beserta wang, Abdul Rahman bin Auf memberi sebanyak 200 perak, Umar bin Khattab menyumbang separuh hartanya manakala Abu Bakar as-Siddiq menyumbang seluruh hartanya. 

Melihat kesungguhan para sahabat tersebut, kaum muslimin yang lain hatta yang miskin sekalipun berlumba-lumba menyerahkan harta mereka mengikut kemampuan. Adapun golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai mengejek-ejek kaum muslimin kerana menyerahkan harta mereka untuk persiapan perang. Tidak cukup dengan ejekan, mereka juga menolak untuk menyertai peperangan dengan mencipta pelbagai alasan palsu. 

Kaum Muslimin Bertolak Ke Tabuk 

Pasukan kaum muslimin yang terdiri daripada 30 000 orang bertolak dari Madinah menuju ke Tabuk. Makanan dan kenderaan perang yang disediakan tidak dapat menampung bilangan tentera yang ramai. Oleh itu, kaum muslimin terpaksa bergilir-gilir menaiki unta dan memakan daun-daun kering sehingga bibir mereka bengkak. Mereka juga terpaksa menyembelih unta yang menjadi tunggangan untuk mendapatkan makanan dan air di dalam uncang perut unta tersebut. Begitulah kesusahan yang dialami oleh kaum muslimin yang menyertai Perang Tabuk.

Semasa dalam perjalanan, kaum muslimin yang telah kehabisan bekalan air mengadukan perkara tersebut kepada Rasulullah SAW. Lantas, baginda berdoa memohon kepada Allah SWT agar diberi pertolongan. Allah SWT memakbulkan doa Rasulullah SAW dengan menurunkan hujan lebat di kawasan yang dilalui oleh kaum muslimin. Mereka menggunakan air tersebut untuk mandi dan mengisi uncang-uncang air mereka sebagai bekalan.

Peristiwa Di Tabuk

Semasa berada di Tabuk, Rasulullah SAW telah menjalinkan perjanjian perdamaian bersama penduduk Tabuk. Melalui perjanjian tersebut, keselamatan penduduk Tabuk dijamin selagi mereka tidak melakukan kejahatan kepada kaum muslimin dan menyebelahi pasukan musuh. Penguasa Ilah (kawasan yang berdekatan dengan Tabuk) iaitu Yuhana bin Ru’bah juga datang menemui Rasulullah SAW untuk meminta perdamaian dan menyatakan kesanggupannya membayar jizyah atas jaminan keselamatan. Hal yang sama dilakukan oleh penduduk Jirba’ dan Azruh, yang bersetuju membayar jizyah kepada Rasulullah SAW. 

Rasulullah SAW juga menghantar surat tawaran perdamaian di setiap kawasan di Tabuk. Semua kabilah Arab di kawasan Tabuk menerima tawaran tersebut dengan tangan terbuka. Hasilnya, Tabuk menjadi benteng pertahanan yang kuat bagi tentera Islam. Di samping dapat menyampaikan dakwah Islamiyah, perjanjian perdamaian Rasulullah SAW dengan penduduk di sekitar Tabuk dapat menyekat kemaraan tentera Rom yang ingin menjadikan kawasan tersebut sebagai pangkalan tentera mereka.

Kekukuhan benteng tentera Islam di kawasan Tabuk menggentarkan tentera Rom. Semasa tentera Rom ingin memasuki wilayah Tabuk, Allah SWT telah mengutus 100 000 malaikat menyerupai tentera-tentera Islam yang berpakaian putih, berbadan sasa dan tegap, lengkap dengan pakaian perang, kuda dan panah. Hal tersebut menambahkan lagi rasa takut pada tentera Rom dan menyebabkan mereka berpaling dari menyerang tentera Islam. Kesannya, tidak berlaku sebarang pertumpahan darah dan tentera Islam pulang ke Madinah dalam keadaan selamat. Diriwayatkan bahawa tentera Islam berada di Tabuk selama 20 hari.

Perjalanan Pulang Ke Madinah

Dalam perjalanan pulang ke Madinah, seramai 12 orang golongan munafik yang menyertai peperangan cuba membunuh Rasulullah SAW. Pada ketika itu, Ammar bin Yasir sedang memegang tali unta Rasulullah SAW dari hadapan manakala Huzaifah al-Yaman sedang menuntunnya dari belakang, dan mereka sedang melalui sebuah tebing. Golongan munafik yang lengkap bertopeng mencuba menolak Rasulullah SAW dari puncak tebing. Namun, tindakan mereka berjaya dipatahkan oleh Huzaifah. Golongan munafik kemudian lari ketakutan dan bergabung semula dengan tentera Islam. Mengenali kenderaan yang ditunggangi oleh golongan munafik, Huzaifah memberitahu nama mereka kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW meminta Ammar dan Huzaifah untuk merahsiakan perkara tersebut dari kaum muslimin. Semenjak dari itu, Huzaifah dikenali sebagai penyimpan rahsia nama-nama kaum munafik. 

Golongan al-Mukhallafun (Golongan Yang Tidak Turut Serta)

Setibanya Rasulullah SAW dan pasukan kaum muslimin di Madinah, golongan munafik seramai 80 orang telah datang menemui Rasulullah SAW dan menceritakan pelbagai alasan palsu yang menghalang mereka dari menyertai peperangan. Rasulullah SAW menerima pengakuan zahir mereka, memaafkan mereka dan menyerahkan urusan hati dalaman mereka kepada Allah SWT. Adapun terdapat 3 orang mukmin bernama Ka’ab bin Malik, Murarah al-Rabi’ dan Hilal bin Umayyah yang tidak turut serta dalam peperangan berlaku jujur tanpa mencipta sebarang alasan. Mereka diperintahkan untuk bertaubat dan diasingkan selama 50 hari. Selepas menjalani tempoh pengasingan dengan sabar dan tawakal, Allah SWT menerima taubat mereka.

Dalil Yang Berkaitan Tentang Perang Tabuk

Peristiwa Perang Tabuk memperlihatkan kesusahan dan cabaran yang dialami oleh kaum muslimin. Cuaca yang panas terik, perjalanan ke Tabuk yang jauh, kekurangan bekalan kerana bilangan tentera yang ramai, ditambah pula dengan godaan buah-buahan dan kurma yang sedang ranum di Madinah pada ketika itu. Atas sebab-sebab tersebut, golongan munafik sanggup mereka pelbagai alasan untuk mengelakkan diri dari menyertai peperangan. Allah SWT menggambarkan sifat golongan munafik ini melalui firmanNya yang berbunyi:

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيْبًا وَّسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوْكَ وَلٰكِنْۢ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُۗ وَسَيَحْلِفُوْنَ بِاللّٰهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْۚ يُهْلِكُوْنَ اَنْفُسَهُمْۚ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ اِنَّهُمْ لَكٰذِبُوْنَ ࣖ  

Maksudnya: Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, “Jikalau kami sanggup nescaya kami berangkat bersamamu”. Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.(Surah at-Taubah: 42)

Rujukan

  1. Syeikh Safy al-Rahman al-Mubarakfuriy. Seerah Nabawiyah: Al-Raheeq al-Makhtum
  2. Abdul Hadi Awang. Perang Tabuk. Facebook.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

9 + fourteen =