Apakah hukum untuk gugurkan kandungan? Jika boleh, dalam keadaan apakah dibenarkan kandungan tersebut digugurkan. Artikel ini akan membincangkan berkenaan hukum menggugurkan kandungan secara lengkap.
Bagaimana proses nak gugurkan kandungan?
Nak gugurkan kandungan ini berlaku dengan dua cara.
- Ubat – pill
- Pembedahan
Gugurkan kandungan ini boleh berlaku sampai ke minggu yang ke-24 ibu tersebut mengandung. Kalau lebih daripada 24 minggu, memang sangat berisiko tinggi, lagi-lagi kepada nyawa si ibu itu sendiri.
Apa hukum gugurkan kandungan?
Ulama fiqh bersepakat yang menggugurkan kandungan yang mana anak itu sudah ditiupkan roh adalah haram secara mutlak. Bilakah ditiupkan roh? Kira-kira selepas 120 hari.
Muhammad S.A.W bersabda daripada Abdullah bin Mas’ud R.A:
إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يرسل الله إليه الملك ، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات : بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد
Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Haram untuk gugurkan kandungan kerana itu dianggap sebagai pembunuhan terhadap satu makhluk Allah yang ada roh.
Ada keadaan yang diharuskan untuk menggugurkan kandungan. Iaitu, apabila kalau TIDAK menggugurkan itu menyebabkan BAHAYA pada nyawa si ibu, maka harus untuk menggugurkan kandungan. Ini adalah untuk memilih kemudaratan yang lebih ringan di antara dua kemudaratan. Gugur ada mudarat, tak gugur pun ada mudarat. Maka, mudarat mana satu yang paling ringan? Gugur kandungan. Harus hukumnya.
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri nukilkan kata-kata Imam Al-Ghazali di dalam bukunya Al-Fiqh Al-Manhaji: Kekeluarga Islam di dalam Fiqh Al-Syafie:
“Patut dibezakan hukumannya antara mencegah kehamilan dengan menggugurkan bayi, kerana pencegahan kehamilan itu tidaklah sama dengan menggugurkan bayi atau membunuhnya, kerana yang terakhir ini adalah sama dengan membuat jenayah ke atas sesuatu yang sudah wujud dan berhasil, sedangkan kewujudan itu mempunyai peringkatnya yang tertentu.
“Peringkat pertama kewujudan itu ialah terlekatnya air mani di dalam rahim dan bercampur pula dengan air mani ibu itu, kemudian benih itu sudah bersedia untuk menerima kehidupan. Oleh itu, merosakkan benih dalam peringkat ini adalah jenayah. Kemudian apabila benih itu telah bertukar rupa menjadi ketulan daging yang berdarah, maka jenayah ke atasnya menjadi lebih berat daripada yang pertama.
“Apabila sudah ditiupkan roh kepadanya, maka jenayah ke atasnya lebih berat lagi daripada yang sebelumnya, dan kemuncak daripada segala jenayah ialah jenayah menggugurkannya atau membunuhnya sesudah bayi itu lahir dalam keadaan hidup.”
Kata-kata ini terdapat di dalam Ihya’ Ulumiddin bab perkahwinan.
Asasnya, apa yang Imam Al-Ghazali nak cakap ialah haram untuk gugurkan kandungan. Sebab gugurkan kandungan itu berupa satu jenayah membunuh satu roh. Itu basic dia.
Tapi kalau ada masalah membahayakan nyawa si ibu yang mengandung, maka harus untuk gugurkan kandungan. Hal ini perlu ditekankan, membahayakan nyawa si ibu. Keadaan itu sahaja yang hukumnya harus.
Selain itu, ada ulama yang kata, haram untuk menggugurkan kandungan selepas 120 hari tanpa apa-apa sebab munasabah seperti darurat.
Namun, kalau sebelum 120 hari, bagaimana pula?
Yang ini, ulama berbeza pandangan. Majoriti kata haram. Sebahagian kata makruh. Sebahagian kata harus kalau ada keuzuran.
Kesimpulan
Hukum menggugurkan kandungan adalah haram. Hanya ada satu sebab sahaja yang boleh untuk mengharuskan ia. Iaitu, kemudaratan yang membahayakan nyawa si ibu yang mengandung kerana untuk menjaga kemaslahatan yang lebih besar. Sebab ibu itu sudah confirm hidup, yang bayi itu saja belum confirm. Jadi, kita jaga yang confirm. Harus untuk gugur dalam keadaan begini.
Haram = Gugur kandungan (umum)
Harus = Gugur kandungan yang membahayakan nyawa si ibu (keselamatan)
Baca tentang Hukum yang lain
Rujukan
- Abortion. (2020). Retrieved from NHS:
- Al-Bakri, Z. M. (2015). Al-Fiqh Al-Manhaji: Kekeluargaan Islam dalam Fiqh Al-Syafi’i. Bandar Baru Bangi: Darul Syakir Enterprise.
- Mazri, M. (2020). AL-KAFI #1511 : HUKUM MENGGUGURKAN JANIN KERANA FAKTOR KESIHATAN. Retrieved from Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan