Apakah tempat menarik yang di Terengganu? Artikel ini akan membincangkan beberapa tempat yang menarik yang anda perlu pergi di Terengganu.
Pengenalan
Negeri Terengganu Darul Iman yang terkenal dengan keropok lekor adalah salah satu negeri dan destinasi pelancongan yang wajib dilawati di Malaysia. Terengganu terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia mengadap Laut China Selatan.
Negeri ini kaya dengan hasil laut, pulau-pulau tropika yang dikelilingi perairan yang jernih, pantai berpasir halus, flora dan fauna di hutannya yang masih terpelihara selain memiliki bangunan yang cantik. Acara tahunan seperti festival mencandat sotong sering menggamit ramai pelancong.
Sajian menu Ikan Celup Tepung di kawasan Pantai Rhu 10, Setiu sangat terkenal. Aneka makanan tradisional Terengganu dapat ditemui sepanjang perjalanan. Terengganu juga kaya dengan warisan tradisional dan peninggalan sejarah. Yang menariknya, ada pelbagai hasil seni fabrik seperti batik dan sutera. Artikel kali ini ingin berkongsi 10 tempat menarik di Terengganu :
1. Pasar Besar Payang 2
Ikon Terengganu adalah Pasar Payang. Nama Pasar Payang diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan oleh nelayan untuk berdagang dan memunggah barangan dari perahu ke pasar dinaik taraf pada tahun 1968. Kerajaan negeri telah menggantikan pasar itu dengan pasar yang lebih moden, selesa dan mesra pengunjung.
Pasar Besar Kedai Payang sentiasa sesak dengan pengunjung dari dalam serta luar neger yang menempatkan sekitar 1000 peniaga dengan bermacam-macam produk Terengganu seperti keropok sira, ikan masin, keropok lekor, keropok keping dan hasil kraftangan seperti songket asli, kain tenun, tembaga, batik dan lain-lain.
Sumber foto : ismaweb
2. Pulau Redang
Pulau Redang merupakan salah satu tempat menarik dan pulau paya bakau terbesar di pantai timur yang terkenal. Pulau yang dikelilingi sembilan buah pulau lain mempunyai 16 spesies orkid liar. Airnya jernih serta kaya dengan hidupan marin.
Seronok kalau snorkeling sambil berenang dengan hidupan marin dalam air tetapi kebanyakan tapak snorkeling terletak jauh dari pantai, jadi anda perlu menaiki bot. Aktiviti di Pulau Redang akan dibuka dari bulan Mac hingga ke bulan Oktober namun perkhidmatan bot penumpang tergendala seketika apabila musim tengkujuh kerana laut yang bergelora.
Sumber foto : summer bay resort
3. Taman Tamadun Islam (TTI)
Taman Tamadun Islam (TTI) satu-satunya taman tema bercirikan Islam yang pertama di dunia berkonsepkan Edutainment Park terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Kawasan seluas sepuluh hektar itu menempatkan 22 replika monumen bersejarah dengan bangunan seni bina ikonik Islam dari 21 buah negara di seluruh dunia. Semua monumen dibina pada skala yang lebih kecil dan membolehkan anda melihat keunikan senibina secara menyeluruh.
Ia memberi pengetahuan kepada pengunjung mengenai sejarah pembinaan monumen melalui tayangan video, gambar dan kuiz. Bayaran sebanyak RM21.20 untuk dewasa manakala RM15.90 dikenakan pada kanak-kanak serta warga emas. Pihak TTI turut menyediakan trem dan basikal sewa serta buggy untuk memudahkan pengunjung bergerak dan melawat dari satu monumen ke monumen lain.
Sumber foto : juliamahir
4. Air Terjun Chemerong
Air Terjun Chemerong di Dungunadalahair terjun tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian kira-kira 305 meter. Dengan keluasan melebihi 292 hektar, air terjun itu berada di hutan simpan Pasir Raja, Hutan Lipur Chemerong.
Air bukit yang sejuk di bawah kaki bukit dapat mengembalikan semula kesegaran tubuh setelah mendaki. Kawasan berkelah juga luas serta dilengkapi dengan wakaf tradisional dan tapak perkhemahan.
Lorong-lorong pejalan kaki dan tangga konkrit dibina untuk pengunjung yang mahu bersiar-siar di kawasan sekeliling sambil menikmati alam semulajadi. Bagi yang inginkan aktiviti lasak yang mencabar, anda boleh merentas denai hutan sambil melihat hutan dara dan mempelajari tentang flora.
Sumber foto : caridestinasi
5. Muzium Negeri, Kuala Terengganu
Bangunan besar yang terletak di Bukit Losong adalah kompleks artifak dan hasil seni warisan Terengganu. Muzium Terengganu bukan sahaja muzium bersejarah yang terbesar di Malaysia, malah ianya merupakan muzium yang terbesar di Asia Tenggara. Batu Bersurat pertama yang dijumpai di Terengganu disimpan di muzium ini.
Terdapat Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, empat rumah tradisional, taman botani dan herba serta galeri yang mempamerkan sejarah, alat kebesaran DiRaja, seni Islam, senjata lama dan tekstil. Anda pasti kagum melihat keindahan senibina Muzium Negeri Terengganu yang tidak ubah seperti sebuah istana besar klasik Melayu zaman dahulu kala. Landskap taman di Muzium Terengganu juga sangat indah dan sesuai untuk berfoto.
Sumber foto : tripadvisor
6. Masjid Kristal
Masjid Kristal sangat unik dan nampak seperti kristal besar yang berkilau pada waktu siang. Masjid dibina di atas sungai Terengganu yang membuatkan ianya kelihatan seolah-olah terapung di atas air.
Lampu berwarna-warni yang cantik menerangi Masjid Kristal jika anda menyusuri Jambatan Sultan Mahmud pada waktu malam. Masjid binaan manusia ini telah mencipta suatu pemandangan yang menarik.
7. Kota Lama Duyong
Tempat bersejarah di Kuala Terengganu seperti Kota Lama Duyong merupakan sebuah rumah tradisional Terengganu yang mengekalkan struktur binaan asal. Ada kawasan yang bersimen walaupun majoriti bahan binaan adalah kayu.
Konkrit binaan merupakan campuran pasir, batu kelikir, putih telur dan tanah liat yang menjadi salah satu teknik menghasilkan konkrit bangunan zaman dahulu sebelum adanya simen. Anda boleh melawat sendiri warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.
Sumber foto : bharian
8. Kompleks Noor Arfa Batik
Pernah dengar jenama Noor Arfa? Jika anda mencari batik dan sutera, anda boleh singgah ke Kompleks Batik Noor Arfa di Chendering. Boleh membeli-belah fabrik, batik dan pakaian wanita di sini yang sangat banyak pilihan dengan corak motif yang unik.
Banyak batik dan pakaian yang berkualiti untuk dijadikan koleksi peribadi atau hadiah istimewa buat yang tersayang. Yang paling menarik, anda boleh menonton demo pembuatan batik, mencanting batik, cara anyaman dan sebagainya di depan mata.
Sumber foto : noorarfa.com
9. Rantau Abang
Rantau Abang terkenal dengan sarang penyu Leatherback. Beratus ekor penyu berhijrah akan naik ke pantai ini untuk bertelur dari bulan Mei sehingga Ogos setiap tahun. Penyu hanya bertelur di waktu malam dan ibu penyu sensitif dengan bunyi bising.
Walaupun banyak anak penyu dilepaskan ke laut, sayangnya tidak semua anak-anak penyu dapat hidup sehingga dewasa kerana banyak pemangsa. Pusat pemuliharaan penyu di Rantau Abang ditubuhkan bertujuan untuk melindungi dan memelihara makhluk yang diancam kepupusan. Kegiatan mengambil dan memakan telur penyu dilarang untuk memastikan kemandirian spesies penyu ini.
Sumber foto : nst
10. Tasik Kenyir
Tasik Kenyir adalah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dan salah satu tempat menarik di Terengganu. Permata tersembunyi dengan kawasan yang luas ini kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang terletak 16 kilometer dari pintu masuk utama Pengkalan Gawi. Banyak aktiviti yang boleh anda lakukan seperti melihat burung, memasuki gua dan mandi dengan gajah.
Sumber foto : hmetro
Penutup
Aktiviti percutian di kawasan pulau, hutan lipur, air terjun dan bukit-bukau terbantut pada musim tengkujuh. Namun, masih banyak tempat menarik yang boleh anda lakukan. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati suasana tenang sambil bersantai di sekitar Terengganu.
Kalau tak singgah untuk shopping apa-apa, rugilah sebab anda dah penat datang dari jauh. Kuala Terengganu merupakan tempat pelancongan yang paling meriah dan hidup di Terengganu berbanding daerah-daerah lain setiap kali musim cuti sekolah pada hujung tahun.