Skip to content

Hadis Berkenaan Makanan Baik dan Halal – Hadis 40

hadis tentang makanan baik

Artikel ini membincangkan hadis ke-10 daripada Hadis Arbain Imam Nawawi. Ia merupakan hadis yang menjelaskan tentang dasar Islam seperti makanan baik dan asas hukum, iaitu wajib mengambil perkara halal dan menjauhi perkara haram. Alangkah manfaatnya hadis ini dalam membentuk masyarakat mukmin yang terdiri daripada individu yang sukakan kebaikan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسولُ الله ﷺ:

إنَّ الله تعالى طيب لا يقبل إلا طيبًا، وإنَّ الله أمر المؤمنين بما أمر به المُرسلين؛ فقال تعالى: يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا [المؤمنون:51]، وقال تعالى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ [البقرة:172]، ثم ذكر الرجلَ يُطيل السفر، أشعث، أغبر، يمد يديه إلى السماء: يا رب، يا رب، ومطعمه حرام، وملبسه حرام، وغُذي بالحرام، فأنَّى يُستجاب له؟

رواه مسلم

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram? (Hadis Riwayat Muslim)

Pengajaran Hadis

1. Allah Maha Baik

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya tentang sifat Allah yang Maha Baik. Sabda Nabi SAW:

إًن الله طيب

ٍMaksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Baik”

Perkataan طيب bermaksud yang bersih. Maksud hadis ialah Allah Maha Suci dari segala kekurangan dan kecacatan . Sabda Rasulullah SAW:

قال صلى الله عليه وسلّم: ( إن الله طيب يحب الطيب, نظيف يحب النظافة, جواد يحب الجود)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah maha baik dan sukakan yang baik, Maha Suci dan sukakan kesucian serta Maha Pemurah dan sukakan sifat pemurah”

Selain itu juga, Allah hanya menerima sesuatu yang baik sahaja. Apa yang disebut baik, adalah apa yang dinilai baik oleh Allah. Allah telah bahagikan perkara yang baik dan yang buruk berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 100

قُل لَّا يَسْتَوِى ٱلْخَبِيثُ وَٱلطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ ٱلْخَبِيثِ ۚ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Katakanlah Wahai Muhammad: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan”.

Sesungguhnya Allah tidak menerima amalan melainkan yang baik dan suci daripada segala perosak amalan, seperti riya’ (menunjuk-nunjuk) dan ujub (bangga diri) Dia tidak menerima harta melainkan yang baik dan halal, oleh itu kebaikan adalah sifat amalan perkataan dan kepercayaan. Sabda Nabi SAW

لا يقبل إلا طيبا

Maksudnya: “Dia tidak menerima kecuali yang baik”

2. Makan Yang Baik dan Doa Diterima Allah

Amalan seseorang yang beriman mempunyai hubungan yang rapat sekali dengan makanannya dan minumannya. Makanan dan minuman kita mestilah dari yang halal, yang halal menurut pandangan syara’ adalah yang baik walaupun tidak lazat rasanya.

 Sebagaimana dalam hadis ini, Rasulullah SAW bersabda “Bahawa Allah memerintah orang-orang yang beriman sebagaimana ia memerintahkan kepada sekalian rasulNya ” dalam perkara memakan yang halal firman Allah dalam surah Mukminun, ayat 51

يٰٓاَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوْا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعْمَلُوْا صَالِحًاۗ اِنِّيْ بِمَا تَعْمَلُوْنَ عَلِيْمٌ

Maksudnya: “Wahai para rasul! Makanlah dari (makanan) yang baik-baik, dan kerjakanlah kebajikan. Sungguh, Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Firman Allah lagi dalam surah al-Baqarah, ayat 172

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقْنَٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman makanlah dari segala yang baik-baik yang kami rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”

Dua ayat ini menjelaskan bahawa Rasul Rasul dan umat mereka disuruh makan makanan yang baik-baik iaitu yang halal yang direzekikan kepada mereka kerana makanan yang halal menjadi syarat utama bagi kesucian amal yang akan diterima oleh Allah

Orang yang beriman mestilah memastikan amalannya bersih dari syirik, jiwa atau hatinya bersih dari sifat-sifat mazmumah (tercela) dan makanan bersih dan halal mengikut syarak.

3. Sebab-sebab doa dimakbulkan

Sebahagian daripada sebab dimakbulkan doa ialah:

  • Sedang bermusafir
  • Bersungguh-sungguh memohon kepada Allah
  • Menadah tangan ke langit
  • Memakai pakaian yang halal
  • Memakan makanan dan minuman yang halal
  • Hati yang sangat mengharap

Oleh itu, rebutlah peluang yang terbaik untuk kita mmohon semua hajat kita kepada Allah agar apa yang kita kehendaki akan dimakbulkan Allah

Apakah Penghalang Doa Dimakbulkan

Berdasarkan hadis ini, doa terhalang dengan sebab beberapa perkara antaranya makan dan minum apa yang diharamkan oleh syarak. Selain itu, memakai pakaian dari sumber yang haram juga salah satu penghalaang kepada doa dimakbulkan.

Kesimpulan

Sebagai seorang Islam yang sempurna imannya, kita haruslah menitik beratkan soal makanan halal, dan memastikan sumber yang halal untuk infaq pada keluarga dan masyarakat. Hal ini amat penting bagi meastikan syarat-syarat penerimaan doa sentiasa dipenuhi. Firman Allah, Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang betaqwa. Al Maidah, ayat 27

وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ٱبْنَىْ ءَادَمَ بِٱلْحَقِّ إِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ ٱلْءَاخَرِ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): “Aku pasti membunuhmu!”. Berkata Habil: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa”.

Diharapkan artikel hadis tentang makanan baik ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan penerangan hadis tentang makanan yang baik.

Hadis Arbain yang lain:

1. Hadis Niat5. Hadis Berkenaan Bidaah dalam Agama
2. Hadis Islam, Iman, Ihsan dan Tanda Kiamat6. Hadis Berkenaan Halal, Haram dan Syubhah
3. Hadis Asas Islam7. Hadis Agama adalah Nasihat
4. Hadis Kejadian Manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

10 + three =