Bagaimana mengerjakan Solat Sunat Tasbih? Dalam artikel ini, kami menerangkan secara ringkas berkenaan cara-cara, lafaz niat solat sunat tasbih dalam bacaan rumi dan juga kelebihan melakukannya.
Solat Sunat Tasbih ini pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada bapa saudaranya Sayidina Abbas bin Abdul Mutalib r.a. Diberikan nama sedemikian kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 tasbih semasa mengerjakannya. Mengenai solat ini, Imam Nawawi pernah berkata bahawa telah menjadi pegangan jumhur ulama’ syafi’iyyah bahawa hukumnya adalah sunat.
Terdapat hadis-hadis yang menggesa supaya melakukan Solat Tasbih ini setiap hari dan sekiranya tidak mampu, dikurangkan kepada sekali seminggu. Sekiranya masih tidak mampu, dikurangkan kepada sekali sebulan.
Jika masih tidak sanggup sekali sebulan, memadailah melakukannya sekali dalam setahun atau setidak-tidaknya sekali dalam seumur hidup.Walaupun hadis-hadis tersebut tidak kuat dijadikan hujah, tetapi ulama’ membolehkan untuk beramal dengan fadha’il amal.
Sejarah Solat Sunat Tasbih
Solat Sunat ini dianjurkan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
”Wahai pak cikku Abbas, Aku ingin memberikan engkau. Aku sangat mencintai engkau. Aku ingin engkau melakukan sepuluh sifat yang mana jika engkau melakukannya Allah akan mengampunkan dosa engkau yang pertama dan terakhir, yang terdahulu dan yang terkemudian, yang sengaja dan yang tidak sengaja serta (dosa) yang rahsia dan yang terang-terangan. Sepuluh sifat tersebut adalah engkau solat sebanyak 4 rakaat. Engkau baca pada setiap rakaat al-Fatihah dan surah. Apabila engkau sudah selesai membacanya di rakaat pertama, dan ketika itu engkau masih berdiri maka ucapkanlah : Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahuakbar 15 kali kemudian engkau ruku’ dan bacalah (zikir tersebut) sebanyak 10 kali. Kemudian engkau bangkit dari ruku’ dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah 10 kali. Kemudian engkau bangit dari sujud bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian engkau sujud semula, bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian engkau bangkit dari sujud bacalah ia sebanyak 10 kali. Kesemuanya adalah 75 kali yang engkau lakukan sebanyak 4 rakaat. Kalau engkau mampu untuk menunaikannya maka lakukanlah sehari sekali. Jika tidak mampu maka lakukan pada setiap hari Jumaat. Kalau tidak mampu juga lakukanlah sebulan sekali. Jika tidak mempu lakukanlah setahun sekali.” Riwayat Abu Daud (1105),Ibnu Majah (1377) dan al-Tirmizi (479)
Waktu Solat Tasbih yang Sesuai
Terdapat dua cara mengerjakan solat sunat ini, bergantung kepada waktu ianya dikerjakan. Sekiranya dikerjakan pada waktu siang hari, hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan satu salam dan jika dikerjakan pada malam hari, hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan dua salam.
Solat Sunat Tasbih harus dilakukan secara berjemaah tetapi tidak digalakkan dilakukan secara berterusan kerana yang lebih awla ialah dilakukan secara bersendirian.
Walaupun 4 rakaat, solat ini mengambil masa yang agak lama kerana ia diselangi bacaan tasbih. Secara puratanya, setiap rakaat jumlah tasbihnya 75 kali, maka jumlah keseluruhan tasbih yang dibaca adalah 75 tasbih X 4 rakaat adalah bersamaan 300 kali.
Tasbihnya ialah :
Maksudnya : Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.
Lafaz Niat Solat Tasbih
Berikut adalah lafaz niat solat sunat Tasbih pada waktu siang yang perlu dilakukan sebanyak 4 rakaat dan satu salam
Bacaan Rumi:
Usolli sunnatat tasbih arba’a rakaatin lillahi taala
Maksudnya : Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah Taala.
Bagi yang melakukan solat sunat tasbih pada waktu malam iaitu perlu dilakukan 4 rakaat berserta 2 salam, lafaz niat Solat Sunat Tasbih adalah seperti berikut:
Bacaan rumi:
Usolli sunnatat tasbih rak’ataini lillahi taala
Maksudnya : Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.
Cara Solat Sunat Tasbih
Berikut merupakan cara solat sunat tasbih mengikut turutan
Rakaat Pertama
1. Takbiratul Ihram berserta niat
Mengangkat kedua tangan ke telinga dengan menyebutkan Allahu akbar berserta niat di dalam hati
Berikut adalah lafaz niat solat sunat Tasbih pada waktu siang yang perlu dilakukan sebanyak 4 rakaat dan satu salam
Bacaan Rumi:
Usolli sunnatat tasbih arba’a rakaatin lillahi taala
Maksudnya : Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah Taala.
Bagi yang melakukan solat sunat tasbih pada waktu malam iaitu perlu dilakukan 4 rakaat berserta 2 salam, lafaz niat Solat Sunat Tasbih adalah seperti berikut:
Bacaan rumi:
Usolli sunnatat tasbih rak’ataini lillahi taala
Maksudnya : Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.
2. Membaca Surah Al-Fatihah
Maksudnya; “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”
3. Bacaan Surah
Selepas membaca surah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat solat sunat Tasbih ini dibaca pula surah-surah yang tertentu. Secara ringkasnya, boleh membaca apa-apa surah yang dihafal. Digalakkan untuk membaca surah tertentu jika ada kemampuan melaksanakannya iaitu:
- Surah Yasin (Rakaat Pertama)
- Surah Al-Waqi’ah (Rakaat Kedua)
- Surah Ad-Dukhan (Rakaat ketiga)
- Surah Al-Mulk (Rakaat keempat)
Ataupun boleh dibaca surah :
- Surah Al-Dhuha
- Surah Al-Insyirah
- Surah Al-Kautsar
- Surah An-Nasr
Selepas selesai bacaan surah maka perlu bertasbih sebanyak 15 kali.
سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ لِلّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ
Bacaan Rumi:
Subhaanallah walhamdulillah walaa ilaaha illallah wallahu akbar walaa haula walaa quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘aziim.
(Maksud: “Maha suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar, tiada kekuasaan dan tiada kekuatan selain dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.”)
4. Rukuk sambil bertakbir (lafaz Allahu akbar).
Membaca bacaan ketika rukuk kemudian bertasbih sebanyak 10 kali.
Bacaan rukuk:
“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.
Nota: Kedua-dua tangan kita terletak atas lutut kedua-dua kaki.
5. I’tidal sambil mengucapkan,
Membaca bacaan ketika i’tidal kemudian bertasbih sebanyak 10 kali.
Bacaan I’tidal:
“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”
Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
Nota: Bediri tegak dan kedua-dua tangan berada di sisi.
6. Sujud sambil bertakbir.
Membaca bacaan ketika sujud kemudian bertasbih sebanyak 10 kali.
Bacaan sujud:
“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Nota: Kedua-dua tapak tangan terletak atas lantai/sejadah separas bahu.
7. Duduk antara dua sujud sambil bertakbir.
Membaca bacaan ketika duduk antara dua sujud kemudian bertasbih sebanyak 10 kali.
Bacaan duduk antara dua sujud:
“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
Nota: Kedua-dua tangan terletak atas kedua-dua peha.
8. Sujud kembali sambil bertakbir.
Bacaan sujud sama seperti di atas dan kemudian membaca tasbih sebanyak 10 kali.
9. Apabila hendak berdiri semula (semasa duduk istirahat) dibaca pula tasbih sebanyak 10 kali.
Maka, jumlah tasbih kesemuanya pada rakaat pertama adalah 75 kali. Dan begitulah seterusnya pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.
Rakaat Kedua
1. Membaca Surah Al-Fatihah
2. Bacaan Surah pilihan
Selepas selesai bacaan surah maka perlu bertasbih sebanyak 15 kali.
3. Rukuk
Membaca bacaan ketika rukuk kemudian bertasbih sebanyak 10 kali.
4. Iktidal.
Membaca bacaan iktidal dan bertasbih sebanyak 10 kali.
5. Sujud
Membaca bacaan ketika sujud dan bertasbih sebanyak 10 kali
6. Duduk di antara dua sujud.
Membaca bacaan ketika duduk di antara dua sujud dan bertasbih sebanyak 10 kali.
7. Sujud kedua.
Membaca bacaan ketika sujud dan bertasbih sebanyak 10 kali.
8. Duduk Tahiyat akhir
Membaca bacaan Tahiyat kemudian disertakan dengan tasbih sebanyak 10 kali
9. Salam
Jika dilakukan pada waktu pagi, teruskan solat tersebut dengan rakaat ketiga dan keempat. Jika dilakukan pada waktu malam, selepas salam, perlu melakukan solat tasbih lagi 2 rakaat.
Sekiranya terlupa membaca tasbih pada sesetengah tempat bolehlah dibaca di tempat rukun berikutnya untuk tidak mengurangkan tasbih sebagaimana yang telah ditetapkan iaitu 300 kali.
Selepas itu ucapkanlah doa ini :
يَا اللهُ يَا رَحْمن يَا رَحِيم يَا حَيُّ يَا قَيُّوم يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَام
Maksudnya: “Ya Allah Wahai Yang Maha Pengasih dan Penyayang, Wahai Yang Hidup Selama-Lamanya, Wahai yang Mempunyai Kebesaran dan Memuliakan”
Kelebihan
Jika dilihat pada hadis di permulaan artikel ini, Rasulullah SAW memulakan dalam bentuk pertanyaan dan kemudian dijawab oleh Rasulullah SAW sendiri. Seterusnya pertanyaan itu diiringi dengan fadhilat dan kelebihan solat sunat Tasbih ini.
Dalam kitab al-Mirqat, diceritakan bahawa Abdullah Ibn Abbas RA mengerjakan solat sunat Tasbih ini pada setiap hari Jumaat. Manakala al-Baihaqi menukilkan bahawa seorang ulama’ besar daripada kalangan tabi’in iaitu Abu Jawza RA menunaikan solat sunat Tasbih setiap hari pada waktu Zuhur.
Hanya melalui empat rakaat yang sederhana dihiasi dengan tasbih yang mudah tetapi kesan dan impaknya amat dahsyat lagi menakjubkan iaitu pengampunan dan penghapusan segala dosa. Apa jua bentuk dosa yang seseorang itu lakukan, mereka ditawarkan pengampunan secara keseluruhan oleh Allah SWT.
Sesungguhnya ini satu rahmat daripada Allah yang terlalu agung buat umat kekasih-Nya. Usaha yang kecil, tetapi ganjarannya terlalu agung dan besar. Tawaran pengampunan dosa melalui solat sunat Tasbih ini adalah antara kurniaan Allah Taala yang tiada taranya untuk kita.
Justeru, jika insan-insan hebat seperti Saidina Abbas RA dan Saidina Ibn Abbas RA bersungguh-sungguh melakukan solat sunat tasbih ini, apatah lagi insan seperti kita yang kerdil dan banyak dosa ini.
Doa Selepas Solat Tasbih
Berikut adalah salah satu contoh doa selepas Solat Sunat Tasbih yang banyak diamalkan di masjid-masjid dan dikalangan umat Islam.
Maksudnya:“Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami memohon taufik daripada-Mu seperti mana mereka yang telah Engkau berikan petunjuk dan jadikan amalan kami seperti mana amalan ahli-ahli yakin, dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang menerima nasihat, golongan orang-orang yang bertaubat dan mempunyai keamanan sepertimana orang-orang sabar, gementar kami sepertimana orang takut. Kami juga memohon seperti mana orang-orang yang suka kepada kebaikan dan beribadat seperti mana beribadat orang-orang yang warak. Dan jadikanlah pengetahuan kami ini seperti mana orang-orang yang berilmu dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang takut kepada Engkau.Ya Allah, kami memohon kepada Engkau, jadikanlah kami terdiri daripada orang-orang yang takut kepada perbuatan maksiat sehingga kami sentiasa mentaati dan beramal dengan perintah-Mu sebagaimana amalan orang-orang yang mendapat keredaanMu dalam setiap perkara dan kami memohon supaya menjadi orang yang sentiasa berbaik sangka kepada Engkau, Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta.”
Kesimpulan
Solat Tasbih ini dapat membuka pintu ampunan Allah SWT di atas segala dosa, dari awal hingga akhir, lama mahupun baru, disengajakan atau tidak, kecil atau besar, yang nampak mahupun tersembunyi.
Di kesempatan 10 malam terakhir Ramadan ini, lazimilah amalan-amalan sunat dan ambil peluang melakukan solat sunat ini agar dosa-dosa selama kita hidup di dunia diampunkan oleh Allah swt. Inilah keajaiban sunat sunat tasbih dan seharusnya kita merebut dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya. Wallahua’lam.
Panduan solat sunat yang lain
Rujukan
- Hukum Solat Tasbih (18 Mei 2020): MuftiWP
- Indahnya Hidup Bersyariat, Dato’ Ismail Kamus, 1948, Telaga Biru Sdn. Bhd.
- Panduan Qiamullail, Cetakan Ketigabelas, 2013, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)