Nabi Daud merupakan salah seorang utusan (rasul) yang Allah utuskan kepada Bani Israil. Nabi Daud juga salah seorang daripada empat rasul yang dipilih oleh Allah untuk menerima kitab-Nya iaitu Zabur.
Hal ini merujuk kepada beberapa surah dalam ayat al-Quran.
Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur. (Surah an-Nisa’ 4: 163)
Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud. (Surah Al-Israa’ 17:55)
KELEBIHAN DAN KEKUATAN NABI DAUD
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya;
1. Kenabiannya
Nabi Daud diangkat oleh Allah sebagai utusan-Nya kepada Bani Israil untuk beriman dan bertakwa kepada Allah serta memberi berita gembira kepada orang yang beriman dan memberi peringatan kepada orang yang ingkar.
2. Kerajaan yang kukuh, tentera yang ramai dan peralatan yang lengkap
Allah telah menganugerahkan Nabi Daud dengan kerajaan yang kukuh selepas mengambil tampuk pemerintahan daripada Raja Talut. Malah, baginda juga dikurniakan tentera yang ramai, kuat dan cekap dalam selok-belok pertahanan serta peperangan. Hal ini turut dibantu dengan peralatan yang lengkap untuk para barisan tenteranya.
3. Suara yang indah
Berdasarkan tafsir Ibnu Katsir, ayat ini telah menerangkan anugerah Allah kepada Nabi Daud. Nabi Daud mempunyai suara yang merdu dan indah. Apabila baginda bertasbih, maka gunning-ganang akan turut bertasbih dengannya serta burung-burung yang berterbangan akan berhenti untuk mendengarkan dan turut serta bertasbih dengan pelbagai ramagam bahasa buring. Subhanallah, indahnya anugerah yang Allah kurniakan kepada Nabi Daud melalui suaranya yang merdu.
Dalam satu hadis sahih yang dilampirkan dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir, bahawa Rasulullah saw mendengar suara Abu Musa al-Asy’ari saat membaca al-Quran pada waktu malam, lalu baginda berhenti untuk mendengarkan bacaannya. Kemudian, baginda saw bersabda: ‘Sungguh dia telah diberikan salah satu seruling, antara seruling-seruling keluarga Daud’.
4. Melembutkan besi
Nabi Daud dikurniakan mukjizat dengan kemampuan melembutkan besi. Cara baginda melembutkan besi ada dijelaskan dalam penerangan berikut. Menurut Al-Hassan al-Basri, Qatadah, al-A’masy dan selain mereka berkata: ‘Dia tidak perlu memasukkannya ke dalam api dan tidak perlu ditempa dengan kapak besi, bahkan dia cukup mengurai dengan tangan bagaikan mengurai benang.’
5. Membuat baju perang
(Serta Kami wahyukan kepadanya): “Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”. (Saba’ 34:11)
Maka, dengan mukjizat yang dimiliki oleh Nabi Daud, maka, Allah telah perintahkan baginda untuk membuat baju-baju besi yang luas dan labuh. Hal ini merujuk kepada baju perang. Qatadah berkata: ‘Baginda adalah manusia pertama yang membuatnya.’ Padahal besi yang pernah dilihat sebelum ini hanyalah berbentuk lempengan besi sahaja.
Kemudian, Allah mengajarkan baginda tentang membuat baju besi dengan mengukur mengikut ukuran tertentu dan mengikut jalinan antara besi tersebut.
KISAH RAJA TALUT
Nabi Daud merupakan antara nabi yang Allah berikan keutamaan yang nyata dan dihimpunkan kepadanya kenabian dan kerajaan yang kukuh. Antara sifat yang ada pada Nabi Daud ialah baginda seorang yang berani. Hal ini dibuktikan apabila Nabi Daud menyertai perang bersama Raja Talut untuk melawan Jalut dan tenteranya pada masa baginda masih kecil.
Namun, angkatan tentera Talut ini tidak semuanya benar-benar beriman kepada Allah. Maka, Allah telah mengilhamkan Raja Talut untuk menguji tenteranya dengan sebatang sungai.
Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”. (Surah Al-Baqarah 2:249)
Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam. (Surah Al-Baqarah 2:251)
Setelah peristiwa memerangi Jalut dan bala tenteranya serta pembunuhan Jalut, pemimpin musuh dari Palestin oleh Nabi Daud, baginda telah diangkat setelah itu untuk menjadi raja selepas Raja Talut dan kemudian, diberikan kenabian setelah Nabi Samuel seperti yang dijelaskan dalam kitab Ibnu Katsir.
NABI DAUD DAN UJIAN KEHAKIMANNYA
Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman). (Saad 38:20)
Nabi Daud juga dikurniakan Fadhlul Khitab. Menurut Ibnu Katsir, kalimah ini diterjemahkan sebagai ‘dan kebijakasanaan dalam menyelesaikan perselisihan’. Kalimah ini ditafsirkan dengan pelbagai pendapat. Mujahid dan as-Suddi berkata, ‘Iaitu kebenaran dan pemahaman tentang keputusan.’ Mujahid pun berkata, ‘Iaitu ketegasan dalam pembicaraan mahupun dalam hukum.’ Menurut tafsir Fi Zilal, kalimah ini diterjemahkan sebagai keputusan yang jitu. Yang dimaksudkan ialah Nabi Daud mempunyai kebijaksanaan dan kekuatan keputusan-keputusan yang tegas dan tidak teragak- agak.
Menurut tafsir Fi Zilal, Nabi Daud tetap diuji oleh Allah akan sifat kehakiman baginda. Namun, Allah sentiasa memelihara dan memimpin jejak langkahnya. Dengan izin Allah, Allah menolong, mendedahkan kelemahan, menjaga keselamatan dan mengajar baginda daripada bahaya.
Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat; (Saad 38:21)
Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia terkejut melihat mereka; mereka berkata kepadanya: ” Janganlah takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah seorang daripada kami telah berlaku zalim kepada yang lain; oleh itu hukumkanlah antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus. (Saad 38:22)
“Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai) saudaraku; ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja; dalam pada itu ia (mendesakku dengan) berkata: ‘Serahkanlah yang seekor itu kepadaku ‘, dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan perkara itu”. (Saad 38:23)
Nabi Daud berkata: ” Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!” Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat). (Saad 38:24)
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (Saad 38:26)
Menurut tafsir Fi Zilal, Nabi Daus a.s telah memperuntukkan sebahagian waktunya untuk menguruskan pentadbiran negara dan menjalankan pengadilan untuk orang ramai. Sebahagian waktu yang lainnya diperuntukkan untuk amalan ibadah dan mengalunkan zikir kepada Allah di mihrab. Mihrab merupakan ruang untuk melakukan amal ibadah dan tiada siapa yang dapat menganggunya sehinggalah baginda keluar dari tempat tersebut.
Baginda sangat terkejut pada suatu hari akan kedatangan dua orang yang tidak dikenali dengan memanjat tembok mihrab yang tertutup. Baginda merasakan ketakutan kerana orang-orang yang beriman tidak akan melakukan sedemikian. Pengaduan yang dikemukakan oleh salah seorang yang hendak berguam mengandungi kezaliman yang jelas dan tidak dapat ditakwilkan lagi. Oleh itu, baginda segera menjatuhkan hukuman sebaik sahaja mendengar aduan itu. Baginda tidak bertanya apa-apa kepada yang terdakwa sebagai satu langkah penyiasatan lanjutan dan tidak mendengar hujah balasnya, malah terus memberi hukuman.
Setelah mengetahui bahawa mereka diutuskan oleh Allah untu menguji Nabi Daud, baginda terus bertaubat kepada Allah. Mereka berdua merupakan dua malaikat yang datang menguji Nabi Daud yang dilantik Allah sebagai raja supaya baginda mentadbir urusan orang ramai dan mengadili dengan hukuman yang benar dan adil serta menjatuhkan hukuman setelah menyelidik dengan teliti terlebih dahulu.
Menurut tafsir Fi Zilal menjelaskan bahawa seorang nabi yang diutuskan oleh Allah mempunyai sifat-sifat manusia yang terkadang-kadang tergelincir sedikit namun, Allah segera membetulkannya. Allah sentiasa membimbing, mengajar dan mendorong mereka kembali kepada Allah dan sentiasa memberi keampunan keapda mereka serta melimpahkan rahmat ke atas mereka selepas mereka melepasi ujian.
NABI DAUD DAN NABI SULAIMAN
Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat). (Sad 38:30)
Allah juga kurniakan Nabi Daud seorang anak yang juga diangkat sebagai rasul dan raja kepada kerajaannya serta sebaik-baik hamba dan sentiasa kembali kepada Allah iaitu Nabi Sulaiman
PENUTUP
Alhamdulillah, kita telah menelusuri kisah Nabi Daud berdasarkan al-Quran dan tafsirannya. Begitu hebat yang Allah kurniakan kepada para rasul-Nya dengan mukjizat dan kitab-Nya agar dapat mengajak manusia kembali kepada Allah.
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |