Skip to content

Doa Nabi Sulaiman yang Anda Boleh Amalkan

doa nabi sulaiman

Anda tentu pernah mendengar tentang kisah tauladan nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman A.S. adalah salah seorang nabi utusan Allah S.W.T. yang merupakan putera nabi Daud A.S. Nabi Sulaiman dikenali sebagai penguasa dan raja segala makhluk di dunia yang bijaksana dan berwibawa dalam menguruskan berbagai-bagai perkara. Baginda dianugerahkan oleh Allah kekayaan yang melimpah-ruah. Nabi Sulaiman mampu berbicara serta memahami bahasa haiwan dan bangsa jin serta menundukkan angin kerana mukjizat yang Allah Ta’ala kurniakan.

Mukjizat nabi Sulaiman seperti kekayaan yang luas dan bercakap dengan haiwan hanyalah untuk dirinya sendiri dan tidak akan diwarisi oleh mana-mana makhluk. Allah S.W.T. memakbulkan doa dan keinginan nabi Sulaiman. Para ulama’ berpendapat doa yang dimohon oleh Nabi Sulaiman adalah kerajaan yang besar dan tiada seorang pun yang berupaya menggulingkan kebesarannya sehingga baginda meninggal dunia serta kekuasaan yang takkan diperolehi oleh pemimpin-pemimpin selepas nabi Sulaiman. Al-Hafidz Ibnu Katsir berpendapat bahawa nabi Sulaiman berdoa kepada Allah Ta’ala untuk memerintah kerajaan yang tidak boleh dikuasai oleh mana-mana manusia setelah beliau. (Tafsir Ibnu Katsir, 7/70).

Semua makhluk tunduk dan tidak berani melawan perintah nabi Sulaiman dengan izin Allah S.W.T. Kerajaan Nabi Sulaiman sangat besar. Istana nabi Sulaiman dibina oleh bangsa jin dan merupakan satu-satunya istana yang sangat gah berlapiskan emas dan permata pernah dibangunkan ketika itu. Banyak benda bernilai seni yang sangat berharga dan tinggi nilainya ada di dalam istana nabi Sulaiman. Pintunya dibuat dari kayu zaitun dan cemara. Setiap dindingnya tertempel batu mulia. Lantainya dibuat dari kaca yang sangat jernih sehingga orang yang melihatnya menyangka bahawa lantai itu adalah air. Meskipun memiliki kekayaan yang sangat banyak, baginda tetap menjadi seorang yang merendah diri serta selalu bersyukur di atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala. Kemuliaan nabi Sulaiman sangat luar biasa sehingga mampu memujuk dan melembutkan hati ratu dari kerajaan Saba’ iaitu ratu Balqis yang menyembah matahari untuk beriman dan menyembah Allah S.W.T. Penyebab bertemunya nabi Sulaiman dengan ratu Balqis ialah dari burung hud-hud.

Kekayaan tidak datang begitu saja. Nabi Sulaiman memiliki doa-doa yang selalu dipanjatkan agar rezeki harta selalu datang kepadanya tidak putus-putus. Artikel ini akan berkongsi tiga doa nabi Sulaiman yang boleh diamalkan iaitu doa memohon rezeki dan kekayaan, doa menyembuhkan orang sakit (gangguan jin dan syaitan) serta menundukkan haiwan buas dan doa mensyukuri nikmat Allah. Bacaan doa nabi Sulaiman ini disertakan sekali dengan tulisan rumi dan terjemahan untuk rujukan.

1. Doa Nabi Sulaiman untuk Kekayaan

Doa Nabi Sulaiman yang pertama adalah doa yang digunakan untuk memohon kelancaran rezeki dan kekayaan. Jika saat ini anda menghadapi kesulitan atau pun keadaan kewangan yang stabil, sila amalkan doa ini agar dimurahkan rezeki. Doa tersebut dapat diamalkan setiap kali anda selesai menunaikan sholat fardhu.

Namun, lebih baik jika menunaikan solat sunat Dhuha dan membaca doa Nabi Sulaiman tersebut setiap hari. Tetapi, doa ini harus dsertai dengan ikhtiar, usaha dan kerja keras anda kerana kekayaan bukannya jatuh dari langit tanpa usaha. Doa ini merupakan permohonan kepada Allah untuk meminta kelancaran rezeki.

Bacaan Rumi: “Rabbi ighfir lii wahab lii mulkan laa yanbaghii li-ahadin min ba’dii innaka antal wahhaab”

Maksudnya: Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang pun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi. (Surah Sad; ayat 35)

2. Doa Nabi Sulaiman untuk Menundukkan Haiwan Buas dan Mengusir Jin

Doa nabi Sulaiman ini boleh digunakan untuk menjinakkan haiwan terutamanya haiwan buas yang merbahaya. Contohnya ular, harimau, lipan atau haiwan buas lain sehingga mendatangkan bahaya, bacalah doa ini dalam keadaan menyerah diri kepada Allah. In Shaa Allah haiwan liar akan berlalu pergi dan tidak mengganggu anda. Ayat ini mempunyai keistimewaan untuk menundukkan dan melembutkan hati anak yang degil.

Amalkan doa berikut (doa penunduk haiwan buas) :

Bacaan Rumi: “Bismilahirrahmanirrahiim. Laa ta’luu ‘alayya wa’tuunii muslimiin”  

Maksudnya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sombong kepadaku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri”. (Surah Al-Naml, ayat 30 dan 31)

Manakala doa di bawah ini dibaca atau diruqyah untuk mengubati orang yang terkena gangguan makhluk halus. Bacakan doa pengusir jin tersebut di telinga kanan orang yang sakit lalu menekan ibu jari kaki kanan dan kirinya, In Shaa Allah jin yang mengganggu dan merasuk tubuh pesakit akan keluar dengan sendirinya.

Menurut Syeikh Syaukani, doa menghalau jin ini begitu terkenal diamalkan dan sudah banyak digunapakai oleh para pengamal dan pakar perubatan Darul Syifa’, Darussalam dan pusat rawatan Islam yang lain. Antaranya fadhilatnya :

  • Menundukkan jin yang degil semasa rawatan dijalankan.
  • Penunduk binatang terutama ketika masuk ke hutan.
  • Pendinding dari gangguan jin dan sihir.
  • Penggerun kepada jin, manusia dan binatang.
  • Aura hebat dan pengaruh berwibawa.

Doa penghalau jin dan syaitan

Ertinya:

Ya Allah, masukkan kami dalam kawalan lingkungan nabi Sulaiman, dan nabi Sulaiman telah memiliki daripada timur dan barat dengan kebolehan anugerah Allah, sifat, perbuatan-perbuatan dan juga kekuatannya. Selamat sejahterakanlah kami wahai Tuhan Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail. Telah menguasai nabi Sulaiman dari timur dan barat, jin, manusia, angin dan awan beserta keselamatan yang banyak. Maha suci Allah Ta’ala yang Maha Mulia, kemuliaan, dan kesempurnaanNya, ketahuilah oleh kamu wahai iblis, wahai iblis, wahai iblis, syaitan-syaitan tinggal dalam kegelapan. Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami doa nabi Sulaiman, dan telah berselawat Allah ke atas nabi Sulaiman, juga ke atas para nabi dengan rahmatMu ya Allah yang amat mengasihani daripada segala-galanya”.

3. Doa Nabi Sulaiman Agar Menjadi Hamba Yang Bersyukur

Sayyid Qutb berkata: Angkatan bala tentera Nabi Sulaiman meneruskan perjalanannya dalam barisan yang teratur rapi. Barisan pertama bersambung dengan barisan terakhir. Mereka berjalan dengan saf-saf yang padu dan dengan langkah yang sama sehingga sampailah di sebuah lembah yang banyak semut sehingga dikenali lembah semut atau wadi al-naml. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/154)

Syeikh al-Maraghi berkata: Sehinggalah apabila mereka menghampiri Lembah Semut, salah seekor semut pun berkata. Menurut pemahaman Nabi Sulaiman AS, semut tersebut menyuruh anak buahnya masuk semula ke sarang mereka supaya tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman AS dengan bala tenteranya, kerana mereka menyedari situasi itu. Ibnu Kathir berkata: Semut tersebut takut sekiranya semut-semut lain dipijak oleh tapak-tapak kaki kuda. Maka ia memerintahkan mereka untuk masuk ke dalam sarang-sarang mereka. Perkara tersebut lalu difahami oleh Nabi Sulaiman AS. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/207)

Nabi Sulaiman tersenyum kagum terhadap keprihatinan dan peringatan semut itu kepada kawan-kawannya, serta adanya hidayah yang Allah S.W.T. berikan kepada semut itu. Baginda juga merasa gembira dengan anugerah khusus yang dimilikinya iaitu dapat memahami maksud bahasa semut itu. Di antara doa syukur yang diajar di dalam al-Quran adalah doa nabi Sulaiman A.S. ketika mendengar percakapan semut, baginda memohon agar selalu menjadi hamba Allah yang bersyukur.

Doa tersebut adalah (doa agar menjadi hamba yang bersyukur):

Bacaan rumi: “Rabbi awzi’nii an asykura ni’mataka latii an’amta ‘alayya wa’alaa waalidayya wa-an a’mala shaalihan tardaahu wa-adkhilnii birahmatika fii ‘ibaadika shshaalihiin”

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Ilhamkanlah aku agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku untuk mengerjakan amalan yang Engkau sukai dan redai”. (Surah Al-Naml : 19)

Baginda memohon supaya diwafatkan dalam keadaan berserah diri kepadaNya dan dimasukkannya ke dalam golongan hambaNya yang soleh. Sayyid Qutb berkata: Doa nabi Sulaiman dimulakan dengan “رَبِّ” (“Wahai Tuhanku!). Baginda menggunakan kata-kata seruan dari dekat dan secara langsung, kemudian memohon dengan “أَوْزِعْنِي” (Ilhamkanlah aku) atau tumpahkan diriku iaitu kumpulkan seluruh diriku dan anggotaku, perasaanku, lidahku, hatiku, fikiranku, perkataanku, susunan perkataanku, amalanku dan tujuanku.

Begitu juga seluruh daya tenagaku supaya seluruhnya ditumpukan “agar tetap bersyukur dengan nikmat yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku”. Ungkapan ini membayangkan nikmat Allah yang telah mengharukan hati Nabi Sulaiman A.S. pada saat itu dan menggambarkan bentuk perasaan terharu, tawadduk dan hatinya yang bergelora ketika baginda menyedari nikmat Allah dan limpah yang dikurniakan kepadanya dan kepada kedua ibu bapanya. Nabi Sulaiman mengalami nikmat dan rahmat Allah itu dengan penuh perasaan lalu memohon seperti doa di atas.

Berdasarkan nas ini, didapati terdapat dua jenis mukjizat dan bukannya satu iaitu mukjizat kefahaman nabi Sulaiman A.S. yang memahami amaran semut kepada kaumnya dan mukjizat kefahaman semut bahawa ini adalah nabi Sulaiman dan bala tenteranya. Mukjizat pertama merupakan ilmu pengetahuan, mukjizat yang diajarkan Allah kepada nabi Sulaiman sebagai seorang manusia dan nabi. Mukjizat pertama lebih dekat dengan baginda berbanding dengan mukjizat kedua yang terdapat pada percakapan semut. Mungkin semut beranggapan bahawa makhluk itu adalah makhluk yang lebih besar. Mereka boleh membinasakan warga semut apabila mereka memijaknya. Mungkin juga semut itu dapat melarikan diri dari sesuatu bahaya dengan daya kefahaman yang dijadikan Allah dalam tabiatnya untuk memelihara hidupnya tetapi untuk memahami bahawa orang-orang ini adalah nabi Sulaiman dan bala tenteranya tentulah merupakan satu kejadian istimewa yang luar biasa dan dapat dimasukkan ke dalam himpunan mukjizat dalam keadaan seperti ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 12/155-157)

Nabi Sulaiman taat kepada Allah dan selalu berdoa apabila mahukan sesuatu. Setelah permohonannya dimakbulkan, nabi Sulaiman sentiasa bersyukur dan tetap istiqamah di jalan Allah. Doa di atas bagus untuk dibaca agar kita dapat ilham untuk mensyukuri nikmat serta dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beramal soleh di dunia sehingga mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Berdoalah untuk rahmat Allah ke atas diri kita, bukannya untuk kekayaan harta benda dan wang semata-mata. Jangan lupa untuk mensyukuri nikmat rezeki kurniaan Allah seperti nabi Sulaiman yang sentiasa mensyukuri pemberian Allah terhadapnya. Allah menyukai hambaNya yang selalu bersyukur. Rezeki dan kejayaan adalah kurniaan Allah dan juga ujian untuk menguji kita apakah kita bersyukur kepada Allah atau sebaliknya. Kejayaan dan kemashuran seseorang tidak akan kekal selamanya jika tidak bersyukur. Sebaiknya ucapkanlah Alhamdulillah setiap kali mencapai kejayaan supaya diri mensyukuri sekecil-kecil nikmat yang diterima.

Bacaan Doa yang lain

Doa Ketika Ziarah KuburDoa Lembutkan Hati
Doa Masuk dan Keluar MasjidDoa Tolak Bala
Doa Dipermudahkan UrusanDoa Untuk Pengantin Baru
Doa Masuk dan Keluar RumahDoa Khatam Al-quran
Doa Mudah TidurDoa Ketika Sedih
Doa PengasihDoa Ketika Mimpi Buruk
Doa Agar Dicintai AllahDoa Ketika Lupa
Doa Majlis PerkahwinanDoa Penenang Hati
Doa Saidatina FatimahDoa Agar Hujan Berhenti

Sumber rujukan :

  1. Ini Doa Nabi Sulaiman Dalam Al Quran Untuk Jadi Kaya & Murah Rezeki Yang Ramai Tak Tahu – Inforakyat
  2. AL-KAFI # 887: KISAH SEMUT BERCAKAP DAN DOA NABI SULAIMAN AS – Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − four =