Skip to content

Doa Pembuka & Penutup Majlis Berserta Adab-adab di Majlis

doa pembuka dan penutup majlis

Apakah Lafaz doa pembuka dan penutup majlis? Artikel ini akan membincangkan lafaz doa pembuka dan penutup majlis dengan menggunakan teks arab dan juga rumi berserta membincangkan adab-adab ketika di dalam majlis.

Majlis adalah satu pertemuan beramai-ramai untuk meraikan sesuatu. Boleh jadi majlis perkahwinan, majlis perasaraan dan lain-lain. Untuk memberkati majlis tersebut, maka majlis itu haruslah menepati adab dan sunnah ketika berada di dalam majlis.

Antara adab dan sunnah untuk bermajlis, adalah dengan meminta doa kepada Allah supaya Dia memberkati majlis tersebut serta menjauhkan semua orang yang hadir itu diampun dosa jika terlanggar batasanNya. Kita manusia biasa, kadang-kadang itu sedang asyik melayani majlis, terlepas pandang beberapa perkara yang penting seperti ikhtilat dan sebagainya.

Doa untuk buka majlis

Format ini boleh diguna dan diubahsuai mengikut kesesuaian pembaca.

بسم الله الرحمن الرحيم

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن ،وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْن ،وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْن

Ya Allah ya Tuhan kami

Kami ingin merafakkan kesyukuran kepadaMu atas pertemuan kami pada hari ini

Jadikanlah kami hamba-hambaMu ini sentiasa bersyukur terhadap rezeki dan kurniaanMu

Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Memberi

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kami berhimpun hari ini untuk menjayakan majlis (sebutkan nama majlis)

Maka kau permudahkanlah majlis ini supaya ia berjalan dengan lancar

Kami ingin menimba ilmu sebanyak mungkin supaya kami mampu memperkembangkan potensi kami sehingga menjadi hambaMu yang Kau redai Ya Allah

Kurniakanlah ilmu kepada kami

Sinarilah hati-hati kami dengan hidayahMu

Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Ya Zal Jalali Wal Ikram

Hadiahkanlah kepada kami kesihatan badan, kecerdasan minda, ketenangan jiwa dan kekuatan semangat

Kami memohon kepada Engkau Ya Allah

Bantulah kami dalam menghadapi segala cabaran

Ringanlah beban kami

Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةٍ وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةٍ وَقِنَا عَذَابًا النَّارِ. وَصَلَّى الله ُعَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَسَلَّم،

 وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْن .

Isi-isi penting yang perlu dimaktubkan di dalam doa ketika nak membuka majlis:

  1. Minta Allah permudahkan majlis supaya tiada apa-apa yang menghalang
  2. Minta Allah tingkatkan ilmu kita kerana ilmu itu adalah matlamat setiap orang Islam
  3. Minta Allah berikan suasana dan cuaca yang baik supaya majlis dapat disempurnakan
  4. Minta Allah berikan kita kesihatan yang baik-baik
  5. Minta kebahagiaan di dunia dan di akhirat

Ini antara isi-isi penting yang perlu kita letakkan, boleh juga jikalau kita ingin ubahsuai ingin kemahuan kita.

Doa ketika dalam majlis

Istighfar

Istighfar ini Rasulullah amalkan ketika baginda berada di dalam suatu majlis. Hal ini direkodkan daripada Ibnu Umar RA yang katanya beliau mendengar yang Rasulullah membaca doa ini sebanyak 100 kali:

رَبِّ اغْفِرْلِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الغَفُور

Wahai tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengampun.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Doa penutup majlis

1. Doa kaffarah (pembersih majlis)

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكْ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلّاَ أَنْتَ وَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْه

“Maha Suci Engkau ya Allah, dengan memujiMu, aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Ini adalah sebaik-baik doa untuk menutup majlis. Tidak kira majlis ilmu, mahupun lain-lain. Ini adalah untuk memohon keampunan daripada Allah sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan sepanjang mengendalikan majlis.

2. Doa tutup majlis

Ya Allah Ya Tuhan kami

Pertemuan kami hari ini adalah usaha untuk menjadikan kami hambaMu yang soleh dan amanah dengan misi Khalifah di muka bumi

Kau permudahkanlah kami untuk meneruskan usaha baik kami

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Segala salah dan silap kami

Kau ampunkanlah ya Allah

Kami bertaubat kepadaMu ya Allah

Itu adalah kelemahan kami sebagai hambaMu

Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun

Ya Allah

Engkau jadikanlah majlis hari ini bermanfaat bukan saja di dunia tetapi di akhirat kelak ya Allah

Amin Ya Rabbal Alamin

Adab-adab ketika dalam majlis

1. Pemakaian yang sesuai

Menutup aurat dan juga tidak ganjil daripada pandangan orang lain. Orang nampak pelik. Itu tergolong dalam berlebih-lebih dalam berpakaian (libasush shughrah). Pakailah pakaian yang sopan, dan sesuai. Antara sunnah Nabi Muhammad itu adalah berpakaian yang sesuai dengan keadaanya (jibiliyah).

Pergi ke majlis, pakailah seperti orang yang nak ke majlis. Jangan pula pakai baju tidur. Itu tidak sesuai. Pakailah juga pakaian yang menutup aurat dan sopan. Orang tak nampak pelik dengan pakaian itu seperti pakaian yang menjolok mata misalnya.

Pergi ke majlis orang itu di samping ingin menunaikan fardhu kifayah (memenuhi jemputan) dan bersosial, perlu juga menjaga batasan yang Islam letakkan. Bukan meletakkan majlis sebagai alasan untuk mendedahkan aurat dan lain-lain.

Kita nakkan juga reda Allah sekaligus berinteraksi sesama manusia.

2. Datang bila dijemput

Memenuhi jemputan itu merupakan salah satu hak muslim dengan muslim yang lain menurut satu hadis baginda Nabi.

Bila kita datang tanpa diundang, kita sebenarnya sudah menyusahkan tuan majlis. Kerana tuan majlis sudah merancang untuk beberapa bilangan orang dan kita pula datang untuk mengambil kesempatan. Ini tidak beradab. Lainlah kalau tuan majlis buatkan ia terbuka kepada umum. Lihat keadaan.

3. Menjaga ikhtilat

Batasan antara lelaki dan perempuan bukan mahram, harus dijaga. Di luar majlis dijaga, di dalam majlis juga dijaga. Berboraklah dengan budi pekerti. Bergaullah dengan sopan dan santun. Jangan main redah, bergurau sehingga bertepuk tampar antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Itu dilarang.

4. Bertimbang rasa

Jika dihidangkan makanan, kita perlu bertimbang rasa. Jangan ambil banyak sekaligus. Ada ramai lagi yang belum ambil. Jika ada lebih, ambillah untuk diberi kepada orang yang berada di luar majlis dengan izin tuan majlis. Ini adalah untuk mengelak daripada membazir. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang Dia melarang untuk membazir.

Diharap artikel doa pembuka dan penutup majlis ini dapat memberikan sedikit maklumat kepada anda untuk mengamalkannya

Bacaan Doa yang lain

Doa sebelum dan selepas makanDoa Sebelum Tidur dan Bangun Tidur
Doa Qunut NazilahDoa Naik Kenderaan
Doa Masuk dan Keluar TandasDoa Wabak Penyakit
Doa Pagi Ma’thuratDoa Berbuka Puasa
Doa Meminta JodohDoa Kepada Ibubapa
Doa Pembuka dan Penutup MajlisDoa Ketika Melihat Cermin
Doa Ketika HujanDoa Hilangkan Gemuruh
Doa Dipermudahkan BersalinDoa Sembuh Penyakit dan Doa Nabi Ayub
Doa Belajar dan Penerang HatiDoa Abu Darda
Doa Ketika Barang HilangDoa Perlindungan

Rujukan

  1. 7 rules for good manners at your ceremony. (2019). Retrieved from abbaziadispineto.com
  2. Al-Qahthani, S. (2002). Perisai Muslim . Madinah : Khutab.
  3. Doa Majlis. (2020). Retrieved from Portalmalaysia
  4. Doa Pembukaan Majlis. (2018). Retrieved from Notakuliahsmp
  5. Etika dalam majlis. (n.d.). Retrieved from Addeen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × two =