hukum lari dari medan perang

Hukum Lari Dari Medan Perang. Boleh atau Tidak?

Apakah hukum seseorang itu lari dari medan perang? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan hukum jika seseorang itu lari dari medan perang.

Pengenalan

Terlebih dahulu, apakah itu peperangan? Contohnya perang dunia pertama, perang salib dan sebagainya. Apakah semua itu? Apa yang membuat sesuatu itu dikira sebagai ‘perang’?

Perang adalah konflik di antara kelompok-kelompok besar (seperti negara, bangsa dll) menggunakan senjata lalu membunuh sesama sendiri yang akhirnya bakal membuahkan kerosakan sosial dan ekonomi. Bahkan yang lebih teruk lagi, merosakkan harta benda seperti rumah dan tumbuh-tumbuhan.

Secara spesifiknya pula, berjihad di jalah Allah (qital fi sabilillah) dalam Islam adalah menggunakan kekuatan semaksimum mungkin untuk melawan musuh ataupun menangkis serangannya. Berperang ini adalah hanya satu bahagian dalam jihad sahaja, bukan mencakupi keseluruhan makna jihad.

Maksud Jihad

Jihad datang daripada perkataan jahada yang bermakna berusaha sehabis baik untuk mencapai matlamat. Itu makna umum bagi perkataan jihad. Dalam peperangan pula, ia tergolongan daripada makna jihad yang luas itu tadi.

Ramai orang salah faham. Seolah-olah Islam itu menggalakkan peperangan. Tidak, Islam lebih menggalakkan kedamaian. Peperangan seharusnya menjadi jalan yang terakhir dalam menyelesaikan konflik. Bukannya satu-satunya jalan, tetapi setelah beberapa jalan yang lain telah diikhtiyarkan.

Allah berfirman:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Ali ‘Imran 103)

Ketikamana dulunya suku Aus dan Kazraj saling bermusuhan, akhirnya dengan nikmat Islam merek bersatu padu. Itu hubungan sesama orang Islam. Hubungan orang Islam dengan yang bukan Islam pula, tidak boleh kita mencerca mereka dan mencipta suatu persekitaran kebencian terhadap mereka. Kita hendaklah menghormati pegangan dan kepercayaan mereka.

Allah berfirman:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am ayat 108)

Islam adalah Agama Kedamaian. Bukan Keganasan

Ramai yang menuduh Islam sebagai satu agama keganasan, meskipun realitinya ia tidak betul. Namun, janganlah pula kita pergi melawan mereka dengan cara yang buruk.

Rasulullah itu seawal berdakwah di Mekkah pun menerima tentangan hebat. Bahkan, nyawa orang Islam termasuklah baginda sendiri pun dalam keadaan bahaya. Tetap mereka sabar dalam berdakwah. Kalau hendak berbahas, berbahaslah dengan cara yang elok. Jelaskan, bukan jauhkan.

Allah berfirman:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah An-Nahl ayat 125)

Itu pertama. Islam menggalakkan kedamaian.

Hukum Lari Dari Medan Perang

Tetapi, bilakah masa di mana peperangan itu boleh berlaku dan kita harus juga berperang? Kalau tidak berperang, akan terhapuslah kita, ahli keluarga kita bahkan masyarakat kita. Bila?

Kita harus juga berperang atas sebab kita diserang. Maka, wajib untuk kita mempertahankan diri, atau negara kita. Wajib kita pergi berperang bertujuan untuk menegakkan kalimah Tuhan.

Di sini, haram untuk kita lari dari medan perang. Sebabnya, bila kita lari, kita lebih menguatkan tentera-tentera lawan dan melemahkan tentera-tentera kita dengan ketiadaan tentera yang lari satu per satu. Hukumnya, haram. Wajib perang. Kalau lari juga, ia termasuk di dalam tujuh dosa besar yang Nabi sebutkan dalam suatu hadis:

Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!” Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan haq (kebenaran), memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling dari perang yang berkecamuk, menuduh zina terhadap wanita-wanita merdeka yang menjaga kehormatan, yang beriman, dan yang bersih dari zina.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah juga bersabda:

Wahai manusia, janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh, tetapi mohonlah keselamatan kepada Allah. Jika kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahwa syurga itu di bawah naungan pedang.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dapatlah kita faham daripada dua hadis ini yang lari dari medan perang itu haram dan berdosa besar. Hendaklah kita lawan semampu kita untuk mempertahankan diri dan negara.

Bila Boleh Berundur Dari Medan Perang?

Akan tetapi, dibolehkan untuk lari dari medan perang dengan alasan yang kukuh, seperti untuk mengumpul kekuatan, bersatu dengn tentera-tentera ramai dan sebagainya. Maknanya, lari bukan semata-mata lari untuk menyelamatkan diri dan mementingkan diri, tetapi untuk kumpul kekuatan. Ini dibolehkan, sebab ia tidaklah betul-betul ‘lari’ dari medan perang pun, tetapi nak kumpul kekuatan. Itu sahaja. Tetap selepas itu kembali berperang.

Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam, sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah Al-Anfaal ayat 15-16)

Allah menyatakan kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain. Jadi, dua alasan ini adalah contoh boleh untuk lari dari medan perang sekejap. Bukan lari habis, tetapi lari sekejap untuk datang dengan kekuatan yang diyakini setanding untuk berlawan.

Kesimpulan

Hukum lari dari medan perang adalah haram dan berdosa besar kecuali dengan alasan yang kukuh seperti membuat helah kepada lawan atau mencari kekuatan atau bersatu dengan tentera-tentera yang kuat.

Baca tentang Hukum yang lain

Hukum BerzinaHukum Cukur Bulu
Hukum Gantung Gambar dalam RumahHukum Gugurkan Kandungan
Hukum Main ForexHukum Warnakan Rambut
Hukum Baca Al-quran Ketika HaidHukum Buang Tahi Lalat
Hukum Makan Dakwat SotongHukum Berus Gigi Ketika Puasa
Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Rujukan:

  1. Peperangan dalam Islam – Studentsrepo
  2. Jihad Menurut Alquran – rrg
  3. Dosa lari dari Medan Perang – almanhaj
  4. Tangani salah faham jihad elak generasi muda tersesat – Berita Harian
  5. Islam suka perdamaian – Hmetro

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − 2 =

Scroll to Top