hukum cabut rumput atas kubur

Hukum Cabut Rumput Atas Kubur. Boleh atau Tidak?

Adakah mencabut ruput di atas kubur diperbolehkan? Artikel ini akan menjelaskan hukum cabut rumput atas kubur sama ada boleh atau tidak.

Kita selalu pergi ke tanah perkuburan untuk berdoa bagi si mati dan membersihkan juga kawasan pusara. Ada yang kata, cabut rumput itu haram hukumnya, sebab rumput itu ada manfaatnya bagi si mati. Rumput bertasbih kepada Allah.

Jadi, timbul persoalan, kalau nak cabut rumput tak boleh, maka bagaimana nak membersihkan pusara? Mesti ia melibatkan cabut rumput sebab nak bagi ia kelihatan kemas, lagi-lagi yang sudah panjang sehingga nampak pusara itu tidak terurus.

Nak biarkan sajakah? Nak cabut rumput tak boleh, maka nak biarkan saja ia nampak tak kemas? Bukankah Islam mengajarkan kebersihan?

Sebelum itu, kita ketahui terlebih dulu bagaimana tumbuhan itu dikatakan bertasbih kepada Allah. Kita tidak tahu bagaimana tumbuhan itu bertasbih, yang penting ia tidak sama dengan manusia.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Israa’ ayat 44,

Maksudnya: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Apakah tumbuhan yang bertasbih ini, ada manfaatnya pada si mati bila ianya terletak di atas pusara/kubur si mati?

Satu hadis,

Nabi Muhammad pernah lalu dua kubur lalu Baginda bersabda, “Mereka dihukum tetapi mereka tidaklah dihukum kerana sesuatu yang sukar dielakkan.” Selepas itu Baginda bersabda lagi, “Salah seorang dulunya selalu menyebarkan gosip yang berbahaya, dan yang seorang lagi dulunya selalu tidak mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan tercemarnya air kencing (tak bersihkan air kencing dengan baik).

Selepas itu pula, Baginda mengambil pelepah (tulang daun yang terbesar) dan dipatahkan dua, lalu Baginda tanamkannya di atas setiap kubur seraya bersabda, “Mudah-mudahan ia diringankan azab selagi mana ia (pelepah) belum kering. (Riwayat Bukhari 1378, Muslim 292)

Hadis ini umumnya bercerita yang azab si mati itu boleh dikurangkan atas manfaat ‘pelepah’ itu tadi selagi pelepah itu masih segar dan tak kering. Bila ia sudah kering, pelepah ini sudah tidak berfungsi sepertimana kata hadis tadi.

Pelepah ini boleh dikiaskan dengan segala tumbuhan yang segar di atas pusara. Hukumnya sama. Pelepah itu hanya simbol kepada apa saja tumbuhan di atas pusara. Rumput, pelepah dan sebagainya. Asalkan, ia terletak di atas kubur.

Pandangan Ulama Berkenaan Hukum Cabut Rumput atas Kubur

Baik, mari kita teliti apa pandangan ulama tentang mencabut rumput atas kubur?

Dalam mazhab Syafie, haram orang yang bukan meletakkan tumbuhan di atas kubur itu pada asalnya mencabut rumput yang masih segar di atas kubur. Selagi ia belum kering, haram mencabutnya. Dalam keadaan ini, jika ia menepati dua syarat ini, maka haram hukumnya menurut mazhab Syafie.

  1. Bukan orang yang asal meletakkan tumbuhan
  2. Tumbuhan (rumput) itu belum kering

Imam Khatib As-Syarbini berkata di dalam Al-Iqna’, “Dan haram orang lain (bukan orang yang letak) untuk mengambil rumput atau pelepah yang diletak sebelum ia kering. Ini kerana tuan kubur masih mendapat manfaatnya kecuali setelah kering.”

Dalam kitab Fathul Mu’in dikhabarkan,

Dan haram mengambil (cabut) suatu dari keduanya (iaitu pelepah kurma atau pokok yang ditanam diatas kubur) selama ia belum kering (mati) kerana mengambil (umpama pelepah kurma yang ditanam di atas kubur) itu menghilangkan hak mayat yang datang kisahnya dari hadith Nabi saw.

Kalau orang itu adalah orang yang awal-awal meletakkan tumbuhan itu bagaimana? Di sini, hukumnya harus.

Dikhabarkan juga di dalam kitab Hasyiah Al-Qalyub:

Dan tidak harus mencabut tumbuhan di atas kubur oleh selain pemiliknya selama tumbuhan itu masih hidup kerana bergantung hak mayat dengannya. Dan apabila tumbuhan itu telah mati nescaya harus bagi sesiapa sahaja mencabutnya.

Jika tumbuhan itu sudah kering, mencabutnya tidak menjadi haram.

Dalam mazhab Hanafi pula, mereka berpandangan hukumnya makruh. Sebabnya sama dengan yang dikemukakan oleh mazhab Syafie. Cuma, mazhab Hanafi tidak sampai mengharamkannya. 

Sekali lagi (penerangan yang lebih mudah), dalam mazhab Syafie, haram mutlak bagi yang tidak meletakkan tumbuhan itu pada awalnya (bukan pemilik) dan tumbuhan itu pula belum kering. Dalam keadaan ini, haram mutlak.

Kalau yang mencabut itu pemiliknya, maka harus. Dan juga, kalau yang mencabut itu sewaktu tumbuhan sudah kering, juga harus. Itu mazhab Syafie.

Dalam mazhab Hanafi pula, makruh bila tumbuhan itu masih segar. Harus bila ianya sudah kering.

Imam Al-Khadimi Al-Hanafi berkata di dalam Kitab Bariqah Mahmudiyyah,

“Dan setengah dari yang dilarang itu ialah mencabut pokok dan rumput yang masih hidup keduanya yang tumbuh di atas kubur maka sesungguhnya hukumnya adalah makruh. Dari kerana bahawasanya segala yang tumbuh itu selama ia hidup ia bertasbih akan Allah maka pada ketika itu akan memberi manfaat kepada mayat dan menumpang rahmat daripada tasbihnya itu.”

Ada satu keadaan yang dibolehkan (harus) iaitu dalam keadaan kita nak membersihkan yang mana patut supaya ia tidak nampak kotor atau tidak kemas.

Contohnya, ada kubur yang tumbuhan di atasnya mekar sehingga nampak kubur itu macam tidak terurus, jadi harus untuk kita cabut dan rapikan kubur itu supaya nampak kemas. Cabut yang mana patut sahaja. Tujuannya, nak nampak bersih dan kemas. Itu sahaja.

Kesimpulan

Mazhab Syafie kata haram cabut rumput oleh orang yang bukan pemiliknya dan rumput itu pula belum kering lagi. Kalau tidak menepati kedua-dua ciri ini, maka hukumnya harus.

Mazhab Hanafi pula, selagi rumput belum kering, makruh hukumnya untuk cabut. Bila sudah kering, harus.

Kalau di kubur itu rumput nampak macam tidak kemas, boleh cabut yang mana patut dan dirapikan sehingga kubur itu nampak kemas. Maka, harus dalam keadaan ini.

Maka, dinasihatkan untuk tak ‘kacau’ rumput yang masih segar di atas kubur. Kalau dah nampak sangat tak sedap mata memandang, cabut saja mana yang patut sehingga ia nampak kemas. Selain itu, tidak digalakkan untuk kacau.

Kerana rumput itu bertasbih dan ia bermanfaat buat si mati di dalam kubur seperti mana hadis Nabi tentang pelepah riwayat Bukhari.

Wallahu’alam.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum BerzinaHukum Cukur Bulu
Hukum Gantung Gambar dalam RumahHukum Gugurkan Kandungan
Hukum Main ForexHukum Warnakan Rambut
Hukum Baca Al-quran Ketika HaidHukum Buang Tahi Lalat
Hukum Makan Dakwat SotongHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Rujukan

  1. Fatiha, N. (2020). Haram ke cabut rumput atas kubur? Ini penjelasannya…. Retrieved from Sinar Plus
  2. Islam, K. (n.d.). Hukum mencabut rumput kuburan. Retrieved from Umma
  3. Jamal, N. (2018). Begini penjelasan Alquran tentang fenomena tumbuhan bertasbih. Retrieved from Go Muslim
  4. Khan, M. W. (2013). Removing grass and planting flowers on graves. Retrieved from Darul Uloom Trinidad & Tobago
  5. Naim, M. (n.d.). Hukum Cabut Rumput Atas Kubur. Retrieved from Aku Islam
  6. Should we place green leaves on graves so that the punishment of the deceased may be reduced? (2003). Retrieved from Islam Question & Answer

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 − five =

Scroll to Top