Apakah hukum pakai purdah, adakah ia wajiba atau tidak? Artikel ini akan membincangkan hukum pakai purdah ini dengan ringkas dan mudah bagi anda.
Beza pudah, niqab dan burka.
Pertama sekali, apa bezanya purdah dan niqab? Sebenarnya sama sahaja. Niqab itu bahasa Arab, purdah itu bahasa Melayu. Tetapi, ada pula yang membezakan begini:
Purdah: Tutup mulut sahaja, dahi buka
Niqab: Tutup mulut dan dahi
Burka: Ditutup seluruh kepala dan satu lapisan nipis di bahagian mata
Burka itu sudah betul. Ianya popular di negara Arab. Mereka memakai burka. Tetapi, purdah dan niqab itu tidak berapa tepat dalam gaya pemakaian orang Malaysia. Kalau mahu ditutup muka, maka dahi termasuklah sama. Mana boleh ianya dikecualikan tiba-tiba. Sebabnya, ‘muka’ itu termasuklah dahi sekali, bukan?
Tidak mengapalah. Kita mulakan perbincangan ini dengan dalil memakai tudung.
Hukum pakai tudung
Rasulullah pernah berkata kepada Asmaa’ Binti Abu Bakar:
“Wahai Asmaa’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (sampai haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Aurat wanita ialah seluruh badan, kecuali muka dan telapak tangan. Inilah ringkasan daripada apa yang disebutkan oleh Rasululla terhadap Asmaa’. Bukan sekadar kena tutup warna kulit, tetapi wajiblah juga dilabuhkan sampai tidak nampak bentuk tubuh badan wanita.
Aurat wanita ini wajib ditutup di hadapan bukan mahram. Mahram ini siapa? Mereka yang haram berkahwin seperti adik beradik lelaki, ayah dan sebagainya. Selain daripada itu, yang boleh berkahwin, seseorang wanita kenalah tutup auratnya. Dalam nama lain iaitu ajnabi. Lelaki ajnabi. Depan lelaki ajnabi, hendalah ditutup auratnya.
Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 31:
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.”
Ada dua perkara dalam ayat ini. Pertama, perhiasannya. Apakah perhiasan yang dimaksudkan? Kedua, biasa nampak darinya. Sheikh At-Tabari dalam tafsirnya menyatakan, perhiasan itu ialah keseluruhan aurat manakala yang biasa nampak darinya ialah muka dan kedua telapak tangan. Dari sini kita sudah faham, muka bukanlah aurat wanita. Itu sudah jelas.
Hukum Pakai Purdah
Dalam Darul Ifta’ Al-Misriyyah (Fatwa Mesir), mereka mengatakan bahawa memakai purdah ini ialah harus kerana ianya hanya pemakaian adat, tidaklah ia termasuk dalam syiar agama. Agama itu memudahkan. Muka bukanlah aurat wanita. Maka, begitulah ia.
Dalam mazhab Syafie, isu purdah ini khilaf. Ada yang kata ianya wajib. Ada yang kata ianya sunat. Ada juga yang kata ianya khilaf yang lebih baik ditinggalkan (khulaf aula).
Ada pendapat ulama yang mengatakan wajib bagi wanita memakai purdah sekiranya ia terdedah pada syahwat dan fitnah golongan lelaki. Ini yang disebut dalam al-Muktamad fil Fiqh As-Syafie.
Di sini kita faham, isu pakai purdah ini khilaf. Lebih utamanya ialah harus. Kalau ada yang berpandangan ianya sunat, maka pakailah. Tetapi, janganlah sampai ia menunjukkan yang syiar Islam itu payah. Ianya mudah. Hendaklah ia dipersembahkan sedemikian rupa. Dalam Mazhab Maliki, memakai purdah ini makruh hukumnya, kerana ia dikira sebagai melebih-lebih dalam agama. Agama sepatutnya mudah. Apa yang ditetapkan (aurat), maka itulah ia.
Fatwa Wilayah Persekutuan pula mengatakan ianya sunat dan afdhal. Ia terpulanglah kepada para wanita.
Pakai purdah ketika solat
Dalam Kifayatul Akhyar mengatakan:
“Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar atau lukisan. Makruh juga wanita yang memakai niqab (purdah) ketika solat kecuali jika keadaan di masjid itu terdapat ajnabi yang tidak menjaga pendangan mereka. Namun jika dibimbangi terjadinya perkara yang buruk, maka haram ke atasnya untuk membuka niqab (purdah) tersebut.”
Dalam al-Iqna’ juga mengatakan:
“Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar, atau pakaian yang mempunyai lukisan atau wanita yang memakai niqab (purdah) kecuali disana terdapat lelaki ajnabi yang tidak menjaga pandangan mereka kepadanya, maka tidak harus untuk membuka niqab (purdah) dan wajib ke atasnya untuk menutup.”
Asalnya, wanita memakai purdah ketika solat ini hukumnya makruh. Tetapi, sekiranya terdapat sebab-sebab yang munasabah, haruslah hukumnya seperti keadaan surau yang terdedah pada pandangan ajnabi dan sebagainya.
Program yang meminta untuk membuka purdah
Tidaklah salah untuk wanita membuka purdahnya ketika mana adanya program yang meminta dia untuk membuka. Mungkin oleh kerana faktor keselamatan dan sebagainya. Contohnya, nak elak seseorang mahasiwa menipu dalam dewan peperiksaan. Harus baginya buka. Asalkan menjaga aurat, itu yang paling penting.
Kesimpulan
Memakai purdah ini khilaf. Ada yang kata ianya sunat, harus dan makruh. Bergantunglah kepada mereka yang hendak memakainya. Paling penting, janganlah sampai ianya jadi bahan pergaduhan kerana yang wajibnya itu adalah menutup aurat. Itu yang paling utama dihiraukan.
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan
- Al-kafi #618 : Hukum wanita solat MEMAKAI NIQOB(PURDAH). (2017, 17). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
- Fatawa – The niqab between worship and customs. (n.d.). Dar al-Ifta al Misriyyah.