Apakah itu najis mughallazah? Dalam artikel ini kita akan belajar tentang najis yang paling berat iaitu najis mughallazah. Dalam tiga tingkatan najis, ia merupakan yang paling atas.
Maksud najis
Najis bermakna sesuatu yang menjijikkan. Dari segi syarak, najis ialah semua benda kotor seperti tahi dan sebagainya yang menghalang sahnya ibadat. Contohnya, kalau kita ada najis pada pakaian kita, tidak sahlah solat kita. Kita harus bersihkan najis itu terlebih dahulu, barulah kita boleh menunaikan solat.
Setiap kotoran itu merupakan najis. Biarpun ia keluar dari dubur atau qubul dan sebagainya. Membersihkan diri daripada segala najis adalah wajib untuk menunaikan apa-apa ibadat.
Rasulullah bersabda, “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” (Riwayat Muslim)
Islam sangat menitik beratkan hal-hal yang bersih. Membersihkan diri kita daripada najis dan kekotoran itu merupakan satu perkara yang wajar dan dituntut dalam agama.
Maksud najis mughallazah
Najis mughallazah ialah segala najis anjing, babi dan keturunan kedua binatang tersebut. Najis ini juga termasuk daging, darah, air kencing, peluh, lemak, tulang dan badan basah kedua-dua anjing dan babi.
Cara Menyucikan Najis Mughallazah
Cara menyucikan najis mughallazah adalah dengan membasuhkan najis itu dengan air biasa sebanyak tujuh kali sehingga hilang sifat-sifatnya dan salah satu basuhan dengan air yang dicampurkan dengan tanah.
Hal ini selaras dengan satu hadis iaitu Rasulullah bersabda, “Kebersihan bekas salah seorang daripada kamu, apabila anjing menjilat padanya, dia hendaklah membasuhnya dengan tujuh kali basuhan, salah satunya daripada dengan air tanah.” (Riwayat Muslim)
Kenapa bersihkan dengan cara begini?
Hal ini sebenarnya perkara yang ta’abbudi iaitu satu perkara diperintahkan oleh agama yang tidak boleh difikirkan secara logik dan rasional.
Keadaan tanah
Tanah harus bebas daripada najis.
Keadaan air
Mestilah air mutlak, air musta’mal dan air yang tidak ada unsur-unsur najis.
Beberapa isu najis mughallazah
- Kalau ada anjing yang menjilat satu bekas air, maka menurut pandangan yang muktamad, perlu untuk dibersihkan juga seperti biasa
- Kalau termakan daging babi, tidak perlulah untuk dibasuhkan mulutnya
- Hukum sengaja menyentuh anjing dan babi itu haram kerana sengaja memindahkan najis kepada diri sendiri lalu wajib untuk membersihkannya dengan tujuh kali basuhan air dan satunya dengan air bercampur tanah.
- Hukum membela dua haiwan ini adalah haram tanpa sebarang sebab yang muktabar. Contohnya, untuk haiwan ternakan dan sebagainya.
- Babi air bukan termasuk dalam najis mughallazah kerana ia bukan dari kalangan babi dan keturunannya
- Kalau anjing masuk masjid/rumah, maka basuhannya adalah apa yang diyakini bersih sahaja, kerana kalau kita membawa keluar segala karpet dan sebagainya, ia akan menghalang kemaslahatan yang lebih besar, maka majoriti ulama mengatakan bahawa basuh sahaja dengan apa diyakini, sampai hilang sifat yang tertinggal
Kajian saintifik terhadap kenajisan anjing dan babi
Dr. Graart Pentsmar telah menyatakan menurut kajiannya, dalam anjing, terdapat sejenis cacing pita yang terlalu kecil. Ia mudah berjangkit kepada manusia dan membiak dalam hati. Cara untuk tidak terkena jangkitan cacing pita tersebut adalah dengan tidak mendekati anjing dan yang paling penting, tidak bermain-main dengannya.
Tentang babi pula, Daniel S. Shapiro pernah menyatakan bahawa ia lebih teruk berbanding anjing. Ia boleh menyebabkan 25 jenis penyakit. 25 penyakit itu juga boleh membawa maut seperti leptospirosis yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan hati.
Dr. Yoshihiro Kawaoka mengatakan bahawa kerongkong babi itu boleh mengubah pelbagai kuman virus dan membahayakan manusia. Babi boleh menjangkiti burung, babi lain dan manusia. Dahulu, virus influenza telah menyebabkan jutaan manusia mati, ia berpunca daripada babi.
Hal ini tidak bermakna bahawa kita boleh menzalimi haiwan-haiwan ini. Anjing dan babi haram kita bermain dengan suka-suka, memindahkan najis secara sengaja, dan sebagainya. Ada keperluan-keperluan, maka bolehlah kita sentuh dan sebagainya.
Janganlah sekiranya ada anjing yang memerlukan bantuan dalam longkang, kita biarkan sahaja hanya kerana ia najis. Bantulah ikut apa yang diperlukan sahaja. Jangan terlalu paranoid. Batasannya, kita tidak boleh bermain-main dengan haiwan ini dengan sengaja dan suka-suka, ia akan memindahkan najis kepada kita.
Kesimpulan
Najis mughallazah ialah najis berat anjing, babi dan keturunan dua haiwan tersebut. Cara nak membasuhnya adalah dengan 7 tujuh air mutlak, sekali dengan air yang dicampur dengan tanah. Hal ini haruslah sehingga hilang segala sifat najis tersebut.
Artikel Berkaitan:
- Najis Mughallazah: Maksud dan Cara Menyucikannya
- Najis Mukhaffafah: Maksud dan Cara Menyucikannya
- Taharah: Jenis Air, Jenis Najis dan Cara Untuk Taharah
Rujukan
1. Syarah Safinah an-Naja oleh Ustaz Muhadir Haji Joll
2. Bulughul Maram oleh Ibnu Hajar al-Asqalani
3. Samak tak samak? Dr Maza huraikan perihal najis babi dari kaca mata ulama – Astroawani