Kisah Nabi Musa dan Firaun sangat banyak disebutkan di dalam Alquran. Nama Firaun disebutkan sebanyak 74 kali di dalam Alquran. Dakwah Nabi Musa kepada Firaun sangat mencabar sekali. Bagaimana tidak, Nabi Musa ditugaskan Allah untuk memberi kefahaman adanya tuhan yang mencipta segalanya kepada seorang yang merasakan dirinya tuhan.
Namun tahukah anda, sebenarnya terdapat 3 peristiwa yang sepatutnya menjadikan Firaun menyembah Allah serta-merta? Semuanya terjadi dalam masa 10 tahun Nabi Musa mendakwahinya. Untuk bahagian pertama ini, ayuh kita hayati kisah Nabi Musa dan tukang sihir Firaun.
Kisah Nabi Musa Dan Ahli Sihir Firaun
Satu hari ketika Nabi Musa dan Firaun berjumpa, Nabi Musa mendakwahinya dan telah meminta supaya Bani Israel dilepaskan dari Mesir untuk menuju ke Palestin.
Firaun mengatakan, “jika benar kau seorang nabi, maka tunjukkan aku kelebihan-kelebihanmu,”
Maka Firaun ditunjukkan mukjizat-mukjizat oleh Nabi Musa disebabkan Nabi Musa ingin membuktikan kenabiannya. Nabi Musa mencampakkan tongkatnya dan tongkatnya berubah menjadi ular. Juga tangannya yang boleh mengeluarkan cahaya yang terang setelah diletakkan di ketiaknya, sehingga menjadikan manusia kesilauan untuk melihat.
Firaun yang sepatutnya beriman, telah menuduh bahawa Nabi Musa itu seorang penyihir.
Lalu untuk membuktikan Nabi Musa penyihir, Firaun mencabar Nabi Musa untuk diadakan satu perlawanan antara Nabi Musa dengan penyihir-penyihirnya. Firaun yang menguasai negeri-negeri di Afrika dan Eropah, telah mengiklankan dan mengajak ribuan penyihir untuk menyertainya. Dalam satu riwayat dikatakan ada sepuluh ribu penyihir menyertainya pada hari kejadian.
Penyihir Meminta Upah
Penyihir-penyihir itu sebelum bertemu Nabi Musa telah bertanya kepada Firaun, “apakah yang akan kami dapat jika kami mampu mengalahkan Musa?”
Kata Firaun, “Kamu akan mendapat upah dariku, dan kamu akan menjadi orang-orang yang dekat denganku.
Harus diingat bahawa Firaun itu diumpamakan sebagai tuhan dalam kerajaannya. Maka untuk berada di kedudukan yang hampir dengan Firaun adalah sesuatu yang sangat mulia.
Malahan perlawanan antara penyihir dan Nabi Musa itu dilakukan pada yaumuzzinah, iaitu Hari Perhiasan. Pada hari itu Firaun akan diletakkan di singgahsananya yang dihias hebat, dan manusia-manusia akan datang menyembahnya. Apa sahaja yang mereka minta akan dikurniakan oleh Firaun.
Hari Perlawanan Nabi Musa Dan Tukang Sihir
Pada Hari Perhiasan itu, maka berkumpullah ribuan penyihir untuk menentang Nabi Musa. Dan terdapat ramai yang datang untuk menyaksikannya. Nabi Musa dan tukang sihir Firaun bertemu dalam perlawanan yang sangat mengujakan seluruh penduduk dalam tanah jajahan Firaun.
Saat terlihat oleh penyihir-penyihir itu akan Musa dan Harun, mereka mengejek, “apakah 2 orang ini sahaja yang akan kita lawan?”
Apabila tiba saat perlawanan, mereka bertanya kepada Musa, “siapakan akan bermula dahulu? Kamu atau kami?”
Nabi Musa menjawab, “Kamulah dahulu.” Lalu mereka melontarkan tali-tali, lantas tali-tali tersebut bertukar menjadi ribuan ekor ular.
Nabi Musa sedikit bergerak ke belakang kerana terdetik perasaan cemas kerana melihat banyaknya ular-ular itu. Saat ini Jibril datang dan menenangkannya, “campaklah tongkatmu, sesungguhnya kau lebih hebat lagi.”
Lalu Nabi Musa mencampakkannya dan menjelmalah seekor ular yang sangat besar. Penyihir-penyihir melihatnya dengan takjub sekali. Mereka tahu, ini bukan sihir. Ular ini kemudiannya memakan kesemua ular-ular kecil tersebut.
Penyihir Sujud
Lalu dengan spontannya, ribuan penyihir itu tunduk lalu sujud kepada Allah. Bayangkan peristiwa yang dengan serta merta menjadikan manusia beriman. Malah setelah itu Firaun mengugut mereka, “kenapa sujud sebelum aku memberi izin?” Ugutan Firaun ini ternyata tidak dihiraukan mereka. Malah mereka menjadi mantap imannya kepada Allah.
Firaun Menolak Kebenaran
Bayangkan di dalam keadaan yang ramai manusia menyaksikan kebenaran dakwah, dan secara spontan menerimanya, Firaun masih ingin mempersoalkan mengenai kekuasaannya. Firaun menolak kebenaran yang datang kepadanya walaupun ditunjukkan dalam keadaan yang sangat hebat sekali.
Tadabbur
Melihat keadaan penyihir-penyihir yang spontan bersujud itu, timbul satu soalan kepada kita. Berapa banyak kalikah perancangan kita ditewaskan hebatnya perancangan Allah?
Kadang-kadang, seperti tukang sihir itu, kita merasa diri kitalah yang mengawal segala urusan kehidupan kita sehingga datanglah takdir Allah yang membuktikan Dialah yang lebih berkuasa.
Ya kita kecewa. Namun kekecewaan itu sepatutnya kita halakan kepada perasaan takjub dan pasrah, bahawa ada Allah di sebalik segala urusan kita, yang mengatur kehidupan kita mengikut kehendakNya.
Lalu pada saat itu, kita juga sepatutnya bersujud seperti mereka yang menentang Musa dan Harun pada permulaannya.
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |
Kisah ini berdasarkan Surah Taha 56-73
وَلَقَدْ أَرَيْنَاهُ آيَاتِنَا كُلَّهَا فَكَذَّبَ وَأَبَى
Dan demi sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.(56)
قَالَ أَجِئْتَنَا لِتُخْرِجَنَا مِنْ أَرْضِنَا بِسِحْرِكَ يَا مُوسَى
Firaun berkata: “Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa?(57)
فَلَنَأْتِيَنَّكَ بِسِحْرٍ مِّثْلِهِ فَاجْعَلْ بَيْنَنَا وَبَيْنَكَ مَوْعِداً لَّا نُخْلِفُهُ نَحْنُ وَلَا أَنتَ مَكَاناً سُوًى
“Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua belah pihak”.(58)
قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ الزِّينَةِ وَأَن يُحْشَرَ النَّاسُ ضُحًى
Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha”.(59)
فَتَوَلَّى فِرْعَوْنُ فَجَمَعَ كَيْدَهُ ثُمَّ أَتَى
Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat perlawanan.(60)
قَالَ لَهُم مُّوسَى وَيْلَكُمْ لَا تَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ كَذِباً فَيُسْحِتَكُمْ بِعَذَابٍ وَقَدْ خَابَ مَنِ افْتَرَى
Nabi Musa berkata kepada mereka: “Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu dengan azab seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa”.(61)
فَتَنَازَعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ وَأَسَرُّوا النَّجْوَى
Maka merekapun berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.(62)
قَالُوا إِنْ هَذَانِ لَسَاحِرَانِ يُرِيدَانِ أَن يُخْرِجَاكُم مِّنْ أَرْضِكُم بِسِحْرِهِمَا وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ الْمُثْلَى
Mereka berkata: “Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.(63)
فَأَجْمِعُوا كَيْدَكُمْ ثُمَّ ائْتُوا صَفّاً وَقَدْ أَفْلَحَ الْيَوْمَ مَنِ اسْتَعْلَى
“Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari ini”.?(64)
قَالُوا يَا مُوسَى إِمَّا أَن تُلْقِيَ وَإِمَّا أَن نَّكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَى
Mereka berkata: “Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?”(65)
قَالَ بَلْ أَلْقُوا فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَى
Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.(66)
فَأَوْجَسَ فِي نَفْسِهِ خِيفَةً مُّوسَى
Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.(67)
قُلْنَا لَا تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ الْأَعْلَى
Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.(68)
وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا إِنَّمَا صَنَعُوا كَيْدُ سَاحِرٍ وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَى
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”.(69)
فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّداً قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَى
(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.(70)
قَالَ آمَنتُمْ لَهُ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَا أَشَدُّ عَذَاباً وَأَبْقَى
Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.(71)
قَالُوا لَن نُّؤْثِرَكَ عَلَى مَا جَاءنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالَّذِي فَطَرَنَا فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.(72)
إِنَّا آمَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَايَانَا وَمَا أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السِّحْرِ وَاللَّهُ خَيْرٌ وَأَبْقَى
“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.(73)
Rujukan: Surah Taha 56-73