Skip to content

7 Nama Neraka dan Tingkatan Neraka

nama neraka dan tingakatan

Apakah nama neraka dan tingkatannya? Artikel pada kali ini akan membincangkan tentang nama-nama neraka dan di mana kedudukannya antara satu sama lain.

Pendahuluan

Berbicara soal alam akhirat tentang syurga dan neraka, dosa dan pahala merupakan intipati yang terkandung dalam rukun iman yang kelima iaitu beriman kepada hari kiamat. Perjalanan manusia bermacam-macam jalan pilihan yang mereka jalani tetapi akhirnya yang menjadi penentu adalah pada waktu terakhir nanti iaitu sama ada syurga atau neraka. Maka bergembiralah mereka yang di dunia hidup dengan sebenar-benar jalan Islam kerana sudah tentu pengakhirannya di syurga. Dan sebaliknya bagi mereka yang terus menghambakan diri dengan kesesatan dan kezaliman destinasi di neraka adalah tempat tujuannya nanti.

Firman Allah SWT tentang neraka,

فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Maksudnya: maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (Surah Al-Baqarah, ayat 24).

Firman Allah SWT tentang Syurga,

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Ali-Imran, ayat 133).

Selain itu, terdapat juga ayat-ayat Al-Quran yang lainmenceritakan tentang perihal azab neraka seperti An-Naba’, AnNazi’at, Al-Infitar, Al-Mutaffifin, Al-Insyiqaq, Al-Buruj, Al-A’la, Al-Ghasyiyah, Al-Fajr, Al-Lail, Al-‘Alaq, Al-Bayyinah, Al-Qari’ah, Al-Humazah, Al-Masad, dan sebagainya.

Adakah agama lain mempercayai kewujudan neraka?

Kepercayaa kepada adanya syurga dan neraka adalah rukun iman yang perlu setiap umat Islam akui. Jika tidak, maka seseorang itu sudah tergelincir dari ajaran Islam yang sebenar dan mereka perlu bertaubat dan memperbaiki syahadah kembali. Namun begitu, pernahkah anda terfikir apakah pula pendapat atau perspektif neraka dari sisi agama lain?

Dua konsep yang dipercayai oleh rata-rata agama selain dari agama Islam adalah konsep reinkarnasi (kelahiran semula) dan karma. Menurut Kamus Dewan, perkataan reinkarnasi atau reincarnation, bermaksud penjelmaan kembali makhluk yang telah mati (mengikut sesetengah kepercayaan). Karma pula adalah kepercayaan bahawa setiap makhluk akan mendapat balasan mengikut apa yang dilakukan sewaktu hidup.

Dua konsep ini diamalkan oleh banyak agama antaranya seperti Zoroastrianisme, Judaisme, Buddhisme, Sikhsme, Jainisme, dan Christianisme. Tetapi konsep kepercayaan setiap agama adalah berbeza antara satu sama lain. Contohya seperti ajaran Zoroastrianisme sebuah agama purba Parsi yang diasaskan oleh Zarathustra, mereka percaya apabila seseorang itu sudah mati maka roh si mati akan kekal di sisi mayat selama tiga hari tiga malam. Di mana dalam tempoh itu perbicaraan kebaikan dan kesalahannya akan berlaku lalu dia akan menjalani hukuman. Selepas hukuman itu dijalankan, mereka akan dibangkitkan semula.

Ringkasnya, kebanyakan agama di dunia ini mempunyai konsep pembalasan pada setiap perbuatan seseorang yang dilakukan. Konsep ini juga seiring dengan perbuatan dan hukuman. Yang mana jika seseorang itu baik maka akan mendapat ganjaran yang baik dan sekiranya seseorang itu jahat maka akan mendapat hukuman yang teruk.

7 Nama dan Tingkatan Neraka berserta Azabnya

Pendapat dari ulama’ mengatakan neraka mempunyai beberapa tingkat yang juga digelar sebagai ‘thabaqat’ dan kesemuanya ini merangkumi 7 tingkat dan setiap tingkat mempunyai penghuni yang berbeza.

Dalam Surah Al-Hirjr, ayat 43 dan 44, Allah SWT ada berfirman tentang pembahagian nereka.

“Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat seksaan mereka semuanya. Neraka itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu itu ada bahagian yang ditentukan untuk orang-orang yang berdosa.”

1. Neraka Jahannam

Neraka Jahannam berada di tingkat yang paling bawah sekali. Ia seburuk-buruknya dan penghuni kekal di dalamnya. Tempat istimewa bagi orang-orang kafir dan mereka kekal di dalam selama-lamanya. Istilah ‘jahannam’ dalam Bahasa Arab bermaksud jahat, gelap, dan murung. Neraka ini adalah sebuah tempat yang seram dan gelap kerana ia sentiasa kelihatan seperti malam dan keadaannya juga kering-kontang.

Ciri-ciri penghuni Neraka Jahannam adalah:

  • Orang-orang Kafir
  • Orang yang suka derhaka dan suka melakukan kejahatan
  • Orang suka melakukan dosa
  • Orang yang tidak mensyukuri nikmat yang diberikan Allah SWT
  • Orang yang menentang ajaran para Rasul dan Nabi
  • Orang-orang munafik

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Katakanlah kepada orang kafir, “Nanti kamu akan dikalahkan oleh orang Islam dan dihimpunkan kamu ke dalam neraka Jahannam. Di sanalah tempat yang seburuh-buruknya”. (Surah Ali-Imran, ayat 12)

2. Neraka Luza

Neraka Luza berada di tingkat kedua. Neraka ini mempunyai rimbunan api yang tersangat panas dan sekiranya apinya terkena pada tubuh manusia, maka ia mampu mengelupaskan kesemua bahagian kulit itu.

Ciri-ciri penghuni Neraka Luza adalah:

  • Orang yang berpaling dari agama Islam
  • Orang yang menjadi pendusta kepada agama Islam dan ajarannya
  • Orang yang sibuk mengumpulkan harta tanpa memperdulikan hukum hakam halal haram sumbernya
  • Orang yang menyimpan harta tanpa mahu mensucikan sumber pendapatannya

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Sebab itu Kami memperingatkan kepada kamu dengan Neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya selain orang-orang yang celaka. Iaitu orang yang mendustakan agama dan berpaling daripadanya”. (Surah Al-Lail, ayat 14 sehingga 16)

3. Neraka Hutamah

Neraka Hutamah berada di tingkat ketiga. Perkataan ‘hutamah’ disebutkan dalam Al-Quran sebanyak 6 kali dan kesemuanya membawa maksud yang sama iaitu ‘menghancurkan sesuatu’. Penghuni Neraka Hutamah akan diikat pada batang-batang palang sebelum api dinyalakan pada mereka yang akan membakar penghuni-penghuninya sehingga ke hati.

Ciri-ciri penghuni Neraka Hutamah adalah:

  • Orang yang suka mengumpat, membawang, mengata, menghibah, dan mencaci maki orang lain
  • Orang yang mengumpulkan harta tetapi bersifat bakhil atau kedekut

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Sebenarnya dia akan dilemparkan ke dalam Neraka Hutamah. Tahukah engkau apakah Hutamah iatu? Iaitu api neraka yang menyala-nyala. Yang membakar hati manusia. Api yang ditutupkan kepada mereka. Sedangkan mereka itu diikat pada tiang yang panjang”. (Surah Al-Humazah, ayat 4 sehingga 9)

4. Neraka Sair

Neraka Sair berada di tingkat keempat. Sair beerti ‘nyalaan api’ dan istilah itu diambil daripada istillah ‘sa’ara’ yang membawa makna menyalakan. Perkataan ini disebutkan sebanyak 15 kali dalam Al-Quran.

Ciri-ciri penghuni Neraka Sair adalah:

  • Orang yang ingkar dengan segala yang diturunkan oleh Allah SWT
  • Orang yang terpedaya dengan kehidupan dunia dan godaan syaitan
  • Orang yang tidak mematuhi perintah Allah SWT
  • Orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW
  • Orang yang memakan harta anak-anak yatim
  • Orang yang menidakkan hak-hak anak yatim

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Bahawasanya orang-orang yang memakan harta anak yarim dengan aniaya, sesungguhnya mereka memakan api sepenuh perutnya. Dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka Sair”. (Surah An-Nisa, ayat 10)

5. Neraka Saqar

Nama neraka yang seterusnya adalah Neraka Saqar. Neraka ini berada di tingkat kelima. Istilah ‘saqar’ merupakan istilah yang diambil daripada perkataan ‘saqara’ yang membawa makna sejenis perbuataan menandai sesuatu, dengan haba. Ibaratnya seperti anda lihat tanda-tanda cop pada daging yang dijual.

Ciri-ciri penghuni Neraka Saqar adalah:

  • Orang yang ingkar dengan tanggungjawab dan  urusannya kepada Allah SWT
  • Orang yang percaya kepada perkara-perkara bidaah
  • Orang yang tidak solat
  • Orang yang tidak percaya kepada hari pembalasan

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Di dalam syurga mereka saling bertanya tentang perkara orang-orang yang berdosa. Apakah sebabnya kamu masuk ke dalam Neraka Saqar? Mereka menjawab: Kerana kami dahulunya tidak mengerjakan solat, tidak mahu memberika makan terhadap orang miskin, kami percaya kepada yang bukan-bukan, Kami mendustkan hari kiamat”. (Surah Al-Mudtasir, ayat 40 sehingga 46)

6. Neraka Jahim

Neraka Jahim berada di tingkat keenam. Perkataan ‘jahim’ telah disebutkan sebanyak 25 kali dalam Al-Quran yang mana ia membawa maksud api yang berkobar-kobar bentuknya.

Ciri-ciri penghuni Neraka Jahim adalah:

  • Orang yang berdosa
  • Orang yang melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT
  • Orang yang derhaka kepada Allah SWT
  • Orang yang bermegah-megah dengan apa yang diperolehnya dan tidak mahu membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT
  • Orang kafir yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT
  • Orang yang berusaha menentang ayat-ayat Allah SWT dan para utusan-Nya
  • Orang yang suka melakukan dosa besar seperti berzina, membunuh, minum arak, dan mendustai agama Allah SWT

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah Neraka Jahim”. (Surah Al-Maidah, ayat 86)

7. Neraka Hawiyah

Nama yang seterusnya adalah Neraka Hawiyah. Neraka ini adalah neraka yang paling kurang seksaannya. ‘Hawiyah’ merupaka istilah yang berasal dari perkataan akar ‘hawa’ yang beerti tergelincir atau terjatuh. Neraka ini dianggap neraka yang paling ringan hukumannya. Sungguhpun begitu, hukuman kepada penghuninya kelak tetap dijanjikan datang dalam bentuk api yang panas serta membakar

Ciri-ciri penghuni Neraka Hawiyah adalah:

  • Orang yang ringan amalan baiknya

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang ringan timbangan (amal baiknya), maka dia akan dilemparkan ke dalam Neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah Neraka Hawiyah itu? Iaitu api yang sangat panas?” (Surah Al-Qariah, ayat 8 sehingga 11)

Hikmah kewujudan syurga dan neraka

Manusia hidup di dunia dibekalkan dengan panduan kehidupan iatu kitab suci Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Ikutilah panduan itu sehingga meninggal dunia, nescaya akan selamat di dunia dan akhirat. Melihat pada perspektif kehidupan manusia pula, semua manusia akan hidup dan mati. Adanya syurga dan neraka melengkapkan lagi nilai seseorang manusia. Yang baik mendapatkan syurga, dan yang jahat sewaktu hidupnya dilemparkan ke neraka. Ini menjadi bukti kebesaran Allah SWT sebegai pentadbir alam semesta.

Selain itu, hikmah lain yang boleh dihayati adalah sebagai sebuah kesedaran, peringatan, dan motivasi kepada setiap manusia untuk kembali kepada Allah SWT dan kekal berada di jalan Islam yang sebenar. Kita harus saling ingat mengingati antara satu sama lain untuk melakukan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah At-Tahriim, ayat 6)

Penutup

Pertembungan manusia dengan syurga dan neraka adalah laluan yang membawa mereke menuju ke akhirat. Hanya iman satu-satunya cara yang dapat membawa mereka mengenali dan mencapai keredhaan Allah SWT dengan sebenar-benarnya.

Diharapkan artikel nama neraka dan tingkatannya ini akan memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada pembaca berkenaan nama neraka dan mereka yang diazab di dalamnya.

Rujukan

  1. Tafsir Al-Quran
  2. Kolej Islam Antarabangsa Selangor (18 September 2018). Pengertian Azab Neraka Menurut Al-Quran: Analisis Kitab Tafsir Ibnu Kathir dan Az-Zamakhsyari. Artikel konferens.
  3. Wan Ahmad Fuad (26 Julai 2017). Karma dan Kelahiran Semula Dalam Pelbagai Agama. Laman web thepatriots.asia
  4. Jiji Azizan (4 Ogos 2018). Tingkatan-Tingkatan Neraka Dalam Islam. Laman web thepatriots.asia
  5. Namri Sidek (11 Jun 2019). Kenali 7 Jenis Neraka dan Jenis-Jenis Penghuninya. Laman web iluminasi.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6 + 6 =