Skip to content

Kisah Nabi Yusuf : Dari Telaga Ke Istana Raja

kisah nabi yusuf

Kisah Nabi Yusuf diceritakan secara terperinci di dalam surah yusuf , surah ke 12 dalam al-Quran, diturunkan di Makkah dan mengandungi 111 ayat. Surah Yusuf merupakan satu satunya surah yang hanya menfokuskan kepada penceritaan satu nabi sahaja iaitu Nabi Yusuf, tidak seperti surah lain yang biasanya Allah menyelitkan pelbagai kisah nabi-nabi sebagai tauladan dan pengajaran.

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِما أَوحَينا إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ (3)

Maksudnya: Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

Mendengar cerita orang lain susah tidaklah boleh meringankan susah kita tetapi sekurang kurangnya boleh meringankan perasaan kita. Begitulah yang dirasai oleh Baginda Nabi ﷺ dalam cabaran dakwah baginda kepada musyrikin Makkah ketika surah ini diturunkan. Kisah Nabi Yusuf boleh dibahagikan kepada 4 fasa utama

1. Mimpi Nabi Yusuf Dan Pengkhianatan Saudara-Saudaranya

Kita mulakan dengan mimpi Nabi Yusuf ketika kecil yang menjadi titik permulaan perjalanan hidup baginda. Firman Allah dalam surah Yusuf ayat ke 4

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ (4)

Maksudnya: (Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

Nabi Yusuf memberitahu tentang mimpi baginda kepada ayahnya Ya’qub, yang juga merupakan seorang nabi. Walaupun pada ketika itu Nabi Yusuf masih kecil, Nabi Ya’qub tahu anaknya kelak akan menjadi seorang nabi. Oleh itu Nabi Ya’qub berpesan agar Nabi Yusuf tidak menceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaranya yang lain risau baginda akan diapa-apakan dek kerana perasaan dengki dalam hati saudara-saudaranya.

Nabi Yusuf berasal dari negeri Kan’an.(kini terdiri dari wilayah Palestin dan Lebanon) Baginda mempunyai 11 orang adik beradik, menurut riwayat 10 daripadanya merupakan adik beradik berlainan ibu dan seorang lagi, Bunyamin saudara kandungnya yang masih kecil.. 10 orang saudaranya itu membenci Yusuf kerana ketidakpuasan hati mereka akan layanan yang diberi kepada Yusuf dan saudaranya. Mereka beranggapan bahawa mereka golongan yang kuat dan sepatutnya mendapat layanan yang lebih istimewa. Mereka juga mengutuk ayah mereka Nabi Ya’qub. Allah rakamkan dalam surah yusuf ayat ke 8:

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Maksudnya” (Iaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Akibat daripada perasaan dengki yang melampau bercampur dengan hasutan syaitan yang sesat, mereka bersepakat untuk membuang Nabi Yusuf ke dalam telaga yang jauh dari pandangan orang lain. Telaga tersebut bukan lah dikawasan penempatan orang ramai tetapi telaga musafir di tempat persinggahan perjalanan. Mereka berharap Nabi Yusuf dipungut oleh kafilah pedagang dan dibawa jauh dari negeri mereka.  

2. Godaan Wanita Mesir Dan Nabi Yusuf Dipenjara

Dalam bahagian ini fokus kita adalah berkenaan liku-liku ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf. Sudahlah baginda dikhianati oleh saudara-saudaranya sendiri, berpisah pula dengan ayah tercinta, dipungut oleh pedagang, dan kini dijual kepada pembesar Mesir dan hidup jauh di satu bumi yang asing dalam usianya yang masih muda.  

Di Mesir, Nabi Yusuf tinggal di rumah seorang menteri kerajaan Mesir dan isterinya, sebagai seorang pembantu. Al-Quran menggunakan kalimah “العزيز” dan ” امرأة العزيز ” tanpa menyebutkan secara tepat nama menteri dan isterinya itu. Jadi nama Zulaikha yang dikatakan sebagai isteri al-aziz itu datangnya daripada riwayat israiliyat.

Godaan wanita-wanita Mesir

Nabi Yusuf mendapat layanan yang baik daripada tuannya, diberi makanan, tempat tinggal dan makanan yang cukup. Namun demikian, tuannya itu tidak selalu berada dirumah atas kesibukan berkerja, lalu tinggallah yusuf berseorangan bersama Zulaikha.

Sehingga sampai masa Nabi Yusuf telah meningkat dewasa, Zulaikha tidak dapat menahan rasa kasihnya terhadap Yusuf, bukan sahaja kerana ketampanan Nabi Yusuf, tetapi juga akhlak baginda yang sangat mulia telah mendorong Zulaikha untuk  menggoda Yusuf supaya meninggalkan prinsip baginda, dan melakukan maksiat dengannya. Allah s.w.t merakamkan perbuatan keji beliau dalam ayat ke 25 dalam surah Yusuf:

وَاستَبَقَا البابَ وَقَدَّت قَميصَهُ مِن دُبُرٍ وَأَلفَيا سَيِّدَها لَدَى البابِ ۚ قالَت ما جَزاءُ مَن أَرادَ بِأَهلِكَ سوءًا إِلّا أَن يُسجَنَ أَو عَذابٌ أَليمٌ (25)

Maksudnya: Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu dan wanita itu menarik baju Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

Di dalam ayat sebelumnya Allah menegaskan bahawa tipu daya wanita itu sangat kuat sehinggalah sekiranya Allah tidak menunjukkan bukti di dalam hati Nabi Yusuf, nescaya baginda pun akan berkehendak kepada wanita itu.

وَلَقَد هَمَّت بِهِ ۖ وَهَمَّ بِها لَولا أَن رَّأىٰ بُرهٰنَ رَبِّهِ ۚ كَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ السّوءَ وَالفَحشاءَ ۚ إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُخلَصينَ (24)

Maksudnya: Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

Perlu diberi perhatian di sini, Nabi Yusuf bukan sahaja meminta perlindungan daripada Allah, tetapi baginda juga berusaha untuk menjauhkan diri daripada godaan wanita itu. Baginda berlari untuk membuka pintu sambil dikejar oleh isteri al-Aziz.

Takdir Allah pada hari itu, suaminya pulang awal lalu bertembunglah mereka bertiga di muka pintu. Isteri al-Aziz cepat-cepat melakukan tipu helah agar suaminya terpedaya bahawa Yusuf yang cuba merogolnya. Nabi Yusuf tidak berdiam diri dan terus mempertahankan dirinya dengan berkata

قالَ هِيَ راوَدَتني عَن نَفسي ۚ وَشَهِدَ شاهِدٌ مِن أَهلِها إِن كانَ قَميصُهُ قُدَّ مِن قُبُلٍ فَصَدَقَت وَهُوَ مِنَ الكاذِبينَ، وَإِن كانَ قَميصُهُ قُدَّ مِن دُبُرٍ فَكَذَبَت وَهُوَ مِنَ الصّادِقين

Maksudnya: Yusuf berkata: “Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)”, dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: “Jika bajunya koyak di hadapan, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta. Dan jika bajunya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar”.

Setelah diperiksa, telah terbukti memang isteri al-Aziz yang bersalah, namun untuk menjaga nama baik beliau sebagai ahli politik, isterinya itu tidak diambil apa-apa tindakan dan Yusuf segera disuruh untuk melupakan hal itu. Selepas beberapa ketika, Nabi Yusuf diperintahkan oleh isteri al-Aziz untuk berjumpa dengan isteri-isteri pembesar yang lain.

Kali ini bukan sahaja godaan dari seorang wanita, tetapi Yusuf juga diuji dengan godaan wanita-wanita yang lain. Oleh kerana baginda tidak tunduk dengan kemahuan isteri al-Aziz tersebut, dan pembesar-pembesar Mesir juga ingin menjaga nama baik keluarga mereka, mereka memasukan Nabi Yusuf ke dalam penjara tanpa apa-apa perbicaraan.  

Nabi Yusuf dalam penjara 

Nabi Yusuf tinggal dalam penjara selama kurang dari 10 tahun. Sewaktu dalam penjara nabi yusuf menggunakan kesempatan yang ada untuk berdakwah kepada penghuni penjara. Oleh kerana keperibadian baginda yang santun, 2 orang penghuni penjara menemui baginda dan meminta untuk menafsirkan mimpi mereka. Terlebih dahulu Nabi Yusuf berdakwah dan mengajar tauhid kepada kedua rakannya itu dengan berpesan:

يا صاحِبَيِ السِّجنِ أَأَربابٌ مُتَفَرِّقونَ خَيرٌ أَمِ اللهُ الواحِدُ القَهّارُ، (39) ما تَعبُدونَ مِن دونِهِ إِلّا أَسماءً سَمَّيتُموها أَنتُم وَآباؤُكُم ما أَنزَلَ اللهُ بِها مِن سُلطانٍ ۚ إِنِ الحُكمُ إِلّا ِلِله ۚ أَمَرَ أَلّا تَعبُدوا إِلّا إِيّاهُ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ (40)

Maksudnya: Hai kedua penghuni penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa? (39)Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (40)

Setelah itu, Nabi Yusuf mentafsirkan mimpi mereka berdua dan baginda berpesan kepada salah seorang yang diketahuinya akan selamat dan bekerja sebagai pelayan raja untuk menerangkan tentang keadaan diri baginda kepada Raja Mesir.

3. Mentakwil Mimpi Raja Dan Menjadi Menteri Perbendaharaan

Dalam bahagian ini, kita dapat melihat sedikit demi sedikit Allah s.w.t mula menaikan darjat dan kedudukan Nabi Yusuf di negeri Mesir, dan mengeluarkan baginda daripada kesusahan. Kita mulakan dengan mimpi raja. Terdapat 4 mimpi diceritakan dalam surah ini, iaitu:

  1. Mimpi Nabi Yusuf sewaktu kecil
  2. Mimpi banduan yang selamat
  3. Mimpi banduan yang disalib
  4. Mimpi Raja Mesir

Dalam mimpi raja itu, beliau melihat 7 ekor lembu yang gemuk-gemuk dimakan oleh 7 ekor sapi yang kurus-kurus, dan 7 tangkai yang kering menggulung tangkai-tangkai yang segar. Disebabkan mimpi itu berulang-ulang raja mesir berkeras mahu mencari makna di sebaliknya. Sahabat Nabi Yusuf yang menjadi pelayan raja tersebut datang menemui baginda di penjara untuk meminta pertolongan mentakwilkan mimpi raja berkenaan. Nabi Yusuf menafsirkan mimpi tersebut seperti firman Allah dalam surah Yusuf ayat 47-49

قالَ تَزرَعونَ سَبعَ سِنينَ دَأَبًا فَما حَصَدتُم فَذَروهُ في سُنبُلِهِ إِلّا قَليلًا مِمّا تَأكُلونَ (47)  ثُمَّ يَأتي مِن بَعدِ ذٰلِكَ سَبعٌ شِدادٌ يَأكُلنَ ما قَدَّمتُم لَهُنَّ إِلّا قَليلًا مِمّا تُحصِنونَ (48) ثُمَّ يَأتي مِن بَعدِ ذٰلِكَ عامٌ فيهِ يُغاثُ النّاسُ وَفيهِ يَعصِرونَ (49)

Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan kecuali sedikit untuk kamu makan.(47) Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.(48) Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur”. (49)

Apabila disampaikan berita itu kepada raja Mesir, beliau berasa kagum dan terpegun dengan kecerdikan yang ada pada diri Nabi Yusuf. Raja berasa hairan manakan orang sebijak itu boleh ada dipenjara lalu raja menawarkan kebebasan kepada baginda. Namun Nabi Yusuf tidak terburu-buru akan tetapi baginda meminta dahulu agar raja membersihkan namanya. Kemudian dipanggilkan wanita-wanita yang telah menggoda nabi yusuf dihadapan raja lalu disoal siasat kesemuanya. Terbuktilah dengan pengakuan mereka sendiri bahawa tidaklah Nabi Yusuf itu seorang yang jahat bahkan merekalah yang bersalah memasukkan Nabi Yusuf ke dalam penjara

Disebabkan kebijaksaan yang ada pada Nabi Yusuf, raja meminta baginda untuk menjadi orang kepercayaan beliau bagi menguruskan negeri Mesir. Nabi Yusuf menawarkan dirinya menjadi Menteri Perbendaharaan Negeri Mesir. Bukan kerana  Nabi Yusuf gila kuasa tetapi kerana baginda tahu tentang kepayahan musim kemarau yang akan melanda oleh yang demikian masalah tersebut mestilah diurus oleh orang yang berpengetahuan. Ada juga riwayat mengatakan tuan Nabi Yusuf dahulu juga merupakan Menteri perbendaharaan Mesir jadi baginda telah banyak meneliti dan belajar daripada beliau.

Allah s.w.t berfirman:

وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ يَتَبَوَّأُ مِنها حَيثُ يَشاءُ ۚ نُصيبُ بِرَحمَتِنا مَن نَشاءُ ۖ وَلا نُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ (56)

Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) pergi menuju ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik. (56)

4. Mimpi Nabi Yusuf menjadi kenyataan

Bahagian ini adalah kemuncak kepada perjalanan Nabi Yusuf bagi merialisasikan mimpi baginda sendiri. Sewaktu musim kemarau yang diramalkan tiba, ramai kafilah pedagang dari merata negeri datang ke Mesir bagi menukar barang dagangan mereka dengan sukatan makanan. Tidak terlepas juga saudara-saudara Nabi Yusuf yang membuangnnya dahulu.

Nabi yusuf mengenal wajah mereka satu persatu tetapi mereka tidak perasan Nabi Yusuf kerana Yusuf yang dilempar dalam perigi dahulu masih seorang budak. Nabi Yusuf yang bertugas menemui kafilah tersebut mengarahkan mereka supaya kembali dengan membawa saudaranya Bunyamin ke Mesir kerana baginda memberi sukatan untuk 11 orang seperti yang diminta sedangkan mereka datang seramai 10 orang sahaja. Sebernarnya Nabi Yusuf sangat merindui Bunyamin kerana dia ialah adik seibu sebapa dengan baginda, kerana itu disebutkan:

قالَ ائتوني بِأَخٍ لَكُم مِن أَبيكُم (59)

dia berkata: “Bawalah kepadaku saudaramu yang seayah dengan kamu (59)

Pada tahun berikutnya, saudara-saudara Nabi Yusuf datang sekali lagi ke Mesir untuk menerima sukatan. Kali ini mereka membawa saudara Yusuf, Bunyamin setelah diizin oleh ayah mereka. Nabi Yusuf kemudian membawa Bunyamin ke satu bilik dan berterus terang bahawa baginda merupakan saudara kandungnya, lalu mententeramkan perasaan bunyamin yang selalu dibuli oleh abang-abangnya. firman Allah dalam ayat ke  69:

وَلَمّا دَخَلوا عَلىٰ يوسُفَ آوىٰ إِلَيهِ أَخاهُ ۖ قالَ إِنّي أَنا أَخوكَ فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَعمَلونَ

Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf. Yusuf membawa saudaranya (Bunyamin) ke tempatnya, Yusuf berkata: “Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu, maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.

Rancangan Nabi Yusuf adalah untuk menahan bunyamin supaya dapat tinggal bersamanya di Mesir. Baginda melakukan helah yang diwahyukan oleh Allah supaya diletakkan piala (bekas minum raja) dalam sarung milik Bunyamin. Setelah diperiksa dan didapati Bunyamin “mencuri” , nabi Yusuf menahan Bunyamin sebagai hamba sesuai dengan syariat Nabi Ya’qub pada ketika itu, sesiapa yang mencuri, balasannya adalah orang yang mencuri itu dijadikan hamba untuk bekerja selama setahun. Tatkala Nabi Ya’qub dikhabarkan tentang anaknya ditahan, baginda berduka cita yang amat sangat sehingga buta matanya. Nabi Ya’qub menyuruh anaknya yang 10 orang itu untuk keluar mencari khabar Yusuf dan Bunyamin. Allah rakamkan perbualan itu dalam ayat 87

يا بَنِيَّ اذهَبوا فَتَحَسَّسوا مِن يوسُفَ وَأَخيهِ وَلا تَيأَسوا مِن رَوحِ اللهِ ۖ إِنَّهُ لا يَيأَسُ مِن رَوحِ اللهِ إِلَّا القَومُ الكافِرونَ

Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir”.

Apabila sampai semula ke Mesir, mereka datang menemui Nabi Yusuf merayu agar disempurnakan sukatan dan memberi sedekah kerana keadaan mereka ketika itu amat susah. Pada ketika inilah Nabi Yusuf pura-pura bertanyakan apa yang telah dilakukan terhadap Yusuf dan saudaranya. Saudara-saudara yusuf mula menyedari mungkin pembesar itu ialah adik mereka, Yusuf yang dibuang dalam telaga dahulu. Kemudian, Nabi Yusuf memperkenalkan diri baginda sebagai Yusuf dan adiknya Bunyamin, di hadapan saudara-saudara yang mengkhianati mereka dahulu. Mereka tunduk kesal dan mengakui kesilapan mereka dengan berkata:

قالوا تَاللهِ لَقَد آثَرَكَ اللهُ عَلَينا وَإِن كُنّا لَخاطِئينَ (91(

Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.

Apabila mereka pulang, dikirimkan kepada saudara-saudara Yusuf itu baju baginda untuk disapukan di muka ayahnya, lalu pulih lah penglihatan Nabi Ya’qub. Mereka membawa Nabi Ya’qub dan seluruh ahli keluarganya ke negeri Mesir. Di sinilah titik mulanya penempatan Bani Israel di negeri Mesir. Apabila keluarga Nabi Yusuf tiba di Mesir, baginda merangkul kedua ibubapanya dan mengalu-alukan mereka masuk ke Mesir.

Ibu bapa Nabi Yusuf, adik-beradiknya semua memberi sujud penghormatan kepada baginda. Inilah takwil mimpi Nabi Yusuf dahulu. Matahari dan bulan merupakan gambaran kedua orang tuanya, dan 11 buah bintang adalah 11 orang saudara Nabi Yusuf. Demikianlah hebat perancangan Allah s.w.t menolong rasul-rasulnya yang dikhianati.

Doa Nabi Yusuf


Walaupun Nabi Yusuf dikurniakan kedudukan yang mulia di sisi keluarga baginda dan masyarakat Mesir, di akhir sekali baginda tetap berdoa seperti yang dirakamkan dalam ayat 101:

doa nabi yusuf

“Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.”

Di dunia Nabi Yusuf telah berkumpul bersama keluarga baginda, namun ada kehidupan yang lebih penting selepas ini, iaitu di akhirat. Agar digabungkan bersama orang-orang yang soleh di syurga nanti

Wallahualam.

Kisah Nabi yang lain

Nabi AdamNabi IdrisNabi Nuh
Nabi HudNabi SolehNabi Ibrahim
Nabi LuthNabi IsmailNabi Ishak
Nabi YaakubNabi YusufNabi Ayub
Nabi Syu’aibNabi MusaNabi Harun
Nabi ZulkifliNabi DaudNabi Sulaiman
Nabi IlyasNabi IlyasaNabi Yunus
Nabi ZakariaNabi YahyaNabi Isa
Nabi Muhammad

RUJUKAN

  1. Surah Yusuf: ayat 3 hingga 101
  2. Tafsir Ibnu Kathir – Surah Yusuf
  3. Nouman Ali Khan: Bayyinah Institute Youtube Channel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

six − one =