Doa Masuk Masjid dan Keluar Masjid Berserta Adab-adabnya

Doa Masuk & Keluar Masjid

Apakah bacaan doa masuk masjid dan doa keluar masjid? Artikel ini menyediakan panduan doa lengkap, rumi, terjemahan, serta garis panduan adab di dalam rumah Allah SWT yang perlu kita ketahui.

✦ ❧ ✦

Masjid di dalam bahasa Arab membawa maksud “tempat sujud”, iaitu tempat ibadat khusus buat umat Islam beriktikaf dan mendirikan solat berjemaah. Sejarah membuktikan kemajuan gerakan Islam bermula di masjid yang berfungsi sebagai pusat syura, ekonomi, perundangan, dan penyebaran ilmu.

Bagi menghormati institusi suci ini, Islam mendidik kita untuk melazimkan bacaan doa serta menjaga tertib adab ketika pergi, berada di dalam, dan sewaktu keluar dari masjid.

Doa Masuk Masjid

Berikut adalah doa masuk masjid versi lengkap mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW:

Doa Masuk Masjid Lengkap

أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ، وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيمِ، وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيمِ، مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي، وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Bacaan Rumi: A’udzu billahil-‘adhiimi, wa bi-wajhihil-kariimi, wa sulthaanihil-qadiimi, minasy-syaithaanir-rajiim. Allahummagh-fir lii dzunuubii, waftah lii abwaaba rahmatik

Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah yang Maha Besar, dengan wajah-Nya yang mulia, dan kekuasaan-Nya yang Qadim daripada gangguan syaitan yang direjam. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu.”

Doa Masuk Masjid (Versi Pendek)

اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Bacaan Rumi: Allahummaftah lii abwaaba rahmatik

Maksudnya: “Ya Allah, bukakanlah untukku pintu rahmat-Mu.”

Doa Keluar Masjid

Ketika melangkah keluar dari masjid, adalah disunnahkan untuk membaca doa memohon keutamaan daripada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ

Bacaan Rumi: Allahumma inni as-aluka min fadhlik

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon limpah kurnia (keutamaan) daripada-Mu.”

Kelebihan Memakmurkan Masjid

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan keistimewaan golongan yang memakmurkan masjid:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

“Hanyalah yang memakmurkan Masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah: 18)

Rasulullah SAW juga bersabda tentang kelebihan berjalan menuju solat berjemaah:

“Barang siapa berwuduk untuk solat, lalu dia menyempurnakan wuduknya, kemudian berjalan menuju solat fardu, lalu dia solat bersama manusia (bersama jemaah di masjid), nescaya Allah ampuni dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Adab-Adab Mengunjungi Masjid

1. Sebelum Masuk Masjid

  • Memastikan pakaian menutup aurat sepenuhnya dan bersih.
  • Memakai wangi-wangian (khusus bagi lelaki) sebagaimana anjuran Allah dalam Surah al-A’raf ayat 31: “Pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid.”

2. Ketika Masuk Masjid

  • Melangkah masuk menggunakan kaki kanan terlebih dahulu.
  • Membaca doa masuk masjid.
  • Memberi salam kepada jemaah yang berada di dalam masjid.

3. Semasa Di Dalam Masjid

  • Berniat iktikaf untuk beribadah kepada Allah SWT.
  • Mendirikan solat sunat Tahiyatul Masjid sebelum duduk.
  • Memperbanyakkan zikir, selawat, membaca al-Quran tanpa mengganggu ketenteraman jemaah lain.
  • Menjawab lafaz azan dan merendahkan nada suara.
  • Elakkan keluar masjid selepas azan berkumandang melainkan atas sebab syarie.
  • Elakkan daripada memakan makanan berbau busuk (seperti bawang/petai) sebelum ke masjid.
  • Menjaga kebersihan masjid dan mengawal pergerakan kanak-kanak yang dibawa bersama.
  • Elakkan aktiviti jual beli di dalam dewan solat utama.

4. Adab Ketika Keluar Masjid

  • Melangkah keluar bermula dengan kaki kiri.
  • Membaca doa keluar masjid.
  • Memberikan salam kepada orang yang masih berada di perkarangan masjid.

5. Adab Khas Buat Wanita

  • Tidak boleh memakai wangi-wangian yang mencolok hidung ketika ke masjid.
  • Wanita yang sedang haid atau nifas dilarang memasuki kawasan dewan solat utama.

Soalan Lazim Tentang Adab & Doa Masjid

Apakah doa masuk masjid versi ringkas?

Doa versi ringkas ialah: “Allahummaftah lii abwaaba rahmatik” yang bermaksud: “Ya Allah, bukakanlah untukku pintu rahmat-Mu.”

Kaki manakah yang patut digunakan untuk melangkah masuk?

Kita disunnahkan untuk melangkah masuk ke dalam masjid menggunakan kaki kanan dahulu dan keluar dari masjid menggunakan kaki kiri dahulu.

Bolehkah kanak-kanak dibawa ke dalam dewan solat masjid?

Boleh, namun ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab memastikan kanak-kanak tersebut menjaga tingkah laku dan tidak membuat bising agar tidak mengganggu kekhusyukan jemaah lain.

Sumber Rujukan

  1. Tribun Jabar. (2019). Doa Masuk dan Keluar Masjid, Lengkap Arab dan Latin, Memohon Dibukakan Pintu Rahmat.
  2. Wikipedia. Definisi & Peranan Masjid.
  3. Laman Web Masjid Wilayah Persekutuan. Adab Ketika Pergi Ke Masjid.
  4. Laman Web Jabatan Mufti Pulau Pinang. Irsyad Hukum Masjid dan Jemaah.
  5. Oke Muslim. (2020). Keutamaan Doa Masuk dan Keluar Masjid.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + 5 =