Skip to content

10 Tempat Menarik Di Cameron Highland

tempat menarik di cameron highland

Manakah tempat-temapt menarik di Cameron Highland? Artikel ini akan membincangkan beberapa tempat yang anda perlu pergi ketika di Cameron Highland.

Pengenalan

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Dalam Malaysia ni ada banyak tempat pelancongan yang terkenal dan menarik yang boleh dikunjungi dan dilawati oleh sesiapa sahaja tak kira pengunjung tempatan atau pengunjung asing.

Setiap tempat pelancongan mempunyai daya tarikan dan keunikannya yang tersendiri. Masih terfikir di mana tempat percutian popular yang anda boleh pergi bersama keluarga kali ini?

Bila sebut je Cameron Highland, kita pasti akan membayangkan sejuknya tempat tu macam kat luar negara kena pakai sweater, ada ladang teh, lavender, strawberi segar, kaktus, ladang lebah dan sebagainya. Tempat ini sering menjadi perbualan dan buah mulut orang.

Tanah Tinggi Cameron yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur merupakan salah satu destinasi pilihan pelancong di Malaysia dengan geografinya yang strategik.

Sebenarnya ada banyak tempat menarik di Cameron Highland tetapi kita hanya akan pilih lokasi “top” atau hotspot yang paling digemari dan menjadi pilihan pengunjung. Bezanya, ada tempat yang berbayar dan ada yang percuma. Artikel kali ini menyenaraikan 10 tempat menarik di Cameron Highland :  

1. Ladang Teh BOH

Cameron Highland dan teh tak dapat dipisahkan. Ladang Teh BOH Sungai Palas adalah antara ladang teh terbesar di Asia Tenggara. Walaupun jalan ke ladang teh agak curam, ini tempat tarikan yang wajib anda kunjungi apabila berkunjung ke Cameron Highland. Masuk adalah percuma.

Tempat ini selalu sesak. Jalan masuk ke ladang ini seperti lorong kecil dan papan tandanya juga tersorok. Ladang Teh BOH luas. Cuacanya dingin dan nyaman di waktu pagi. Ada galeri pelawat, kafe dan kilang teh di ladang teh ini. Harga makanan seperti kek dan pastri di ladang ini bukanlah murah.

Tetapi, jika anda mahu menikmati suasana tenang sambil melihat panorama yang menghijau, anda boleh berehat di anjung kafe sambil menghirup teh panas yang lazat. Selain itu, tempat ini sesuai untuk bergambar.

Anda berpeluang menimba ilmu dan melihat daun teh diproses sehingga menjadi serbuk di kilang teh. Kena datang awal pagi ye untuk melawat kerana proses ini akan berakhir pada jam 11:00 pagi. Ladang Teh BOH ditutup sekitar jam 4.30 petang.

Sumber foto : Suara

2. KHM Strawberry Farm

Strawberi yang ditanam dan diproses di KHM Strawberry Farm diusahakan oleh bumiputera. Kebun strawberi kecil di Taman Sedia ini bersaiz comel serta berbeza dengan ladang-ladang strawberi komersil lain yang besar. Masuk adalah percuma.

Pengalaman yang paling mengujakan adalah memetik buah strawberi sendiri terutamanya bagi kanak-kanak. Tempat ini tak ramai pengunjung, jadi tiada masalah untuk parking kenderaan. Kedai makannya menyediakan pelbagai juadah yang berasaskan strawberi. Makanan yang disediakan di sini dijamin halal

Sumber foto : jalan2cuti2

3. Cameron Lavender Garden

Taman Lavender Cameron dapat diperhatikan dengan jelas kalau datang menggunakan jalan dari Simpang Pulai. Taman ini terletak di Tringkap dan bukan sahaja mempunyai bunga lavender, malahan anda akan menemui pelbagai spesies bunga lain dan buah strawberi.

Nak masuk taman ni bukan percuma, tiketnya berbayar. Taman Lavender bersih dan tidak terlalu besar tetapi pada musim lavender berbunga, anda pasti terpegun dengan barisan bunga-bunga ungu yang cantik-cantik belaka yang menghiasi taman.

Strawberi boleh dipetik di taman ini dan anda boleh menikmati pelbagai hidangan pencuci mulut yang menarik. Antara pencuci mulut yang viral adalah aiskrim lavender berwarna ungu.

Sumber foto : travelwithsun

4. Taman Rama-rama

Mari berkunjung ke Taman Rama-rama Cameron kalau tak pernah pernah pergi taman rama-rama lain di Malaysia kerana harga tiketnya yang jauh lebih murah. Taman Rama-rama di kawasan Kea Farm merupakan antara tarikan tertua di Cameron Highland.

Pada tahun 1990, Taman Rama-rama dibangunkan. Kini, ia menempatkan pelbagai spesies rama-rama serta reptilia dan serangga lain.

Rama-rama Raja Brooke menjadi tumpuan di taman ini. Ia digelar raja rama-rama. Menurut cerita dongeng, roh Brooke tersimpan di dalam badan rama-rama yang diancam kepupusan ini. Rama-rama Raja Brooke dapat dikenali dengan badannya yang berwarna hitam, belakangnya terdapat corak hijau dan kepala bertompok merah. 

5. Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highland

Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highland dibuka oleh British pada tahun 1925 sebagai pusat penyelidikan tanaman teh. Pokok teh terawal yang ditanam suatu ketika dulu masih boleh dilihat hingga kini. Kilang memproses teh tertua di Malaysia juga ada di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highland.

Kilang kecilnya tidak dipromosikan seperti ladang Teh Boh atau Bharat walaupun tempat ini masih menghasilkan teh. Harga tiket dewasa ialah RM5 manakala kanak-kanak pula RM3.

Taman ini sangat selesa dan mesra pengunjung. Ada kafe, kedai cenderahati surau serta taman permainan kecil. Terdapat pelbagai jenis tumbuhan, herba, kopi, sayur, buah-buahan dan bunga-bungaan berwarna-warni. Bunga-bunga ditanam di kawasan berbumbung yang membolehkan anda berteduh.

Anda boleh menempah cottage British lama di dalam taman untuk bermalam. Tempat ini istimewa untuk anda mengambil gambar sebagai kenangan. Untuk ole-ole, anda mesti cuba serunding strawberi yang manis rasanya dan aiskrim strawberi asli.

6. Abang Strawberry

Ini ladang strawberi Melayu kat Taman Setia yang ada kafe, surau, kawasan untuk petik buah strawberi dan juga produk strawberi untuk cenderahati. Jalan ke sini selalunya sesak. Masuk adalah percuma.

Kawasan untuk memetik strawberi di sini landai dan selesa. Jika anda ingin berjimat dengan budget yang rendah, anda boleh memetik strawberi serendah 100 gram.

Kafe 200 Seeds popular dengan tarikan utamanya iaitu nasi lemak strawberi. Kafe ini serba ringkas, selesa dan bersih. Bolehlah rasa menu viral iaitu nasi lemak sambal strawberi yang nasinya berwarna merah jambu.

Ada juga menu lain seperti lontong, mi kari, tomyam, nasi goreng dan western food. Kalau nak rasa macam makan kat oversee, bolehlah cuba Strawberry Split atau teh dengan scones strawberi.

Nak beli cenderamata, ada makanan siap proses seperti sambal strawberi, serunding strawberi, kopi, teh dan popcorn yang semuanya rasa strawberi. Produk makanan siap proses Abang Strawberry telah pun sampai ke Eropah.

Sumber foto : cameronhighland

7. Cactus Valley

Cactus Valley adalah taman kaktus terbesar Cameron. Taman yang menyimpan lebih dari 1,000 spesies kaktus dibuka seawal jam 8:00 pagi yang dibina di cerun bukit menghadap pekan Brinchang. Anda perlu membayar harga tiket untuk masuk.

Anda boleh datang melihat kaktus dari China dan Belanda serta membeli kaktus pelbagai saiz untuk dibawa pulang. Peminat kaktus pasti geram dan rambang mata apabila terlalu asyik tengok macam-macam kaktus yang dipamerkan.

Sumber foto : cameronhighland

8. Pasar Malam Brinchang

Pasar Malam Brinchang adalah pasar malam paling sejuk di Malaysia. Pasar malam ini dah beralih ke Jalan Golden Hills. Cuma, masalah besar tempat ini adalah susah untuk mencari tempat letak kereta dan kesesakan yang teruk di waktu petang.

Siapa yang suka makan atau tercari-cari makanan di waktu malam apabila menginap di chalet, ada banyak makanan panas dan bergoreng yang boleh dicuba di pasar malam yang meriah ini.

Kalau boleh, elakkan dari membeli makanan dari peniaga Indonesia kerana taukeh mereka Cina serta tidak diketahui makanan itu halal atau sebaliknya. Pasar malam Brinchang juga ada jual buah strawberi dan juga sayur-sayuran segar yang anda boleh bawa pulang tetapi harganya agak mahal.

Sumber foto : youtube.com

9. Ladang Lebah Ee Feng Gu

Teringin nak tengok macamana lebah diternak? Ladang Lebah Ee Feng Gu adalah tempat ternakan lebah yang percuma. Anda boleh belajar dan lihat sendiri haiwan kecil ciptaan Tuhan yang mengagumkan ini diternak serta menghasilkan stok madu asli yang sedap secara berterusan yang boleh dijual.

Jangan lupa singgah ke kedai cenderamata sebelum pulang. Anda boleh mendapatkan teh, kopi dan banyak lagi produk berasaskan madu.

Sumber foto : cameron holiday

10. Ladang Anggur Bertam Valley 

Ladang Anggur Bertam Valley terletakenam kilometer dari stesen minyak Shell di Simpang Ringlet. Ada papan tanda tertulis Sweet Grape. Masuk adalah percuma. Digalakkan pakai kasut dan seluar yang sesuai kerana kawasan itu tanahnya lembik dan agak berselut.

Buah anggur di ladang ni manis tapi ada musimnya dan hanya berbuah dua kali dalam setahun sekitar bulan Mac atau September. Kadangkala, ada anggur ranum dan sedia untuk dipetik pada bulan Mei. Ladang ini lengang apabila pokok anggur tidak berbuah. Periksa dahulu bila musim berbuah ladang-ladang anggur di Cameron Highland.

Pengunjung boleh memetik buah anggur dan beli dengan harga di antara RM23 hingga RM25 sekilo bergantung kepada harga semasa di pasaran. Anda juga boleh bergambar di sini. Beberapa tanaman lain boleh didapati seperti jagung, sawi dan sebagainya.

Penutup

Sebenarnya, tak rugi berkunjung ke Tanah Tinggi Cameron walaupun anda pernah pergi ke sana beberapa kali sebelum ini. Ada sahaja perkara baru yang anda boleh lakukan tanpa merasa bosan. Memandangkan anda memilih Cameron Highland sebagai tempat percutian atau berbulan madu, jangan lupa untuk membawa pulang cenderahati untuk orang-orang yang terdekat dengan anda seperti keluarga tersayang atau rakan di pejabat.

Anda juga boleh merancang untuk memilih tempat penginapan yang strategik seperti di Brinchang dan Tanah Rata supaya senang untuk jalan-jalan.

Diharapkan artikel tempat menarik di cameron highland ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berguna kepada anda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

15 − 11 =