Skip to content

Khulafa Ar Rasyidin: Sejarah Pemerintahan

khulafa ar rasyidin

Bagaimanakah sejarah pemerintahan zaman Khulafa Ar Rasyidin? Artikel ini akan membahaskan sejarah pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin secara ringkas.

Pengenalan

Ketika Rasulullah SAW wafat, baginda tidak menamakan siapa-siapa pun sebagai pengganti baginda. Sama ada Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Hasan, Husein, atau lain-lain.

Disebabkan itu, ramai puak mengajukan tokoh yang mereka rasa layak memegang tanggungjawab kekhalifahan. Berlakunya syura ataupun mesyuarat besar-besaran untuk menentukan siapa yang patut memimpin umat Islam sesudah Rasulullah SAW.

Pelantikan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan dan Ali Bin Abi Talib sebagai empat khalifah selepas zaman Rasulullah merupakan persetujuan ramai. Mereka merupakan sahabat Rasulullah yang paling rapat dan mempunyai ketokohan yang besar dalam agama Islam.

Contohnya, Abu Bakar, beliau dikhabarkan sama akhlaknya seperti baginda Rasulullah SAW. Betapa beliau cintakan Rasulullah SAW sehingga mengikuti segala sunnah baginda.

Apa yang dipimpin oleh Khulafa’ ar-Rasyidin?

Dua tugas:

  1. Tugas agama
  2. Tugas politik

Rasulullah SAW itu merupakan Rasul dan Nabi akhir zaman. Tidak akan ada lagi Rasul atau Nabi selepas baginda. Maka, tugas agama yang dipikul oleh khalifah seterusnya itu merupakan tugas untuk memelihara agama agar ia tidak hilang dalam diri orang Islam umumnya.

Bukan itu sahaja, khalifah seterusnya perlu menguruskan kemaslahatan rakyatnya dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya agar terus membangun.

Pemilihan Khulafa’ ar-Rasyidin ini sangat demokratik. Ia dipilih lalu dibaiat iaitu sumpah setia terhadap khalifah.

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq (11-13 Hijrah/ 632-634 Masihi)

Selepas kewafatan baginda Rasulullah, para Muhajirin dan Ansar berkumpul di Kota Bani Saidah untuk membincangkan siapa yang layak menjadi pemimpin mereka. Setiap di antara mereka ada nama-nama yang mereka tolak untuk menjadi khalifah.

Akhirnya, Abu Bakar as-Siddiq yang terpilih. Mereka berbaiat kepada beliau.

Sebaik sahaja beliau dipilih, beliau pun berucap:

“Wahai manusia! Aku telah diangkat untuk mengendalikan urusanmu, padahal aku bukanlah orang yang terbaik di antaramu. Maka jikalau aku dapat menunaikan tugasku dengan baik, ikutlah aku, tetapi jika aku berlaku salah, maka luruskanlah! Orang yang kamu anggap kuat, aku pandang lemah sampai aku dapat mengambil hak dari padanya. Sedangkan orang yang kamu lihat lemah, aku pandang kuat sampai aku dapat mengembalikan haknya kepadanya. Maka hendaklah kamu taat kepadaku selama aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya, namun bilamana aku tiada mematuhi Allah dan Rasul-Nya, kamu tidak perlu mematuhiku. Dirikanlah (untuk) solat, semoga rahmat Allah meliputi kamu.”

Ketika zaman Abu Bakar menjadi khalifah, ramai pemberontak yang murtad dan enggan membayar zakat. Ada juga di antara mereka yang mengaku Nabi. Jadi, Abu Bakar banyak menghantar tentera untuk memerangi mereka. Disebabkan ini, ramai penghafal al-Quran yang meninggal dunia.

Saidina Umar pun mengusulkan untuk membukukan al-Quran kerana takut nanti berlaku kehilangan.

Abu Bakar pada awalnya tidak bersetuju, tetapi atas dasar maslahat, beliau bersetuju.

Zaid Bin Thabit bertanggungjawab mengumpul tulisan al-Quran untuk dibukukan.

Sumbangan zaman Abu Bakar ialah peluasan empayar Islam.

Abu Bakar memimpin selama dua tahun sahaja kerana beliau meninggal dunia.

Umar al-Khattab (13-23 Hijrah/634-644 Masihi)

Selepas kematian Abu Bakar, Umar al-Khattab naik menjadi khalifah seterusnya. Pada zaman kepimpinan beliau pula, empayar Islam lebih luas sehingga Iraq, Palestin, Mesir dan lain-lain.

Umar al-Khattab ditikam ketika solat Subuh oleh seorang Majusi yang bernama Abu Lu’lu’ah. Beliau disuruh oleh kaum Majusi untuk membunuh Umar al-Khattab.

Antara teladan yang ditunjukkan oleh Umar al-Khattab adalah menghukum dengan adil. Contohnya, beliau pernah menangguhkan hukuman hudud kerana musim kemarau, ramai orang lapar dan ada kecenderungan untuk mencuri makanan. Betapa Umar al-Khattab merupakan seorang yang empati akan rakyatnya.

Uthman Bin Affan (23-35 Hijrah/644-656 Masihi)

Uthman banyak berjasa dari segi pembangunan masjid-masjid, kota-kota dan tempat menahan banjir.

Cuma, ramai yang kecewa kepadanya kerana beliau mengangkat ahli keluarga memegang jawatan jawatan penting.

Namun, pada zaman Uthman inilah berlakunya penyatuan bacaan al-Quran. Dulu, ramai orang yang membaca al-Quran mengikut dialek masing-masing. Ini yang kita pelajari dalam ilmu qiraat.

Uthman meninggal dunia dibunuh oleh pemberontak ketika sedang membaca al-Quran di rumah.

Ali Bin Abi Talib (34-40 Hijrah/656-661 Masihi)

Ketika ini, pemberontak masih menguasai Madinah. Terdapat sahabat yang menamakan Ali Bin Abi Talib mengganti jawatan khalifah tetapi beliau menolaknya. Sehinggakan Zubair bin Awwam dan Talhah Bin Ubaidillah meminta beliau menjadi khalifah, akhirnya Ali menerima baiat mereka.

Disebabkan tidak puas hati dengan kematian Uthman, maka pemberontak melawan Ali. Terjadinya perang Siffin antara Ali dan Muawiyah di Siffin.

Sehingga mereka berdamai lalu memberikan jawatan khalifah kepada Muawiyah.

Ali Bin Abi Talib meninggal dunia selepas dibunuh oleh seorang Khawarij iaitu Ibn Muljam yang berasa beliau sebagai pengkhianat.

Kesimpulan

Ketika zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, berlakunya perkembangan yang pesat. Islam sampai ke negara-negara yang belum pernah ia sampai.

Sejarah Kerajaan / Pemerintahan Islam Lain

Rujukan

  1. Ely Zainudin. Peradaban Islam pada Masa Khulafa’ ar-Rasyidin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two + 17 =