Apakah Lafaz doa pembuka dan penutup majlis? Artikel ini akan membincangkan lafaz doa pembuka dan penutup majlis dengan menggunakan teks arab dan juga rumi berserta membincangkan adab-adab ketika di dalam majlis.
Majlis adalah satu pertemuan beramai-ramai untuk meraikan sesuatu. Boleh jadi majlis perkahwinan, majlis perasaraan dan lain-lain. Untuk memberkati majlis tersebut, maka majlis itu haruslah menepati adab dan sunnah ketika berada di dalam majlis.
Antara adab dan sunnah untuk bermajlis, adalah dengan meminta doa kepada Allah supaya Dia memberkati majlis tersebut serta menjauhkan semua orang yang hadir itu diampun dosa jika terlanggar batasanNya. Kita manusia biasa, kadang-kadang itu sedang asyik melayani majlis, terlepas pandang beberapa perkara yang penting seperti ikhtilat dan sebagainya.
Doa untuk buka majlis
Format ini boleh diguna dan diubahsuai mengikut kesesuaian pembaca.
بسم الله الرحمن الرحيم
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن
Ya Allah ya Tuhan kami
Kami ingin merafakkan kesyukuran kepadaMu atas pertemuan kami pada hari ini
Jadikanlah kami hamba-hambaMu ini sentiasa bersyukur terhadap rezeki dan kurniaanMu
Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Memberi
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kami berhimpun hari ini untuk menjayakan majlis (sebutkan nama majlis)
Maka kau permudahkanlah majlis ini supaya ia berjalan dengan lancar
Kami ingin menimba ilmu sebanyak mungkin supaya kami mampu memperkembangkan potensi kami sehingga menjadi hambaMu yang Kau redai Ya Allah
Kurniakanlah ilmu kepada kami
Sinarilah hati-hati kami dengan hidayahMu
Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Ya Zal Jalali Wal Ikram
Hadiahkanlah kepada kami kesihatan badan, kecerdasan minda, ketenangan jiwa dan kekuatan semangat
Kami memohon kepada Engkau Ya Allah
Bantulah kami dalam menghadapi segala cabaran
Ringanlah beban kami
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةٍ وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةٍ وَقِنَا عَذَابًا النَّارِ. وَصَلَّى الله ُعَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَسَلَّم،
وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن .
Isi-isi penting yang perlu dimaktubkan di dalam doa ketika nak membuka majlis:
- Minta Allah permudahkan majlis supaya tiada apa-apa yang menghalang
- Minta Allah tingkatkan ilmu kita kerana ilmu itu adalah matlamat setiap orang Islam
- Minta Allah berikan suasana dan cuaca yang baik supaya majlis dapat disempurnakan
- Minta Allah berikan kita kesihatan yang baik-baik
- Minta kebahagiaan di dunia dan di akhirat
Ini antara isi-isi penting yang perlu kita letakkan, boleh juga jikalau kita ingin ubahsuai ingin kemahuan kita.
Doa ketika dalam majlis
Istighfar
Istighfar ini Rasulullah amalkan ketika baginda berada di dalam suatu majlis. Hal ini direkodkan daripada Ibnu Umar RA yang katanya beliau mendengar yang Rasulullah membaca doa ini sebanyak 100 kali:
رَبِّ اغْفِرْلِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الغَفُور
“Wahai tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengampun.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Doa penutup majlis
1. Doa kaffarah (pembersih majlis)
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكْ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلّاَ أَنْتَ وَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْه
“Maha Suci Engkau ya Allah, dengan memujiMu, aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Ini adalah sebaik-baik doa untuk menutup majlis. Tidak kira majlis ilmu, mahupun lain-lain. Ini adalah untuk memohon keampunan daripada Allah sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan sepanjang mengendalikan majlis.
2. Doa tutup majlis
Ya Allah Ya Tuhan kami
Pertemuan kami hari ini adalah usaha untuk menjadikan kami hambaMu yang soleh dan amanah dengan misi Khalifah di muka bumi
Kau permudahkanlah kami untuk meneruskan usaha baik kami
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Segala salah dan silap kami
Kau ampunkanlah ya Allah
Kami bertaubat kepadaMu ya Allah
Itu adalah kelemahan kami sebagai hambaMu
Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun
Ya Allah
Engkau jadikanlah majlis hari ini bermanfaat bukan saja di dunia tetapi di akhirat kelak ya Allah
Amin Ya Rabbal Alamin
Adab-adab ketika dalam majlis
1. Pemakaian yang sesuai
Menutup aurat dan juga tidak ganjil daripada pandangan orang lain. Orang nampak pelik. Itu tergolong dalam berlebih-lebih dalam berpakaian (libasush shughrah). Pakailah pakaian yang sopan, dan sesuai. Antara sunnah Nabi Muhammad itu adalah berpakaian yang sesuai dengan keadaanya (jibiliyah).
Pergi ke majlis, pakailah seperti orang yang nak ke majlis. Jangan pula pakai baju tidur. Itu tidak sesuai. Pakailah juga pakaian yang menutup aurat dan sopan. Orang tak nampak pelik dengan pakaian itu seperti pakaian yang menjolok mata misalnya.
Pergi ke majlis orang itu di samping ingin menunaikan fardhu kifayah (memenuhi jemputan) dan bersosial, perlu juga menjaga batasan yang Islam letakkan. Bukan meletakkan majlis sebagai alasan untuk mendedahkan aurat dan lain-lain.
Kita nakkan juga reda Allah sekaligus berinteraksi sesama manusia.
2. Datang bila dijemput
Memenuhi jemputan itu merupakan salah satu hak muslim dengan muslim yang lain menurut satu hadis baginda Nabi.
Bila kita datang tanpa diundang, kita sebenarnya sudah menyusahkan tuan majlis. Kerana tuan majlis sudah merancang untuk beberapa bilangan orang dan kita pula datang untuk mengambil kesempatan. Ini tidak beradab. Lainlah kalau tuan majlis buatkan ia terbuka kepada umum. Lihat keadaan.
3. Menjaga ikhtilat
Batasan antara lelaki dan perempuan bukan mahram, harus dijaga. Di luar majlis dijaga, di dalam majlis juga dijaga. Berboraklah dengan budi pekerti. Bergaullah dengan sopan dan santun. Jangan main redah, bergurau sehingga bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Itu dilarang.
4. Bertimbang rasa
Jika dihidangkan makanan, kita perlu bertimbang rasa. Jangan ambil banyak sekaligus. Ada ramai lagi yang belum ambil. Jika ada lebih, ambillah untuk diberi kepada orang yang berada di luar majlis dengan izin tuan majlis. Ini adalah untuk mengelak daripada membazir. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang Dia melarang untuk membazir.
Diharap artikel doa pembuka dan penutup majlis ini dapat memberikan sedikit maklumat kepada anda untuk mengamalkannya
Bacaan Doa yang lain
Rujukan
- 7 rules for good manners at your ceremony. (2019). Retrieved from abbaziadispineto.com
- Al-Qahthani, S. (2002). Perisai Muslim . Madinah : Khutab.
- Doa Majlis. (2020). Retrieved from Portalmalaysia
- Doa Pembukaan Majlis. (2018). Retrieved from Notakuliahsmp
- Etika dalam majlis. (n.d.). Retrieved from Addeen