Apakah hukum untuk makan ulat sagu? Artikel ini akan membincangkan berkenaan pengambilan ulat sagu sebagai makanan.
Pengenalan
Ulat sagu atau ulat mulong adalah sejenis ulat gemuk yang enak dimakan. Ianya kaya dengan sumber protein. Makanan ini popular di negeri Sarawak. Selalunya, mereka memakan ulat sagu ini mentah-mentah dengan mencicah garam halus. Mereka makan bersama sagunya sekali.
Ia boleh disediakan dengan masak kicap dan sup. Sesiapa yang minat makanan berlemak, ulat sagu adalah makanan yang boleh memenuhi selera tersebut. Ramai pelancong dari luar negara terutamanya China yang datang ke sana untuk memakan ulat sagu.
Menurut kajian saintifik, ulat sagu ini dapat membantu mengurangkan masalah kegemukan. Minyaknya juga adalah berkhasiat untuk melebatkan rambut. Seekor ulat sagu yang besar bergred A dijual dengan harga 40 sen hingga 50 sen. Makin kecil, makin murah, kerana belum matang. Lagi gemuk, lagi mahal dan lagi sedap.[i]
Apa hukum makan ulat sagu?
Menurut fatwa negeri Sarawak, haram untuk memakan ulat sagu. Ianya tidak halal sama sekali.
Mereka memutuskan seperti berikut:
1. Makanan yang Halal
Islam menganjurkan umatnya memakan makanan yang halal dan baik berdasarkan firman Allah di dalam surah al-A’raf ayat 157:
“(Iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi (tidak boleh baca tulis) yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh mereka berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka, dan membebaskan beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Adapun orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang beruntung.”
Poin 1 memberitahu kepada kita bahawa apa yang baik itu halal dan apa yang buruk itu diharamkan. Maka, ulat ini mampu membawa keburukan kepada sistem badan kita, jadi diharamkan untuk kita memakannya pula.
Tetapi, perlu diingatkan, asal sesuatu itu harus, sehingga ada dalil atau bukti yang mengatakan yang ianya haram. Makanlah apa saja, semuanya harus, sehingga jelas kepada kita bahawa benda itu haram. Jadi, haramlah untuk kita makan. Macam ulat sagu ini, haram untuk kita makan. Lebih utama adalah untuk menjaga kesihatan kita berbanding selera makan yang tidak menentu itu.
2. Makanan yang Baik
Dalam mengkategorikan sesuatu itu jijik fuqaha menentukannya berdasarkan uruf masyarakat setempat. Oleh kerana masyarakat Islam Malaysia mengkategorikan bahawa ulat adalah dari haiwan yang menjijikkan (khabis) dan kotor termasuklah juga Ulat Mulong.
Poin 2 memberitahu bahawa kebersihan adalah perkara yang paling mustahak dalam Islam. Kekotoran itu boleh membawa macam-macam penyakit, maka haramlah untuk kita makan seolah-olah membiarkan penyakit memasuki badan kita. Hendaklah dijauhkan sama sekali.
3. Tidak suci dan tidak bermanfaat
c. Fuqaha tidak mengharuskan berjual beli barang yang tidak suci dan tiada manfaat yang dapat diperolehi dari barang yang dijual dan sebaliknya.
Poin 3 menceritakan yang benda yang tidak suci dan tidak ada manfaat adalah sama sekali tidak harus untuk menjual dan membelinya. Hukum itu mengikut hukum hakikatnya yang asal.
Kalau memakannya sudah dihukum haram, maka membelinya juga turut haram. Sama macam arak. Meminum arak adalah haram. Membelinya juga adalah haram.
4. Dikhuatiri mendatangkan penyakit
Islam menggalakkan umatnya agar berikhtiar menyembuhkan setiap penyakit yang dihidapi tanpa membiarkannya melarat. Bahkan Islam mengharuskan umatnya untuk membuat pilihan dengan mana-mana kaedah rawatan yang bersesuaian sama ada secara moden ataupun alternatif selagimana rawatan tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh Islam seperti larangan berubat dengan bahan-bahan yang haram dan mengandungi najis.
Makanan yang khuatir mempunyai najis adalah sama sekali haram untuk dimasukkan ke dalam mulut oleh kerana penjagaan kita terhadap kesihatan. Ini hendaklah diauhkan.
Menurut Sheikh Arsyad Al-Banjari di dalam kitabnya Sabilal Muhtadin, haram untuk kita memakan ulat, ketika ia hidup mahupun ketika ia suci sekalipun.[iii] Tetap, haram. Ulat sagu adalah sejenis ulat, maka ia termasuk di dalam apa yang disebut oleh Sheikh Arsyad Al-Banjari tadi.
Kesimpulan
Hukum memakan ulat sagu adalah haram kerana ianya kotor dan bernajis. Islam sangat-sangat menjaga kebersihan dan kesihatan di pemakan. Setiap apa yang memudaratkan, maka tanpa kompromi Islam mengharamkan sepertimana yang disebut oleh mufti negeri Sarawak dalam fatwanya.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan:
- Hukum makan temilok – Mufti Negeri Sarawak
- Sheikh Asyad Al-Banjari. Sablilal Muhtadin.
- Fatwa Tentang Ulat Muling – Academia