Kisah Nabi Luth A.S merupakan antara sirah yang popular bukan sahaja dalam kalangan umat Islam bahkan penganut Kristian dan Yahudi. Hal ini berikutan penemuan bekas penempatan manusia yang terkubur di sekitar Laut Mati yang mengukuhkan lagi bukti kewujudan Kota Sodom dan kaum Nabi Luth seperti yang diceritakan dalam Al-Quran.
Kisah ini jugak disingkap di dalam kitab lain seperti Injil Perjanjian Lama.
Salasilah Keturunan Nabi Luth A.S
Nabi Luth A.S Bin Haaran bin Azar merupakan anak saudara Nabi Ibrahim A.S. Baginda A.S beriman kepada ajaran agama yang disampaikan Nabi Ibrahim A.S. Baginda mengikut Nabi Ibrahim A.S berdakwah ke negeri Babylon. Dalam perjalanan ke negeri tersebut, baginda A.S membuat keputusan dengan memilih untuk tinggal di negeri Sodom.
Nabi Luth A.S telah diutuskan Allah untuk menyampaikan dakwah kepada kaum yang berada di Kota Sodom. Seperti yang firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 26,
Maksudnya: Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: “Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
Baginda pun memulakan kehidupannya di Kota Sodom dimana dia berkahwin dengan wanita bernama Wai’lah serta dikurniakan dua orang anak perempuan.
Bermulanya Dakwah Nabi Luth A.S
Kaum Nabi Luth A.S merupakan antara kaum yang paling hina dalam sejarah peradaban manusia dimana mereka melakukan perbuatan keji seperti merompak, mencuri, serta melakukan seks dengan jantina sejenis iaitu homoseksual.
Homoseksual merupakan perbuatan jijik yang pernah dilakukan manusia yakni Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan yang bertentangan fitrah itu.
Allah berfirman di dalam Al-Quran dalam Surah Al-A’raf ayat 80,
Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
Ditengah-tengah kesesatan yang nyata yang membelenggu kaum Nabi Luth, baginda A.S memulakan dakwahnya setelah diutuskan Allah dengan secara lembut mengajak kaumnya meninggalkan perbuatan terkutuk itu.
Baginda menyatakan bahawa Allah telah mengurniakan nikmat berupa isteri-isteri yakni yang paling halal untuk menemani mereka manakala para suami bagi isteri dan bukanlah yang sebaliknya.
Namun apa yang dibalas oleh kaum Nabi Luth A.S kepada baginda adalah cacian dan penghinaan. Baginda menasihati kaumnya bahawa azab Allah akan menimpa mereka sekiranya mereka tidak berhenti daripada melakukan perbuatan keji itu. Lalu kaumnya menghalau baginda daripada negeri itu.
Allah berfirman dalam Surah An-Naml ayat 56,
Maksudnya: Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci “.
Kemungkaran Kaum Nabi Luth A.S
Kaum Nabi Luth A.S terus bergelumang dengan dosa. Mereka mengkhianati teman di pesta-pesta, lelaki meminati dan memakai pakaian wanita bahkan ramai diantara mereka yang melakukan perbuatan seksual di tempat awam tanpa ada rasa malu.
Dosa-dosa mereka pada ketika itu amatlah hina sehinggakan sebahagian ulama menafsirkan perbuatan mereka lebih terkutuk daripada binatang dimana ianya melanggar norma agama.
Sekali lagi baginda mendatangi kaumnya. Baginda menasihati supaya mereka kembali kepada fitrah serta meninggalkan maksiat yang dilakukan. Peringatan ancaman berbentuk azab Allah turut dinyatakan baginda sekiranya kaumnya tetap berdegil.
Baginda A.S melihat dakwahnya di jalan buntu apabila kaumnya meminta supaya azab disegerakan. Seperti yang dinukilkan dalam Surah Al-Ankabut ayat 29,
Maksudnya: “Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?” Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
Kehadiran Malaikat di Kota Sodom
Tidak lama kemudian, terdapat tiga orang malaikat (berupa pemuda) masuk ke Kota Sodom lalu pergi ke rumah Nabi Luth A.S. Ulama mentafsirkan tiga orang malaikat yang mendatangi Nabi Luth A.S ialah malaikat Jibril, Mikail dan Israfil yakni setelah malaikat tersebut memberi perkhabaran gembira tentang kelahiran Nabi Ishak kepada Nabi Ibrahim.
Pemuda itu menemui anak perempuan Nabi Luth A.S lalu bertanyakan tentang baginda serta menyatakan hasrat ingin bermalam di rumah mereka. Anak perempuan Nabi Luth A.S menyuruh mereka supaya menunggu disitu sebentar, bimbang sekiranya berita tentang pemuda tampan ingin bermalam di rumah mereka tersebar ke seluruh kampung.
Berita tentang kehadiran pemuda itu sampai ke pengetahuan Baginda A.S. Namun, baginda khuatir kaumnya akan datang mengganggu tetamunya. Sehubungan itu, baginda meminta seluruh ahli keluarganya untuk merahsiakan keberadaan mereka tambahan pula mereka akan bermalam di rumahnya.
Wai’lah iaitu isteri Nabi Luth A.S yang juga menyokong tindakan kotor kaumnya segera memberitahu kaumnya bahawa terdapat tiga pemuda tampan dirumahnya. Tidak lama kemudian, pintu rumah Nabi Luth A.S diketuk. Baginda didatangi kaumnya yang memohon agar pemuda tersebut diberikan kepada mereka bagi memenuhi kehendak hawa nafsu kaumnya.
Baginda menasihati kaumnya bahawa baginda mempunyai dua anak perempuan, maka nikahilah mereka, bergaullah dengan cara yang Allah redha serta meminta supaya tetamunya tidak diganggu. Kaumnya menjawab seperti dalam Surah Hud ayat 79,
Mereka menjawab: “Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.”
Kaum Nabi Luth A.S tetap berdegil dan bertegas menginginkan pemuda itu. Pintu rumah baginda berjaya dibuka. Namun, dengan izin Allah, mata kaum NabI Luth A.S dikaburkan pandangan dimana malaikat yang berupa manusia itu tidak kelihatan. Maka selamatlah pemuda itu daripada perbuatan keji kaum sodom ini.
Kota Sodom Dibinasakan
Malaikat tersebut mendatangi Baginda A.S untuk memberi perkhabaran bahawa kaum baginda akan di azab Allah. Mereka berpesan supaya baginda dan keluarganya pergi meninggalkan Kota Sodom di waktu malam kerana tempat itu akan dibinasakan pagi dan semasa meninggalkan tempat kota ini, janganlah kamu menoleh kebelakang.
Malam itu, Nabi Luth A.S serta keluarganya segera meninggalkan tempat itu. Dalam perjalanan, isteri baginda bergerak semakin perlahan dan akhirnya menoleh ke belakang. Isteri baginda tidak mengikuti penghijrah baginda sesungguhnya dia termasuk dalam gologan yang dibinasakan atas perbuatannya.
Setibanya pagi, malaikat pun melaksanakan tanggungjawab untuk mengazab kaum Sodom ini. Negeri itu digoncangkan dimana bahagian atas ke bawah dan begitu juga sebaliknya. Seorang malaikat menggerakkan sayapnya lalu negeri itu diterbalikkan.
Kemudian, kaum Nabi Luth A.S dihujani dengan batuan yang panas seperti bara api secara bertubi-tubi menimpa mereka. Demikiannlah balasan Allah terhadap kaum yang hanya mengikut hawa nafsu sendiri.
Kisah azab yang menimpa kaum sodom ini diriwayatkan dalam Surah Al-A’raf ayat 84,
Maksudnya: Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.
Pengajaran daripada Kisah Kaum Nabi Luth A.S
1. Seks Songsang adalah perbuatan keji
Jelas sekali perbuatan seks songsang oleh Kaum Nabi Luth A.S ini merupakan perbuatan paling keji yang membawa kemurkaan Allah. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya mengetahui, berusaha menghindarkan diri daripada perbuatan ini serta mencuba sedaya upaya untuk membanteras gejala ini.
Menurut kajian, pengamal seks songsang akan lebih terdedah dengan risiko jangkitan HIV. Sungguhpun begitu, Islam mengajar penganutnya untuk memelihara nyawa. Manakala, mendedahkan diri kepada penyakit adalah perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.
2. Mengelakkan normalisasi Seks Songsang
Adapun terdapat banyak filem yang berunsurkan seks bebas dan hubungan songsang. Kita sebagai muslim wajib memelihara diri daripada terjebak dengan agenda normalisasi ini.
Hal ini kerana, golongan yang mengetengahkan budaya ini cuba mendapatkan pengiktirafan masyarakat dunia tentang kewujudan mereka meskipun ianya bertentangan dengan hukum hakam agama.
3. Mengembleng tenaga untuk dakwah
Seluruh umat Islam perlu mengembleng tenaga bagi membendung masalah seks songsang ataupun golongan LGBT dengan segala saluran yang ada.
Ini bagi memelihara masyarakat daripada kebejatan sosial serta melindungi generasi akan datang supaya tidak terpengaruh dengan ideologi feminisma dan seangkatan dengannya.
Kami pasti tiada satupun umat yang mahu kisah kaum Nabi Luth A.S ini berulang kembali kerana sekiranya ia terjadi, bukan satu golongan (yang membuat kemungkaran) sahaja yang dibinasakan malah seluruhnya.
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |
Rujukan
- Al-Quran
- The Patriots, Sodom dan Gomorrah Kota Nabi Luth yang Dilaknat Tuhan
- Bayan Linnas Siri ke- 171 : Kisah Kaum Nabi Luth A.S dan Iktibarnya
- Kisah Muslim : Kisah Nabi Luth A.S
- Islam House : Kesiyirikan Kaumnya Nabi Luth, Syaikh Abu Bakar Muhammad Zakaria