Apakah doa awal pagi yang boleh anda amalkan setelah bangun dari tidur? Artikel pada kali ini akan membincangkan tentang doa awal pagi dengan bantuan rumi dan teks arab. Doa inimerupakan salah satu dari sunnah Rasulullah SAW dalam adab-adab baginda sewaktu bangun dari tidur.
Pengenalan
“Lose an hour in the morning, and you will be all day hunting for it”. Itulah kata-kata yang sering menjadi pembakar semangat setiap individu yang ingin berjaya. Mengapa waktu pagi terlalu penting bagi anda dan bukannya waktu-waktu yang lain? Waktu pagi adalah waktu yang menjadi pembuka hari bagi setiap manusia. Untuk memastikan sepanjang hari itu anda dapat menjalankan rutin harian dan pekerjaan dengan mudah dan tenang atau tidak maka lihatlah bagaimana anda memulakan waktu pagi anda ketika bangun dari tidur.
Bagi penulis sendiri, saya merasakan waktu pagi adalah waktu yang Allah SWT ciptakan dengan sangat indah. Lebih-lebih lagi jika anda mampu bangun sebelum subuh. Waktu satu jam sebelum subuh dan satu jam selepas subuh adalah waktu yang paling dekat antara manusia dengan Tuhannya. Suasana yang sangat tenang, sunyi, sejuk, dan damai.
Malah Rasulullah SAW juga mendoakan khusus untuk umatnya diwaktu pagi. Rasulullah SAW bersabda,
“Ya Allah berkahilah untuk umatku waktu pagi mereka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Majah).
Doa Awal pagi
Doa ini adalah doa awal pagi yang telah dibaca oleh Rasulullah SAW seusai solat subuh atau waktu pagi.
Maksudnya: “Ya Allah, sungguh aku memohon kepadaMu ilmu yang manfaat, rezki yang baik dan amal yang diterima.” (HR. Ibnu As-Sunni dan Ibnu Majah).
Tips bangun Awal Pagi:
1. Elakkan pengambilan kopi pada sebelah petang dan malam
Secara purata, rakyat Malaysia meminum 2.5 cawan kopi setiap hari. Lambakan kedai kafe dan minuman segera berasaskan kopi semakin menjadi pilihan ramai terutamanya kepada pengemar kopi. Kopi merupakan sumber utama untuk kafein, namun jumlah kafein sebenarnya berbeza dalam kopi yang anda minum; bermula dari hampir kosong sehingga lebih dari 500mg. Secara purata, secawan kopi mempunyai antara 95 – 180mg kafein.
Namun begitu, pengambilan kafein akan menggangu proses tidur sehingga lebih daripada enam jam selepas anda meminumnya, walaupun kadang kala anda tidak menyedari akan perkara ini. Untuk semua coffeeholic, anda boleh membuat pilihan yang lebih bijak dengan pengambilan pada waktu pagi.
2. Tetapkan penggera jam lonceng
Wujud lagi orang menggunakan jam lonceng sebenar untuk membangunkannya dari tidur? Rata-rata ramai orang lebih suka menggunakan jam lonceng di telifon mereka berbanding jam lonceng sebenar. Sebenarnya mana-mana pilihan yang anda pilih pun tiada masalah sama sekali. Cumanya kelebihan jika anda menggunakan telifon sebagai jam lonceng, anda boleh menetapkan penggera beberapa kali dalam waktu-waktu tertentu. Contonya setiap sepuluh minit sekali atau lima minit sekali. Ini boleh bantu membangunkan anda sekiranya anda seorang yang sukar bangun awal pagi.
3. Jarakkan diri anda dengan semua gajet
Matikan semua peralatan elektronik anda seperti komputer dan telefon pintar sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu tidur. Kenapa ini penting? Kerana gelombang cahaya biru dari alat elektronik yang masuk melalui mata akan mengganggu penghasilan melatonin, iaitu sejenis hormon yang mengarahkan badan anda untuk tidur.
4. Wujudkan sebab untuk bangun awal pagi
Apakah sebab anda untuk bangun awal pagi? Untuk orang Islam, semestinya anda bangun pagi untuk menunaikan solat subuh. Dalam budaya jepun, ada satu istilah yang dipanggil “Ikigai” – iaitu mempunyai sebab untuk bangun pagi, dan ajaibnya orang-orang yang mengamalkan Ikigai ini mempunyai umur yang panjang.
5. Pasang keazaman yang kuat
Setiap kali sebelum anda tidur dan ketika bangun dari tidur, tetapkan dalam diri bahawa anda ingin berjaya dan ada matlamat yang ingin dituju. Dengan cara ini anda akan merasa lebih bermotivasi dan bersemangat untuk meneruskan keazaman anda.
6. Wujudkan suasana yang selesa di tempat tidur
Ramai orang berfikir untuk mewujudkan suasana tempat tidur yang selesa, anda perlu mengeluarkan duit yang banyak untuk membeli peralatan dan perabot yang mewah. Anda perlu lari dari gambaran tempat tidur yang selesa adalah tempat tidur seperti yang ada di hotel lima bintang atau rumah-rumah banglo yang berjuta.
Sebenarnya hanya cukup dengan anda memastikan tempat tidur anda kemas, berbau wangi, dan selesa.
7. Amalkan rutin sebelum tidur
Apakah rutin sebelum tidur? Kebiasaannya setiap orang mempunyai rutin yang tersendiri sebelum tidur. Namun, dalam Islam sunnah sebelum tidur yang diajarkan Rasulullah SAW adalah seperti berwuduk, membaca surah Al-Mulk dan As-Sajdah, membaca doa tidur, membaca tiga qul, berzikir, dan posisi tidur menghadap ke kanan dan mengarah kiblat.
Bagi penulis sendiri, mandi sebelum tidur dapat memberikan tubuh badan lebih relaks, selesa, dan dalam suhu yang sejuk. Ada yang gemar melakukan meditasi sebelum tidur dengan membuat senaman pernafasan. Sekiranya ia dapat membantu anda untuk mendapatkan kualiti tidur yang terbaik adalah sangat digalakkan untuk anda terus melakukannya.
Kelebihan bangun pagi:
1. Produktiviti kerja lebih baik
Banyak perkara yang boleh anda selesaikan sepanjang hari jika anda bangun awal berbanding orang yang bangun lewat. Contohnya seperti, seorang pekerja yang bangun awal untuk ke pejabat akan kurang bertembung dengan kesesakkan lalu lintas. Manakala seorang pelajar yang menggunakan masa awal pagi untuk mengulang kaji pelajaran lebih efisyen berbanding belajar pada waktu malam atau petang.
Rasulullah SAW bersabda:
“Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan.” (Hadis Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)
Malah ia turu diakui oleh ramai lagi individu yang berjaya. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Xerox Ursula Burns, pengasas dari Virgin Group Richard Branson, beliau mengatakan bahawa jika anda bangun sebelum terbitnya matahari pada setiap hari anda mempunyai masa yang lebih produktif berbanding orang yang sering bangun lewat.
2. Emosi yang stabil
Secara teorinya setiap orang yang bangkit dari tidur dalam waktu sepuluh minit pertama akan menentukan nilai positif dirinya sepanjang hari. Dengan kata lain, sepuluh minit selepas bangkit dari tidur anda perlu positifkan diri dengan emosi terbaik supaya mendapat hasil tindakan yang positif juga. Emosi yang tidak stabil akan membuat anda mudah sensitif dan cepat berasa marah walaupun dengan hal yang remeh. Hal ini kerana adalah sangat penting untuk anda memiliki emosi yang stabil bermula dari mindset anda mengatur pagi hari dengan baik.
3. Dapat bersenam
Bebanan kerja dan tugasan harian sering kali menyebabkan anda tertekan dan stress. Namun disebabkan ia adalah kerjaya maka anda paksa juga untuk menghadap segala kerja-kerja di pejabat pada setiap hari. Rutin itu akan berulang dan anda tidak ada pilihan lain melainkan untuk merawat diri sendiri. Tekanan yang tidak dikawal dan diuruskan dengan baik boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan. Bersenam dan menghirup udara pagi adalah meditasi yang paling mudah dan zero cost untuk anda. Luangkan masa sekitar 10 hingga 20 minit untuk anda bersenam sebelum melakukan rutin harian atau ke tempat kerja.
Senaman yang senang dan pantas seperti jumping jacks, push up, sit up, dan pelbagai senaman kardio boleh anda lakukan. Pelakon terkenal yang merupakan bekas ahli gusti, Dwayne ‘The Rock’ Johnson, bangun pada pukul 4 pagi dan pergi ke gim sebelum memulakan harinya.
4. Bersarapan awal
Jika anda bangun pagi, anda pasti sempat untuk bersarapan. Sarapan adalah bahan bakar bagi tubuh anda untuk melakukan berbagai aktiviti seharian. Namun kebanyakkan dari anda suka menganggap sarapan adalah perkara yang remeh. Bersarapan pagi adalah perkara pertama yang perlu anda lakukan supaya metabolisme anda terjaga. Metabolisme adalah kemampuan badan untuk mengubah makanan kepada tenaga, dan ia berlaku sepanjang hari.
5. Tidak tergesa-gesa
Ramai yang mengadu, mereka tidak dapat melakukan banyak perkara sebelum memulakan waktu pagi mereka dengan baik seperti mengambil sarapan, bersenam dan menyiapkan diri sebelum melakukan rutin harian kerana kekurangan waktu. Sedangkan individu lain mampu untuk melakukannya dengan mudah. Adakah masa yang menjadi masalah mereka sebenarnya? Jawapannya, cara mereka menguruskan masa yang salah.
Setiap orang diberikan 24 jam/sehari dan orang yang bijak akan pandai membahagikan setiap masanya dengan banyak perkara untuk mengisi semua keperluan jasmani, fizikal, rohani dan intelek. Salah satu darinya adalah dengan bangun awal pagi. Jika anda perhatikan mereka yang bangun awal pagi akan tampak lebih segar, tenang, dan fokus dalam melakukan pekerjaannya.
6. Mengerjakan amalan sunat
Cara meditasi terbaik pada awal pagi ialah dengan melakukan ‘qiamullail’ dan ‘zikrullah’ kerana dari situ anda akan mendapat ketenangan jiwa yang membuatkan anda lebih fokus dan seimbang. Bangun awal pagi bukan sahaja memberi manfaat untuk emosi dan tubuh badan tetapi juga kepada keperluan rohani. Sekiranya anda bangun awal pagi, anda boleh melakukan ibadah-ibadah sunat yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti solat sunat tahajjud, solat sunat sebelum subuh, dan solat sunat duha.
Sabda Rasulullah SAW:
“Tuhan kita turun ke langit dunia setiap malam ketika tinggal satu pertiga malam terakhir lalu berfirman: “Sesiapa meminta kepada aku, aku akan tunaikan permintaannya. Sesiapa beristighfar kepada Aku, Aku akan mengampuni dosanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Anas Bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa solat fajar (solat Subuh) berjemaah di masjid kemudian, tetap duduk berzikir mengingati ALLAH hingga terbit matahari lalu, solat dua rakaat (solat duha), maka, seakan-akan ia mendapatkan pahala haji dan umrah dengan sempurna, sempurna dan sempurna.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
7. Dapat mengejutkan orang lain untuk bangun
Sikap bertanggungjawab adalah sebahagian dari personaliti yang perlu ada bagi setiap individu. Mudahnya, untuk anda mendidik anak-anak untuk bangun awal pagi adalah dengan menunjukkan teladan yang baik dengan anda sendiri yang bangun awal dahulu lalu mengejutkan mereka. Anak-anak gemar untuk mengikuti apa yang orang disekeliling mereka lakukan. Jika baik acuannya, maka baiklah bentuknya.
Penutup
Jadi pukul berapa anda bangun pagi? Sekiranya anda seorang yang istiqamah bangun awal pagi, tahniah diucapkan kerana anda telah memulakan hari anda dengan sesuatu yang sangat baik. Namun, jika anda masih belum mampu bangun awal pagi, diharapkan artikel berkenaan doa awal pagi ini dan manfaat bangun awal pagi boleh memberikan anda sedikit sebanyak pengetahuan dan informasi yang berguna untuk direnungkan bersama.
Bacaan Doa yang lain
Rujukan
- Hasbul Brothers. 7 Cara Berkesan Untuk Bangun Awal & Tingkatkan Produktiviti Kerja Setiap Hari. Sumber hasbulbrothers.com
- Nurulfatiha Muah (11 Oktober 2019). Begitu besarnya rahmat apabila bangun sebelum subuh. Sumber Sinar Harian.
- Nik Hasanah Ismail. (22 November 2017). Emosi awal pagi penentu nilai diri. Sumber Berita Harian