Apakah hukum pakai bulu mata palsu? Artikel ini akan membincangkan dengan ringkas berkenaan hukum pakai bulu mata palsu ini sama ada ia boleh atau tidak.
Apakah itu Bulu Mata Palsu?
Pasang bulu mata palsu itu digelar sebagai eyelash extension. Eyelash extension ini ialah memanjang atau menebalkan bulu mata sedia ada dengan barangan seperti sintetik, bulu kuda dan sutera. Ini merupakan aktiviti kosmetik. Tujuannya ialah kecantikan.
Fesyen dalam Islam
Dalam perkembangan dunia kita ini, semuanya bergerak maju. Fesyen juga mendapat kesan. Semuanya hendak mengamalkan fesyen yang mengikut arus kemodenan. Orang Islam juga dituntut untuk mengikut perkembangan itu supaya tidak tertinggal dengan pihak lain.
Akan tetapi, ada perkara yang perlu diambil kisah. Bukan semua perkara itu halal. Dalam beragama, ada hal-hal yag perlu diambil perhatian juga seperti aurat.
Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan.” (Hadis riwayat Muslim)
Imam Al-Munawi dalam kitabnya Faidhul Qadir mengatakan ‘kecantikkan’ ialah satu tuntutan kepada manusia untuk mempercantikkan dirinya dengan sebaiknya. Baik dalam berfesyen dan sebagainya. Allah itu sukakan kecantikan/keindahan. Kecantikan itu, tidaklah patut ia melanggar aurat.
Rasulullah bersabda:
“Dua jenis manusia yang akan menjadi ahli neraka, yang mana aku tidak sempat melihat mereka, (kerana tidak ada pada zamanku. Mereka ini akan lahir pada akhir zaman). Yang pertama, ialah golongan yang memegang alat sebatan seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (melakukan kezaliman). Dan golongan kedua ialah kalangan perempuan berpakaian tetapi bertelanjang, pakaian yang menggodakan, pakaian yang nipis, pakaian yang ketat; di atas kepala mereka dihias. Rambutnya laksana bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk ke dalam syurga, bahkan tidak dapat menghidu dan mencium keharumannya, walaupun baunya syurga itu dapat dihidu dari jauh.” (Hadis riwayat Muslim)
Bagi wanita yang nak berpakaian cantik, hendaklah dia menjaga auratnya dengan sempurna. Aurat itu pula haruslah dipakai dengan longgar, janganlah sampai nampak bentuk tubuh badannya.
Fesyen itu tidak salah. Tetapi, individu yang nak berfesyen itu yang perlu menjaga halal-haramnya. TIbalah masanya orang Islam pula membawa alternatif fesyennya sendiri. Bukanlah setiap masa nak ikut apa yang diusulkan oleh orang Barat sahaja. Orang Islam harus mempunyai identiti sendiri. Hentikanlah asyik mengikut-ikut. Jadilah lebih kreatif dan inovatif dalam mempersembahkan fesyen yang patuh syariah pula.
Hukum Pakai Bulu Mata Palsu
Sambung bulu mata palsu ini tidaklah wujud pada zaman Rasulullah. Jadi, ulama berbahas akan hal ini dengan analogi-analogi tertentu supaya dapat mengeluarkan hukum yang tepat.
Majoriti ulama mengatakan sambung bulu mata palsu ini hukumnya haram. Hal ini dikiaskan dengan hukum menyambung rambut. Haram untuk sambung rambut sama ada yang betul mahupun yang palsu.
Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah mengadu rambut anaknya keguguran. Rasulullah bersabda:
“Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).” (Hadis riwayat Muslim)
Imam An-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim mengatakan yang hadis ini menceritakan seorang wanita itu haram bagi menyambung rambutnya secara mutlak. Tidak kisahlah bagaimana, asalkan ianya perbuatan menyambung rambut, maka ianya haram. Inilah pandangan yang paling kuat.
Lain pula yang disebut oleh Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Wasit. Haramnya menyambung rambut itu bukanlah mutlak, tetapi apabila ianya:
- Sambung rambut orang lain (rambut manusia).
- Bahan itu berasal daripada bahan-bahan bernajis
Jadi, bagi beliau, harus untuk sambungkan rambut sekiranya terlepas daripada kedua-dua syarat di atas.
Hukum pakai bulu mata palsu ini sama dengan hukum menyambung rambut. Nak pastikan keharusan memakai bulu mata palsu ini ada banyak syarat-syarat yang perlu dipatuhi antaranya:
- Tidak daripada bahan najis
- Kecantikan bagi yang halal (untuk suami misalnya)
- Tidak menghalang air wuduk/air junub untuk lalu di permukaan badan
Sekiranya takut tidak dapat menunaikan syarat-syarat ini, maka hendaklah ditinggalkan sahaja perbuatan ini. Sekiranya mampu, hukumnya harus memakai bulu mata palsu.
Kesimpulan
Ramai ulama mengharamkan memakai bulu mata palsu kerana menyamakan keadaannya dengan menyambung rambut. Ada juga yang mengharuskannya tetapi bersyarakat seperti bahan bukan najis, boleh diratakan air wuduk/junub dan kecantikan bagi yang halal seperti berhias untuk suami.
Kalau mahu mengelakkan diri daripada kemuduratan, eloklah ditinggalkan sahaja ‘fesyen’ begini. Amalkan fesyen yang jelas-jelas halal. Itu lebih menyelamatkan diri. Sekiranya mampu melepaskan diri daripada syarat-syarat haramnya, maka haruslah.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan
- Are eyelash extensions Haram? – The complete guide • Muslimversity. (2020, June 6). Muslimversity.
- Eyelash extensions. (2007, March 30). Wikipedia, the free encyclopedia. Retrieved June 2, 2021,
- Nazrul. (n.d.). Berfesyen menurut syarak. Utama. Pusat Islam USM