Siapakah Khalid Al-Walid dan apakah sumbangannya terhadap islam?
Artikel ini akan membincangkan berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Khalid Al-Walid berkenaan biodatanya dan sumbangan-nya terhadap islam.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Khalid Al-Walid merupakan sahabat nabi yang digelar “Saifullah Al- Maslul” yang bermaksud pedang Allah yang terhunus. Beliau mendapat gelaran tersebut berikutan ketegasan dan ketangkasannya dalam memimpin angkatan tentera Islam ketika berhadapan musuh.
Nama lengkap beliau ialah Khalid bin Al-Walid bin Al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Beliau berasal dari keturunan Bani Makhzum yang merupakan salah satu kaum Quraisy dimana nasab keturunannya bertembung dengan nabi. Selain itu, dia juga merupakan supupu kepada Saidina Umar Al-Khattab.
Bapa Khalid iaitu Al-Walid dan bapa saudaranya merupakan pahlawan yang tersohor dan disegani seluruh kaumnya. Sehubungan dengan itu, sejak dari kecil, Khalid telah dilatih secara fizikal dan mental supaya menjadi panglima perang yang gagah perkasa.
Sebelum Khalid Al-Walid Memeluk Islam
Menurut riwayat, keluarga Walid Al-Mughirah merupakan penentang tegar ajaran Nabi Muhammad SAW. Namun, terdapat saudara sebapa Khalid Al-Walid yang menerima Islam iaitu Walid bin Al-Walid. Sungguhpun begitu, Dia secara peribadinya tidak begitu menentang Islam.
Khalid Al-Walid pernah menerima surat daripada Nabi SAW yang menjemputnya untuk menerima agama samawi itu. Namun, peristiwa kemuncak yang menariknya memeluk Islam adalah ketika Nabi Muhammad SAW dan pasukannya di Hudaibiyyah ingin memasuki Masjidil Haram.
Baginda memimpin bala tenteranya untuk menunaikan solat Zohor. Situasi ini telah memberi kesan yang mendalam terhadap Khalid dimana beliau merasakan bahawa Nabi SAW dilindungi meskipun pasukan musuh telah bersiap sedia ingin menyerang pasukan Muslim.
Kehandalan di Medan Perang
Sebagaimana sebelum memeluk Islam, Khalid telah menyertai angkatan perang namun kali ini beliau dipihak Islam. Nabi SAW amat tertarik dengan taktik peperangan sahabat ini terutamanya ketika bertembung dengan tentera Islam dalam peperangan Uhud.
Semasa Perang Uhud, tentera Islam telah hampir menang. Pasukan pemanah telah turun dari bukit untuk mengambil ghanimah meskipun telah diarahkan oleh Nabi SAW untuk terus berada di puncak walau apa pun berlaku.
Akibat tidak mengendahkan arahan tersebut, tentera Islam menjadi kucar kacir apabila pasukan musuh yang dipimpin oleh Khalid berundur dari medan perang dan menyerang semula tentera Islam dari arah belakang Bukit Uhud.
Peperangan Pertama Setelah Memeluk Islam
Khalid al-walid mendapat gelaran pedang Allah yang terhunus kerana beliau merupakan salah seorang daripada panglima perang Islam yang tidak pernah kalah sepanjang siri peperangan yang disertainya termasuklah peperangan yang disertainya sebelum menerima Islam.
Kehebatan Khalid jelas terserlah semasa beliau menyertai peperangan pertama bersama pasukan Islam iaitu Perang Mu’tah. Beliau belum diamanahkan sebagai panglima perang mahupun pemimpin oleh Nabi SAW.
Semasa perang tersebut, Nabi SAW memberi amanah kepada Zaid bin Haritah sebagai pemegang panji Islam. Namun jika Zaid gugur, dia akan digantikan dengan Ja’far bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah dan seterusnya seorang lagi pemuda menurut hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Allah telah menetapkan takdir bahawa ketiga-tiga sahabat nabi tersebut gugur syahid semasa Perang Mu’tah. Khalid telah ditugaskan memegang panji Islam. Dalam pertempuran itu tidak kurang dari 9 bilah pedang digunakan oleh Khalid untuk menebas tubuh musuh yang menghampirinya.
Tentera Islam telah mendapat kemenangan setelah sahabat nabi ini mengubah posisi perang tentera Islam. Hal ini membuatkan tentera Rom berasa gerun kerana mereka beranggapan tentera bantuan dari Madinah telah sampai. Sejak dari saat itu, Khalid sering mengikuti perang bersama Rasullullah.
Kewafatan Khalid Al-Walid
Semasa pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab, Sahabat ini telah jatuh sakit. Justeru itu, beliau tidak dapat turut serta untuk berperang. Sungguhpun begitu, beliau amat menginginkan untuk mati syahid di medan perang kerana hampir seluruh masa hidupnya telah dihabiskan di medan peperangan.
Seorang sahabat menziarah Khalid Al-Walid ketika sakit berkata,
“Wahai Khalid, kamu harus mengetahui bahawa pada ketika Rasullullah menggelarmu pedang Allah, sesungguhnya itu menjadi ketetapan bagimu untuk tidak gugur di medan perang. Seandainya engkau gugur di tangan orang kafir maka itu bermaksud pedang Allah telah dipatahkan oleh musuh”.
Hati Khalid menjadi tenang setelah mendengar kata-kata sahabatnya. Beliau akhirnya wafat pada tahun 21 Hijrah di Himsh, Syria semasa berusia 58 tahun. Ketika wafat, beliau tidak meninggalkan apa pun kecuali seekor kuda, senjata dan hamba yang dimiliki.
Kisah Sahabat yang lain