Skip to content

Hukum Sambut Hari Bapa. Boleh atau Tidak?

hukum sambut hari bapa

Apakah hukum sambut Hari Bapa? Artikel ini akan membincangkan dengan jelas berkenaan hukum sambut hari bapa sama ada ia boleh atau tidak.

Pengenalan

Sebenarnya, sebelum wujudnya hari bapa, hari ibu sudah lama disambut dahulu kerana bapa tidak mendapat pengaruh besar seperti ibu. Semuanya mesti ibu dahulu. Hari bapa itu wujud hasil inspirasi daripada hari ibu. Di Washington dulu, ada seorang individu yang bernama Sonora Smart Dodd, dia pergi ke gereja dan mengusulkan untuk menyambut hari bapa sepertimana mereka telah menyambut hari ibu. Bapa juga perlu mendapat pengiktirafan. Bapa juga perlu diraikan. Bukan ibu sahaja.

Idea dia mendapat sambutan yang hangat. Washington menyambut hari bapa di peringkat negeri bermula pada tahun 1910. Lama-kelamaan, pemimpin tempatan telah menjadikan hari bapa sebagai hari cuti. Ada yang menjadikan hari bapa ini sebagai sambutan agama. Dilakukan ritual-ritual tertentu dan sebagainya.

Perayaan dalam Islam

Dalam Islam, terdapat dua perayaan utama, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Hari Raya Aidilfitri ialah perayaan selepas umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan. Habis sahaja bulan Ramadan, umat Islam akan merayakan hari raya ini. Ini merupakan kemenangan untuk seluruh umat Islam kerana telah berjaya menahan keperluan asasi selama sebulan dengan kadar-kadar tertentu. Kita semua menahan lapar, menahan bercakap yang kosong-kosong dan sebagainya. Layaklah kita bergembira pada hari raya itu.

Hari Raya Aidiladha pula ialah perayaan menghormati dan memuliakan Nabi Ibrahim kerana telah sanggup mengorbankan anaknya sebagai bukti ketaatan kepada Allah SWT. Hari raya ini juga dinamakan juga sebagai hari raya haji. Perayaan ini menggalakkan umat Islam untuk mengorbankan binatang tertentu untuk dikongsi dengan fakir dan miskin. Perayaan ini mengajar kita untuk mengorbankan sesuatu sebagai bukti kita patuh kepada Allah.

Biasanya, dua perayaan ini terdapat cuti terutama sekali di negara-negara yang majoriti orang Islam.

Berbakti kepada ibu dan bapa

Hari bapa tidak sepatutnya menjadi satu-satunya hari kita meraikan bapa kita. Kita patut berbakti kepadanya setiap masa sehingga ke akhir hayat kita. Allah berfirman dalam Surah al-Israa’ ayat 23:

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Sama ada mereka berbuat baik atau tidak kepada kita, kita wajib berbakti kepada mereka. Ini merupakan arahan daripada Allah SWT. Hamka dalam tafsirnya telah menekankan bahawa biasanya anak-anak bila sudah berdikari, terlupa untuk berbakti kepada ibu bapanya. Mereka biarkan ibu bapa mereka. Sepatutnya, berbakti kepada ibu bapa tidak terhenti ketika di bawah penjagaan mereka sahaja, bahkan setiap masa. Jangan pula terasa bosan dengan mereka. Biasalah hidup ini kita akan menghadap perkara yang sama sehingga terasa bosannya. Hal itu tidak patut sama sekali kita zahirkan dan ikutkan. Kita patut sentiasa berterima kasih dan bersyukur kepada mereka.

Dalam ayat ini juga melarang kita untuk berkata “ah” kepada ibu bapa kita. Maknanya, jangan mengeluh dengan mereka. Mengeluh pun dilarang sama sekali, apatah lagi mengherdik dan menghina mereka. Haram bagi kita untuk mengherdik ibu bapa kita. Nauzbillahi min zalik.

Hukum menyambut hari bapa, boleh atau tidak boleh?

Mungkin anda pernah terdengar terdapat satu pandangan yang mengatakan bahawa haram bagi kita menyambut perayaan ini dengan berdalilkan hadis tasyabbuh. Rasulullah bersabda:

Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mereka beranggapan bahawa sambutan hari bapa ini milik orang kafir. Maka, haram bagi kita untuk menyambutnya kerana menyerupai dan meniru orang kafir itu.

Tetapi, kita kena fikir kembali. Ini merupakan amalan dunia. Ia terbuka kepada perbahasan dan khilaf. Hari bapa bukannya sambutan keagamaan walaupun ada sesetengah orang yang berbuat demikian.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah mengutarakan satu pandangan sederhana. Kata beliau, harus bagi kita menyambut hari ini asalkan kita menganggap ini hanya sambutan adat, bukan agama. Selain itu juga, kita harus benar-benar faham bahawa bapa itu diraikan setiap hari, bukan hari ini sahaja.

Kesimpulan

Hari bapa harus disambut asalkan jauh daripada perbuatan haram dan batil. Sambutlah sebagai adat sahaja. Jangan lupa untuk meraikan bapa setiap hari, bukan pada hari tersebut semata-mata.

Artikel Berkaitan: Hukum Sambut Hari Ibu

Rujukan

  1. Father’s Day 2022 – History.com
  2. Irsyad al-Fatwa Ke-11: Sambutan hari ibu dan bapa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

11 + three =