Apakah perkara yang membatalkan solat? Artikel ini akan membahaskan 11 perkara yang membatalkan solat. Sebelum itu, mari kita belajar terlebih dahulu tentang solat.
Pengenalan
Allah berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 103:
Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman dalam waktu yang ditentukan.
Solat merupakan tiang agama. Barang siapa yang tidak solat, maka dia telah meruntuhkan agamanya.
Banyak ayat dalam al-Quran yang menyatakan tentang kejayaan mereka yang mengerjakan solat dengan khusyuk dan sebagainya.
Solat itu juga menjadikan kita jauh daripada kemungkaran.
Allah berfirman dalam Surah al-Ankabut ayat 45:
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain) dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Sekiranya kita bersolat, tetapi tetap juga melakukan kemungkaran, maka kita perlu periksa kembali kualiti solat kita. Apakah kita benar-benar menghayati solat itu atau tidak?
Terdapat beberapa perkara yang kita perlu selesaikan sebelum menunaikan solat. Antaranya, berwuduk, menutup aurat dan sebagainya.
Tanpa semua ini, solat kita akan jadi tidak sah. Solat terdapat syarat-syaratnya, rukun-rukunnya. Ia perlu diselesaikan dahulu.
Perkara yang membatalkan solat
Dalama artikel, akan dibahaskan 11 perkara yang membatalkan solat.
11 perkara yang membatalkan solat ini ditulis oleh Dato’ Ismail Kamus dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat.
11 perkara itu adalah seperti berikut:
1. Berkata-kata dengan sengaja
Kita tidak boleh berkata-kata dengan sengaja ketika solat, ia membatalkan solat. Kita hanya boleh membaca zikir, berdoa dan sebagainya.
Kalau melatah, adakah ia membatalkan solat?
Menurut fatwa Wilayah Persekutuan, melatah dianggap sebagai sabqu lisan, iaitu terlepas cakap. Ia merupakan perkara yang tidak disengajakan. Maka, solat tidak terbatal.
Boleh tak kita berdoa dalam bahasa Melayu ketika solat?
Dalam hati, boleh. Kalau dilafazkan, tidak boleh.
Sebab, solat merupakan perkara yang taabbud dan tauqifi. Ia berlandaskan apa yang ditunjuk oleh Rasulullah secara bulat-bulat. Ia tidak boleh direka sendiri dan sebagainya.
2. Menambah atau mengurangkan perbuatan rukun solat
Solat merupakan perkara yang dituntut dalam agama dan ia bersifat taabbud. Tidak ada kerasionalan untuk menjelaskan solat ini. Ia secara mutlak dipandu oleh wahyu dan dimanifestasi oleh Rasulullah.
Rasulullah bersabda:
Solatlah kalian seperti mana kalian melihat aku solat. (Riwayat Bukhari)
3. Kedatangan hadas
Sama ada hadas kecil atau hadas besar.
Hadas kecil seperti tiada wuduk, disebabkan kentut, kencing dan sebagainya. Kalau kita sedang melakukan solat, tiba-tiba kita kentut, maka batallah solat tersebut. Kita wajib ulang kembali solat tadi.
Bukan itu sahaja, hadas besar pun boleh membatalkan solat, contohnya datangnya haid.
4. Najis yang tidak dapat dimaafkan
Kalau najis kering terjatuh pada pakaian dan boleh dibuang begitu sahaja, tidaklah terbatal solat. Tetapi, kalau najis yang basah contohnya buang air besar ketika solat, maka batallah solat kita.
Apa hukum solat kita sekiranya kita ini ada penyakit dan penyakit itu membuatkan kita terkecing, terberak dan terkentut?
Lihat kepada keadaan sakit itu sendiri. Kalau sakit itu memang betul-betul tidak boleh elak dan ia datang pada waktu-waktu yang tidak sengaja, kita boleh meneruskan solat sehingga habis.
5. Terbuka aurat
Terbuka aurat seperti ditiup angin lalu kita menutupinya dengan cepat, maka tidaklah membatalkan solat. Tetapi kalau sudah lama terbuka aurat, maka terbatallah solat kita. Contohnya, ketika solat, anak kita bermain menarik kain kita dan sebagainya. Bila aurat terbuka, kita buat tak endah. Ini membatalkan solat.
6. Dada tidak menghadap kiblat
Kita dimakruhkan untuk memandangkan kiri, kanan, atas, dan bawah menggunakan mata kepala kita. Tetapi, kalau dada ikut sekali dengan mata kita lalu tidak mengadap kiblat, terbatallah solat kita.
7. Mengubah niat
Niat menentukan amalan kita sah atau tidak sah, berkualiti, atau kurang berkualiti. Tanpa niat yang betul, maka terbatallah amalan itu. Contohnya, kita hendak solat Zuhur, tetapi niatnya solat Asar, maka solat itu tidaklah jadi solat Zuhur.
Ini juga berlaku ketika dalam solat. Contohnya, dalam hati sudah terdetik untuk meninggalkan solat walaupun sedang bersolat. Situati ketika gempa bumi. Kita sedang bersolat. Dalam hati, kita fikir hendak keluar menyelamatkan diri. Maka, batallah solat itu.
8. Makan
Bersihkan mulut kita sebelum solat. Segala sisa makanan yang ada di celah gigi itu juga, apabila kita menelannya ketika solat, boleh membatalkan solat.
9. Minum
Kecuali air liur.
10. Mengeluarkan suara lain selain bacaa solat
Contohnya, ketawa.
11. Murtad
Barang siapa yang tiba-tiba murtad dan tidak percaya Islam ketika solat, batallah solatnya itu kerana dia sudah tidak Islam.
Rujukan
1. Ismail Kamus. (2009). Indahnya Hidup Bersyariat. Telaga Biru.