Skip to content

Abu Ubaidah Al Jarrah: Biodata & Kisah Hidupnya

Abu Ubaidah Al Jarrah

Siapakah Abu Ubaidah Al Jarrah? Artikel ini akan membincangkan biodata salah seorang sahabat yang dijanjikan masuk ke dalam syurga.

Siapakah Abu Ubaidah Al Jarrah ?

  1. Beliau termasuk dalam golongan para sahabat yang awal memeluk agama Islam dan juga termasuk ke dalam golongan 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga.
  2. Beliau merupakan sahabat kepercayaan Rasulullah SAW dan banyak mendapatkan misi-misi penting dari baginda.
  3. Beliau memiliki wajah yang berseri dan matanya bersinar bagaikan bulan purnama. Sifatnya yang selalu lemah lembut dan ramah membuatkan orang-orang bersimpati kepadanya. Akan tetapi jika sedang berada dalam suatu urusan yang penting, beliau berubah menjadi seperti singa yang siap menerkam buruannya.

Nama dan Salasilah Keluarga Abu Ubaidah

Nama sebenar Abu Ubaidah adalah Amir bin Abdullah bin Jarrah Al-Fikhry Al-Quraisy. Beliau berasal dari kaum Quraisy atau lebih tepatnya dari suku Al-Harith bin Fihr.

Lahirnya Abu Ubaidah Al-Jarrah

Abu Ubaidah lahir pada tahun 582 M di kota Mekah dan dilahirkan di sebuah keluarga Quraisy yang terhormat pada masa itu. Keluarganya berada di kalangan para pedagang di tanah Arab.

Masuknya Abu Ubaidah Ke Dalam Islam

Abu Ubaidah termasuk ke dalam golongan sahabat yang awal memeluk agama Islam. Sehari selepas Abu Bakar As-Shiddiq memeluk agama Islam beliau juga ikut mendapatkan hidayah untuk mengucapkan lafadz syahadat dan menjadi seorang muslim. Beliau memeluk Islam melalui ajakan dari Abu Bakar Ash-Shiddiq.

Kisah Abu Ubaidah Al-Jarrah Dengan Sifat Mulia

Pada suatu hari di Perang Uhud dan pada waktu ketika pasukan Islam sedang kacau balau dihantam balik oleh pasukan kafir Quraisy, banyak sekali orang-orang munafik yang bersembunyi dalam pasukan muslim pada saat itu melarikan diri dari medan perang. Lalu datanglah Abu Ubaidah dari jauh dengan berlari mendekati baginda Rasulullah SAW. Beliau berlari tanpa rasa ketakutan sedikit pun terhadap pasukan musuh.

Setibanya di samping Rasulullah SAW, beliau mendapati bahawa pipi Rasulullah SAW telah cedera disebabkan tertembusnya dua rantai besi pelindung kepala yang dipakai baginda lalu setelah itu Abu Ubaidah pun berusaha untuk segera mencabut kedua rantai tersebut dari pipi Rasulullah SAW. Beliau mencabut rantai besi tersebut dengan menggunakan giginya.

Ketika rantai pertama telah lepas dari pipi baginda, pada waktu yang sama juga giginya Abu Ubaidah pun lepas dari tempatnya. Namun dia tetap tidak putus asa sehingga membuatkan dia berusaha lagi untuk melepaskan rantai yang kedua itu. Beliau masih menggunakan giginya untuk mengeluarkannya. Sama seperti rantai pertama, ketika rantai terakhir itu keluar, pada waktu yang sama gigi Abu Ubaidah pun ikut lepas dari tempatnya untuk kedua kalinya dan membuatkan gigi depannya rongak. 

Wafatnya Abu Ubaidah Al Jarrah

Abu Ubaidah wafat pada tahun 18 Hijrah di Urdun yang terletak di dalam wilayah Syam dan pada saat itu beliau sudah berumur 58 tahun. Pada suatu hari wilayah Syam sedang dilanda wabak penyakit Taun. Beliau sempat dipanggil balik ke Mekah oleh khalifah Umar bin Al-Khattab namun beliau menolak panggilan tersebut kerana ingin bersama dengan pasukan muslimin yang berada di Syam bersamanya. Pada akhirnya beliau wafat disebabkan penyakit taun yang sedang menyebar luas di negeri Syam.

Sebelum wafat, beliau sempat berpesan kepada tenteranya, “Dirikanlah Solat kalian, tunaikanlah Zakat yang menjadi kewajiban kalian, berpuasalah kalian di bulan Ramadhan, bersedekahlah dengan harta kalian, tunaikanlah ibadah haji dan umrah dan janganlah lupa untuk saling menasihati sesama kalian. Berikanlah nasihat yang baik kepada pemimpin kalian, jangan pernah berbohong dan jangan pernah tertipu dengan kekayaan dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ajal bagi setiap manusia, oleh sebab itu seluruh manusia pasti akan mati. Orang yang beruntung di antara kalian adalah mereka yang paling taat kepada Allah SWT dan mempunyai banyak sekali bekalannya untuk dibawa ke akhirat. Assalamualaikum.”

Selepas beliau mengakhiri pesannya itu, beliau melihat kepada Muadz bin Jabal RA dan mengatakan, “Wahai Muadz! Imamkanlah solat mereka.” Selepas mengatakan itu, Abu Ubaidah pun menghembuskan nafas terakhirnya.

Semua pasukan muslimin pada saat itu sedih dan menangis, lalu bangkitlah Muadz bin Jabal mengambil alih tempatnya Abu Ubaidah dan beliau pun berucap di hadapan orang ramai. “ Wahai seluruh kaum Muslimin! Kalian sudah dikejutkan dengan berita kewafatan seorang pahlawan yang demi Allah SWT aku tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, memiliki pandangan yang jauh, lebih mencintai hari akhirat dan suka memberikan nasihat kepada orang-orang. Oleh kerana itu, kasihanilah beliau dan semoga kalian akan dikasihi Allah SWT.”

Abu Ubaidah dikebumikan di kawasan yang pernah beliau bebaskan dari kekuasaan Rom dan Parsi iaitu di Urdun dan sekarang adalah negara Jordan.

Hadis Berkaitan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah

Sebuah hadis tentang perkataan Rasulullah SAW yang menggambarkan betapa besarnya kepercayaan baginda terhadap Abu Ubaidah, pada waktu itu Rasulullah SAW memegang tangan Abu Ubaidah lalu bersabda,

إِنَّ لَكُمْ أُمَّةً أَمِيْنًا، وَإِنَّ أَمِيْنَ هذِهِ اْلأُمَّةِ أَبُوْ عُبَيْدَةَ بْنُ اْلجَرَّاحِ

“Sesungguhnya setiap umat memiliki orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.“

Kisah Sahabat yang lain

Abu Bakar As-SiddiqUmar Al Khattab
Uthman Bin AffanAli Bin Abi Thalib
Saad Bin Abi WaqqasSaid Bin Zaid
Zubair Bin AwwamTalhah Bin Ubaidillah
Mus’ab Bin UmairKhalid Al-Walid
Abu Ubaidah Al JarrahAnas Bin Malik
Abdul Rahman Bin AufZaid Bin Haritsah
Muadz Bin JabalBilal Bin Rabah
Hamzah Bin Abdul Mutallib

SUMBER RUJUKAN

  1. Kisah Sahabat Nabi: Abu Ubaidah bin Jarrah Pemimpin Kepercayaan Rasulullah – Detik.com
  2. Biodata dan Sejarah Abu Ubaidah – Sibukbudakkopiah
  3. Kisah SahabatL Abu Ubaidah Al-Jarrah
  4. Abu Ubaidah bin Jarrah dan Kepercayaan Rasulullah – Republika.co.id
  5. Abu Ubaidah Al-Jarrah – Ensiklopediamuslim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 − 8 =