Skip to content

Penceraian dan Talak dalam Islam (Huraian Lengkap)

penceraian dan talak

Jarang masyarakat kita mahu berbincang tentang penceraian atau talak kerana ia tajuk yang pahit ditelan, tetapi perlu juga untuk kita bincangkan demi kesejahteraan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

Terdapat pelbagai jenis penceraian menurut undang-undang dan syariat Islam, iaitu penceraian secara talak, fasakh, li’an, khulu’, taklik, dan penceraian disebabkan anggapan kematian.

Apabila penceraian berlaku, pasangan tersebut tidak lagi dianggap sebagai suami dan isteri. Penceraian yang biasa berlaku adalah penceraian dengan cara talak.

Di dalam artikel ini akan dijelaskan secara ringkas tentang penceraian dan lebih memberi fokus tentang penceraian secara talak.

Isi Kandungan
  1. Maksud Talak
  2. Dalil Talak
  3. Rukun Talak
  4. Jenis Talak
  5. Hukum Penceraian
  6. Hikmah Penceraian
  7. Nasihat

Maksud Talak


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, talak ialah pelepasan ikatan nikah dgn ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Perkataan talak (طلاق) berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud melepaskan atau menanggalkan.

Berlainan pula dengan pernikahan yang memerlukan Aqad. Aqad pula bermaksud ikatan.

Dari segi istilah syarak, talak bererti satu tindakan untuk melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz yang tertentu seperti talak (perceraian), firaq (perpisahan), atau sarah (melepaskan).

Dalil Talak


Terdapat pelbagai sumber dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menceritakan tentang penceraian.

Antaranya, Allah SWT telah menerangkan dengan jelas berkaitan penceraian melalui firman-Nya:

وَإِنْ عَزَمُواْ الطَّلاَقَ فَإِنَّ اللّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Baqarah, 2:227)

Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

الطَّلاَقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Surah Al-Baqarah, 2:229)

Menurut imam Ibnu Kathir, masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu dahulu tiada satu sistem yang teratur untuk penceraian. Mereka boleh menceraikan isteri mereka sesuka hati dan rujuk semula walaupun beberapa kali sehingga ratusan kali.

Maka, agama Islam datang kemudiannya untuk mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya.

Di dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Perkara halal yang paling dibenci pada sisi Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Daud).

Berdasarkan hadis ini, meskipun talak dibenarkan oleh syarak, talak tetap menjadi perkara yang dibenci. Penceraian bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh agama Islam. Apabila sudah tiada lagi cara dan jalan untuk berdamai bagi menyelamatkan rumah tangga yang dibina, maka penceraian menjadi pilihan yang terakhir.

Rukun Talak


Terdapat tiga rukun talak, iaitu suami, isteri dan lafaz talak itu sendiri.

1. Suami

Suami yang melafazkan talak tidak boleh melakukannya dengan paksaan daripada orang lain dan hendaklah daripada kemahuannya sendiri. Si suami perlu juga dalam keaadaan berakal dan baligh. Tidak sah talaknya jika si suami dalam keadaan tidak waras.

2. Isteri

Perempuan yang diceraikan mestilah isterinya sendiri melalui akad nikah yang sah. Tidak boleh bagi seorang lelaki melafazkan talak kepada isteri orang lain.

3. Lafaz Talak

Lafaz talak mempunyai dua jenis, iaitu lafaz talak secara sorih (jelas) dan lafaz talak secara kinayah.

  • Talak sorih diucapkan lafaznya secara jelas oleh suami terhadap isteri. Sebagai contoh, “aku ceraikan engkau dengan talak satu,” ataupun, “aku ceraikan kau”.
  • Lafaz kinayah pula tidak diucapkan secara jelas perkataan talak tersebut, tetapi si suami mengucapkan sesuatu lafaz degan makna yang boleh membawa maksud cerai. Misalnya, “baliklah kau ke rumah orang tua kau”, ataupun, “kau bukan lagi isteri aku”.

Jenis-Jenis Talak


Talak terbahagi kepada tiga jenis pembahagian iaitu talak rajii dan talak bain.

1. Talak Rajii

Talak rajii adalah talak yang dilafazkan suami kepada isteri buat pertama kali dan kali kedua. Suami dibenarkan untuk mengambil semula isteri (merujuk) ketika isteri masih dalam iddah. Contohnya seperti talak satu dan talak dua.

2. Talak Bain

Talak bain terdapat dua pembahagian pula, merangkumi talak bain sughra dan talak bain kubra.

  • Bagi talak bain sughra, suami tidak boleh rujuk isteri yang telah diceraikan, tetapi boleh dikahwini semula dengan akad nikah yang baru, sama ada ketika isteri itu berada dalam iddah atau selepas tamat tempoh iddah. Misalnya talak dengan tebus talak atau secara fasakh.
  • Berbeza dengan talak bain kubra, suami tidak boleh merujuk kembali isterinya dan tidak sah jika mereka berkahwin semula, kecuali isteri tersebut telah bernikah dengan lelaki yang lain dan diceraikan. Setelah habis iddah isteri tersebut, barulah bekas suami pertama boleh menikahi semula berkas isterinya. Contoh bagi situasi ini ialah talak kali ketiga.

Hukum Penceraian


Walaupun terdapat kebenaran oleh agama Islam untuk penceraian, terdapat beberapa hukum yang perlu dititik beratkan oleh kedua-dua pihak sebelum mengambil keputusan untuk bercerai.

1. Wajib

Apabila perkahwinan tersebut tidak lagi dapat diselamatkan, maka wajib untuk bercerai. Lebih-lebih lagi jika perkahwinan yang berkekalan diyakini boleh mendatangkan mudarat terhadap kekeluargaan sama ada suami, isteri, atau anak-anak.

2. Haram

Haram hukumnya jika penceraian berlaku semasa isteri dalam keadaan haid atau nifas. Haram juga diceraikan isteri untuk melarangnya daripada menuntut harta yang ada.

3. Sunat

Sunat hukumnya dalam keadaan si suami tidak dapat menampung kemahuan isterinya sendiri atau isteri itu tidak menjaga maruah dirinya dan suaminya.

4. Makruh

Makruh bercerai sekiranya menceraikan isteri yang baik pekerti dan pengetahuan agamanya, tiada sebarang masalah dan berakhlak mulia. Suami tidak sepatutnya menceraikan isteri tanpa alasan yang munasabah sedangkan perkahwinan mereka masih boleh diselamatkan.

5. Harus

Penceraian menjadi harus bagi sesebuah perkawinan sekiranya terjadi beberapa perkara tertentu seperti suami sudah tidak lagi mempunyai nafsu terhadap perkahwinannya atau keadaan si isteri yang belum haid ataupun telah putus haidnya.

Hikmah Penceraian


Tidak dapat dinafikan bahawa setiap yang diajarkan agama pasti ada hikmahnya.

Sebagai jalan terakhir selepas segala usaha diambil untuk menyelamatkan rumah tangga, penceraian menjadi talian hayat bagi kedua-dua pasangan memulakan hidup baru yang lebih baik dengan perpisahan.

Hal ini lebih baik bagi kedua-dua pihak daripada perbalahan yang tak berkesudahan sehingga memberi kesan buruk bukan sahaja kepada pasangan suami isteri, bahkan kesan tidak baik turun terasa oleh anak-anak bagi pasangan yang sudah mempunyai cahaya mata.

Nasihat Bagi Mereka Yang Ingin Bercerai


Sebelum anda memilih untuk bercerai, fikirkan dahulu beberapa perkara ini.

Kenapa kita cintakan pasangan sebelum & sewaktu awal perkahwinan?

Adakah telah cuba mencari jalan perdamaian?

Adakah telah berbincang secara baik?

Adakah diri kita telah diubah dahulu untuk menjadi lebih baik sebelum kita mengharapkan pasangan berubah untuk kita?

Bagaimana kesan penceraian terhadap anak-anak di kemudian hari?

Asam garam dalam rumah tangga itu biasa. Tidak ada rumah tangga yang tidak dilanda masalah.

Saya menasihatkan agar para suami tidak mudah menceraikan isteri masing-masing melainkan kehidupan sebagai suami isteri telah buntu dan tidak boleh diselamatkan lagi. Para isteri pula, jangan mudah meminta untuk diceraikan setiap kali ada konflik dan masalah berlaku.

Ketika berlaku masalah, usahalah kita mendekatkan diri kepada Allah. Perbanyakkan solat hajat dan bacaan al-Quran. Teruskan bersabar dalam apapun jua keadaan.

Akhir kata, sekiranya sudah tekad mahu meneruskan penceraian selepas pelbagai ikhtiar telah diambil, pastikan bersesuaian dan bertepatan dengan peruntukan undang-undang (Enakmen Keluarga Islam Negeri).

Penutup

Sukalah saya tinggalkan pesan buat kita semua bahawa penceraian bukanlah jalan yang baik selagi mana terdapat peluang untuk menyelamatkan perkahwinan dengan jalan yang damai.

Ditegaskan juga bahawa penulisan ini bertujuan memberikan pencerahan sahaja. Andai terdapat sebarang permasalahan yang berlaku, sebaiknya dirujuk kepada mahkamah Syariah atau peguam Syarie yang berkelayakan.

Janganlah kita ambil remeh akan isu ini. Jauhilah daripada sikap suka bermain-main dengan lafaz talak dan seumpama dengannya kerana perkara main-main dengan penceraian amatlah ditegah oleh agama Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen − 4 =