Skip to content

Kisah Nabi Hud dan Kaum ‘Aad yang Diazab

nabi hud

Kisah Nabi Hud sangat sinonim dengan kaumnya iaitu Kaum ‘Aad. Kaum ini diceritakan sebagai salah satu kaum yang mensyirikkan Allah SWT disebabkan mereka menyembah berhala yang dikatakan sebagai tuhan mereka.

Disebabkan perkara tersebut Allah SWT menurunkan bala kepada kaum tersebut untuk menjadi pengajaran kepada kita semua pada hari ini.

Kisah Nabi Hud dan kaum ‘Aad yang syirik

Kisah Kaum ‘Aad bermula apabila Nabi Hud diutuskan untuk mengajak kaum tersebut untuk meng-Esa-kan Allah. Nabi Hud berketurunan dari suku ‘Aad dimana mereka hidup di suatu tempat bernama Al-Ahqaf, terletak diutara Hadramaut diantara Oman dan Yaman.

Seperti kaum Nabi Nuh, kaum ‘Aad juga mempersekutukan Allah dengan berhala yang dibuat oleh mereka sendiri bernama Shamud, Shada, dan al-Haba. Mereka menyembah berhala kerana ianya merupakan kepercayaan dan tradisi nenek moyang mereka sekaligus tidak menghiraukan seruan Nabi Hud A.S mengajak mereka menyembah Allah yang Maha Esa.

Selain menyembah berhala, kaum ‘Aad juga melakukan kerosakan dimuka bumi dimana hamba-hamba diseksa untuk membangunkan istana raja kaum ‘Aad yang strukturnya besar diluar jangkaan serta mengkagumkan. Kaum ‘Aad bermegah dengan nikmat yang dimiliki mereka iaitu tubuh badan yang gagah perkasa serta negeri yang kaya raya dimana mereka tinggal di rumah yang mempunyai tiang yang besar dan tinggi.

Nabi Hud A.S yang ketika itu sedar akan kekufuran kaum ‘Aad berusaha untuk menasihati raja untuk meninggalkan maksiat dan kesesatan yang nyata. Baginda mengutuskan pembantunya untuk mengirimkan seketul batu kepada raja.

Nabi Hud A.S mengumpamakan hati raja kaum ‘Aad pada waktu itu begitu keras seperti seketul batu kerana bersikap degil serta tidak menghiraukan seruan Nabi Hud A.S. Tanpa memperdulikan nasihat Nabi Hud A.S, kaum ‘Aad tetap menyembah berhala yang disangka Tuhan yang dipercayai mampu mengurniakan mereka kebahagiaan, kebaikan, keuntungan dan berkuasa menolak musibah.

Musibah melanda

Akibat ingkar seruan Nabi Hud A.S,  Allah menunjukkan kekuasaanNya keatas kaum ‘Aad. Al-Ahqaf dilanda musibah dimana ladang mereka menjadi kering, tanaman menjadi layu serta banyak haiwan ternakan mati akibat kemarau yang amat dahsyat.

Nabi Hud A.S sekali lagi menegaskan kepada kaumnya supaya bertaubat kepada Allah serta memohon hujan daripadaNya. Nabi Hud A.S berusaha menegaskan bahawa musibah ini adalah suatu bentuk  peringatan daripada Allah dan sekiranya mereka kembali kafir seperti kaum-kaum dilaknat yang terdahulu, maka Allah akan menurunkan sekali lagi bala yang lebih dahsyat. Hal ini sebagaimana difirmankan Allah SWT:

وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُواْ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُواْ إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاء عَلَيْكُم مِّدْرَاراً وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ وَلاَ تَتَوَلَّوْاْ مُجْرِمِينَ

“Wahai kaumku! Mohonlah keampunan pada Tuhanmu, kemudian bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat lebat keatasmu dan menambah kekuatanmu di samping kekuatanmu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa”

(Hud : 52)

Balasan Allah kepada Kaum ‘Aad

Meskipun telah dilarang oleh Nabi Hud A.S berkali-kali, kaum ‘Aad yang sombong dan angkuh terus memohon daripada Tuhan mereka agar musibah kemarau dihapuskan serta negeri mereka kembali makmur dan subur seperti sedia kala.

Walau bagaimanapun, kaum ‘Aad tidak mempercayai agama yang dibawa Nabi Hus A.S serta  menganggap bahawa nabi itu tidak waras kerana menyembah sesuatu yang bertentangan dengan agama nenek moyang mereka.

Maka datanglah azab yang dijanjikan Allah menimpa kaum ‘Aad. Malapetaka tersebut berupa awan tebal yang besar. Kaum ‘Aad menggangap iannya adalah awan yang akan memakmurkan negeri, menyuburkan kembali tanaman serta memberi minuman kepada haiwan ternakan mereka. Nabi Hud A.S memberitahu bahawa inilah awan yang akan membinasakan mereka. Namun, kata-kata Nabi Hud A.S tidak diendahkan sekali lagi.

Setelah itu, muncullah angin ribut bertiup kencang menerbangkan segala yang ada di negeri tersebut. Maka bertempiaran larilah kaum ‘Aad untuk menyelamatkan diri mereka. Ribut kencang itu dikatakan berterusan selama tujuk malam dan lapan hari. Nabi Hud A.S dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah kerana tetap beriman meskipun ditentang oleh kaum ‘Aad. Allah berfirman:

وَأُتْبِعُواْ فِي هَـذِهِ الدُّنْيَا لَعْنَةً وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ أَلا إِنَّ عَاداً كَفَرُواْ رَبَّهُمْ أَلاَ بُعْداً لِّعَادٍ قَوْمِ هُودٍ

“ Dan mereka selalu diikuti dengan kutukan di dunia ini dan di hari kiamat. Ingatlah, sesungguhnya kaum ‘Aad itu kafir kepada Tuhan mereka. Ingatlah, sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum ‘Aad iaitu kaum Hud”

(Hud : 60)         

Ayat suci diatas menggambarkan pengakhiran kaum ‘Aad yang dimusnahkan Allah akibat kekufuran mereka sendiri.

Pengajaran dari kisah Nabi Hud dan kaumnya

Ibrah yang boleh kita ambil daripada sirah nabawiyyah ini ialah sebagai seorang Muslim adalah penting untuk kita bertaubat dan sentiasa memohon keampunan daripada Allah SWT setelah diberi peringatan sama ada berbentuk ujian atau musibah yang melanda.

Mungkin dari teguran itu Allah ingin mengangkat darjat atau menegur kesilapan kita supaya tidak terus hanyut dengan kejahilan kita. Janganlah kita bersikap mengendahkan segala bentuk peringatan Allah serta melambatkan taubat kerana mungkin nasib tidak menyebelahi kita dimana ajal datang menerpa terlebih dahulu.

Seterusnya, angkuh dan sombong adalah sikap yang dicerca Allah. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra ayat 37,

وَلاَ تَمْشِ فِي الأَرْضِ مَرَحاً إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولاً

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan lagak sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.”

Kaum ‘Aad mendabik dada dengan kehebatan dan kekayaan mereka serta tidak menghiraukan utusan Allah yakni Nabi Hud A.S. Jelas sekali kekufuran mereka dalam mendustakan ayat Allah mengakibatkan mereka termasuk dalam golongan yang dibinasakan.

Saya pasti diantara kita, semuanya mengharapkan pengakhiran yang khusnul khotimah dalam kehidupan kita. Sifat mazmumah kaum ‘Aad ini perlulah dijadikan sempadan untuk kita ambil  sebagai iktibar.

Kisah Nabi yang lain

Nabi AdamNabi Idris
Nabi NuhNabi Hud
Nabi SolehNabi Ibrahim
Nabi LuthNabi Ismail
Nabi IshakNabi Yaakub
Nabi YusufNabi Ayub
Nabi Syu’aibNabi Musa
Nabi HarunNabi Zulkifli
Nabi DaudNabi Sulaiman
Nabi IlyasNabi Ilyasa
Nabi YunusNabi Zakaria
Nabi YahyaNabi Isa
Nabi Muhammad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × four =