Skip to content

5 Mukjizat Nabi Isa AS yang Perlu Anda Tahu

mukjizat nabi isa

Apakah mukjizat yang ada pada Nabi Isa AS? Artikel ini akan membincangkan semua mukjizat yang dimiliki oleh Nabi Isa untuk pengetahuan kita bersama.

Kisah Nabi Isa As, anak lelaki kepada seorang wanita suci yang diberikan zuriat tanpa seorang suami, Maryam, sudah tidak perlu diceritakan lagi. Kisah Maryam yang melahirkan Isa As seorang diri di bawah pohon tamar disebut di dalam Surah Maryam ayat 23 hingga 26. Ketika Maryam diberitahu tentang kelahiran Nabi Isa As kepada Maryam, di mana disebutkan di dalam Surah Ali Imran, ayat 45 yang bermaksud:

“(Ingatlah), ketika Malaikat berkata: “Wahai Maryam, sesungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al Masih Isa putera Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah)”.

Di dalam Surah Al-Maidah, ayat 110, Allah ada menyebut mukjizat-mukjizat yang dikurniakan kepada baginda sehingga dikatakan sihir oleh orang-orang kafir:

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ اذْكُرْ نِعْمَتِي عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَالِدَتِكَ إِذْ أَيَّدْتُكَ بِرُوحِ الْقُدُسِ تُكَلِّمُ النَّاسَ فِي الْمَهْدِ وَكَهْلًا ۖ وَإِذْ عَلَّمْتُكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ ۖ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ بِإِذْنِي فَتَنْفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِي ۖ وَتُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ بِإِذْنِي ۖ وَإِذْ تُخْرِجُ الْمَوْتَىٰ بِإِذْنِي ۖ وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَنْكَ إِذْ جِئْتَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ

Maksudnya: (Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata” (Surah Al-Maidah: ayat 110)

5 Mukjizat Nabi Isa AS

Pada artikel kali ini, kita akan mengungkap satu per satu mukjizat Nabi Isa As yang terkandung di dalam ayat di atas.

1. Diturunkan kitab Injil kepada baginda

Terdapat empat orang sahaja Rasul yang dikurniakan kalamullah iaitu Nabi Musa As dikurniakan kitab Taurat, Nabi Daud diturunkan kitab Zabur, Rasulullah SAW diturunkan al-Quran dan Nabi Isa As termasuk di dalam kalangan empat orang nabi yang dimukjizatkan dengan kalamullah ini. Hakikat ini disebutkan juga di dalam surah al-Hadid, ayat 27, di mana Allah menyatakan:

وَقَفَّيۡنَا بِعِيۡسَى ابۡنِ مَرۡيَمَ وَاٰتَيۡنٰهُ الۡاِنۡجِيۡلَ

Maksudnya: dan Kami iringi (pula) dengan Isa putra Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil

2. Menyembuhkan orang buta dan orang yang terkena penyakit sopak

Seperti yang disebutkan di dalam surah al-Maidah ayat 110 diatas, mukjizat baginda dalam menyembuhkan orang buta dan sopak (kusta) diabadikan di dalam al-Quran. Nabi Isa As dapat menyembuhkan orang yang buta sama ada yang buta sejak lahir lagi atau mereka yang buta selepas diberikan kesihatan mata dengan izin Allah.

3. Menguasai kitab Taurat

Sejak usia enam tahun, Nabi Isa As sudah mempelajari kitab Taurat. Baginda memahami hukum Taurat lebih cepat dibandingkan dengan kanak-kanak seusianya. Pada usia 12 tahun pula, baginda bisa bersoal jawab mengenai kitab Taurat dengan orang-orang Yahudi yang jauh lebih tua, baik soal hukum sampai soal ketuhanan. Perkara ini disebutkan di dalam buku Sejarah Agama-agama karya Mujahid Abdul Manaf.

4. Boleh bercakap ketika bayi

Di dalam surah Maryam ayat 27 hingga 31, Allah ada menyebut tentang bayi Maryam yang mampu bercakap ketika bayi selepas Maryam bernazar untuk tidak bercakap dengan penduduk kampungnya walaupun ditempelak dengan pelbagai cercaan:

فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ ۖ قَالُوا۟ كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِى ٱلْمَهْدِ صَبِيًّا

Maksudnya: Maka Maryam menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata: “Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil yang masih di dalam ayunan?”

قَالَ إِنِّى عَبْدُ ٱللَّهِ ءَاتَىٰنِىَ ٱلْكِتَٰبَ وَجَعَلَنِى نَبِيًّا

Berkata Isa: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia memberiku Al Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi..”

Mukjizat ini juga disebutkan di dalam surah al-Maidah diatas. Ibnu Katsir mengatakan dalam tafsirnya bahawa maksud “berbicara” dalam ayat 110, surah al-Maidah mengandungi definisi berseru, mengingati pembicaraannya dengan manusia setelah dia dewasa dan ia bukan merupakan hal yang aneh.

5. Dikurniakan ruhul qudus

Ibnu Katsir dalam tafsirnya, menyatakan maksud “ruhul qudus” ialah Malaikat Jibril ‘alaihissalam. Allah menjadikan Isa seorang nabi yang menyeru (manusia) menyembah Allah di waktu baginda masih kecil dan juga sesudah baginda dewasa. 

Ruhul qudus ini telah menguatkan Isa a.s. dengan roh dan wahyu yang menyucikan dirinya dan menjadi penguat dalam menjalankan perintah Allah dan mengajak manusia kepadaNya. Malaikat Jibril a.s. sentiasa mendampinginya dan mengukuhkannya di saat-saat yang berat.

Beriman dengan nabi dan rasul yang disuruh Allah adalah termasuk di dalam rukun iman. Nabi Isa As dikurniakan mukjizat yang luarbiasa sejak baginda belum dilahirkan, menunjukkan Allah Maha Berkuasa dan Allah mampu menjadikan sesuatu tanpa mengikut peraturan alam sekalipun. Sebagai umat islam, kita bukan sahaja harus percaya kepada mukjizat yang diturunkan kepada para anbiya’ untuk membantu menyebarkan dakwah kepada manusia, malah kita juga harus beriman dengan kekuasaan Allah yang mengutuskan para rasul serta menurunkan segala mukjizat yang hebat kepada mereka.

Mukjizat Nabi yang Lain

Mukjizat Nabi IsmailMukjizat Nabi Daud
Mukjizat Nabi SulaimanMukjizat Nabi Musa
Mukjizat Nabi IsaMukjizat Nabi Ibrahim
Mukjizat Nabi Muhammad

Rujukan:

  1. Syafiq Salleh (5 Mei 2015). Mukjizat Nabi Isa. Laman web IKIM.FM
  2. Tafsir Surah al-Maidah Ayat 109 – 110 (Mukjizat-mukjizat Nabi Isa). Laman Web Celik Tafsir.
  3. Tafsir Al-Quran Bahasa Melayu.  
  4. Wikipedia Injil.
  5. Nurhidayat (3 Nov 2017). Mukjizat Nabi Isa. Tesis Universiti Islam Negeri Alauddin Makasar.
  6. Tafsirweb Surat Maryam.
  7. Ali Yusuf (19 Jan 2021). Mukjizat-Mukjizat Nabi Isa yang Diabadikan Surat Al-Maidah. Laman Web Republika.co.id

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten − 5 =