Solat sunat rawatib adalah solat sunat yang mengiringi solat fardhu. Ia sama ada dilakukan sebelum atau selepas solat fardhu. Di dalam solat sunat ini juga ada solat sunat yang sangat dituntut (muakkad) dan juga yang tidak dituntut (ghairu muakkad).
Tidak semua solat fardhu mempunyai kedua-dua solat sunat sebelum dan selepas. Hal ini kerana terdapat waktu yang dilarang untuk solat sunat yang kita akan bincangkan nanti.
Keutamaan
Kepentingan solat sunat rawatib ini ada disebut di dalam hadis sahih yang mana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam riwayat Ummu Habibah r.a.;
مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ
Maksudnya: Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.(Sunan Tirmidzi, 380 dan Sunan Ibn Majah, 1196)
Hadis di atas ini menyatakan bahawa solat rawatib yang dituntut (muakkad) keseluruhannya mempunyai 12 rakaat. Terdapat juga riwayat yang lain yang menyatakan solat rawatib yang dituntut itu mempunyai 10 rakaat keseluruhannya.
Dalam riwayat Ibn Umar r.a. menyatakan bahawa solat sunat rawatib mempunyai 10 rakaat secara keseluruhan di dalam Rasulullah s.a.w ;
حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ
Maksudnya: Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi SAW tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zohor dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. (Sahih Bukhari, 1180)
Kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengerjakan kedua-dua jumlah rakaat iaitu 12 rakaat dan 10 rakaat keseluruhannya. Titik perbezaannya adalah pada solat sunat sebelum (qabliyah) zohor, sama ada empat rakaat ataupun dua rakaat sahaja.
Namun para ulama’ mazhab syafie berpendapat bahawa bilangan rakaat solat sunat rawatib yang dituntut ialah 10 rakaat keseluruhannya.
Solat sunat rawatib yang dituntut (muakkad)
Antara solat sunat rawatib yang sangat dituntut(Sunat Muakkad) untuk dilakukan adalah:
- Sebelum subuh (2 rakaat)
- Sebelum zohor (2 rakaat)
- Selepas zohor (2 rakaat)
- Selepas maghrib (2 rakaat)
- Selepas isyak (2 rakaat)
Solat sunat rawatib yang tidak dituntut (ghairu muakkad)
Antara solat sunat rawatib yang tidak dituntut ataupun tidak diberatkan untuk melakukannya adalah:
- Sebelum zohor (2 rakaat tambahan yang menjadikannya 4 rakaat)
- Selepas zohor (2 rakaat tambahan yang menjadikannya 4 rakaat)
- Sebelum asar (2 rakaat)
- Sebelum maghrib (2 rakaat)
- Sebelum isyak (2 rakaat)
Lafaz Niat Solat Rawatib
Di bawah ini merupakan lafaz niat untuk solat sunat rawatib bagi setiap solat fardhu:
أُصَلِّي سُنَّةَ (الصُبْحِ / الظُّهْرِ / العَصْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ) رَكْعَتَيْنِ (قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً ) لِلهِ تَعَالَى
Bacaan niat solat rawatib dalam rumi:
Usolli sunnata subhi/ Zuhri/ ‘Asri/ Maghribi/ Isha i rak’ataini qabliatan/ba’diatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat (subuh / zohor / asar / maghrib / isyak) dua rakaat (sebelum / selepas) kerana Allah taala.
Baca niat ini berdasarkan waktu. Jika subuh, baca subhi. jika Zohor, baca zuhri dan begitulah seterusnya.
قَبْلِيَّةً bermaksud sebelum. Baca guna perkataan ini jika solat sunat tersebut hendak dilakukan sebelum solat fardhu
بَعْدِيَّةً bermaksud selepas. Baca guna perkataan ini jika solat sunat tersebut hendak dilakukan selepas solat fardhu
Niat Solat Rawatib Subuh
Solat Rawatib Sebelum solat subuh/Qobliyah subuh
Solat ini dilakukan apabila telah masuk waktu subuh iaitu setelah azan subuh sehinggalah iqamat(sebelum solat fardhu subuh)
Ia merupakan sunat muakad iaitu sunat yang diberatkan untuk umat Nabi SAW mengerjakannya.
Niatnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ الصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunatas subhi rak’atainu qobliatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat subuh dua rakaat sebelum kerana Allah taala.
Lakukanlah solat ini sebanyak 2 rakaat sama seperti solat sunat yang biasa.
Niat Solat Rawatib Zohor
Solat Rawatib Sebelum Solat Zohor/Qobliyyah Zuhur
Solat Qobliyah Zohor ini dilakukan selepas waktu Zuhur masuk iaitu selepas azan Zuhur sehingga sebelum iqamat.
Solat sunat sebelum solat fardhu zuhur merupakan sunat muakad dan diberatkan untuk dilakukan
Niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnataz zuhri rak’ataini Qabliyatan lillahi taala
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala“
Cara mengerjakan solat sunat ini sama seperti solat sunat yang lain tanpa mempunyai surah yang spesifik untuk dibaca. Boleh baca ayat atau surah-surah yang di hafal.
Solat Rawatib Selepas Solat Zohor/Ba’diyah Zuhur
Solat ini dilakukan setelah selesai menunaikan solat fardhu zohor. Ia juga merupakan sunat muakad ataupun amalan yang diberatkan oleh nabi untuk melakukannya.
Niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnataz zuhri rak’ataini ba’diatan lillahi taala.
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Cara melakukannya juga adalah sama seperti solat sunat yang lain tanpa ada surah yang khusus dibaca ketika sikat tersebut
Niat Solat Rawatib Asar
Solat Rawatib Sebelum Solat Asar/Qabliyah Asar
Solat Qobliyah Asar boleh mula dilakukan selepas Azan asar sehinggalah iqamat. Ia merupakan solat Ghairu muakad iatu sunat tapi tidak diberatkan untuk melakukannya.
Niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ العَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal ‘asri rak’ataini Qobliyatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Lakukan solat sunat tersebut sebanyak 2 rakaat sama seperti solat sunat yang lain. Tiada surah spesifik yang perlu dibaca.
Setelah salam, jika iqamat belum berkumandang lagi, anda boleh lakukan 2 rakaat solat sunat qabliyyah lagi dengan niat yang sama.
Tiada solat rawatib setelah solat fadhu asar
Niat Solat Rawatib Maghrib
Solat Rawatib Sebelum Solat Maghrib/ Qabliyah Maghrib
Solat ini dilakukan setelah masuk waktu maghrib iaitu selepas azan maghrib sehinggalah ketika iqamat(sebelum solat maghrib)
Ini merupakan solat sunat ghairu muakad
Niatnya:
أُصَلِّي سُنَّةَ المَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal maghribi rak’ataini qabliatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat maghrib dua rakaat sebelum kerana Allah taala.
Lakukan solat tersebut sebanyak dua rakaat seperti solat sunat biasa. Tiada surah atau ayat yang spesifik perlu dibaca ketika rakaat pertama atau kedua.
Solat Rawatib Selepas Solat Maghrib/ Ba’diah maghrib
Solat ini dilakukan sebaik sahaja melakukan solat fardhu maghrib. Ia merupakan solat sunat muakad iaitu yang diberatkan oleh Nabi SAW.
Niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ المَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal maghribi rak’ataini ba’diatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat maghrib dua rakaat selepas kerana Allah taala.
Lakukan solat ini sebanyak 2 rakaat sama seperti solat sunat yang lain. Boleh baca apa-apa ayat atau surah daripada al-quran.
Niat Solat Rawatib Isyak
Solat Rawatib Sebelum solat Isyak/Qobliyah Isyak
Solat ini dilaksanakan selepas masuk waktu isyak iaitu setelah azan isyak berkumandang sehinggalah Iqamat(sebelum solat isyak).
Ia merupakan solat sunat ghairu muakad yang kurang diberatkan untuk perlaksanaan
Niatnya adalah:
أُصَلِّي سُنَّةَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunatal ‘Isya i rak’ataini qobliatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat isyak dua rakaat sebelum kerana Allah taala.
Laksanakan solat ini sebanyak 2 rakaat dan sama seperti solat sunat sunat yang lain. Bacalah mana-mana ayat atau surah daripada al-quran
Solat Rawatib Selepas Solat Isyak/Ba’diah Isyak
Solat sunat ini dilakukan selepas menunaikan solat fardhu isyak. Ia merupakan solat sunat muakad dimana ia diberatkan untuk melakukannya.
Niatnya seperti:
أُصَلِّي سُنَّةَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal ‘isya i rak’ataini ba’diatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat isyak dua rakaat selepas kerana Allah taala
Laksanakan solat ini sebanyak 2 rakaat dan lakukan ia sama seperti solat sunat biasa. Boleh baca mana-mana ayat dari al-Quran
CARA SOLAT SUNAT RAWATIB
Dibawah ini merupakan cara melakukan solat rawatib mengikut langkah yang betul
Rakaat Pertama
1. Berdiri Tegak dan Niat di dalam hati
Sebelum mengangkat takbir, lintaskan niat untuk melakukan solat sunat rawatib di dalam hati mengikut solat fardhu sama ada ia dilakukan sebelum atau selepas. Boleh rujuk seperti dibahagian lafaz niat solat rawatib di atas.
2. Takbiratul Ihram
Takbiratul Ihram dengan mengangkat kedua-dua tangan sambil menyebut
“Allahu akbar”
Maksud: Allah Maha Besar
Kemudian perlu meletakkan kedua tangan pada bahagian atas pusat dimana tangan kanan perlu diatas tangan kiri.
3. Membaca Doa Iftitah
Doa ini sunat dibaca. Boleh sahaja terus membaca surah Fatihah tanpa membaca doa ini.
Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.
4. Membaca Surah Al-Fatihah
Setelah membaca doa iftitah, anda perlulah membaca surah al-fatihah
Maksudnya; “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”
5. Membaca surah atau mana-mana ayat pilihan di dalam al-quran
Setelah bacaan surah al-fatihah, anda boleh membaca mana-mana surah di dalam Al-Quran. Bagi mereka yang baru sahaja belajar solat, anda boleh membaca surah Al-Asr seperti dibawah.
Maksudnya: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran
6. Rukuk sambil bertakbir (lafaz Allahu akbar).
Bacaan rukuk:
“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.
Nota: Kedua-dua tangan kita terletak atas lutut kedua-dua kaki.
7. I’tidal sambil mengucapkan,
“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”
Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
Nota: Bediri tegak dan kedua-dua tangan berada di sisi.
8. Sujud sambil bertakbir.
Bacaan sujud:
“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Nota: Kedua-dua tapak tangan terletak atas lantai/sejadah separas bahu.
9. Duduk antara dua sujud sambil bertakbir.
Bacaan duduk antara dua sujud:
“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
Nota: Kedua-dua tangan terletak atas kedua-dua peha.
10. Sujud kembali sambil bertakbir.
Bacaan sujud sama seperti di atas.
Rakaat Kedua
1. Berdiri daripada sujud sambil bertakbir.
2. Membaca surah al-Fatihah sehingga habis.
Bacaan seperti pada rakaat pertama
Nota: Tangan ketika qiyam adalah di bawah dada.
3. Membaca surah atau ayat-ayat lain di dalam al-Quran
Anda boleh baca surah al-kafirun atau membaca surah lain.
“Bismillahirahmanirahim. Qul ya ayyuhal kafirun. La a’buduma ta’budun. Wa la antum ‘abidunama a’bud. Wa la ana ‘abidumma ‘abadtum. Wa la antum ‘abidunama a’bud. Lakum dinukum waliyadin.”
Maksudnya, “Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Katakanlah (Muhammad),”Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah, dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kau sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu, untukku agamaku.”
4. Rukuk dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
5. I’tidal dan bacaanya sama seperti rakaat pertama
6. Sujud dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
7. Duduk di antara dua sujud dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
8. Sujud balik semula dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
9. Duduk Tahiyat Akhir
Bacaan untuk tahiyat akhir adalah:
“Attahiyatu mubarakatus solawatut toyyiba tulillah, assalamualaika ayyuhan nabi yu warah matullahi wabarakatuh, assalamualaina wa ‘ala ibadillah hissolihin. Ashhadualla ilaha illallah wa ashhadu anna muhammadar rasulullah. Allahumma solli ‘ala muhammad wa ‘ala ali muhammad, kama sollai taala ibrahim wa ‘ala ali Ibrahim. Wa barik ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad, kama barak taala Ibrahim wa ‘ala ali ibrahim fil ‘alamina innaka hamidum majid.”
Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.
10. Memberi Salam
Kelebihan solat rawatib
1. Menampung solat fardhu yang tidak sempurna
Solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardhu dapat menampung kekurangan solat fardhu tersebut. Seringkali kita sibuk memikirkan urusan dunia sehingga ketika menghadap pencipta kita sendiri pun masih memikirkan dunia serta tidak khusyuk.
Maka, lakukanlah solat sunat rawatib ini sebagai tambahan kepada amal ibadah kita dan untuk menampung solat fardhu kita yang tidak sempurna
2. Dibina rumah di syurga
Orang yang melakukan solat sunat rawatib secara konsisten akan diberikan ganjaran di akhirat kelak. Ia selaras dengan hadis daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”
(Hadis riwayat Tirmizi)
3. Diharamkan api neraka
Melazimi solat sunat sebelum dan selepas zohor dapat menghindarkan diri seseorang itu daripada azab api neraka sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka.”
(H.R. Abu Daud & Tirmidzi)
Juga di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka.”
(H.R. At-Tabrani)
Setelah habis mengerjakan solat rawatib selepas isyak, kerjakanlah juga solat witir sebelum tidur ataupun kerjakan solat witir tersebut setelah solat tahajjud.
Penutup
Latihlah diri kita dalam melakukan solat sunat rawatib kerana padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan yang kadangkala kita tidak sedar bahawa Allah telah menurunkan rahmatNya kepada kita atas amalan yang kita kerjakan.
Jika anda terasa berat untuk melakukannya, mulakan dengan sedikit dahulu seperti melazimi solat sunat sebelum subuh dan lakukannya secara berterusan.
Apabila anda telah biasa melakukannya, tingkatkannya dengan penambahan solat sunat rawatib yang lain. Ingatlah bahawa usaha kita dalam mendekatkan diri kepada Allah itu lebih Allah nilai daripada natijah yang kita dapat.
Cara solat sunat yang lain
Rujukan
- Al-kafi 1029: solat sunat rawatib yang mu’akkad dan tidak mu’akkad. (2019, Januari 7). Retrieved from Laman web rasmi pejabat mufti wilayah persekutuan
- Solat sunat rawatib panduan lengkap. (n.d.). Retrieved from Aku islam