hadis sahih

Hadis Sahih: Definisi, Jenis & Cara untuk Tahu

Apakah maksud hadis sahih? Artikel ini akan membincangkan maksud, jenis hadis dan cara untuk mengetahui sama ada hadis itu sahih atau tidak

Pengenalan

Beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran masyarakat Malaysia berkaitan status sesuatu hadith semakin meningkat dan banyak. Sehinggakan di masjid-masjid, surau-surau mahupun dalam mana-mana majlis ilmu di Malaysia dapat kita dapati akan ada dalam kalangan masyarakat yang mengambil berat akan status hadith yang disampaikan oleh mana-mana asatizah ataupun penceramah. Tambahan pula dengan seruan dari beberapa ilmuwan akan kepentingan mengetahui status hadith sebelum beramal atau kepentingan beramal dengan hadith sahih. Seterusnya membuatkan masyarakat berhati-hati dalam mempercayai sesuatu hadith yang disampaikan.

Kesedaran masyarakat terhadap perlunya mengetahui status sesuatu hadith adalah satu perkara yang patut dipuji. Akan tetapi adakah cukup sekadar itu sahaja? Sejauh mana masyarakat Malaysia memahami apa yang dimaksudkan dengan hadith sahih? Bagaimana caranya untuk mengetahui sesuatu itu hadith sahih? Benarkah hanya hadith sahih sahaja yang boleh diamalkan.

Definisi Hadith Sahih

Hadith sahih terbentuk dari dua perkataan yang membentuk satu makna khusus. Ianya terdiri dari perkataan “hadith” dan “sahih” dan kedua-duanya berasal dari perkataan Bahasa Arab. Hadith membawa maksud setiap apa yang datang dari Nabi SAW sama ada ucapan, perbuatan, perakuan serta sifat-sifatnya. Manakala sahih menurut terjemahan Bahasa Melayu adalah benar, betul atau tepat. Walaupun begitu, hadith sahih tidaklah bermaksud sebagai hadith yang benar. Hal ini kerana hadith sahih adalah satu istilah khusus yang mempunyai maksudnya tersendiri. Bahkan pemahaman hadith sahih yang dimaksudkan sebagai hadith yang benar adalah salah kerana ianya seakan-akan menafikan kebenaran hadith yang bukan bertaraf sahih.

Definisi

Hadith sahih menurut ulama hadith adalah hadith yang bersambung sanadnya oleh perawi yang ‘adil dan sempurna penjagaannya dari awal sanad sehingga ke akhirnya, berserta tiada pada hadith tersebut syaz dan ‘illah yang merosakkan kesahihan hadith.

Yang dimaksudkan dengan bersambung sanad adalah sanad hadith tersebut disampaikan dari seorang perawi kepada perawi lain secara berterusan bermula kesinambungan  sanad itu dari para sahabat Nabi SAW, lalu disampaikan kepada selepas mereka sehinggalah sampai perkhabaran hadith tersebut kepada mana-mana imam hadith seperti Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi.

Manakala perawi yang ‘adil adalah perawi hadith yang mempunyai sifat taqwa di dalam diri serta menjaga maruahnya sebagai perawi hadith. Sempurna penjagaan pula sama ada perawi itu menjaga hafalan hadithnya atau menjaga setiap hadith yang ditulis dari sebarang perkara yang boleh merosakkan penulisan hadith tersebut.

Adapun syaz dan ‘illah adalah antara bentuk-bentuk hadith da’if. Menafikan kedua-duanya bermakna menafikan keda’ifan sesuatu hadith sehingga boleh menatijakan hadith yang sahih.

Pembahagian Hadith Sahih.

Ulama hadith telah membahagikan hadith sahih kepada dua bahagian. Pertamanya adalah sesuatu hadith itu sahih disebabkan oleh sifat hadith itu sendiri yang lebih dikenali sebagai sahih lizatihi. Manakala yang kedua adalah hadith menjadi sahih disebabkan oleh faktor-faktor luaran yang dinamakan sebagai sahih lighairihi.

1. Hadis Saihih Lizaitihi

Hadith sahih lizatihi adalah hadith sahih sama seperti yang telah diterangkan takrifannya dalam bahagian definisi hadith sahih. Ianya menjadi sahih disebabkan sifat-sifat hadith sahih itu ada pada hadith yang dihukumkan sebagai sahih.

Contoh bagi hadith sahih lizatihi adalah seperti hadith “setiap amalan berdasarkan niatnya” yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Hal ini kerana ianya melengkapi syarat-syarat hadith sahihb seperti yang dinyatakan di dalam definisi hadith sahih. Bermula periwayatan hadith tersebut dari Umar al-Khattab kemudian disampaikan kepada ‘Alqamah, kemudian kepada Muhammad bin Ibrahim, kemudian kepada Yahya al-Ansari. Kemudian disampaikan pula kepada Sufyan bin ‘Uyainah dan Abdul Wahhab al-Thaqafi. Seterusnya sampai pula kepada al-Humaidi dan Qutaibah dan diakhiri dengan Imam al-Bukhari.

Jelas kelihatan hadith ini bersambung sanadnya oleh perawi-perawi yang terkenal dengan kehebatan hafalan mereka berserta terpercaya pada sudut agama dan kewarakan. Bahkan tidak terdapat pada hadith ini sebarang percanggahan dengan mana-mana hadith bahkan tiada percanggahan juga dengan dalil syarak yang lain.

2. Hadith Sahih Lighairihi

Manakala hadith sahih lighairihi menjadi sahih disebabkan oleh faktor luaran. Ini kerana asal hadith tersebut bukanlah sahih, tapi bertaraf hasan bahkan terkadang da’if. Akan tetapi disebabkan faktor-faktor luaran seperti banyaknya jalan periwayatan bagi sesuatu hadith tersebut menyebabkan ianya dinaikkan taraf status hasan atau da’if kepada sahih lighairihi.

Contoh hadith sahih lighairihi adalah seperti hadith “jikalau ianya tidak memberatkan umatku sudah pasti aku memerintahkan umatku untuk bersiwak setiap kali hendak solat” yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi melalui jalan Muhammad bin ‘Amru bin ‘Alqamah. Berdasarkan sanad Imam al-Tirmizi ini, hadith tersebut bertaraf hasan disebabkan oleh perawi Muhammad bin Amru dihukumkan sebagai perawi yang hasan pada hadithnya oleh imam-imam hadith seperti al-Nasaie, al-Zahabi Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan ramai lagi.

Akan tetapi hadith Imam al-Tirmizi ini dinaik tarafnya kepada sahih lighairihi disebabkan terdapat jalan periwayat lain yang menguatkan hadith ini. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari melalui jalan Abu al-Zinad dan Ja’far bin Rabi’ah yang dihukumkan sebagai perawi yang bertaraf sahih hadith-hadith mereka oleh imam-imam hadith.

Kesimpulannya, hadith sahih terbahagi kepada dua iaitu hadith sahih lizatih dan hadith sahih lighairihi. Hadith sahih lizatih adalah hadith sahih disebabkan sifat sahih yang ada pada hadith itu sendiri. Manakala hadith sahih lighairihi adalah hadith hasan atau da’if yang dinaik tarafnya kepada sahih.

Bagaimana Caranya Nak Tahu Hadith Sahih?

Salah satu persoalan penting bilamana kita bicarakan berkaitan hadith sahih, bagaimana nak tahu hadith itu sahih atau tidak?

Bagi mereka kalangan pengkaji hadith yang mampu untuk menentukan status hadith sudah pasti bagi mereka cara-cara yang khusus dalam menilai hadith. Bermula dengan melakukan kerja takhrij al-hadith diikuti dengan kajian ke atas sanad membolehkan bagi pengkaji hadith untuk membezakan hadith sahih dan da’if. Ini kerana mereka mampu untuk berijtihad dalam menentukan status suatu hadith. Dan sudah pasti juga tidak semua pengkaji hadith mampu untuk menilai sesuatu hadith. Hanya mereka yang berkecimpung dalam dunia sina’ah hadithiah sahaja yang mampu membicarakan hal ini.

Akan tetapi, bagaimana pula dengan masyarakat awam ataupun pengkaji hadith tetapi tidak mampu untuk menilai status sesebuah hadith?

Bagi golongan awam, cukup bagi mereka untuk mengetahui sesuatu hadith itu sahih dengan merujuk kepada kitab-kitab hadith yang sahih iaitu kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Jika sesuatu hadith itu tidak terdapat dalam dua kitab sahih tersebut, maka perlu kepada masyarakat awam untuk berpegang dengan pandangan mana-mana imam hadith seperti Imam al-Tirmizi dalam Sunannya, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, as-Sakhawi dan lain-lain lagi.

Digalakkan juga bagi orang awam untuk bertanya kepada mereka yang berkeahlian. Hal ini kerana tidak semua masyarakat awam mampu untuk menyelak helaian kitab-kitab ulama terdahulu untuk mengetahui status sesuatu hadith. Bahkan mereka yang berkelayakan ini adalah dari kalangan pengkaji hadith yang berkecimpung dalam dunia sina’ah hadithiah. Maka layaklah bagi mereka untuk berijtihad menentukan adakah hadis itu sahih atau bukan.

Antara tokoh di Malaysia yang mungkin boleh kita jadikan rujukan adalah seperti Dr Khafidz Soroni, Dr Umar Muhammad Noor, Dr Kamilin Jamilin dan ramai lagi.

Adakah Perlu Beramal Dengan Hadith Sahih Sahaja?

Salah satu perkara yang menjadi salah faham masyarakat bahkan sebahagian ilmuwan adalah dalam pengamalan hadith sahih. Ramai yang menyangkakan sesuatu amalan itu hanya boleh diamalkan jika terdapat hadith sahih tentangnya. Adapun jika amalan itu bersumberkan dari hadith da’if atau tidak disebutkan dalam mana-mana kitab hadith maka ianya tidak boleh diamalkan. 

Dalam isu ini, perkara utama yang perlu kita faham adalah penilaian sesuatu hadis sebagai sahih, hasan mahupun da’if berkaitan dengan penisbahan sesuatu hadith kepada Baginda SAW. Apakah hadith itu benar dan tepat diucapkan atau datang dari Nabi SAW atau sekadar sangkaan yang tidak pasti akan ketepatan nisbah kepada Nabi Saw. Jika yakin benar ianya datang dari Nabi SAW maka ianya sama ada sahih atau hasan. Jika tidak pasti penisbahannya kepada Nabi SAW berkemungkinan ianya da’if atau lebih teruk palsu.

Bukanlah bermakna apabila sahih maka wajib beramal, jika da’if dilarang sama sekali untuk beramal dengan amalan dalam hadith tersebut. Hal ini kerana tidak semua hadis sahih boleh diamalkan, bahkan ada masa hadith da’if diperlukan dalam penetapan hukum syariat.

Berkata Ibnu Hajar al-‘Asqalani “kemudian hadith maqbul (sahih dan hasan) terbahagi kepada dua, yang boleh diamalkan dan yang tidak boleh diamalkan”. Hal ini kerana terdapat hadith sahih tetapi amalan dalam hadith sahih tersebut telah dimansukhkan hukumnya oleh syara’ sehinggakan ianya tidak sesuai lagi diamalkan. 

Kesimpulannya, tidak semua hadis sahih wajib atau perlu diamalkan. Ini kerana terdapat hadith sahih yang dilarang untuk beramal dengannya. Bagi mengetahui adakah amalan dalam sesuatu hadith sahih boleh diamalkan atau tidak perlulah merujuk kepada mereka yang faqih iaitu mereka yang berkemahiran dalam usul fiqh. Pada akhirnya, amalan dalam sesuatu hadith sahih kembali kepada hukum yang lima, sama ada wajib, sunat, harus, makruh ataupun haram.

Rujukan.

  1. Al-Kasyif, al-Zahabi
  2. Manhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadith, Dr Nuruddin Itr.
  3. Muqaddimah Ibnu al-Solah
  4. Nuzhah al-Nazar, Ibnu Hajar al-‘Asqalani
  5. Sahih al-Bukhari
  6. Sahih Muslim
  7. Sunan al-Tirmizi
  8. Taqrib al-Tahzib, Ibnu Hajar al-‘Asqalani

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 5 =

Scroll to Top