Skip to content

Saad Bin Abi Waqqas: Biodata & Kisah Hidupnya

saad bin abi waqqas

Siapakah Saad Bin Abi Waqqas? Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang dijanjikan masuk ke dalam syurga.

Siapakah Saad bin Abi Waqqas?

Beliau adalah pemanah terbaik dan merupakan prajurit pemanah yang pertama dalam memerangi musuh-musuh Allah pada awal datangnya agama Islam di era Nabi Muhammad SAW. Beliau juga merupakan orang yang tercatat didalam 10 sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW.

Siapakah nama dan gelaran Saad bin Abi Waqqas?

Nama lengkap beliau adalah Saad bin Malik bin Uhaid bin Abdi Manaf Az-Zuhri dan biasanya beliau dipanggil sebagai Abu Ishaq. Beliau juga diberi gelar sebagai Faris Al-Islam yang mempunyai 3 maksud, iaitu alim, penunggang kuda dan ksatria Islam.

Bila dan di manakah beliau dilahirkan?

Saad bin Abi Waqqas dilahirkan pada tahun 23 sebelum Hijrah di kota Mekkah atau bertepatan pada tahun 595 M. Beliau berasal dari keturunan Bani Zuhrah.

Bagaimana masa mudanya Saad bin Abi Waqqas?

Beliau dibesarkan di kota kelahirannya iaitu kota Mekkah. Saad sangat dikenali sebagai pemuda yang memiliki kecerdasan terunggul dan beliau sangat bersungguh-sungguh dalam mengerjakan suatu hal. Beliau mempunyai badan yang tidak terlalu tinggi tapi badannya tegap dan juga mempunyai potongan rambut yang pendek. Orang-orang menyamakan beliau sama seperti seekor singa muda.

Ketika kanak-kanak lain sibuk dengan hobinya yang hanya bermain, beliau pun sibuk dengan hobinya yang berbeza dengan kanak-kanak pada umumnya. Sejak kecil lagi beliau sangat minat dengan hobi memanah. Beliau sangat suka membuat anak panah dan membetulkan semula panah yang rosak. Bahkan membuat sebuah busur adalah suatu perkara yang mudah bagi beliau. Beliau selalu berlatih memanah seolah-olah menyiapkan dirinya untuk urusan besar yang akan datang.

Masuknya Saad bin Abi Waqqas ke dalam agama Islam

Pada awal mulanya Rasulullah SAW menyebarkan Islam secara terang-terangan di kota Mekah, terdapat beberapa sahabat yang memeluk agama islam dan termasuklah Saad yang pada saat itu umurnya baru sahaja memasuki angka 17 tahun. Beliau adalah orang yang keempat memeluk agama Islam pada saat itu. Beliau tidak gentar sedikitpun terhadap banyaknya permasalahan yang akan mendatang selepas beliau memeluk agama Islam.

Kisah Saad bin Abi Waqas yang berpegang teguh dengan keimanannya.

Saad mempunyai seorang ibu yang sangat berpegang teguh terhadap ajaran nenek moyangnya. Nama ibunya adalah Hamnah. Pada suatu hari, ibunya mendengar dari orang-orang dan mengetahui bahawa anaknya Saad telah memeluk agama Islam, dan itu membuatkan dia merasa sangat marah.

Hamnah pun pergi menemui anaknya dengan perasaan yang bergejolak dengan amarah. Dia memarahi Saad bin Abi Waqqas dan tidak merestui beliau meninggalkan agama nenek moyang mereka lalu  berpindah kepada agama Islam. Hamnah mengancam akan membunuh diri jika beliau tidak pindah semula kepada agama sebelumnya. Dia juga mengancam tidak makan dan minum sampai beberapa hari demi mengharapkan beliau murtad dari Islam. 

Namun beliau dengan keimanannya yang kuat, ugutan itu tidak sedikitpun dapat membuatkan hatinya beranjak untuk meninggalkan agama Islam. Beliau sempat berkata kepada ibunya, “Wahai ibu, Sungguh aku menyayangimu, dan aku juga menyayangi Allah dan Rasul. Perlu kau tahu, sekiranya tuhan memberikan kepadamu 100 nyawa, dan nyawa itu satu demi satu dimusnahkan, sungguh itu tidak akan pernah membuatkan aku beranjak dari agamaku.” Setelah mendengar kata-kata itu dan mengetahui Saad sangat tegas dengan prinsipnya, ibunya pun menyerah dan kembali menjamah semula makanan dan minuman .

Wafatnya Saad bin Abi Waqas.

Pada tahun 674 M beliau meninggal di rumahnya sendiri yang terletak di daerah Atiq yang berjarak beberapa kilometer dari Kota Madinah.

Terdapat riwayat yang mengatakan meninggalnya Saad bin Abi Waqqas adalah disebabkan oleh racun. Beliau dimakamkan di pemakaman Baqi yang merupakan pemakaman para sahabat Rasulullah SAW.

Dalil Quran dan Hadis yang berkaitan dengan Saad bin Abi Waqas

Sebuah Ayat dari Surah Luqman yang terletak pada ayat ke-15 telah diturunkan oleh Allah SWT disebabkan kisah Ibunya Saad bin Abi Waqqas yang memaksa beliau untuk berbuat syirik kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman,

وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepadaKulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Demikianlah Allah SWT menyuruh kita untuk tetap berpegang teguh dengan Islam walaupun datangnya sebuah ancaman besar dan tetaplah seorang anak itu wajib untuk berbuat baik kepada kedua orangtuanya di dalam situasi apapun.

Kisah Sahabat yang lain

Abu Bakar As-SiddiqUmar Al Khattab
Uthman Bin AffanAli Bin Abi Thalib
Saad Bin Abi WaqqasSaid Bin Zaid
Zubair Bin AwwamTalhah Bin Ubaidillah
Mus’ab Bin UmairKhalid Al-Walid
Abu Ubaidah Al JarrahAnas Bin Malik
Abdul Rahman Bin AufZaid Bin Haritsah
Muadz Bin JabalBilal Bin Rabah
Hamzah Bin Abdul Mutallib

Rujukan:

  1. Saad Bin Abi Waqqash yang Enggan Taat Pada Ibunya yang Mengajak Berbuat Syirik – Rumaysho
  2. Saad Bin Abi Waqqash: Sahabat yang menyebabkan islam di China – Kompas
  3. Biodata Saad Bin Abi waqas – Facebook – eddwan.iammuslim
  4. Kisah Sahabat bin Abi Waqas – berita.pas.org.my
  5. Saad bin Abi Waqas – Ensiklopediamuslim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen − 3 =