Skip to content

Hadis Tentang Asas Islam dari Hadis 40

asas asas islam

Apakah asas islam seseorang yang bergelar sebagai muslim? Artikel ini menerangkan mengenai hadis ketiga dari buku hadis 40 Imam nawawi (Hadis Arbain) iaitu berkaitan dengan asas Islam, rukun islam dan tunggaknya.

عَنْ أَبي عَبْدِ الرَّحمنِ عبدِ االله بْنِ عُمَرَ بْنِ الخطابِ رضي االله عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ االلهِ صَلَّى االلهُ عَليهِ وَسَلَّمَ یَقُولُ: (( بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شهادَةِ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ االله وَأَنَّ مُحمدًا رَسُولُ االله، وَإِقَامِ الصَّلاةِ، وَإِیْتَاءِ الزَّآَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ ))

Maksudnya : Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Umar r.a. beliau berkata: saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Islam dibina di atas lima perkara : penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah SWT, Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan berpuasa bulan Ramadhan
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini adalah hadis yang sangat agung. Rasulullah SAW menerangkan rukun Islam yang lima yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam menurut ketentuan hukum-hukum Allah.

Agama Islam umpama satu binaan  yang terdiri daripada beberapa tiang. Kekuatan dan keselamatan binaan ini bergantung kepada keteguhan tiang-tiangnya. Sebaliknya keruntuhan sebahagiannya, adalah kerana salah satu tiang telah rapuh. Sebagai contoh, keruntuhan agama boleh berlaku apabila meninggalkan salah satu rukunnya yang amat penting seperti solat.

5 Asas Agama Islam

Terdapat lima asas tiang yang digariskan dalam hadis ini.  Baginda SAW menjelaskan asas tersebut ialah:

1. Penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah SAW

Terdapat dua perkara penting yang mesti difahami oleh kita. Yang pertama, pengakuan dan pengiktirafan kewujudan dan keesaan Allah SWT. Dan yang kedua ialah, memperakui kenabian dan perutusan Muhammad SAW.

Syahadah ialah pengakuan keimanan kepada Allah dan RasulNya. Syahadah ini adalah rukun pertama dari yang lain, sekiranya tiada syahadah tanda keimanan,  maka tidak ada Islam, erti sembahyang dan lain-lain. Sabda Rasulullah SAW

من قال لا اله الا الله مخلصا دخل الجنة

Maksudnya : Sesiapa yang menyebut lailahaillallah dengan penuh keikhlasan akan dimasukan ke dalam syurga. (Riwayat al-Bazzar)

2. Mendirikan sembahyang

Memelihara sembahyang dan menunaikan pada waktunya. Menunaikan solat dengan sempurna syarat dan rukunnya, memelihara adab dan sunatnya.

Berkata Imam Ghazali, sembahyang bukan rangkanya yang zahir sahaja, ia melibatkan batin iaitu hatinya, jiwanya, perasaannya, dan fikirannya. Zahir dan batin mestilah sama-sama mendirikannya supaya sempurna pengertian sembahyang yang sebenarnya.

Sembahyang mampu membuahkan natijah yang baik dalam diri seorang muslim, lalu dia meninggalkan perkara keji dan mungkar. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ

Maksudnya : Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar

3. Mengeluarkan zakat

Iaitu mengeluarkan bahagian tertentu daripada harta yang cukup nisab dan memenuhi syarat-syarat yang wajib zakat. Zakat diberikan kepada fakir miskin dan mereka yang berhak menerimanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminum ayat 4

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَوٰةِ فَٰعِلُونَ

Maksudnya : Dan orang-orang yang menunaikan zakat

Zakat adalah ibadat harta benda. Dengan menunaikan zakat akan terlaksananya keadilan sosial, terhapusnya kemiskinan dan melahirkan kasih sayang dan kemesraan serta saling hormat menghormati sesama muslim.

4. Haji

Haji ialah menuju ke Masjidil Haram pada bulan haji iaitu syawal, zulkaedah dan 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah serta melaksanakan ibadat yang telah diterangkan oleh Rasulullah SAW.
Ia merupakan ibadat harta dan badan yang banyak memberi manfaat kepada individu dan masyarakat. Ia menjadi persidangan agung umat Islam dari seluruh pelusuk dunia, kerana itu pahala ibadat haji adalah besar dan ganjarannya tinggi. Rasulullah SAW bersabda :

الحج المبرور ليس له جزاءا إلا الجنة

Maksudnya : Haji mabrur tiada balasan baginya kecuali syurga

Ibadat haji telah difardhukan pada tahun keenam Hijrah iaitu dengan turunnya firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 97.

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلً

Maksudnya : Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya

5. Puasa Ramadhan

Puasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada tahun kedua Hijrah melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya : (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;

Sesiapa yang berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah dan mencari keredhaanNya, ia menjadi penghapus dosa dan menjadi faktor ditempatkan di dalam syurga. Sabda Rasulullah SAW

من صام رمضان إيماناواحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya : Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, diampunkan dosanya yang telah lalu.

Hubungan rukun-rukun Islam

Perlaksanaan lima tiang agama ini menentukan tahap keimanan seseorang.

  1. Sesiapa yang melakukan semua rukun ini, dia adalah Muslim yang sempurna imannya
  2. Sesiapa yang meninggalkan semuanya, dia adalah kafir secara qat’ie (putus)
  3. Sesiapa yang mengingkari salah satu daripadanya, ijmak ulama mengatakan dia bukanlah Muslim
  4. Siapa yang mengakui dengan lidah secara berpura-pura, maka dia adalah munafik
  5. Siapa yang beriktikad tentang kewajipan kesemuanya tetapi cuai atau malas mengerjakannya, maka dia adalah fasiq

Namun begitu, kita perlu berwasapada daripada mengkafirkan seseorang kerana kecuaiannya dalam menegakkan rukun Islam.

Kesimpulan

Tanpa syahadah, maka tidak dikatakan Islam. Namun, jika syahadah sahaja tanpa melaksanakan keempat-empat rukun, atau meninggalkan salah satunya, maka berlakulah kepincangan dalam Islam seseorang. Disamping rukun Islam yang lima, banyak lagi perkara lain yang penting dalam Islam seperti sabda Rasulullah SAW

الايمان بضع وسبعون شعبة

Maksudnya : Iman itu lebih dari 70 cabang (muttafaqun alaih)

Islam adalah aqidah dan amalan. Tiada manfaat amalan tanpa iman sebagaimana tidak wujudnya iman tanpa amal.

Diharapkan artikel Hadis berkenaan asas islam ini dapat memberikan gambaran asas kepada para pembaca berkenaan islam

Hadis Arbain yang lain:

1. Hadis Niat5. Hadis Berkenaan Bidaah dalam Agama
2. Hadis Islam, Iman, Ihsan dan Tanda Kiamat6. Hadis Berkenaan Halal, Haram dan Syubhah
3. Hadis Asas Islam7. Hadis Agama adalah Nasihat
4. Hadis Kejadian Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 18 =