Apakah hukum pakai cincin di jari telunjuk? Adakah ia dibenarkan dalam agama? Artikel ini akan membincangkan hukum pakai cincin di jari telunjuk sama ada dibenarkan ataupun tidak dalam agama islam
Pengenalan
Cincin sekarang dilihat sebagai satu perhiasan yang mencantikkan dan mengkacakkan seseorang, Tidak kurang juga yang menganggap cincin itu sebagai tanda sudah berkahwin atau bertunang. Dulu, cincin ini sebagai tanda kebesaran. Berasal daripada puak tertentu, atau menentukan dirinya berasal daripada kaum kayangan dan sebagainya. Cincin dulu, lebih kepada tanda kebesaran.
Ianya sudah lama diamalkan sebagai perhiasan oleh orang dulu-dulu hatta dalam Tamadun Indus sekalipun. Banyak artifak-artifak cincin yang dijumpai. Sebelum masihi lagi orang sudah memakai cincin.
Bila sampai pada zaman kita, cincin boleh jadi perhiasan, ada yang jadi tanda sudah berkahwin dan bertunang dan lain-lain. Jadi, perlulah kita tahu, apakah sunnah dan hukum memakai cincin ini.
Betulkah dulu Rasulullah pun memakai cincin sebab dah berkahwin?
Dari mana datangnya cincin sebagai tanda sudah berkahwin?
Sebenarnya, Rasulullah pernah bersabda:
“Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi.” (Hadis riwayat Bukhari)
Sebab itulah, dalam adat perkahwinan Melayu juga wujudnya pemberian cincin sebagai tanda pertunangan dan perkahwinan. Oleh kerana mengambil manfaat daripada hadis ini secara umum.
Hukum pakai cincin pada jari telunjuk
Saidina Ali Bin Abi Talib pernah berkata: “Rasulullah SAW menegahku dari memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk.” (Hadis riwayat Muslim)
Daripada hadis ini, kita dapat faham bahawa Rasulullah menegah Saidina Ali untuk memakai cincin pada jari tengah dan jari telunjuk. Imam An-Nawawi dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa larangan dalam hadis ini tidak menunjukkan ianya haram, akan tetapi makruh tanzih.
Apa itu makruh tanzih? Makruh ada dua. Makruh tanzih dan makruh tahrim. Dalam kitab Al-Muraqi Al-Falah mengatakan makruh tanzih adalah makruh yang dekat kepada halal manakala makruh tanzih adalah makruh yang dekat pada haram. Ini definisi mudahnya.
Jadi, jelas. Dalam mazhab kita, sunat untuk memakai cincin pada jari kelingking sama ada kiri atau kanan. Dua-dua sunat sama ada bagi lelaki mahupun perempuan. Tetapi, makruh (tanzih) untuk memakai cincin pada jari tengah dan telunjuk. Hukum ini terpakai pada kedua-dua jantina.
Sebenarnya, bagaimana sunnah Rasulullah dengan cincin?
Sunnah Rasulullah memakai cincin
1. Jenis cincin Rasulullah
Anas Bin Malik meriwayatkan: “Cincin Rasulullah SAW diperbuat daripada perak dan batu cincinnya berasal dari Habsyah.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Bukhari, Abu Daud, Nasai’e dan Ahmad)
Cincin Rasulullah itu diperbuat daripada perak manakala batu di bahagian tengah cincin tersebut ialah batu dari Habsyah. Batu akik (permata) itu warnanya kehitaman. Ia sejenis batu permata dari Habsyah atau Ethopia menurut panggilan moden kini.
2. Cincin sebagai cop
Anas Bin Malik meriwayatkan: “Ketika Rasulullah SAW mahu menghantar surat ke negara asing, baginda SAW memperolehi maklumat bahawa negara asing tidak akan menerima surat yang tidak dicop. Baginda SAW pun memerintahkan untuk dibuatkan cincin. Maka saya seakan-akan melihat warna putih cincin itu pada telapak tangan baginda SAW.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan Ibnu Said)
Di sini kita dapat faham secara ringkas bahawa Rasulullah mendapatkan cincin bagi tujuan cop surat-surat yang bakal dihantar kepada pemimpin-pemimpin luar. Mereka semua (pemimpin luar) kalau urusan surat-menyurat, mesti bercop. Ini cara rasmi mereka menulis surat. Jadi, Rasulullah juga harus mengikut kod rasmi tersebut dengan mendapatkan sebentuk cincin untuk dijadikan cop.
3. Tulis pada cincin Rasulullah SAW
Anas Bin Malik meriwayatkan: “Ketika Rasulullah SAW mahu menghantar surat kepada Raja Parsi, Raja Rom dan Raja Najasyi, baginda SAW mendapat maklumat bahawa mereka tidak akan menerima surat yang tidak dicop. Maka, Rasulullah membuat cincin yang lingkarannya diperbuat daripada perak dan bertuliskan Muhammadun Rasulullah (dalam bahasa Arab).” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Muslim)
Tulisan pada cincin Rasulullah itu ditulis Muhammadun Rasulullah. Jadi, bila dicop pada surat yang hendak dihantar kepada pemimpin-pemimpin luar, inilah cop yang akan timbul pada surat-surat berkenaan menandakan itu datangnya daripada Rasulullah secara rasmi. Design-nya pula kita dapat fahami daripada hadis berikut:
Anas Bin Malik meriwayatkan: “Tulisan (ukiran) yang ada pada cincin Rasulullah SAW adalah perkataan ‘Muhammad’ satu garisan, perkataan ‘Rasul’ satu garisan dan perkataan ‘Allah’ satu garisan.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Bukhari)
Lihat gambar di bawah
Sepatutnya kalimat ini terbalik kerana bertepatan dengan lumrah ‘cop’. Tetapi, tidak mengapalah. Beginilah rupanya lebih kurang berdasarkan hadis yang kita baca tadi.
4. Cincin Rasulullah pakai pada tangan kanan atau kiri?
Kebanyakan hadis dalam kitab Syamail Muhammadiah menyatakan Rasulullah memakai cincin pada tangan kanan. Akan tetapi, cucu-cucu baginda memakainya pada tangan kiri. Dua-dua berasas dan mempunyai sandarannya.
Ali Bin Abi Talib meriwayatkan: “Rasulullah SAW mengenakan cincin pada jari tangan kanan baginda SAW.” (Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasai’e dan Ibnu Hibban)
Muhammad Bin Ali Bin Husain meriwayatkan: “Hasan dan Husain mengenakan cincin pada jari tangan kiri.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Abu Sheikh)
Kesimpulan
Memakai cincin pada jari telunjuk adalah makruh. Elok ditinggalkan dan pakailah cincin pada jari kelingking ataupun jari manis.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan
- Che Zaharah Abdullah, Zahara Yahya, Fatimah Salleh, & Baterah Alias. (n.d.). Adat perkahwinan masyarakat Melayu, kesejajarannya dengan nilai Islam: Kajian di Shah Alam. UiTM Institutional Repository
- Imam At-Tirmidzi. (2018). Syamail Muhammadiyah. Jasmin Publications.
- Jenis Batu Akik apa Yang Dipakai Rasulullah? (2015, February 7). JPNN.
- Al-kafi #587: Hukum lelaki memakai cincin di jari tengah. (2017, 17). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
- Pengertian Makruh Tanzih Dan Bedanya dengan Makruh Tahrim. (2021, June 8). Kumparan.