Skip to content

Kisah Nabi Adam dan Hawa yang dikeluarkan dari Syurga

kisah nabi adam

Inilah kisah Nabi Adam, manusia pertama yang diciptakan dan merupakan permulaan kepada kewujudan bangsa manusia ini. Satu-satunya manusia yang diciptakan langsung daripada tanah tanpa ada unsur lain iaitu air mani sepertimana manusia-manusia lainnya. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Mu’minun:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ – 23:12

ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ – 23:13

ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ – 23:14

Maksudnya:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu, Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal daging, dan segumpal daging itu, Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.” (Surah Al-Mu’minun: 12-14)

Permulaan Penciptaan Nabi Adam A.S.

Sebelum wujudnya Nabi Adam A.S., Allah telah menciptakan beberapa jenis makhluk lain seperti jin dan malaikat yang mendiami syurga. Maka, apabila dikhabarkan berkenaan penciptaan manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi, malaikat mempersoalkan penciptaan tersebut seperti yang tertulis di dalam al-Quranul Karim:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ – 2:30

Yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.” (Surah al-Baqarah: 30)

Kemudian, diciptakanlah Adam A.S. oleh Allah SWT daripada segumpal tanah liat yang kering dan lumpur hitam. Setelah disempurnakan bentuknya, maka ditiupkanlah roh olehNya ke dalam jasad tersebut dan berdirilah baginda tegak menjadi manusia pertama yang sempurna.

Kesunyian Nabi Adam A.S. Tanpa Hawa

Nabi Adam A.S. mula merasa kesunyian kerana baginda sahaja manusia yang berada di dalam syurga dan sememangnya fitrah seorang manusia itu untuk hidup berpasang-pasangan. Maka, Nabi Adam A.S. meminta kepada Allah SWT untuk diciptakanNya sesuatu untuk menghilangkan kesunyiannya, iaitu Hawa.

Menurut riwayat para ulama berkenaan dengan kisah Nabi Adam, Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam A.S. pada waktu baginda sedang nyenyak tidur. Apabila sudah terjaga, baginda melihat Hawa sudahpun berada di sisinya. Justeru, Nabi Adam A.S. disoal oleh malaikat, “Wahai Adam! Apa dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?”. Maka berkatalah Nabi Adam, “Seorang perempuan. Sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan oleh Allah kepadanya.”.

“Siapakah namanya?”, tanya malaikat lagi.”Hawa”, jawab baginda.

“Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?”, tanya malaikat lagi.  Nabi Adam A.S. menjawab, “Untuk mendampingiku, memberi kebahagian kepadaku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah.”.

Lalu Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah, ayat 35:

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ – 2:35

Maksudnya:

“Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah: 35)

Turunnya Adam dan Hawa ke Muka Bumi

Iblis yang dihalau daripada Syurga oleh sebab kesombongan dan keingkarannya untuk sujud kepada Nabi Adam A.S. mula merancang sesuatu untuk menghasut Nabi Adam dan Hawa. Ada riwayat berkaitan dengan kisah Nabi Adam A.S yang menyatakan bahawa Iblis menyusup ke dalam syurga sebagai seekor ular lalu memberitahu kepada mereka bahawa dia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka.

Hasutan demi hasutan diberikan oleh sang Iblis supaya Nabi Adam A.S. dan Hawa melanggar larangan Allah SWT iaitu tidak memakan buah yang diberi nama buah Khuldi. Pelbagai kata-kata halus yang dikatakan oleh Iblis untuk meyakinkan mereka bahawa niatnya baik dan ingin memberi nasihat. Dia membisikkan kepada mereka bahawa larangan Tuhan kepada mereka memakan buah yang diberi nama buah Khuldi yang ditunjukkan itu adalah kerana dengan memakan buah khuldi itu mereka akan menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Namun mereka berdua gagal dengan hasutan tersebut dan memakan buah Khuldi.

Kemudian mereka berdua diturunkan oleh Allah SWT ke bumi berdasarkan firmanNya:

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ ۖ وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَىٰ حِينٍ – 2:36

Maksudnya:

“Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.” (Surah al-Baqarah: 36).

Terdapat banyak pengajaran yang boleh didapati daripada kisah Nabi Adam A.S. Sebagai seorang yang beriman, seharusnya kita sentiasa berwaspada dengan hasutan syaitan dan iblis. Hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan bermohon supaya diberikan taufiq dan hidayah. Selain itu, janganlah kita bersifat sombong dan angkuh seperti iblis yang akhirnya mendatangkan kemurkaan Allah.

Kisah Nabi yang lain

Nabi AdamNabi Idris
Nabi NuhNabi Hud
Nabi SolehNabi Ibrahim
Nabi LuthNabi Ismail
Nabi IshakNabi Yaakub
Nabi YusufNabi Ayub
Nabi Syu’aibNabi Musa
Nabi HarunNabi Zulkifli
Nabi DaudNabi Sulaiman
Nabi IlyasNabi Ilyasa
Nabi YunusNabi Zakaria
Nabi YahyaNabi Isa
Nabi Muhammad

Rujukan:

  1. Nabi Adam – Wikipedia
  2. Al-Quran Al-Karim
  3. Al-quran dan Sains – Republika

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × five =