Skip to content

Hukum Baca Doa Iftitah Dalam Solat. Wajib atau tidak?

hukum baca doa iftitah

Apakah hukum baca doa iftitah ketika di dalam solat? Adakah ia wajib, sunat ataupun tidak perlu dilakukan. Artikel ini akan membincangkan apakah hukum baca doa iftitah di dalam solat.

Maksud Solat

Solat dari segi bahasa maknanya doa. Apabila seseorang itu bersolat, bermakna dia sedang berdoa kepada Allah. Dari segi syaraknya pula, solat merupakan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Setiap ini mempunyai syarat-syarat tertentu juga.

Kenapa kena solat?

Dalam agama kita, adanya rukun. Setiap rukun ini perlulah dipenuhi untuk membuktikan yang kita ini menganut agama tertentu. Kalau kita betul-betul percayakan agama ini, maka apa jua ritual yang diwajibkan, wajiblah juga kita amalkan. Solat itu sendiri merupakan rukun kedua agama Islam. Mahu beriman, wajiblah penuhi setiap syarat keimanan itu. Mahu menjadi orang Islam, wajiblah penuhi setiap rukun itu.

Selain itu, solat ini juga sebagai penghubung kita dengan Allah. Apabila kita solat, semuanya menumpukan perhatian kepadanya. Akal memikirkan kebesarannya. Lidah melafazkan keagungannya. Perbuatan melakukan penyembahan kepadanya. Begitulah seterusnya.

Solatnya kita sama dengan taatnya kita. Kita taat kepada Allah dengan cara melakukan solat. Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 56:

Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.

Allah juga berfirman dalam Surah Taha ayat 14:

Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.

Solat bukan sahaja taat pada perintah Allah, namun mengingatNya sekali. Dalam kita ingatkan Allah, kita sedang menikmati solat itu secara tidak langsung. Ingatkan Dia juga memberikan ketenangan dalam hati kita, bukan?

Allah berfirman dalam Surah Ra’d ayat 28:

Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.

Seorang anak murid kepada Sheikh Syaqiq Al-Balkhi dan sempat bertemu dengan Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah ditanya tentang solat. Beliau menjawab:

Apabila tiba waktu solat aku pun berwuduk dan pergi ke tempat solat. Aku duduk di situ sehingga ketegangan anggota tubuhku kendur (berasa tenang). Kemudian aku berdiri untuk solat. Pada masa ini aku membayangkan satu gambaran yang jelas di hadapan mataku. Kaabah berada di hadapanku, kakiku berdiri di atas titisan sirat dengan syurga di sebelah kananku dan neraka di sebelah kiriku. Izrail berada di belakangku. Aku berasa seolah-olah ini adalah solatku yang terakhir. Aku lemas dalam dua perasaan iaitu takut solatku tidak diterima dan berharap solatku diterima. Dalam keadaan begini aku menunaikan solat dengan penuh keikhlasan dan ketaatan.

Inilah yang sepatutnya menjadi contoh kepada kita untuk kita amalkan setiap kali kita nak solat. Sifat rendah diri. Penuh dengan pengharapan. Ini semua membawa kepada fokus yang kuat. InshaAllah kita akan lebih menikmati solat kita.

Hukum Baca Doa Ifititah Dalam Solat

Solat ada 13 rukun. Ada juga yang sunat. Antara perkara sunat dalam solat itu adalah membaca doa iftitah. Dalam solat, ada dua jenis sunat. Satu, sunat yang berat iaitu sunat ab’ad. Kalau tertinggal, sunat untuk melakukan sujud sahwi. Dua, sunat yang ringan, kalau tertinggal tidak mengapa iaitu sunat hai’ah.

Membaca doa iftitah ini tergolong dalam sunat hai’ah. Ianya sunat yang ringan. Kalau kita membacanya ketika dalam solat, dapatlah kita pahala. Jika tidak, tidak dapat apa-apa. Tak perlu juga untuk dilakukan sujud sahwi sekiranya terlupa pun.

Doa iftitah ini disunatkan untuk dibaca dalam mana-mana solat termasuklah yang wajib mahupun yang sunat.

Sunnahnya juga, ianya dibaca sebelum membaca Surah Al-Fatihah dan selepas mengangkat takbiratul ihram. Itu sunnahnya.

Ada orang tanya, bolehkah baca doa iftitah selepas baca Surah Al-Fatihah?

Boleh itu boleh. Tapi tak bertepatan dengan sunnah Nabi. Itu sahaja. Jangan juga jadikan ia sebagai kebiasaan, khuatir boleh jadi bidaah. Amalan khusus seperti ini harus ikut ketetapan meskipun ianya sunat.

Saya beri contoh.

Bolehkah solat Dhuha dilakukan selepas Zuhur? Ia tak jadi solat Dhuha-lah. Ia hanya jadi solat sunat mutlak sahaja. Sebab Solat Dhuha itu ketetapannya berlaku pada waktu pagi nak dekat tengahari.

Itulah dia, walapun ianya sunat, ianya perlu mengikut ketetapan. Doa iftitah dibaca sebelum membaca Surah Al-Fatihah, maka begitulah ianya harus dilaksanakan.

Berikut ialah bacaan doa iftitah:

doa iftitah teks arab

Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah pagi dan petang. Kuhadapkan wajahku kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku daripada golongan orang yang menyekutukan-Nya. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah daripada golongan orang Islam.

Kesimpulan

Hukum membaca doa iftitah dalam solat ialah sunat hai’ah, sunat yang lebih ringan berbanding sunat ab’ad. Kalau terlupa, tidak mengapa. Tidak perlu sujud sahwi. Mengamalkannya adalah yang terbaik.

Artikel Berkaitan: 12 Jenis Bacaan Doa Iftitah

Hukum-hukum yang lain:

Hukum Mimpi Basah Ketika PuasaHukum Keluar Air Mazi Ketika Puasa
Hukum Wanita Haid Masuk MasjidHukum Minum Air Mani
Hukum Baca Al-quran Tanpa WudhukHukum Baca Doa Iftitah dalam Solat
Hukum Solat dengan Bulu KucingHukum Baca Al-quran Tanpa Tajwid
Hukum Khitan WanitaHukum Menjilat Kemaluan Isteri atau Suami

Rujukan

Nik Yusri Musa. (2019). Ensiklopedia solat. Galeri Ilmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13 − 13 =