Apakah hukum melabur di Amanah Saham Bumiputera (ASB)? Artikel ini akan memberikan penerangan yang mudah untuk tahu berkenaan hukum melabur di ASB.
Pengenalan
Pertama sekali, bagaimana orang Islam melabur? Pelaburan yang bagaimana dikira halal di sisi syarak?
Hukum melabur itu harus sekiranya ia menepati syarat-syarat ajaran Islam seperti perkongsian untung-rugi, bebas daripada riba dan tidak berurusan dengan bisnes yang menjual produk-produk haram di sisi syarak.
Perkongsian untung dan rugi itu hendaklah bersama, bukannya satu pihak sahaja, itu zalim namanya. Maka, ia merupakan suatu pelaburan yang menzalimi satu pihak. Haram untuk kita melabur dalam syarikat yang seperti itu.
Syarikat yang kita labur itu juga perlulah bebas daripada sebarang jenis bunga. Kalau ya, haram untuk kita labur kepadanya.
Produk bisnes yang syarikat itu jual pula haruslah yang halal belaka. Kalau syarikat itu contohnya menjual arak, jelaslah bahawasanya ia haram.
Jikalau bebas daripada ciri-ciri keharamannya, maka melabur ke dalam satu syarikat itu automatiknya menjadi harus dan halal. Pastikan, sebelum kita melabur itu, kita periksa terlebih dahulu apa dan bagaimana bisnes suatu syarikat itu bergerak. Barulah kita melabur.
Hukum Pelaburan ASB
Berkaitan dengan ASB, umumnya kita tahu bahawasanya yang hanya dua negeri yang berfatwa ianya haram. Selainnya, harus.
Kalau ikut fatwa kebangsaan tahun 2008, hukum melabur dalam ASB adalah harus. Dividen dan bonus yang diterima adalah halal belaka.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:
- Penjagaan harta adalah salah satu perkara yang wajib dipandang penting oleh pemerintah. Ini juga adalah untuk kemaslahatan umat Islam dengan kekuatan ekonomi, sekiranya umat Islam tidak mempunyai kekuatan ekonomi, ia akan menggugat kekuatan umat Islam.
- Bila bercampur baur antara haram dan halal, kaedah fiqh mengatakan yang kita kena lihat mana satu yang lebih berat. Halal atau yang haram? ASB ini 70% halal manakala lagi 30% tidak patuh syariah, maka jelas ianya halal.
Kalau kita nak tolak ASB, maka ia akan menjatuhkan ekonomi orang Islam kerana yang melabur dalam unit ini sebahagian besarnya adalah umat Islam. Kalau kita nak halang semua orang Islam untuk melabur dalam ASB, maka orang Islam akan melabur di mana lagi?
Melihatkan kepada kemaslahatan sebegini, maka kita mendahuluikan kemaslahatan untuk mencapai penjagaan harta (hifzul maal) umat Islam.
Dalam sektor kewangan, tidak boleh dielakkan untuk berurusan dengan syarikat yang tidak patuh syariah. Betul, namun ia sudah menjadi lumrah. Kalau orang Islam tidak berurusan langsung, ia akan memudaratkan ekonomi orang Islam sendiri.
Sepertimana kata Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad:
“Ada kaedah yang menunjukkan bahawa jika sumber halal dan haram bercampur ia menjadi haram. Sebaliknya kaedah yang lain pula memberi pengecualian jika nisbah pencampuran haram itu dalam jumlah yang sangat kecil.” (Harian Metro)
ASB ini telah diasaskan pada tahun 1990 bagi menggantikan ASN (Amanah Saham Nasional). Sekarang telah menjadi ASB (Amanah Saham Bumiputera).
Pelaburan dalam ASB setakat ini adalah pelaburan yang sangat ramai diakses rakyat kita dan ianya juga merupakan pelaburan yang paling bagus. Ia baik untuk mereka yang nak melabur untuk jangka masa panjang seperti pendidikan anak-anak dan untuk beli rumah. Pelaburan ASB adalah yang terbaik. Pulangannya juga cukup memuaskan pelanggan.
Walaupun sejak kebelakangan ini pasaran saham agak menurun, namun ia tetap berada pada penanda aras yang biasa iaitu deposit tetap. Ia masih terkawal mudah kata. ASB juga telah melabur pada saham-saham tempatan untuk menambah pendapatan lalu pelabur mendapat pulangan yang baik.
Tidak dinafikan lagi, pelaburan ASB dapat mengukuhkan kewangan bumiputera dengan tabungan seperti ini. Kemaslahatan untuk orang bumiputera khususnya orang Islam juga dapat tercapai dengan peningkatan ekonomi umat Islam. Banyaklah pembangunan yang boleh dilaksanakan sekiranya pelaburan orang Islam itu dalam keadaan yang kompetitif dan bergerak maju.
Kesimpulan
Haram untuk berurusan dengan pelaburan yang ada unsur-unsur haram, namun dikatakan dalam kaedah fiqh, sekiranya peratusan halal itu lebih daripada yang haram, maka harus dan halal-lah pelaburan tersebut.
Setakat ini, kalau ikut fatwa-fatwa negeri, ada dua negeri yang mengatakan ia haram, yang lain semua halal. Sekiranya kita mahu merujuk fatwa kebangsaan pula, ia mengatakan bahawasanya melabur dalam ASB ini adalah harus. Ini juga adalah untuk mencapai kemaslahatan dari segi ekonomi orang Islam.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan
- ASB pilihan pelaburan terbaik – Sinar Harian
- Pelaburan ASN, ASB serta dividen atau bonus yang diterima – Mufti Penang
- Siti Norhidayatidayu. (2015). Hormati keputusan majlis fatwa. Harian Metro.
- Pelaburan dalam ASN, ASB dan seumpamanya – E-muamalat
- Halal Investing – Saturna