Skip to content

Solat dengan Memakai Kasut(Khuf)- Cara yang Lengkap

solat dengan menggunakan kasut (khuf)

Bagaimanakah cara solat dengan menggunakan khuf serta syarat-syaratnya?

Artikel ini akan mencertitakan berkenaan pengenalan solat dengan memakai kasut atau khuf secara mudah berserta syarat-syarat yang dibenarkan.

PENGERTIAN KHUF


Khuf atau juga dikenali sebagai muzah merupakan sejenis kasut/sepatu yang diperbuat daripada kulit haiwan,getah atau kain.Ia direka sebagai alas untuk menutupi bahagian kaki yang diwajibkan basuh ketika berwudhu’ dan kebiasaannya khuf dipakai ketika musim sejuk.

Manakala menyapu khuf merupakan gantian membasuh kedua-dua belah kaki ketika berwudhu’ iaitu dengan mengusap atau melalukan tangan yang basah di atas permukaan kasut tanpa menanggalkannya.

HUKUM


Menyapu khuf adalah diharuskan berdasarkan empat mazhab dan ia merupakan suatu rukhsoh yakni keringanan disisi syarak kepada umat Islam dalam beribadat baik kepada lelaki mahupun perempuan,yang sihat atau yang sakit serta kepada mereka yang bermukim atau sedang bermusafir. Sebagaimana hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim,dari Jabir bin Abdullah al-Bajali r.a. menceritakan;

رَأَيْتُ النَّبِىَّ صَلى الله عليهِ وَسَلّم بَالَ ثُمَّ تَوَضَّأَ، وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ

Maksudnya: “Aku telah melihat Nabi s.a.w. kencing, kemudian baginda mengambil wudhuk dan menyapu air atas dua khufnya”

CIRI-CIRI KEHARUSAN PENYAPUAN KHUF


Berikut merupakan ciri-ciri yang diberikan keringanan untuk menyapu khuf sebagai gantian wudhu’. Sekiranya kasut yang dipakai tidak memenuhi ciri-ciri seperti berikut maka penyapuan khuf sebagai wudhu’ adalah tidak sah.

Pertama

Khuf yang dipakai mestilah menutupi keseluruhan bahagian kaki yang wajib dibasuh iaitu dari hujung kaki hingga ke buku lali.Namun sebahagian ulama’ iaitu Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berpandangan bahawa sekiranya terdapat sedikit koyakan atau lubang pada kasut tersebut dapat dimaafkan dan wudhu’ adalah sah.

Kedua

Khuf itu adalah diperbuat dari bahan yang suci dan bukan dari benda haram atau najis seperti kulit babi atau anjing atau kulit binatang yang belum disamak.

Ketiga

Kasut itu hendaklah tahan kuat dan dapat digunakan untuk berjalan berterusan selama tempoh sah penyapuan khuf dapat dilaksanakan.

SYARAT PENYAPUAN KHUF


Syarat keharusan penyapuan khuf adalah kita hendaklah memastikan keadaan diri adalah suci dan bersih dari sebarang hadas kecil atau besar dan berada dalam keadaan berwudhu’ yang sempurna terlebih dahulu sebelum dibolehkan untuk menyapu khuf. Hadis dari  Mughirah bin Syu’bah r.a. menceritakan;

كُنْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َفِى سَفَرٍ، فَأَهْوَيْتُ لأَنْزِعَ خُفَّيْهِ فَقَالَ: دَعْهُمَا، فَإِنِّى أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ. فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: “Saya bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan (musafir). Saya ingin menanggalkan dua khuf (kasut) beliau. Namun beliau berkata; ‘Biarkanlah. Saya menyarungnya semasa saya suci (yakni berwudhuk)’. Beliau kemudian hanya menyapu ke atas dua khufnya (semasa mengambil wudhuk)”.

CARA PENYAPUAN KHUF


Setelah menepati syarat-syarat sebelum penyapuan khuf iaitu dengan berwudhu’ secara sempurna terlebih dahulu maka, wudhu’ seseorang itu memadai dengan hanya membuat sapuan atau mengusap air ke atas kasutnya sebagai gantian membasuh bahagian kaki.

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa memadai sapuan dilakukan hanya di atas permukaan kasut sahaja dan bukan di bahagian tapak atau lain-lain. Sebagai tambahan, menyapu khuf tidak sunat diulangi 3 kali sebagaimana membasuh kaki, cukup sekali sapuan sahaja. Malah menurut Imam al-Haramain dan Imam al-Ghazali hukumnya adalah makruh jika diulang sapuan.

Setelah sempurna wudhu’,maka solat boleh dilaksanakan seperti biasa mengikut rukhsoh solat yang tertentu samada qasar atau jamak.Dan hanya bezanya adalah khuf masih dipakai ketika solat.

TEMPOH MASA KEHARUSAN PENYAPUAN KHUF


Keringanan membolehkan penyapuan khuf juga terdapat tempoh masa yang tertentu bagi golongan yang tertentu. Secara umum diketahui, tempoh menyapu kasut bagi orang yang bermukim ialah sehari semalam manakala bagi yang sedang bermusafir ialah selama 3 hari 3 malam iaitu sama waktu dengan jarak diharuskan untuk solat qasar.

Berdasarkan hadis riwayat Muslim,daripada Syuraih bin Hani’ r.a. menceritakan ; Hal ini berdasarkan hadith, daripada Syuraih bin Hani’ RA katanya:

أَتَيْتُ عَائِشَةَ أَسْأَلُهَا عَنِ الْمَسْحِ عَلَى الْخُفَّيْنِ فَقَالَتْ عَلَيْكَ بِابْنِ أَبِى طَالِبٍ فَسَلْهُ فَإِنَّهُ كَانَ يُسَافِرُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَسَأَلْنَاهُ فَقَالَ جَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ وَيَوْمًا وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ

Maksudnya: “Aku telah menemui Aisyah R.Anha dan bertanyakan tentang cara menyapu khuf. Aisyah menjawab: Pergilah berjumpa Sayyidina Ali kerana dia lebih mengetahuinya daripadaku sebab dia telah bermusafir bersama-sama Rasulullah SAW. Lalu aku bertanya kepadanya, dan dia menjawab: Rasulullah SAW telah menetapkan tempohnya selama tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir dan sehari semalam bagi yang bermukim.

Secara jelasnya,jumhur bersepakat akan tempoh keharusan menyapu khuf adalah bermula ketika berlaku hadas pertama selepas memakai kasut sehinggalah ke waktu yang sama pada hari kedua(bersamaan 24 jam sehari semalam) yakni bagi yang bermukim. Manakala bagi yang bermusafir tempoh masa adalah dari berlakunya hadas pertama sehinggalah ke hari keempat(genap 3 hari).

Maka selepas tamat tempoh tersebut, hendaklah seseorang itu menanggalkan kasutnya dan mengambil wudhu’ dengan sempurna kembali iaitu dengan membasuh kaki tanpa kasut. Setelah itu,jika seseorang itu kembali memakai kasut, maka keharusan penyapuan khuf kembali tertakluk kepada tempoh masa yang baru mengikut keadaan tertentu samada secara bermukim atau bermusafir.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN KEHARUSAN MENYAPU KHUF


Pertama

Sekiranya seseorang itu dengan sengaja atau tidak menanggalkan khufnya,maka tidak sah lagi sapuan khuf tersebut sekalipun masih dalam tempoh tertentu bagi keharusan penyapuan kasur. Apabila berlaku hal sedemikian, hendaklah seseorang itu kembali berwudhu’ dengan sempurna tanpa khuf dan kembali memakai kasut serta memulakan tempoh keharusan penyapuan khuf yang baru.

Kedua

Sekiranya berlaku hadas besar yang mewajibkan untuk mandi samada kerana berjunub, kedatangan haid dan nifas atau kerana melahirkan anak. Sebagaimana hadis Safwan bin ‘Asal ra.

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا مُسَافِرِينَ أَنْ نَمْسَحَ عَلَى خِفَافِنَا وَلاَ نَنْزِعَهَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ

Maksudnya: Semasa bermusafir bersama Rasulullah SAW, Baginda menyuruh kami menyapu khuf dan tidak menanggalkannya selama tiga hari sama ada selepas buang air besar, air kecil atau tidur kecuali apabila janabah.

Ketiga

Telah tamat tempoh masa keharusan penyapuan khuf bagi waktu-waktu tertentu iaitu selama sehari semalam bagi yang bermukim dan selama 3 hari 3 malam bagi yang sedang bermusafir.

HIKMAH


Islam itu suatu agama yang sempurna.Ia memberi jalan penyelesaian terhadap setiap perkara yang sulit dengan pelbagai cara.

Antara hikmah keharusan penyapuan khuf adalah sebagai kemudahan dan keringanan bagi setiap muslim untuk mendirikan solat tanpa mengira waktu dan keadaan. Pemakaian kasut seringkali menjadi suatu kesulitan seperti kesulitan untuk kerap menanggalkan kasut dan mencuci kedua kaki, apalagi ketika musim dingin yang mungkin boleh mendatangkan kemudharatan dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 + 2 =