Skip to content

Mus’ab Bin Umair. Sahabat yang Meninggalkan Kekayaan

kisah mus'ab bin umair

Ini yang perlu anda tahu mengenai sahabat Rasulullah bernama Mus’ab Bin Umair: Beliau merupakan seorang sahabat yang tersohor dengan kekayaan dan kekacakannya.

Mus’ab merupakan seorang Quraish yang dibesarkan dalam keluarga yang memiliki kemewahan dan hidup di dalam keselesaan.

Selain bermewahan, Mus’ab juga merupakan seorang yang sangat kacak. Beliau terkenal di kalangan wanita kerana paras rupa dan personalitinya yang menarik.

Agak ironi, bagaimana seorang yang mempunyai status yang popular pada masyarakat Jahiliyah menjadi seorang pejuang dan penyebar Islam yang sangat banyak berjasa kepada Islam?

Keislaman Mus’ab Bin Umair

Keislaman Mus’ab bermula apabila pada satu hari beliau mendapat khabar bahawa terdapat seorang nabi yang mengajak kepada agama yang benar.

Nabi itu adalah seorang pemuda Quraish berketurunan Bani Hasyim bernama Muhammad Al-Amin, seorang yang mahsyur dengan sifat amanahnya.

Dari berita yang sampai kepadanya, Mus’ab mengetahui bahawa Muhammad selalunya bersama dengan pengikutnya berkumpul di rumah Arqam bin Abi Arqam.

Jadi kerana sifat ingin tahunya yang meninggi, Mus’ab telah pergi ke rumah itu. Di situ Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam menyampaikan dakwah baginda. Nabi Muhammad mengajak mereka yang sama-sama di dalam majlis untuk berakidah dengan akidah yang lurus dengan menyembah Allah semata-mata.

Nabi Muhammad juga mengajarkan Alquran kepada mereka. Bait-bait ayat Alquran itu sangat menakjubkan. Orang Arab memang minat dengan syair dan puisi, namun ayat Alquran ini dirasakan jauh berbeza daripada semua kesenian dan budaya mereka.

Alquran menggetarkan hati mereka dan menjadikan mereka khusyuk. Mereka jadi ingin mengikuti apa yang terkandung di dalamnya.

Mus’ab juga demikian. Dia merasakan ayat-ayat yang dibacakan Nabi itu sangat indah dan dia terkesima dengannya.

Mus’ab kemudiannya memeluk Islam.

Ujian Keislaman beliau dari Keluarga

Apakah halangan bagi Mus’ab memeluk Islam? Sepatutnya tidak ada siapa yang menghalangnya. Mus’ab merupakan seorang yang berstatus tinggi, bukan seperti orang Islam lain yang kebanyakannya adalah dari golongan miskin dan hamba. Mus’ab tidak ada majikan atau tuan yang perlu dijawab sekiranya tersilap langkah.

Namun begitu Mus’ab mempunyai seorang ibu yang berpewatakan tegas. Ibunya yang bernama Khunas Binti Malik merupakan seorang yang kuat pengaruhnya dalam kehidupan Mus’ab. Ini menjadikan Mus’ab risau akan pandangan ibunya setelah keislamannya.

Kerisauan ini menyebabkan Mus’ab menyembunyikan hakikat keislaman dirinya. Namun setelah berlalu beberapa ketika, ibunya akhirnya mengetahuinya juga.

Bagaimana ibunya mengetahuinya? Seorang yang bernama Utsman Bin Talhah terlihat kelibat Mus’ab memasuki rumah Arqam bin Abi Arqam. Dan pada waktu yang lain Utsman terserempak pula dengan keadaan Mus’ab yang seperti melakukan solat seperti lagak pengikut Nabi Muhammad SAW.

Utsman tidak membuang masa. Segera dia menceritakan perkara itu kepada ibu Mus’ab.

Setelah mengetahui hal keislaman Mus’ab, maka ibunya menanti Mus’ab dirumah.

Khunas kemudian mempersoal Mus’ab mengenai perihalnya yang menjadi pengikut Nabi Muhammad. Bersama ibunya itu juga terdapat beberapa pembesar Mekah.

Mus’ab spontan membacakan ayat-ayat yang dipelajarinya daripada Alquran dengan tujuan menarik minat mereka kepada Islam.

Namun ibunya tidak tertarik kepada Islam. Malahan dia menjadi marah dan kecewa yang amat sangat kepada Mus’ab. Dia ingin menampar Mus’ab namun menahan dirinya dari berbuat yang demikian. Walaupun marah, Mus’ab tetap merupakan putera yang sangat dikasihinya.

Khunas kemudian membawa anaknya Mus’ab ke sudut yang tersembunyi di rumahnya lalu dikuncilah Mus’ab dan tidak dibenarkan dia keluar daripada rumah.

Berlamalah Mus’ab di dalam rumahnya tanpa ke mana-mana. Sehinggalah pada suatu hari dia mendapat khabar bahawa orang Muslimin berhijrah ke Habsyah.

Mus’ab berjaya meloloskan diri dari tahanan ibu dan penjaganya. Dia pergi mengikuti orang Islam ke Habsyah. Di Habsyah Mus’ab bersama dengan para Muslimin dan tinggal di sana, sebelum pulang ke Mekah kembali.

Kezuhudan Mus’ab Bin Umair

Terdapat kisah mengenai Mus’ab di kalangan orang Muslimin ini. Ketika mereka sedang duduk mengelilingi Nabi Muhammad SAW, ramai kalangan mereka yang merasa hiba sehingga beberapa orang menangis kerana melihat keadaan Mus’ab.

Mus’ab yang dahulunya seorang yang bergaya, yang terkenal dengan wanginya haruman yang dipakainya kini menjadi seorang yang dhaif yang kelihatan jubahnya bertampalan di sana sini kerana usangnya.

Rasulullah kemudian menuturkan kata-kata yang indah memuji Mus’ab. Kata nabi, “Dahulu aku mendapati tidak ada seorangpun yang lebih banyak mendapat harta keluarganya berbanding Mus’ab. Namun kini semuanya ditinggalkannya kerana cintanya kerana Allah dan Rasulnya.”

Misi Dakwah Mus’ab ke Madinah

Setelah berbai’ahnya orang-orang Madinah kepada Rasulullah di Bukit Aqabah, maka nabi memerlukan seorang untuk mengajarkan Islam ke penduduk Madinah. Orang ini perlu menjadi wakil kepada nabi dalam menjadi pendakwah dan mempersiap Madinah untuk menyambut hijrahnya orang-orang Muhajirin kelak.

Nabi Muhammad kemudiannya memilih Mus’ab sebagai wakil ke Madinah.

Walaupun ramai kalangan sahabat yang lebih tinggi kedudukannya dan hubungan darahnya dengan nabi, Mus’ab yang menjadi pilihannya.

Tugas yang diberikan kepada Mus’ab sebenarnya penting dan mencabar. Dia membawa misi yang besar untuk memastikan Islam tersebar di Madinah.

Pun begitu Mus’ab telah menjalankan tugasnya dengan sangat baik. Dia melakukan dakwah dengan sangat cekal. Dikatakan tiada satu pintu pun yang tidak diketuk oleh Mus’ab.

Hasil dakwahnya Mus’ab menyaksikan ramai orang Madinah yang memeluk Islam. Ini terbukti apabila di Bai’ah Aqabah yang kedua ramai yang memberi sumpah taatsetia kepada Nabi Muhammad, berbanding hanya dua belas orang pada bai’ah sebelumnya.

Peperangan yang disertai Mus’ab Bin Umair

Setelah berlalu berberapa waktu, kaum Muslimin Mekah kemudian berhijrah ke Madinah. Kemudian terdirilah negeri umat Islam di Madinah dengan Nabi Muhammad sebagai ketua negerinya. Didirikan perlembagaan Islam dan Islam menjadi ‘cahaya’ yang menyerikan kota Madinah.

Madinah muncul sebagai sebuah kekuatan baru bagi umat Islam. Mus’ab bin Umair merupakan insan penting dalam pembangunan kekuatan ini.

Kemudian datanglah waktu di mana umat Islam terlibat di dalam peperangan-peperangan. Peperangan yang awal adalah Perang Badar dan diikuti dengan Perang Uhud.

Sewaktu Perang Uhud, Mus’ab membawa panji perang umat Islam. Ketika Perang Uhud terjadinya suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan dari lembaran sejarah umat Islam.

Ada sekelompok kaum Muslimin yang melupakan peringatan daripada Nabi Muhammad lalu meninggalkan bukit tempat pemantauan mereka. Mereka mengejar harta orang Musyrik yang tewas, pada awalnya.

Keadaan itu menyebabkan orang Musyrik dengan sayap yang lain menyerang orang Islam daripada bahagian belakang. Pergerakan mereka tidak disedari tentera Muslimin.

Mus’ab yang memegang panji mula mengangkat tinggi bendera umat Islam dan melaungkan takbir sekuat-kuatnya. Tujuannya supaya musuh meletakkan fokus kepada dirinya dan teralih daripada mengarahkan serangan kepada Rasulullah SAW. Itu menyebabkan Mus’ab membentuk sayap perangnya sendiri.

Spontan, datang seorang Musyrik bernama Ibnu Qumaiah dengan menunggang kuda lalu memotong tangan Mus’ab sehingga putus. Mus’ab mengucapkan ayat Alquran “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, telah datang sebelumnya rasul-rasul lain.”

Lalu Mus’ab meletakkan panji di tangan kirinya sambil tunduk melindungi panji tersebut. Kaum Musyrik kemudian menebas tangan kirinya pula sehingga putus. Mus’ab kemudian tunduk ke arah bendera dengan memegang panji dengan lengan yang tinggal sambil menompangnya di dada. Masih lagi Mus’ab dengan ucapan ayat Alqurannya, “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, telah datang sebelumnya rasul-rasul lain.”

Terakhir, Mus’ab diserang kali ketiga dengan tombak yang direjam kepadanya sehingga tombak tersebut terpatah. Wafatlah Mus’ab sebagai seorang yang syahid di jalan Allah. Sebagai seorang yang banyak jasanya kepada umat Islam.

Setelah tamat peperangan, Nabi Muhammad dan sahabatnya pergi mengamati medan pertempuran. Mereka ingin melihat para syuhada dan menyatakan salam selamat tinggal kepada mereka.

Apabila sampai di tempat dikujurkan tubuh Mus’ab, Nabi Muhammad menangis teresak-esak.

Ini kerana tidak ada kain lain untuk digunakan menutup tubuh Mus’ab melainkan sehelai kain selimut yang digunakan untuk menutup badan. Sekiranya kain ini ditarik ke atas untuk menutup kepalanya, maka terlihatlah kedua batang batang kakinya. Dan jika ditarik ke bawah untuk menutup kaki, maka kelihatanlah kepalanya.

Lalu Nabi mengatakan supaya ditutup kepada Mus’ab dan kaki Mus’ab diletakkan rumput untuk menutupnya.

Kemudian ketika memandang jasad Mus’ab Nabi bersabda:

“Sewaktu di Mekah, tidak ada seorang manusiapun yang lebih elok pakaiannya dan tersisir rambutnya daripadanya. Namun sekarang ini rambutnya tidak kemas dan hanya dilitupi sehelai kain burdah.”

Setelah itu nabi melihat seluruh syuhada dan mengatakan:

“Sesungguhnya akhirat nanti Rasulullah akan menjadi saksi bahawa kamu semua adalah syuhada!”

“Wahai para manusia, ziarahilah mereka dan berilah salam kepada mereka. Demi Dia yang jiwaku ditanganNya, mereka akan menjawab salam-salam itu sehingga hari kiamat.”

Demikianlah kehidupan seorang sahabat yang sangat banyak jasanya kepada Islam. Ayuhlah para pembaca semua, kita contohi Mus’ab ntuk memberikan yang terbaik kepada Allah dan Rasulnya.

Kisah Sahabat yang lain

Abu Bakar As-SiddiqUmar Al Khattab
Uthman Bin AffanAli Bin Abi Thalib
Saad Bin Abi WaqqasSaid Bin Zaid
Zubair Bin AwwamTalhah Bin Ubaidillah
Mus’ab Bin UmairKhalid Al-Walid
Abu Ubaidah Al JarrahAnas Bin Malik
Abdul Rahman Bin AufZaid Bin Haritsah
Muadz Bin JabalBilal Bin Rabah
Hamzah Bin Abdul Mutallib


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve − seven =