Siapakah Hamzah Bin Abdul Muttalib ? Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang dijanjikan masuk ke dalam syurga.
Siapakah Hamzah Bin Abdul Muttalib ?
- Hamzah bin Abdul Muttalib merupakan bapa saudara dari sebelah bapanya baginda Rasulullah SAW.
- Beliau diberi gelaran “Asadullah” yang bermaksud Singa Allah.
- Selain bapa saudaranya Rasulullah SAW, Hamzah dan baginda juga merupakan saudara sepersusuan.
- Beliau pakar dalam bidang memanah dan menunggang kuda.
- Beliau juga dikenal sebagai “Penghulu bagi segala syuhada” .
Nama dan Salasilah Keluarga Hamzah Bin Abdul Muttalib
Nama panjang beliau adalah Hamzah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdi Manaf. Ibunya bernama Haulah binti Wuhaib, beliau berasal dari bani Zuhrah dan merupakan sepupu kepada Aminah binti Wahab iaitu ibunya Rasulullah SAW.
Lahirnya Hamzah Bin Abdul Muttalib
Saidina Hamzah lahir pada tahun 570 Masihi di kota Mekah. Umur beliau dengan Rasulullah SAW dapat dikatakan sebaya. Hamzah dan Rasulullah SAW tumbuh besar bersama dan juga mempunyai satu ibu susu yang sama.
Masuknya Hamzah Bin Abdul Muttalib Ke Dalam Islam
Hamzah pada awalnya tidak menerima ajakan Rasulullah SAW untuk memeluk agama islam kerana beliau suka menghabiskan waktunya untuk memburu sehingga membuatkannya tidak memperdulikan hal-hal rumit seperti itu.
Sampailah pada suatu hari ketika beliau baru pulang dari memburu, ada seorang lelaki yang datang lalu mengadu kepadanya tentang perkara yang dilakukan Abu Jahal terhadap anak saudaranya iaitu Rasulullah SAW. Hamzah bertanya kepada lelaki tersebut sekiranya ada orang lain yang ikut melakukan hal yang sama seperti Abu Jahal. Lelaki itu pun menjawab “Ada dan mereka ramai!”.
Hamzah pun sampai pada titik kemarahannya, beliau mengambil busurnya dan segera bergegas menuju ke Safa, tempat yang biasanya Abu Jahal berkumpul bersama dengan rakan-rakannya. Setibanya Hamzah di sana, tanpa berkata-kata beliau langsung menghantam kepala Abu Jahal dengan busur yang ada di tangannya itu sehingga membuatkan kepala Abu Jahal luka berdarah. Setelah itu dia pun berkata dengan suaranya yang lantang membuatkan orang disekitar itu melihat ke arahnya, “Harini akan aku umumkan bahawa diriku telah memeluk agamanya Muhammad! Kalau ada sesiapa di antara kalian yang berani membuat aku berpaling agama itu maka cubalah!”. Semuanya terdiam dan tidak ada seorang pun dari mereka yang berani menyentuhnya.
Dalam sekelip mata berita keislaman Hamzah pun tersebar luas di seluruh penjuru kota Mekah. Berita tersebut membuatkan bencana besar terhadap orang-orang musyrik di sana dan sebaliknya untuk umat Islam merupakan sebuah kebahagiaan yang cukup besar pada saat itu.
Wafatnya Hamzah Bin Abdul Muttalib
Hamzah wafat pada tahun ke-3 Hijrah iaitu ketika sedang berperang melawan kaum kafir Quraisy di perang Uhud.
Kekalahan kaum kafir Quraisy waktu di perang badar membuatkan mereka marah dan mahu menuntut semula kekalahan mereka atas kaum muslimin di perang Uhud. Selain membunuh Rasulullah SAW mereka juga berhasrat untuk membunuh Hamzah.
Hindun binti Utbah, istri kepada Abu Sufyan bin Harb mengupah seorang hamba bernama Wahsyi untuk membunuh Hamzah. Pada saat perang Uhud, Wahsyi melihat Hamzah di medan perang dan mengekorinya. Sampai pada waktu yang sesuai dia pun melemparkan tombaknya ke arah Hamzah dan mengenai pinggang bawahnya menembusi kedua belah pahanya. Tidak lama selepas itu Hamzah pun jatuh dan menghembuskan nafas terakhirnya sebagai seorang syuhada’.
Setelah berakhirnya perang, Hindun binti Utbah mencari jasadnya Hamzah yang telah gugur di medan perang. Setelah menemukan jasadnya, dia membelah dada hamzah dan mengambil hatinya untuk dimakan tetapi tidak mampu untuk ditelannya.
Berita ini sampai pada Rasulullah SAW dan membuat baginda sangat marah dan ingin menuntut semula perbuatan mereka yang keji itu. Lalu Allah SWT menurunkan ayat ke-126 dari surah An-Nahl untuk menenangkan Rasulullah SAW.
Dalil Yang Berkaitan Dengan Hamzah Bin Abdul Muttalib
Pada waktu ketika Nabi Muhammad SAW mengetahui Hamzah telah dibunuh dan kemudian dadanya dibelah lalu hatinya diambil oleh Hindun binti Abu jahal, baginda sangatlah marah. Namun pada saat itu turunlah wahyu oleh Allah SWT di surah An-Nahl ayat ke-126,
وَاِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوْا بِمِثْلِ مَا عُوْقِبْتُمْ بِهٖۗ وَلَىِٕنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصّٰبِرِيْنَ
“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”
Kisah Sahabat yang lain
SUMBER RUJUKAN
- Kisah Sahabat Hamzah Abdul Muttalib- berita pas.org.my
- Saidina Hamzah -Indahnya pendidikan Islam blogspot
- Saidina Hamzah – khairazahra wordpress
- Kisah Hamzah sahabat Nabi yang syahid di perang Uhud- kumparan.com
- Kisah Hamzah singa Allah – cnnindonesia.com