Skip to content

10 Tempat Menarik Di Sarawak Yang Anda Perlu Pergi

tempat menarik di sarawak

Apakah tempat menarik di Sarawak yang boleh anda kunjungi? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan 10 tempat menarik di Sarawak untuk percutian anda bersama yang tersayang. Sarawak terletak di Timur Malaysia lebih tepat di kepulauan Borneo.

Lokasinya meretasi 800 kilometer sepanjang pesisir barat laut Borneo dan bersempadan dengan negeri Sabah di timur laut. Sememangnya Sarawak menjanjikan pengunjung dengan kepelbagaian hidupan liar, taman negara, pulau, dan pantai yang indah.

1. Taman Negara Niah, Miri

Anda pasti pernah dengar tentang Gua Niah di Sarawak. Sebelum anda membuat keputusan untuk bercuti ke luar negara, pastikan anda sudah ke Gua Niah terlebih dahulu. Ia terletak lebih kurang sejam setengah perjalanan dari bandar raya Miri dan semua pengunjung bebas untuk ke sini dengan menaiki kereta, motor, atau berjalan kaki sahaja.

Di dalam Gua Niah terdapat Taman Negara Niah yang sangat mahsyur di dunia dengan kewujudan pelbagai peninggalan sejarah dunia dan bukti awal kehidupan manusia di Asia Tenggara sekitar 40,000 tahun yang lalu seperti lukisan batu, fosil manusia, kayak kecil, dan sebagainya.

Sudah tentu pengalaman ini sangat menarik bagi anda yang gemar dengan sesebuah adventure dalam pelancongan. Terdapat banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti meredah denai melalui Madu Trail dan  Bukit Kasut Trail, selain melawat Traders Cave, Kuala Gankira dan menikmati suasana inap desa di  Rumah Panjang Tangap yang terletak berdekatan dengan Gua Niah.

2. Hutan Simpan Semenggoh, Kuching

Orang utan Borneo atau nama saintifiknya Pongo pygmaeus, menjadi penduduk tetap di pulau Borneo di tenggara Asia. Mamalia ini mempunyai ciri-ciri yang sangat unik dengan kecerdasan tinggi, gaya hidup bersama komunitinya, dan warna pada rambutnya itu sendiri. Hampir mirip dengan manusia, keunikan inilah yang membuatkan haiwan tersebut menjadi daya tarikan yang tersendiri di Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Hutan ini merupakan simbolik kerjasama antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk memelihara hidupan flora dan fauna yang terdapat di situ. Jangan terkejut pula kalau pekerja-pekerja memanggil nama Delima atau Salina tetapi yang datang mamalia bertangan panjang ini. Orang utan dipanggil dengan nama seperti manusia untuk menunjukkan betapa rapatnya hubungan mereka dengan pencinta haiwan.

3. Tasik Biru, Bau

Setiap destinasi mempunyai sejarah yang tersendiri dan tidak terkecuali bagi Tasik Biru. Sebiru tasiknya, sedalam lagi sejarah yang pernah menjadi bualan hangat penduduk tempatan yang tinggal di situ. Dulunya, tasik ini merupakan lombong emas yang terkenal di negeri Sarawak. Kualiti emas yang tersimpan di dalamya adalah sangat tinggi dan paling cantik di dunia.

Dongeng penduduk setempat mengatakan tasik yang terletak kira-kira 35 kilometer dari Bandaraya Kuching ini telah menjadi habitat kura-kura emas. Manakala lagenda dan mitos sama mencatatkan cerita apabila muncul tiga raksasa berukuran tiga meter panjangnya sedang berenang di permukaan air tersebut sekitar tahun 1988. Seiringnya waktu, bualan ramai tentang tasik ini makin pudar dan kini tasiknya telah menjadi destinasi pelancongan terbuka bagi tujuan riadah. Banyak aktiviti menarik yang berlangsung di Tasik Biru misalnya Bau Bike Week, Pesta Jong Regata Bau dan sebagainya.

4. Gua Air Jernih, Mulu

Gua Air Jernih terletak di Gua Mulu bersebelahan utara negeri Sarawak. Dengan dikelilingi tiga buah gunung lain seperti Gunung Mulu, Gunung Api, dan Gunung Benarat, destinasi ini terus menjadi sumber kepelbagaian bio dan ekosistem yang menakjubkan pengunjung dari dalam dan luar negara. Fakta menarik tentang gua ini adalah ia merupakan gua yang menghubungkan dengan sistem pengairan terbesar di dunia dan gua kesembilan terpanjang di dunia dengan 224 kilometer.

Pencita alam semula jadi pasti kagum melihat keunikan formasi stalagmit dan stalagtit dan plebagai arca yang terbentuk secara semula jadi dari proses geomorfologi yang berlaku di gua ini. Jadi tidak hairan dengan segala kemewahan alam di sini, ia telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2000.

5. Coco Cabana, Miri

Pantai dan Sarawak sudah tidak asing lagi di mata pelancong yang datang dari jauh atau dekat. Pantai memang lokasi pelancongan yang sangat menenangkan fikiran di mana ia jauh dari kekusutan bandar dan stress kerja. Namun kadang kala, citarasa pengunjung di pantai sering berubah-ubah dan mereka mahukan sedikit perubahan.

Coco Cabana menjadi penyelesaian bagi anda yang mengalami masalah yang sama. Dengan membawa ciri moden dan kotemporari tepi pantai, Coco Cabana menjadi buruan warga khususnya sekitar Miri kerana daya tarikannya tidak mampu didapatkan di tempat lain dan menjadikan ia salah satu tempat menarik di Sarawak.

Pengunjung pasti jatuh cinta dengan panorama matahari terbenan di sini. Anda boleh duduk di bangku, di atas pasir, atau berayun di buaian tatkala menyaksikan matahari terbenam dan sudah pasti suasanannya sangat romantik dan mengasyikkan. Selain rumah api yang berbentuk kuda laut, terdapat juga deretan gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman buat pengunjung. Kerana Coco Cabana terletak berhadapan dengan Marina Bay Miri, anda juga boleh melihat pelbagai jenis kapal berlabuh di jeti seakan-akan seperti sedang berada di Venice, Italy.

6. Kuching Wetlands National Park, Kuching

Kuching Wetlands National Park adalah sebuah taman negara yang berkeluasan 6610 hektar dan berkedudukan 5 kilometer dari Pantai Damai. Tidak seperti taman negara lain yang ada di Malaysia, di sini hampir keseluruhannya merupakan hutan paya air masin. Anda boleh menerokasi Kuching Wetlands dengan menggunakan bot sewa yang disediakan sambil menyelusuri sepanjang sungai.

7. Taman Buaya Jong, Siburan

Biasa anda tengok buaya di televisyen atau di zoo. Perasaan dan pengalaman lihat buaya dari jarak jauh memang tidak sama dengan jarak dekat. Jika di Sarawak terkenal dengan budaya dan tapak-tapak sejarahnya, negeri ini juga tidak mengetepikan reptilia buaya sebagai daya tarikan. Jong Crocodile adalah taman ternakan dan simpanan buaya dari sekecil-kecil anak buaya sehinggalah sebesar-besar yang ada.

Di dunia ini terdapat lebih kurang 23 jenis buaya termasuk dalam family Crocodilian, Alligator, Gharial, dan Caiman. Di Sarawak, lagenda buaya mereka yang pernah mengemparkan Malaysia pada tahun 1992 dulu ialah Buaya Bujang Senang. Buaya gergasi ini dalam spesies Crocodylus porosus dan berukuran 20 kaki panjang serta mempunyai jalur putih di belakang badannya.

8. Borneo Samariang Waterpark, Kuching

Melancong bersama anak-anak sangat seronok jika berkunjung ke Borneo Samariang Waterpark. Ini adalah Water Theme Park pertama yang pernah di buka di Kuching. Di sini tarikannya sudah tentu pada permainan-permainan air yang dibina antaranya seperi Hornbill Island, Salak Beach, Santubong Tower dan corporte Function Area.

Hornbill Island lebih sesuai kepada golongan kanak-kanak kerana ia kurang bahaya dan mencabar. Bagi yang mahukan permainan bersama keluarga juga, di sini ada Family Raft ride yang tinggi dan panjang seperti Sky Drop Slide, Crystal Slide, Galaxy Slide, dan Canopy Slide.

9. Annah Rais Hotspring, Kuching

Tiada apa yang lebih santai daripada merehatkan badan ditengah-tengah kehijauan alam semula jadi sambil ditemani bunyi kicauan burung. Annah Rais Hotspring menyediakan kemudahan kolam air panas di Puncak Borneo. Ia terletak di kawasan Padawan dan kiran-kira sejauh 60 kilometer dari Bandaraya Kuching dan sejam dari kawasan Perkampungan Bidayuh. Masuk sahaja kaki anda ke tempat ini, hidangan pertama kali yang disediakan adalah kehijauan pokok-pokok dan udara yang amat bersih.

10. Kalimantan View Point, Siburan

Semua orang terlepas pandang dengan lokasi terakhir ini jika berkunjung ke Sarawak. Bukankah Kalimatan terletak di Indonesia dan kenapa ia berkaitan dengan Sarawak? Sebenarnya kawasan bertanah tinggi di lokasi ini boleh membawa pancaindera anda menikmati pemandangan mencecah sehingga ke Kalimantan Indonesia dengan suhu bawah 16 ke 28 darjah celcius. Selain melihat pemandangan, aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah jungle trekking, bermain golf atau mengayuh basikal sambil menikmati kehijauan alam.

Diharapkan artikel tempat menarik di Sarawak ini boleh memudahkan anda membuat perancangan yang berkesan untuk melancong bersama keluarga dan orang yang tersayang. Jauh berjalan, luas pengalaman, dalami pengetahuan. Selamat melancong ke Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nine + 16 =