Nabi Idris AS ialah salah seorang rasul dan nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke siratul mustaqim. Nabi Idris merupakan rasul kedua daripada 25 rasul yang wajib diimani oleh umat Islam.
Baginda ialah generasi keenam setelah Nabi Adam a.s. dan nama baginda sehingga manusia pertama itu ialah Idris bin Yarid bin Mahlail bin Qainan bin Anusy bin Syits bin Adam a.s.. Menurut Ibnu Kathir dalam kitabnya Qhasasul Anbiya’, beliau mengatakan bahawa Nabi Idris a.s sempat bertemu dengan Nabi Adam. Ini menggambarkan bahawa enam generasi dapat bertemu antara satu sama lain.
Di dalam beberapa kitab kisah para anbiya, Nabi Idris a.s. merupakan manusia pertama yang pandai menulis, menguasai ilmu bahasa dan memiliki kepakaran dalam menjahit baju. Baginda juga disifatkan sebagai seorang yang sangat jujur dan penyabar seperti firman Allah di dalam kitab suci al-Quran:
وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقاً نَّبِيّاً)سورة مريم، آية (56
Maksudnya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi.
Allah SWT juga berfirman:
وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ)سورة الأنبياء، الآية 85(
Maksudnya: Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
JIHAD NABI IDRIS A.S.
Menurut sebuah kisah, terdapat suatu masa yang kebanyakan manusia telah melupakan Tuhan, dan mereka telah dihukum dengan kemarau. Namun, baginda a.s. telah berdoa kepada Allah SWT dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan turunnya hujan.
Sesetengah riwayat menyatakan bahawa baginda bermukim sementara di Mesir. Baginda berdakwah di sana untuk mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta memberikan beberapa panduan hidup bagi umatnya agar menyelamatkan diri daripada seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia.
Syariat yang dibawanya ialah Jihad iaitu memerangi pengikut Qabil yang melakukan kerosakan di muka bumi pada waktu itu. Baginda ialah pelopor kepada Jihad.
NABI IDRIS A.S MERASAKAN KEMATIAN, SYURGA DAN NERAKA
Kisah Nabi Idris A.S merupakan kisah yang sarat dengan peringatan bagi umat Islam. Sebagai yang terpilih, baginda telah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasakan kematian, melihat syurga, dan melihat neraka.
1. Kematian
Pada suatu hari, Nabi Idris A.S telah didatangi oleh Malaikat Izrail yang mahu menziarahinya dengan izin Allah. Lalu baginda A.S pun meminta Malaikat Izrail melakukan sesuatu, “Wahai Malaikat Izrail, aku ingin meminta kepada kamu untuk mencabut nyawaku dan kemudian Allah SWT menghidupkanku kembali sehingga aku dapat beribadah semula kepadaNya setelah aku merasakan sakaratul maut.”.
Malaikat Izrail lalu menjawab, “Dengan nama Allah sesungguhnya aku tidak akan mencabut nyawa seseorang itu tanpa izinNya.”. Maka, Allah menurunkan keizinan kepada Malaikat Izrail untuk mencabut nyawa Nabi Idris A.S.
Setelah sakaratul maut itu, maka baginda dihidupkan semula lalu ditanyakan oleh Malaikat Izrail, “Wahai Idris Nabi Allah, bagaimana rasanya sakaratul maut itu?”.
Kata Nabi Idris A.S, “Sesungguhnya sakaratul maut itu terasa seperti binatang yang disiat kulitnya hidup-hidup dan begitulah rasanya sakaratul maut malah seribu kali lebih sakit.”.
2. Neraka
Nabi Idris memiliki hajat lain dengan berkata kepada Malaikat Izrail, “Aku berkeinginan untuk melihat Neraka supaya aku boleh beribadah kepada Allah SWT dengan lebih khusyuk.”.
“Bagaimana aku mampu membawa kamu ke Neraka tanpa izin Allah?”, jawab Malaikat Izrail terhadap permintaan baginda. Maka Allah Azzawajal pun memberikan keizinan kepada mereka. Setibanya mereka di pintu Neraka, baginda A.S terkejut dan pengsan kerana melihat wajah Malaikat Malik si penjaga Neraka. Wajahnya sangat menyeramkan tambahan lagi dengan kedahsyatan keadaan Neraka yang memiliki pelbagai bentuk penyeksaan.
3. Syurga
Setelah baginda kembali sedar, baginda bertanya lagi kepada Malaikat Izrail, “Bolehkah aku melihat syurga supaya sku dapat menambah lagi ketaatan kepada Allah SWT?”. Maka Allah memberikan keizinan kepada Malaikat Izrail untuk membawa Nabi Idris A.S ke Syurga dan disambut dengan salam oleh Malaikat Ridwan.
Selepas melihat betapa indahnya keadaan Syurga itu, maka baginda A.S meminta kepada Malaikat Izrail untuk membawanya masuk lalu diizinkan juga oleh Allah SWT. Ketika berada di dalamnya, baginda meletakkan kasutnya di bawah sebuah pohon dan apabila mereka mahu keluar daripada Syurga, lantas baginda A.S berkata, “Wahai Malaikat Izrail, kasutku tertinggal di bawah sebatang pohon di dalam Syurga, izinkanlah aku untuk mengambilnya.”.
Namun begitu, Nabi Idris A.S enggan untuk keluar semula dari Syurga kerana nikmatnya yang tidak ternilai lalu berkata, “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian dan sesungguhnya aku telah merasainya.”. Maka, Allah SWT pun mengizinkannya untuk menjadi penghuni Syurga yang indah abadi.
RAHSIA DI SEBALIK KISAH
Pengajaran dan Pesanan
- Apabila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah hatimu begitu juga dalam setiap ibadah dan amalanmu.
- Kesabaran yang disertakan dengan iman kepada Allah membawa kepada kejayaan.
- Hindarilah penyakit hati yang cinta akan dunia dan takut akan kematian.
- Balasan Syurga itu pasti bagi orang-orang yang melakukan kebaikan di muka bumi ini seperti berjihad, beribadah dan menyebarkan kebaikan.
- Barangsiapa yang melampaui kesederhanaan, tidak ada sesuatu pun yang akan memuaskannya.
Kisah Nabi yang lain
Nabi Adam | Nabi Idris |
Nabi Nuh | Nabi Hud |
Nabi Soleh | Nabi Ibrahim |
Nabi Luth | Nabi Ismail |
Nabi Ishak | Nabi Yaakub |
Nabi Yusuf | Nabi Ayub |
Nabi Syu’aib | Nabi Musa |
Nabi Harun | Nabi Zulkifli |
Nabi Daud | Nabi Sulaiman |
Nabi Ilyas | Nabi Ilyasa |
Nabi Yunus | Nabi Zakaria |
Nabi Yahya | Nabi Isa |
Nabi Muhammad |