Apakah Doa Abu Darda, kelebihannya dan siapakah sebenarnya Abu Darda? Artikel ini akan membincangkan berkenaan doa Abu Darda ini berserta bantuan rumi.
Siapakah Abu Darda?
Sebut sahaja nama Abu Darda, pasti ada yang tertanya-tanya, siapakah beliau. Ada juga yang mengaitkan Abu Darda dengan doa. Abu Darda terkenal dengan himpunan doa yang sangat baik dan bermanfaat untuk diamalkan.
Doa-doa itu diajar oleh Rasulullah kepada Abu Darda. Menurut buku biografi 60 sahabat Rasulullah S.A.W., nama penuh Abu Darda Radhiyallahu Anhu adalah Uwaimir bin Amir bin Malik bin Zaid bin Qais bin Umayyah bin Amir bin Adi bin Ka`b bin Khazraj bin al-Harits bin Khazraj. Ada yang berpendapat, nama beliau adalah Amir bin Malik, sedangkan Uwaimir adalah julukannya.
Nabi Muhammad S.A.W. mengatakan Uwaimir adalah Hakimul Ummah (seorang yang sangat bijaksana) (Rujuk Usudul Ghabah 5/97). Ibunya bernama Mahabbah binti Wâqid bin Amir bin Ithnabah. Namun, orang ramai mengenalinya dengan nama Abu Darda kerana beliau memiliki seorang anak perempuan bernama Darda. Isterinya pula dikenali sebagai Ummu Darda.
Di antara sahabat nabi Muhammad S.A.W., Abu Darda antara sahabat baginda yang terakhir memeluk agama Islam. Beliau merupakan sahabat Rasulullah yang sangat bagus dari segi keislamannya, seorang yang faqih, pandai dan bijaksana. Abu Darda juga seorang yang zuhud dan rajin beribadah.
Doa Abu Darda
Teks rumi
“Allahumma Anta Robbi, Laa Ilaha illa Anta. ‘Alaihi Tawakkaltu, Wa Anta Robbul ‘Arsyil-‘Azim. MasyaAllahu KaaNa, Wa Maa Lam Yasha’ Lam Yakun. Laa Haula Wala Quwwata Illa Billahil-‘Azim. A’lamu Annallaha ‘Ala Kulli Syai’in Qodir, Wa Annallaha Kod AhaThoBikulli Syai’in ill-ma. Allahumma Inni ‘Auzubika Min Syarri Nafsi, Wa Man Syarri Kulli Dabbatin Anta Aakhizun Binasiyatiha Inna Robbi Sirotin Mustaqim”.
Maksudnya:
“Wahai Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan bagiku kecuali hanya Engkau. PadaMu aku bertawakkal, dan Engkau adalah Tuhan dari ‘arsy yang besar. Apa yang dikehendaki Allah pasti terjadi, dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti pula tidak akan terjadi, tiadalah daya upaya dan tiada pula kekuatan kecuali hanya dengan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Aku yakin, bahawasanya Allah berkuasa atas segala sesuatu dan bahawasanya Allah meliputi segala sesuatu dengan ilmunya. Wahai Allah, aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan diriku dari kejahatan tiap-tiap makhluk yang melata di bumi ini, Engkaulah yang mengendalikannya. Bahawasanya Tuhanku sentiasa berada di jalan yang lurus”.
Kelebihan Doa Abu Dardah
Doa di atas rajin diamalkan oleh Abu Darda.
Baginda menyarankan agar doa ini dibaca selepas waktu Subuh untuk memelihara diri dan harta dari bala bencana dan musibah, menghindari gangguan makhluk halus serta memagar rumah.
Sekiranya doa ini di baca pula di waktu petang hari (Maghrib), maka terpeliharalah dari bencana yang mungkin menimpa dirinya di malam hari.
Doa ini juga boleh dibaca pada setiap kali kita keluar rumah atau bermusafir.
Menurut riwayat Ibnu Sunni, seorang lelaki yang cemas datang kepada Abu Darda lalu berkata, “Wahai Abu Darda’, aku lihat rumah engkau telah terbakar!”
Abu Darda menjawab, “Bukan rumahku, kerana aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda” :
“Barangsiapa membaca doa ini (doa di atas) pada waktu pagi, maka terhindar dia dari bencana yang mungkin menimpa dirinya, ahli keluarganya dan hartanya”. Aku telah membaca doa itu pada waktu pagi hari ini. Lalu Abu Darda mengajak sahabatnya itu ke rumahnya untuk menyaksikan peristiwa kebakaran itu. Maka ternyatalah bahawa rumah-rumah di sekitar rumah Abu Darda sudah habis terbakar semuanya, sedangkan rumah Abu Darda masih kekal terpelihara.”
Demikianlah perwatakan salah seorang sahabat Nabi yang agung. Mudah-mudahan kita semua dapat menjadikan kisah Abu Darda sebagai contoh dan ikutan teladan yang baik. Segala yang baik datangnya dari Allah S/W.T. dan keburukan yang berlaku juga semuanya adalah di atas keizinanNya. Wallahua’lam.
Bacaan Doa yang lain