Skip to content

Hadis Melakukan Kerja Yang Berfaedah – Hadis 40

kerja

Artikel ini akan membincangkan hadis yang ke12 dalam buku Hadis 40 (hadis arbain) karangan Imam Nawawi iaitu berkaitan dengan Melakukan Kerja Yang Berfaedah. Ia menghimpunkan kebaikan dunia dan kebahagiaan akhirat. Ibnu Rajab al-Hanbali telah berkata “Hadis ini merupakan salah satu daripada prinsip-prinsip akhlak yang besar”

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

[حديث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا]

Maksudnya: “Dari Abu Hurairah R.A dia berkata : Rasulullah S.A.W bersabda : Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya” (Hadis Hasan diriwayatkan oleh Tirmizi dan lain-lainnya).

Pengajaran

  1. Tanda lemah imansibuk dengan perkara yang tidak bermanfaat

Menyibukkan diri dengan perkara yang tidak bermanfaat adalah merugikan dan tanda kelemahan iman. Perkara yang boleh menimbulkan perpecahan sesama manusia seperti campur tangan dalam urusan pihak lain terutama dalam perkara yang tiada kaitan dengannya, adalah dilarang.

Ibnu Hibban meriwayatkan dalam shahihnya bahawa Nabi SAW bersabda kepada Abu Zar R.A.:

بحسب امرئ من الشر مايجهل من نفسه و يتكلم ما لا يعنيه

Maksudnya: “Cukuplah kejahatan bagi seseorang iaitu perkara yang tidak diketahuinya berkenaan dirinya sendiri dan dia membebankan diri dalam perkara yang tiada berguna kepadanya

Apabila seorang muslim mengetahui kewajiban dan tanggungjawabnya, dia akan sibuk dengan dirinya sendiri dan perkara yang memberi manfaat kepadanya di dunia dan akhirat. Dia akan meninggalkan perkara yang tidak berkenaan dan remeh-temeh, dia mengalih perhatiannya kepada perkara dan urusan yang berguna kepadanya.

  1. Apakah perkara yang berguna dan tidak berguna kepada manusia?

 Perkara yang berguna kepada manusia

  • Keperluan asas; makan, minum, pakaian, dan tempat tinggal
  • Perkara berkaitan keselamatan di akhirat.

Perkara yang tidak berguna kepada manusia

  • Bermewah dengan dunia
  • Mengejar pangkat dan kedudukan
  • Berlaku perdebatan yang boleh menimbulkan fitnah dan salah faham
  • Banyak bercakap
  1. Menjauhi perkara yang sia-sia

Banyak bercakap juga merupakan antara perkara yang tidak berguna, kadang-kadang ia menarik seorang muslim untuk menuturkan perkataan yang sia-sia atau haram. Antara akhlak seorang muslim ialah bercakap perkara-perkara yang dapat memberi manfaat kepada diri dan orang lain, menjauhkan diri dari bercakap tanpa tujuan dan tiada manfaat.

Umar Abdul Aziz berkata: “Barang siapa menghitung kalamnya dari amalnya, sedikitlah percakapannya kecuali pada perkara yang berguna kepadanya. Kebanyakan manusia tidak menghitung percakapannya dari amalnya, maka terlanjurlah dan ia tidak peduli akan akibatnya.”

Sabda Rasulullah SAW:

كلام ابن ادم عليه لا له. الا الامر با لمعروف والنهي عن المنكر و ذكر الله عز وجل

Maksudnya: “Percakapan anak ada adalah kerugian kepadanya kecuali Amar Makruf Nahi Mungkar (Menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kejahatan) dan Zikrullah”.

  1. Sifat seorang muslim – sibukkan diri dengan perkara mulia, jauhi perkara hina

Sifat-sifat orang muslim hendaklah menyibukkan dirinya dengan perkara-perkara yang mulia serta menjauhkan perkara yang hina dan lemah. Seorang muslim yang menyembah Allah seolah-olah dia melihatNya, ini menyebabkan dia sibuk dengan mengingati Allah dan mengenepikan perkara yang tidak berguna kepadanya. Sikap tidak sibuk dengan perkara yang tidak berguna kepadanya merupakan tanda keyakinannya yang benar kepada Allah dan jiwanya sentiasa bersamaNya .

Sesiapa yang sibuk dengan perkara yang tidak berguna kepadanya, amalannya akan terbatal dan dia tergolong di kalangan orang-orang yang rugi. Diriwayatkan daripada Hasan al-Basri: “Tanda Allah berpaling daripada seorang hamba ialah dia menjadikannya sibuk terhadap perkara yang tidak berguna kepadanya.

Kesimpulan

Islam prihatin terhadap keselamatan masyarakat agar manusia dapat hidup dalam harmoni dan persefahaman. Islam juga mementingkan keselamatan individu agar dia hidup bahagia di dunia, di mulia dan tidak disakiti. Oleh itu, kita haruslah mendidik diri kita untuk sentiasa memastikan diri kita sibuk dengan perkara-perkara yang bermanfaat bersesuaian dengan hadis melakukan kerja yang berfaedah ini.

Hadis Arbain yang lain:

1. Hadis Niat5. Hadis Berkenaan Bidaah dalam Agama
2. Hadis Islam, Iman, Ihsan dan Tanda Kiamat6. Hadis Berkenaan Halal, Haram dan Syubhah
3. Hadis Asas Islam7. Hadis Agama adalah Nasihat
4. Hadis Kejadian Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × one =