Siapakah talhah bin ubaidillah? Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang dijanjikan masuk ke dalam syurga.
Siapakah Talhah bin Ubaidillah?
Talhah bin Ubaidillah merupakan salah satu di antara para sahabat yang terawal masuk Islam dan juga merupakan salah seorang dari 10 sahabat yang telah dijamin oleh Rasulullah SAW bagi mereka memasuki syurga tanpa perlu dihisab. Kedudukannya terletak selepas Sayyidina Ali.
Dimana dan bila beliau dilahirkan?
Beliau dilahirkan di Kota Mekah pada tahun ke-27 setelah tahun gajah atau pada tahun 597 Masihi.
Salasilah keturunan Talhah
Talhah berasal dari keturunan Bani Taim, sama seperti keturunannya Abu Bakar Ash Shiddiq. Nama lengkap beliau bersama dengan nasabnya adalah Talhah bin Ubaidillah bin Uthman bin Amru bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taim bin Murrah bin Ka’ab bin Luai.
Salah satu gelaran Talhah bin Ubaidillah adalah abu Muhammad yang bermaksud ayah kepada Muhammad iaitu anak sulungya yang bernama Muhammad As-Sajjad. Ayahnya bernama Ubaidillah bin Uthman dan ibunya adalah Sya’bah binti Hadrami. Ibunya adalah saudara kepada panglima Al-A’la bin Al-Hadrami yang merupakan penakluk negeri Bahrain pada pemerintahan Khalifah Abu Bakar Ash Shiddiq dan beliau berketurunan Arab dari Yaman.
Bila Talhah memeluk Islam? Dari siapa dia mengenal Islam?
Talhah mengucapkan dua kalimat Syahadat untuk pertama kalinya ketika beliau berumur 16 tahun. Beliau memeluk Islam melalui saudaranya iaitu Abu Bakar Ash Shiddiq.
Apakah bakat terhebat dari Talhah?
Semenjak kecil lagi beliau telah dilatih untuk menjadi ahli di dalam dunia perniagaan. Kehebatannya dalam bidang perniagaan membuatkan dia menjadi salah seorang dari para sahabat yang kaya pada saat itu. Namun kekayaannya itu tidak sedikit pun membuatkan dia berfoya-foya dengan hartanya yang melimpah, bahkan dia menjadi orang dermawan yang selalu menyumbangkan hartanya untuk Islam dan kemurahan hati beliau sangatlah terkenal di kalangan para sahabat.
Apakah gelaran beliau yang diberi oleh Rasulullah?
Beliau mendapatkan 3 gelaran dari baginda Rasulullah SAW, gelaran-gelaran tersebut adalah Talhah Al-Khair, Talhah Al-Judd dan disebabkan sifatnya yang baik hati beliau juga diberi gelaran Thalhah Al-Fayyadh.
Apa sahaja perang yang Thalhah ikut?
Thalhah mengikuti semua perang yang diikuti oleh Rasulullah SAW. Namun, ketika perang Badar Al-Kubra beliau ditugaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam satu operasi sehingga menghalanginya untuk menyertai perang tersebut. Akan tetapi, Nabi Muhammad masih memasukkan nama beliau dalam senarai para mujahid di perang Badar Al-kubra dan mendapatkan wang persaraan pejuang perang badar yang senilai lima ribu dirham di setiap tahunnya.
Kisah Seorang Syahid yang Hidup
Thalhah bin Ubaidillah dijuluki “seorang syahid yang hidup” oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Apakah yang menyebabkan beliau mendapatkan julukan tersebut? Ceritanya bermula ketika perang antara kaum muslimin dan kafir Quraisy pada perang Uhud. Setelah Kafir Quraisy telah berhasil menawan bukit “Rummah” yang merupakan tempat pemanah kaum muslimin, mereka menuju ke arah baginda Rasulullah SAW. Pada saat itu Rasulullah SAW berada di atas bukit dan hanya tinggal Thalhah beserta 11 orang Anshar
Rasulullah SAW pun bersabda, “siapa di antara kalian yang mahu mempertahankan kita dan akan menjadi temanku di syurga kelak?”. Thalhah pun menjawab, “Aku wahai Rasulullah!”. “Kamu tunggu dulu, ada sesiapa dari kalangan Anshar?” Lalu seorang lelaki dari 11 orang Anshar tersebut menyahut dan Rasulullah SAW mengizinkan beliau pergi ke arah musuh dan mempertahankan yang lain sehinggalah dia gugur syahid.
Setelah itu Rasulullah SAW bertanya lagi perkara yang sama, dan disahut oleh Thalhah lagi, namun Rasulullah belum mengizinkannya sehinggalah pada akhirnya tinggallah Thalhah sendiri bersama Rasulullah SAW. Rasulullah SAW pun bersabda, “sekarang giliran kamu wahai Thalhah.” Tanpa berlengah lagi Thalhah pun terus bergegas maju mengharungi musuh. Beliau bertarung sangat lama dan berusaha sekuat mungkin untuk melindungi Rasulullah SAW.
Ketika perang berakhir, orang-orang mencari Thalhah, dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan badannya penuh dengan luka dan darah. Tubuhnya telah menerima banyak sekali luka bekas libasan pedang, tusukan tombak dan tembakan panah. Terlalu banyak lukanya itu sehingga ada yang mengatakan tak kurang dari 79 bekas luka yang didapatkannya ketika itu. Pergelangan tangannya Thalhah pun putus sebelah. Orang-orang pada awalnya mengira Thalhah telah gugur syahid, dan ternyata beliau masih hidup. Pada saat itulah dia mendapatkan gelar “Syahid yang Hidup” yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdaannya,“Siapa yang ingin melihat orang berjalan di muka bumi sesudah mengalami kematiannya, lihatlah Thalhah!”
Sejak kejadian itu ketika orang-orang menceritakan tentang perang Uhud maka Abu Bakar Ash-Shiddiq akan mengatakan “Seluruh hari itu adalah milik Thalhah!”
Hadist yang menyatakan bahawa Thalhah adalah seorang syahid yang hidup
Sebuah hadist yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dari Jabir bin Abdillah bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى شَهِيدٍ يَمْشِى عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ
“Siapa yang ingin melihat seorang syahid yang berjalan di atas muka bumi, lihatlah pada Thalhah bin ‘Ubaidillah.”
Kisah Sahabat yang lain
SUMBER RUJUKAN
- 1001 Sirah Nabi – Facebook. BIODATA TALHAH BIN UBAIDILLAH
- Kisah Sahabat Thalhah Bin Ubaidillah – berita.pas.org.my
- Kisah Sahabat Nabi Thalhah Bin Ubaidillah Syahid yang Hidup – Republika.co.id
- Keutamaan Thalhah Bin Ubaidillah – Alquran-sunnah.com