Skip to content

10 Khasiat Ikan Haruan Kepada Kesihatan

khasiat ikan haruan

Apakah khasiat ikan haruan kepada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat ikan haruan, kandungannya berserta kompaun penting di dalamnya.

Pengenalan

Ikan haruan atau juga dikenali sebagai Snakehead (Channa striatus) ialah sejenis ikan air tawar atau ikan darat yang telah digunakan secara tradisional sebagai penyembuh luka berdekad yang lalu sehingga hari ini. Ikan haruan sangat dikenali bukan hanya di Malaysia namun juga telah dikenali di negara-negara Asia Tenggara.

Di Malaysia, masyarakat mempercayai bahawa dengan mengambil ikan haruan di dalam diet selepas melahirkan anak membantu mempercepatkan penyembuhan luka. Namun, adakah anda tahu bahawa khasiat dan kebaikan ikan haruan bukan sahaja membantu proses penyembuhan luka, malah lebih banyak lagi khasiat ikan haruan.

Kandungan Nutrisi

Ikan haruan mengandungi nutrisi yang banyak. Antaranya ialah tinggi dengan sumber protein, dan rendah lemak. Manakala bagi vitamin, ianya tinggi dalam vitamin B3 atau Niacin. Malah, ikan haruan tinggi dalam mineral seperti kalsium, zat besi, fosforus dan kalium yang penting untuk tubuh badan.

NutrienIkan Haruan (100g)Ikan Haruan (143g)/ 1 Ekor Sederhana
Kalori (kcal)87125
Karbohidrat (g)00
Protein (g)18.426.4
Lemak (g)1.52.15
Kalsium (mg)3652
Zat Besi (mg)1.42.01
Fosforus (mg)189271
Kalium (mg)323463
Natrium (mg)2029
Niacin / Vitamin B3 (mg)2.33.3

*Berdasarkan 100g ikan haruan mentah dan 1 ekor saiz sederhana mentah (143g)

Kandungan Berkhasiat dalam Ikan Haruan

1. Asid Amino

Ikan haruan mempunyai kandungan berkhasiat seperti asid amino. Asid amino yang terdapat dalam ikan haruan ialah asid glutamik, arginin, asid aspartik, glisina dan lysine. Kandungan asid amino yang tinggi di dalam ikan haruan ini membantu proses penyembuhan luka agar berlaku dengan lebih cepat.

2. Asid Lemak  

Asid lemak yang terdapat di dalam haruan seperti asid arakidonik, asid palmitik, docosahexaenoic acid juga membantu dalam penyembuhan luka dengan memulakan sintesis kolagen dan proses pembuatan semula tisu yang telah rosak. Ikan haruan juga tinggi dengan PUFA (polyunsaturated fatty acid), dimana PUFA mengatur sintesis prostaglandin yang membantu penyembuhan luka. Kekurangan komponen prostaglandin akan menyebabkan proses penyembuhan luka dengan lambat.

10 Khasiat Ikan Haruan Pada Kesihatan

1. Membantu penyembuhan luka kepada ibu bersalin

Ibu bersalin dalam masyarakat di Malaysia menggunakan ikan haruan sebagai rawatan tradisional selepas bersalin. Mereka mempercayai dengan mengambil ikan haruan dapat menyembuhkan luka ketika bersalin, seperti luka dalaman mahupun luka luaran.

Di dalam satu kajian antara ibu yang melahirkan, mereka mendapati luka bertambah baik bagi ibu yang mengambil pati ikan haruan berbanding ibu yang tidak mengambilnya. Kajian ini juga mendapati, ibu yang mengambil ikan haruan berpuas hati terhadap penampilan luka mereka.

Namun begitu, pati haruan perlu diambil secara sederhana kerana sekiranya diambil berlebihan akan menyebabkan parut yang besar kelak.

2. Bertindak sebagai Anti-Bakteria

Anti-bakteria perlu seiring dengan proses penyembuhan luka. Kajian mendapati ikan haruan dalam bentuk cecair semburan pada luka dapat membantu penyembuhan luka dan dapat mengelakkan jangkitan bakteria pada luka tersebut

Malah, terdapat kajian menunjukkan sifat anti bakteria terhadap bakteria Aeromonas hydrophila, Vibrio anguillarum dan Pseudomonas aeruginosa.

3. Bersifat seperti ubat tahan sakit

Asid lemak yang terkandung di dalam ikan haruan mampu menghalang rasa sakit dengan memodulasi kesakitan di dalam celah sinaps. Modulasi yang dilakukan mampu mengurangkan rasa kesakitan.

Hal ini kerana, Arachidonic acid yang terkandung di dalam ikan haruan mampu memberikan perubahan positif kepada kesakitan yang ditanggung oleh ibu yang melahirkan secara Caesarean.

4. Menggurangkan risiko sakit jantung

Ikan haruan mampu menggurangkan risiko mendapat sakit jantung kerana mempunyai Arachidonic acid. Arachidonic acid di dalam ikan haruan yang di ambil sebagai makanan tambahan mampu digunakan sebagai langkah menghindarkan penyakit berkaitan jantung.

DHA dan EHA yang terkandung di dalam ikan haruan juga mampu menggurangkan risiko sakit jantung. Malah, kajian mendapati penggambilan PUFA secara konsisten mampu mengurangkan risiko penyakit jantung yang boleh membawa maut.

Namun begitu, saranan pengambilan pati ikan haruan atau minyak ikan bagi pesakit jantung perlu mendapatkan saranan daripada doktor terlebih dahulu.

5. Menggurangkan risiko kemurungan

Ikan haruan mempunyai pengaruh pada sistem serotonin. Seperti umum mengetahui fungsi hormon serotonin sebagai hormone bahagia. Kajian mendapati pengambilan ekstrak kulit haruan boleh memberi kesan kepada sistem neurotransmitter.

Serotonin kebanyakkannya berada pada sistem penghadaman dan juga pada platlet darah walaupun penghasilan serotonin berlaku di otak sehingga mampu meningkatkan emosi, perilaku, serta mampu mengawal rasa lapar. Malah, ikan haruan juga berpotensi sebagai rawatan kepada pencegahan kemurungan.

6. Menggurangkan kesakitan sendi

Ikan haruan mempunyai sifat antiradang. Dimana, antiradang berfungsi untuk mengurangkan kesakitan khususnya pada otot dan sendi. Sakit sendi seperti osteoartritis yang mempunyai kehilangan rawan  di antara tulang sendi berlaku selalu dalam kalangan warga yang sudah berumur.

Kajian mendapati ikan haruan mampu mengurangkan kesakitan radang sendi dan otot pada tikus. Hal ini disokong dalam satu kajian lain mengatakan berlakunya pengurangan bengkak dan keradangan pada tisu synovial.

Kajian ini telah dilakukan pada tikus yang mempunyai penyakit radang sendi. Namun begitu, penyelidikan terhadap manusia masih belum meluas lagi.

7. Kebaikan kepada kulit

Kebanyakan orang menghadapi masalah kulit seperti jerawat, jangkitan pada kulit, alahan dan proriasis. Ikan haruan dengan kehadiran DHA iaitu asid lemak perlu yang bertanggungjawab membantu masalah penyakit kulit dan menambah baik kulit.

Asid lemak perlu ini juga menggurangkan keradangan pada kulit serta menggurangkan simtom masalah kulit yang dihadapi. Kajian mendapati pengambilan minyak ikan sebagai makanan tambahan dapat menggurangkan simptom masalah kulit.

8. Bertindak sebagai Anti Kulat

Kulat atau fungus merupakan sejenis kuman yang hidup di merata tempat serta terdapat di bahagian tubuh badan kita seperti kulit, rambut serta kuku. Kulat sangat menyukai tempat yang lembab dan hangat.

Oleh itu, dengan menjaga kebersihan diri mampu mencegah daripada jangkitan kulat. Namun sekiranya mendapati jangkitan kulat boleh menggunakan ubat antikulat secara krim atau gel mahupun ubat anti-septik.

Kajian mendapati ekstrak ikan haruan bersama etanol dijadikan ubat antikulat mampu melawan kulat seperti Aleurisma keratinophilum, Cordyceps militaris, Neurospora crassa, dan Botrytis pyramidal.

9. Mempunyai sifat Antioksidan yang tinggi

Ikan haruan mempunyai antioksidan yang sederhana berbanding ikan air tawar yang lain. Kajian mendapati ikan haruan memepunyai 5.7 kali antioksidan aktiviti berbanding asid askorbik. Setiap bahagian ikan haruan mempunyai nilai antioksidan.

Namun terdapat bahagian ikan haruan yang mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi seperti telur ikan haruan daging ikan haruan, insang dan kulit ikan haruan. Semakin tinggi kepekatan ekstrak ikan haruan, semakin baik antioksidan aktiviti.

10. Kaya dengan sumber protein.

Seekor ikan haruan bersaiz sederhana mempunyai protein sebanyak 26.4g. Dimana, seekor ikan tersebut sudah mempunyai 3 pertukaran protein. Protein sangat berguna untuk pertumbuhan tisu-tisu di dalam tubuh badan kita serta penting dalam proses pembuatan hormon. Sekiranya hormone tidak stabil, fungsi tubuh badan akan terganggu. 

Kesimpulan

Ikan haruan memepunyai kebaikan yang tersendiri dan mempunyai nilai yang tinggi dalam dunia perubatan. Kebaikan yang paling utama dalam penyembuhan luka.

Namun begitu, penyembuhan luka tidak tertakluk kepada ikan haruan sahaja tetapi setiap protein membantu penyembuhan luka agar sembuh dengan lebih cepat. Oleh itu, pengambilan protein selain daripada ikan haruan perlu ditingkatkan seperti ayam, ikan, telur, tauhu, temped an kacang.

Namun begitu, bagi sesetengah individu yang mempunyai penyakit yang tidak berjangkit (NCD) perlu mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan sebelum mengambil sebarang makanan tambahan.

Rujukan

  1. Sahid, N. A., Hayati, F., Rao, C. V., Ramely, R., Sani, I., Dzulkarnaen, A., Zakaria, Z., Hassan, S., Zahari, A., & Ali, A. A. (2018). Snakehead Consumption Enhances Wound Healing? From Tradition to Modern Clinical Practice: A Prospective Randomized Controlled TrialEvidence-based complementary and alternative medicine : eCAM2018, 3032790.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × five =