Imam Syafie merupakan salah seorang daripada pengasas 4 Mazhab yang terkenal.
Artikel ini akan membincangkan biodata Imam Syafie dan juga keilmuannya. Maksudnya siapakah guru-gurunya, anak muridnya serta kitab yang dikarang oleh berliau.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Satu nama yang tidak asing lagi, Imam Syafie merupakan pengasas mazhab syafie yang menjadi rujukan utama bidang fikah di negara kita. Jasa dan sumbangan beliau sangat besar dalam dunia islam.
Ketokohan beliau juga diakui oleh ribuan ulama sama ada sezaman atau selepasnya. Sehinggalah Imam Ahmad (pengasas mazhab hanbali) pun menyebut bahawa beliau merupakan insan yang terpilih untuk membawa reformasi dalam pemikiran fikah agama ini seperti yang disabdakan oleh
Nabi Muhammad S.A.W:
إِنَّ اللَّهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan) (Riwayat Abu Daud)
BIODATA IMAM SYAFIE
Nama Imam Syafie dinisbahkan daripada keturunan beliau. Nama sebenar beliau ialah Muhammd bin Idris bin al-Abbas, bin Usman, bin Syafi’ bin as-Saib bin Ubai. Syafi’ ialah moyang Imam Syafie dan dari situ lah beliau digelarkan Imam Syafie. As-Saib bin Ubai adalah sahabat nabi S.A.W yang memeluk islam ketika peristiwa perang badar. Beliau ditangkap sebagai tawanan dan memeluk islam selepas itu. Saib bin Ubai bin Abd Yazid bin Hashim bin al-Mutalib bin Abd Manaf.
Beliau berasal daripada keturunan Quraisy. Nasab beliau bertembung dengan nasab Baginda Nabi S.A.W di jalur Abd Manaf seperti rajah berikut:
Beliau berasal dari Makkah, tetapi dilahirkan di Gaza, Palestin pada tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi. Ayah beliau meninggal dunia sewaktu beliau berumur 2 tahun. Selepas itu Ibu beliau membawa beliau pulang kembali ke Makkah dan tinggal bersama kabilah huzail iaitu kabilah yang sangat fasih dalam sastera bahasa Arab. Disebabkan Imam Syafie tinggal bersama Kabilah Huzail lebih daripada 15 tahun lamanya, beliau dapat membesar sebagai tokoh bahasa arab yang terbilang di Makkah.
KEILMUAN IMAM SYAFIE
Sewaktu belasan tahun, beliau telahpun menguasi kemahiran kesusasteraan Bahasa Arab yang begitu tinggi. Beliau dipuji oleh ramai ulama terbilang yang lain antaranya tokoh bahasa yang terkenal Ibnu Hisham. Ibnu Hisham sendiri mengakui tidak terdapat sedikit pun kesalahan dan celaan dalam tatabahasa yang dituturkan oleh Imam Syafie. Dek kerana kebijaksaanaan bahasanya yang hebat, beliau pada suatu hari ditegur oleh seorang penulis syair untuk menggunakan keilmuan yang beliau miliki bagi memperlajari ilmu usul fiqh. Dari pada situlah beliau tersedar dan memulakan perjalanannya menuntut ilmu di Makkah.
Di Makkah, beliau menuntut daripada pelbagai guru antaranya tokoh hadis Sufiyan bin Uyainah, dan juga tokoh besar fikah, Muslim bin Khalid al-Zanji. Atas dasar cinta beliau terhadap ilmu, beliau terpikat untuk pergi ke Madinah bagi meyambung pengajiannya bersama Imam Malik (Pengasas Mazhab Maliki). Sebagai persediaan sebelum bergerak ke Madinah, beliau telah menghafal Kitab Mutwatta’ karangan Imam Malik dalam masa 9 hari sahaja. Beliau melazimi Imam Malik sampailah Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179 Hijrah ketika beliau berumur 29 tahun.
Selepas kewafatan gurunya, beliau bekerja di Najran sebagai jurutulis. Beliau difitnah sebagai pemberontak kerajaan Abbasiyah dan kemudian ditahan di penjara Baghdad selama beberapa bulan. Dalam penjara beliau bertemu dengan imam besar istana yang juga merupakan bekas pelajar Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Muhammad bin Hassan al-Syaibani. Selepas dibebaskan, beliau masih menlazimi Imam Muhammad bin Hassan as-Syaibani dan menuntut ilmu bersamanya.
Sewaktu beliau berusia 18 tahun, beliau telahpun mendapat keizinan daripada gurunya Muslim bin Khalid al-Zanji untuk memberi fatwa di Makkah. Di mana pada waktu itu tidak boleh bagi sesiapa memandai-mandai mengeluarkan fatwa melainkan dia telah mendapat pengiktirafan daripada ulama-ulama yang lain. Selepas pulang dari Baghdad, Imam Syafie mengajar di Makkah selama lebih 9 tahun. Dari situlah kemahsyuran nama Imam Syafie mula terserlah dan menarik minat ramai orang untuk mendekati dan mempelajari ilmu agama dengan beliau.
Imam Syafie berjaya menghimpunkan 2 metadologi fikah pada ketika itu iaitu ahlu asar (golongan hadis) yang terkenal dalam mazhab Malik di Hijaz dan ahlu ra’y (golongan pemikir) yang dipelopori dalam mazhab Abu Hanifah di Iraq. Beliau juga menulis kitab al-Risalah yang merupakan kitab pertama usul fiqh pada ketika itu. Walaupun bahasa pertuturan beliau sangat fasih, namun beliau memilih untuk menggunakan perkataan dan kata yang mudah dalam penulisannya, supaya ilmu yang disampaikan senang difahami oleh masyarakat awam.
Imam Syafie kemudian kembali ke Baghdad selama sebulan pada permulaan era khalifah al-Ma’mun, di mana waktu itu bermulanya perkembangan fahaman muktazilah dan perdebatan ilmu kalam. Beliau sangat benci dalam perdebatan ilmu kalam walaupun beliau mahir berdebat, kerana menurutnya peredebatan dalam ilmu kalam tidak ada penghujungnnya melainkan mereka akan mengkafirkan sesama sendiri. Oleh yang demikian Imam Syafie mengambil keputusan berhijrah ke Mesir.
Pada tahun 199 Hijrah pada usia 49 tahun, Imam Syafie keluar dari Baghdad menuju ke Mesir. Di sana beliau mempunyai ramai anak murid yang hebat antaranya al-Hafiz Za’faroni yang mempunyai kepetahan bahasa arab yang fasih walaupun berasal dari bukan arab. Antara yang lain juga Abu Yaakub al-Buwaiti, yang merupakan pengganti kerusi Imam Syafie sesudah wafatnya beliau atas permintaan Imam Syafie sendiri. Beliau juga mempunyai murid bernama Abdullah bin Hakam dan anaknya Muhammad bin Abdul Hakam yang menyambut beliau sewaktu tiba di Mesir dan dikatakan bahawa beliau wafat di rumah Abdullah bin Hakam.
Kitab-Kitab Karangan Imam Syafie
1. Ikhtilaf al-Hadits. Kitab ini ditulis oleh Imam Al-Syafie untuk membincangkan tentang kehujahan hadis ahad secara khusus.
2. Al-Hujjah. Kitab ini ditulis ketika beliau mengajar di Baghdad, Iraq
3. Al-Mabsuth. Kitab ini merupakan karya Imam Al-Syafie yang menghimpun beberapa tambahan dalam ilmu fiqh.
4. Al-Umm. Ini merupakan karya Imam Al-Syafie sewaktu beliau mengajar di Mesir. Kitab inilah yang membentangkan Qaul Jadid (pendapat baru) Imam Al-Syafie dalam ilmu fiqh.
5. Al-Risalah. Kitab ini ditulis oleh Imam Al-Syafie atas memenuhi permintaan Abdurrahman bin Mahdi.
Guru-Guru Imam Syafie
Imam Syafie mempunyai ramai guru, yang disebut ini ialah beberapa nama sahaja yang mempunyai pengaruh yang kuat terdiri daripada mufti, kadi, ulama hadis, ulama fikah.
Dari Makkah
- Sufyan bin ‘Uyainah
- Muslim bin Khalid Az-Zanji
- Sa’id bin Salim Al-Qaddah
- Daud bin Abd Rahman Al-‘Aththar.
- Abdul Majid bin Abdul Aziz bin Abu Daud.
Dari Madinah
- Malik bin Anas
- Ibrahim bin Sa’d Al-Ansari
- Abdul Aziz Muhammad Ad-Darawardi
- Ibrahim bin Yahya Al-Aslami
- Muhammad bin Sa’id
- Abdullah bin Nafi’ ash-Shaigh
Dari Yaman
- Muthraf bin Mazin
- Hisyam bin Yusuf.
- Umar bin Abi Salamah
- Yahya bin Hasan
Dari Iraq
- Waki’ bin Al-Jarrah
- Abu Usamah Hamad bin Usamah
- Ismail bin ‘Aliah
- Abdul Wahab bin Abdul Majid
Murid-Murid Imam Syafie
Beliau mempunyai ramai anak muridnya yang bijak pandai terdiri daripada pelbagai golongan dan juga antara mereka yang berjaya mencipta nama sehebat Imam Syafie. Antaranya:
Di Mekah:
- Abu Bakar Al-Humaidi.
- Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad Al-‘Abbasi.
- Abu Bakar Muhammad bin Idris.
- Abu Al-Walid Musa bin Abu Al-Jarud.
Di Baghdad:
- Abu al-Hasan Ash-Shabbah Az-Za’farani.
- Abu Ali Al-Husain bin Ali al-Karabisi.
- Abu Tsaur Al-Kalbi
- Abu Abdurrahman Ahmad bin Muhammad bin Yahya Al-Asy’ari.
- Ahmad bin Hanbal.
Di Mesir:
- Harmalah bin Yahya Bin Harmalah.
- Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya Al-Buwaithi.
- Abu Ibrahim Ismail bin Yahya Al-Muzani.
- Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam
- Al-Rabi’ bin Sulaiman bin Daud Al-Jaizi.
- Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi
Nasihat Imam Syafie
Beliau banyak menulis syair-syair ketika pengembaraan hidupnya dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Syair yang ditulis adalah peringatan buat dirinya dan kepada kita yang membaca. Antara syair imam syafie yang terkenal:
شكَوْتُ إِلَى وَقِعٍ سُوْءَ حِفْظى،
فَأَرْشَـدَنِي إلى تَرْكِ المَعاصِي،
وَأَخْـبَرَني بِـأَن العِلمَ نُـورٌ،
ونُـورُ اللهِ لا يُهدَي للعَاصى
Aku telah mengadu kepada guruku Waqi’ tentang buruknya hafalanku,
Beliau menasihatkanku supaya meninggalkan maksiat,
Beliau memberitahuku sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya,
Dan sesungguhnya cahaya Allah itu tidak akan dianugerahkan kepada mereka yang melakukan maksiat.
ﻣﺎ ﻓﻲ ﺍﻟﻤﻘﺎﻡ ﻟـﺬﻱ ﻋﻘـﻞٍ ﻭﺫﻱ ﺃﺩﺏٍ ﻣﻦ ﺭﺍﺣﺔ، ﻓـﺪﻉ ﺍﻷﻭﻃـﺎﻥ ﻭﺍﻏﺘـﺮﺏ
ﺳﺎﻓﺮ ﺗﺠـﺪ ﻋﻮﺿـﺎً ﻋﻤـﻦ ﺗﻔﺎﺭﻗـﻪ، ﻭﺍﻧﺼﺐ ﻓﺈﻥ ﻟﺬﻳﺬ ﺍﻟﻌﻴﺶ ﻓﻲ ﺍﻟﻨﺼـﺐ
ﺇﻧﻲ ﺭﺃﻳـﺖ ﻭﻗـﻮﻑ ﺍﻟﻤـﺎﺀ ﻳﻔﺴـﺪﻩ، ﺇﻥ ﺳﺎﺡ ﻃﺎﺏ ﻭﺇﻥ ﻟﻢ ﻳﺠﺮ ﻟﻢ ﻳﻄـﺐ
ﻭﺍﻷﺳﺪ ﻟﻮﻻ ﻓﺮﺍﻕ ﺍﻷﺭﺽ ﻣﺎ ﺍﻓﺘﺮﺳﺖ، ﻭﺍﻟﺴﻬﻢ ﻟﻮﻻ ﻓﺮﺍﻕ ﺍﻟﻘﻮﺱ ﻟﻢ ﻳﺼـﺐ
ﻭﺍﻟﺸﻤﺲ ﻟﻮ ﻭﻗﻔﺖ ﻓﻲ ﺍﻟﻔﻠﻚ ﺩﺍﺋﻤـﻪ ًﻟﻤﻠﻬﺎ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﻣﻦ ﻋﺠـﻢ ﻭﻣـﻦ ﻋـﺮﺏ،
ﻭﺍﻟﺒﺪﺭ ﻟﻮﻻ ﺃﻓﻮﻝ ﻣﻨﻪ ﻣﺎ ﻧﻈﺮﺕ ﺇﻟﻴﻪ ﻓﻲ ﻛﻞ ﺣﻴﻦ ﻋﻴﻦ ﻣﺮﺗﻘﺐ
ﻭﺍﻟﺘﺒﺮ ﻛﺎﻟﺘﺮﺏ ﻣﻠﻘـﻲ ﻓـﻲ ﺃﻣﺎﻛﻨـﻪ، ﻓـﺈﻥ ﺗﻐـﺮﺏ ﻫـﺬﺍ ﻋـﺰ ﻣﻄﻠـﺒـﻪ
ﻭﺍﻟﻌﻮﺩ ﻓﻲ ﺃﺭﺿﻪ ﻧﻮﻉ ﻣﻦ ﺍﻟﺤﻄـﺐ، ﻭﺇﻥ ﺗﻐـﺮﺏ ﺫﻟـﻚ ﻋـﺰ ﻛﺎﻟـﺬﻫـﺐ
Orang pandai dan beradab tak kan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
Pergilah kan kau dapatkan pengganti dari kerabat dan teman
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang
Aku melihat air yang diam menjadi rosak karena diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih jika tidak, dia akan keruh menggenang
Singa tidak akan menjadi pemangsa jika tak tinggalkan sarang
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tak kan kena sasaran
Jika saja matahari di orbitnya tak bergerak dan terus diam, Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang
Rembulan jika terus-menerus purnama sepanjang zaman, Orang-orang tak akan menunggu saat munculnya datang
Biji emas bagai tanah biasa sebelum digali dari tambang
Setelah diolah dan ditambang manusia ramai rebutkan
Kayu gaharu tak ubahnya kayu biasa didalam hutan
Jika dibawa ke kota berubah mahal seperti emas
KEPERIBADIAN IMAM SYAFIE
Beliau cukup menjaga kewaraqan dan integriti beliau dalam mengeluarkan pendapat dan fatwa. Suatu hari diceritakan, beliau keluar dari rumah beliau dan di tahan di pertengahan jalan oleh sekumpulan manusia. Mereka menghormati beliau sebagai seorang yang alim dan ingin bertanyakan satu soalan. Soalannya berbunyi, berapakah jumlah kaki unta yang kamu sedang naik sekarang?
Tindakan Imam selepas mendengar soalan tersebut, beliau turun daripada unta yang ditungganinya, dan mengira satu persatu kaki unta tersebut. Kemudian dijawabnya kaki unta yang aku tungganyi ini ada 4. Cara Imam Syafie ini menghairankan pemuda-pemuda yang mengajukan soalan sebentar tadi, soalan yang begitu mudah tidak memerlukan Imam Syafie untuk turun dari unta beliau. Kata beliau, aku tidak sesekali memberikan jawapan yang aku ragu-ragu tentangnya. Boleh jadi dalam perjalanan salah satu kaki unta ini ada yang cacat. Lebih baik aku turun dan memeriksanya sendiri.
Kisah ini memberi pengajaran kepada kita untuk tidak mengeluarkan sesuatu pandapat tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan. Jawaban aku tidak tahu lebih baik dari memberi pandangan yang silap.
KEWAFATAN
Imam Syafie menghidapi penyakit buasir yang tidak dapat ditemui penawarnya pada ketika itu. Walaupun beliau seorang yang alim dalam bidang perubatan, beliau tidak dapat lari daripada menderita sakit. Antara perkataannya yang terkenal
“Alangkah ruginya umat islam pada zaman ini, kerana telah membiarkan ilmu perubatan dipelopori oleh Yahudi dan Nasrani. Aku tidak mengetahui satu ilmu yang lebih baik selepas ilmu halal dan haram melainkan perubatan.”
Akhirnya, beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Mesir pada tahun 204 Hijrah pada malam jumaat dan dikebumikan selepas asar keesokkan harinya.
PENUTUP
Imam Syafie berjaya menjadi seorang tokoh yang terbilang walaupun berasal daripada anak yatim dan hidup dalam suasana yang miskin. Ilmu beliau tidak datang bergolek tetapi hasil daripada susah payah beliau merantau dari suatu tempat ke suatu tempat mencari guru dan ilmu.
Sebagai pengikut mazhab Syafie, wajar kita menjadikan kisah hidup Imam Syafie sebagai teladan unutk diikuti bukan sahaja pandangan beliau, tetapi juga akhlak, kesungguhan, dan keilmuan yang dimiliki. Mudah-mudahan Allah mengampunkan beliau dan menaikkan darjat beliau di dunia dan di akhirat kelak.
Wallahualam.
Baca berkenaan Imam Mazhab yang lain
RUJUKAN
- Al-Syafie – Prof. Muhammad Abu Zahrah.
- Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid- Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam