Solat jamak dan solat qasar

Niat & Cara Solat Jamak Qasar(Panduan Lengkap)

Bagaimanakah untuk melakukan solat jamak atau solat Qasar?

Artikel ini akan membincangkan berkenaan solat-solat ini, cara melakukannya dan niat solat solat Jamak atau Qasar

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Solat Qasar
  3. Solat Jamak
  4. Solat Qasar dan Jamak
  5. Berapa hari boleh solat Jamak and Qasar?

PENGENALAN

Dalam topik kali ini, kita akan mendalami hukum solat musafir iaitu solat jamak dan solat qasar. Musafir ialah seseorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi 2 marhalah atau 81 KM. Antara keistimewaan yang diperoleh oleh seseorang yang bermusafir ialah keharusan mengqasarkan dan menjamakkan solat.

Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Dengan keringanan hukum solat ini, maka tiada alasan untuk semua orang Islam meninggalkan kefardhuan solat lima waktu.

Secara umumnya, ianya disebut sebagai rukhsah solat (kemudahan). Rukhsah dari segi bahasa bermaksud kemudahan dan keringanan. Dari segi istilah, Rukhsah bermaksud hukum yang berlawan dengan hukum asal disebabkan adanya keuzuran. Hukum asal pula disebut sebagai azimah. Contoh lain bagi rukhsah ialah tayamum sebagai pengganti wuduk ketika ketiadaan air.

Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ تباركَ وتعالى يحبُّ أن تُؤتَى رُخصُهُ كما يكرَهُ أن تُؤتَى معصيتُهُ

Maksud: Sesungguhnya Allah tabaraka wataála suka ketika rukhsah dari-Nya diambil, sebagaimana Ia membenci tatkala maksiat kepada-Nya dilakukan. (Riwayat Ahmad)

Ramai di antara kita yang masih dibelengggu dengan pelbagai persoalan berkenaan cara untuk menunaikan solat jamak dan qasar ini. Oleh itu, di bawah adalah panduan lengkap beserta jawapan kepada persoalan umum bagi yang hendak melakukan solat jamak dan qasar.

Insya Allah.

SOLAT QASAR

Definisi

Dari segi bahasa, qasar bermaksud pendek. Dari segi istilah, solat qasar ialah memendekkan bilangan rakaat solat daripada empat rakaat kepada dua rakaat.

Dalil

Firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksud: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” solat  (Surah al-Nisa’ 4: 101)

Bukti daripada hadis adalah ketika Rasulullah SAW telah mengqasarkan solatnya ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan haji.

Daripada Ibn Umar meriwayatkan:

صحبت رسول الله – صلى الله عليه وسلم – فكان لا يزيد في السفر على ركعتين، وأبا بكر وعمر وعثمان كذلك

Maksud: Aku telah bersama-sama Nabi SAW, baginda bersolat tidak lebih daripada dua rakaat. Abu Bakar, Umar dan Uthman juga melakukan demikian. (Riwayat Bukhari)

Contoh lain ialah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا، وَبِذِي الحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ

Maksud: “Aku solat Zohor bersama Nabi ﷺ di Madinah empat rakaat, tetapi di Dzul Hulaifah dua rakaat.” (Riwayat Bukhari)

Syarat-Syarat Solat Qasar

Antara  yang telah disebutkan oleh para fuqaha’ ialah:

  1. Jarak musafir sejauh dua marhalah bersamaan 81 KM
  2. Menentukan destinasi permusafiran supaya diketahui jarak jauhnya agar dapat diketahui sama ada boleh mengqasarkan solat ataupun tidak.
  3. Musafir dengan tujuan yang diharuskan, bukan bertujuan untuk berbuat maksiat seperti merompak dan sebagainya.
  4. Mengetahui tentang keharusan mengqasarkan solat. Para musafir yang tidak mengetahui syarat sah solat qasar, maka wajib baginya untuk menunaikan solat secara sempurna sepanjang musafir.
  5. Berniat qasar ketika Takbiratul Ihram.
  6. Solat itu mestilah solat yang empat rakaat iaitu zuhur, asar dan isyak.
  7. Tidak mengikut imam daripada kalangan orang yang menunaikan solat secara sempurna.

Lafaz Niat Solat Qasar

Zuhur

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli fardoz zuhri rak’ataini qosron  lillahi taala

“Sahaja aku solat Fardhu Zohor dua rakaat qasar kerana Allah Taala.”

Asar

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli fardol asri rak’ataini qosron  lillahi taala

“Sahaja aku solat Fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala.”

Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli fardol isya’i  rak’ataini qosron  lillahi taala

 ”Sahaja aku solat Fardhu Isyak dua rakaat qasar kerana Allah Taala.”

Cara Melakukan Solat Qasar

Solat Qasar hanya boleh dilakukan pada solat fardhu yang mempunyai 4 rakaat sahaja iaitu:

  • Solat Zohor
  • Solat Asar
  • Solat Isyak

Solat maghrib dan solat subuh tidak boleh diqasarkan kerana bukan 4 rakaat.

Bagi solat zohor, asar dan isyak, rakaat boleh dipendekkan kepada 2 rakaat dengan satu salam. Jika anda telah memenuhi syarat-syarat solat qasar seperti diatas, maka anda boleh memendekkan rakaat dan menggunakan niat di atas dan lakukanlah rukun solat sebanyak dua rakaat sahaja dan disudahi dengan tahiyat akhir dan salam.

SOLAT JAMAK

Definisi

Dari segi bahasa, jamak ialah menghimpunkan atau mengumpul. Dari segi istilah, solat jamak ialah menghimpunkan dua solat dalam satu waktu.

Pembahagian Solat Jamak

1. Jamak Taqdim:

Menghimpunkan dua waktu dan dilakukan pada solat yang pertama iaitu solat zuhur dan maghrib.

Dari Usamah ra:

أن النبي صلى الله عليه وسلم لما جمع بنمرة, أقام فصل الظهر, ثم أقام فصلى العصر.

Maksud: Bahawa Nabi SAW ketika melakukan jamak di Namirah, baginda melakukan iqamah kemudian baginda mendirikan solat zuhur, seterusnya baginda melakukan iqamah kemudian baginda melakukan solat asar. (Riwayat Muslim) 

Syarat Jamak Taqdim

  1. Mestilah  berniat jamak taqdim pada solat yang pertama.
  2. Tertib iaitu memulakan solat zuhur terlebih dahulu kemudian diikuti dengan solat asar. Begitu juga bagi solat maghrib dan isyak.
  3. Muwalah iaitu tidak berlaku permisahan yang lama antara dua solat. Sekiranya terpisah disebabkan pisahan yang sekejap seperti iqamah atau mengambil wuduk, maka solat jamaknya tidak terbatal.
  4. Berterusan bermusafir hingga takbiratul ihram solat yang kedua.

2. Jamak Ta’khir

Menghimpunkan dua waktu dan dilakukan pada waktu solat yang kedua iaitu solat asar dan dan solat isyak.

Dari Muaz bin Jabal ra. :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في غزوة تبوك إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب

Maksud: Bahawa Nabi SAW  ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas Maghrib disegerakan solat Isyak, maka dilakukan solat Isyak dengan Maghrib” (Riwayat Ahmad)

Syarat Jamak Ta’khir:

  1. Niat jamak ta’khir sebelum habis waktu solat yang pertama.
  2. Masih bermusafir sehingga selesai menunaikan kedua-dua solat.

Cara Mengerjakan Solat Jamak

  1. Menjamakkan dua solat fardhu tanpa diqasarkan Kedua-dua solat fardhu dikerjakan dengan jumlah rakaat yang sempurna.
  2. Menjamakkan dua solat fardhu dan diqasarkan. Kedua-dua solat dikerjakan sebanyak 2 rakaat kecuali bagi solat Maghrib

SOLAT JAMAK DAN QASAR

Solat jamak dan qasar membawa maksud kita memendekkan dan menghimpunkan dua solat dalam satu waktu. Berikut adalah cara untuk berniat bagi menunaikan solat jamak dan qasar.

Lafaz Niat Solat Jamak dan Qasar

Jamak Taqdim

 Lafaz niat Solat Fardhu Zohor dan Asar

اُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعَصْرِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli fardoz zuhri rak’ataini qosron majmua’n ilahil a’sri lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya asar kerana Allah Taala”.

اُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَى الظُّهْرِ لِلَّهِ تَعَالَى  

Usolli fardol a’sri rak’ataini qosron majmua’n ilaz zuhri lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada zuhur kerana Allah Taala”.

Lafaz niat Solat Fardhu Maghrib dan Isyak

اُصَلِّي فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ العِشَاءِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli fardol maghribi salasa rakaa’tin  majmua’n ilahil isya’i lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat dihimpunkan kepadanya isyak kerana Allah Taala”.

اُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَى الْمَغْرِبِ لِلَّهِ تَعَالَى  

Usolli fardol isya’i  rak’ataini qosron majmua’n ilal maghribi lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada maghrib kerana Allah Taala”.

Jamak Ta’khir

Lafaz niat Solat Fardhu Asar dan Zuhur

اُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الظُّهْرِ لِلَّهِ تَعَالَى  

Usolli fardol a’sri rak’ataini qosron majmua’n ilahiz zuhri lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya zuhur kerana Allah Taala”.

اُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَى الْعَصْرِ لِلَّهِ تَعَالَى

 Usolli fardoz zuhri rak’ataini qosron majmua’n ilal a’sri lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada asar kerana Allah Taala”.

Lafaz niat Solat Fardhu Isyak dan Maghrib

اُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْمَغْرِبِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli fardol isya’i  rak’ataini qosron majmua’n ilahil maghribi lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya maghrib kerana Allah Taala”.

اُصَلِّي فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَى العِشَاءِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli fardol maghribi salasa rakaa’tin  majmua’n ilal isya’i lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat dihimpunkan kepada isyak kerana Allah Taala”.

Cara Melakukan Solat Jamak Qasar

Bagi mereka yang bermusafir, mereka boleh menggabungkan solat jamak dan solat qasar dan ini akan lebih memudahkan para musafir.

Dalam solat ini, anda boleh menggabungkan dua solat fardhu dan juga memendekkan solat tersebut. Sebagai contoh:

  • Solat Zohor dan Asar:
    • Solat Jamak Taqdim dan qasar. Anda perlu melakukan 2 rakaat solat zohor dengan satu salam terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan solat asar 2 rakaat berserta satu salam. Solat ini perlu dilakukan dalam waktu zohor.
    • Solat Jamak Takhir dan qasar. Anda perlu melakukan 2 rakaat solat Asar dengan satu salam terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan solat zohor 2rakaat berserta satu salam. Solat ini perlu dilakukan dalam waktu asar
  • Solat Maghrib dan Isyak:
    • Solat Jamak Taqdim dan qasar. Anda perlu melakukan 3 rakaat solat maghrib dengan satu salam terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan solat isyak 2 rakaat berserta satu salam. Solat ini perlu dilakukan dalam waktu maghrib.
    • Solat Jamak Takhir dan qasar. Anda perlu melakukan 2 rakaat solat isyak dengan satu salam terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan solat maghrib 3 rakaat berserta satu salam. Solat ini perlu dilakukan dalam waktu isyak.

Berapa Hari Boleh Solat Jamak dan Qasar?

Salah satu daripada syarat sah solat jamak dan qasar bagi musafir:

“Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.” al-Fiqh al-Manhaji (1/186)

Sekiranya kita hanya merancang untuk tinggal di tempat tersebut selama sehari, dua atau tiga hari (kiraan tidak termasuk hari perjalanan untuk pergi dan pulang), maka dibenarkan menjamakkan atau mengqasarkan solat sepanjang tempoh berada di situ.

Sekiranya kita merancang untuk singgah atau tinggal selama empat hari (kiraan tidak termasuk hari perjalanan untuk pergi dan pulang), maka tidak dibenarkan menjamakkan atau mengqasarkan solat sepanjang tempoh kita berada di situ. Walaubagaimanapun, kita masih boleh menjamakkan atau mengqasarkan solat ketika dalam perjalanan pergi dan balik dengan syarat kita perlu keluar daripada kawasan mukim. 

INFO TAMBAHAN

  1. Mengerjakan Jamak Ta’khir tidak perlu mendahulukan solat fardhu yang pertama, iaitu boleh mengerjakan solat fardhu kedua terlebih dahulu.
  2. Orang yang mengerjakan solat sempurna boleh berimamkan orang yang solat qasar. 
  3. Orang yang bermusafir diharuskan untuk berimamkan orang yang mengerjakan solat sempurna dengan syarat dia diwajibkan solat dengan cukup bilangan rakaatnya (tidak mengqasarkan solat).
  4. Diharuskan bagi seseorang yang musafir ke suatu destinasi yang melebihi 2 marhalah untuk melakukan solat musafir seperti jamak dan qasar, sekalipun dia hanya balik hari dan tidak bermalam.
  5. Pekerja-pekerja yang tidak dapat meninggalkan tugasnya kerana sebab- sebab yang tidak dapat dielakkan seperti doktor yang bertugas di wad ICU dan seumpamanya yang terpaksa bertugas tanpa had masa diharuskan untuk menjamakkan solat. Keharusan menjamakkan sembahyang dikhususkan pada masa berlaku darurat sahaja, tidak terpakai pada masa sihat atau hari yang tiada rawatan atau ketika tidak bertugas.
  6. Harus  solat jamak dan qasar bagi mereka bermusafir kerana melancong atau berekreasi.

PENUTUP

Antara hikmah terbesar dalam pensyariatan solat jamak dan qasar adalah dapat mengelakkan seseorang daripada kesulitan dan kesusahan yang biasa dialami oleh seorang musafir. Tiada alasan untuk meninggalkan solat fardhu. Hal ini demikian kerana solat itu merupakan rukun kedua daripada rukun Islam yang lima.

Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksud: “Islam dibina atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan bahawa Muhammad itu Utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadhan.(Riwatat al-Bukhari)

Justeru itu, seseorang yang beriman kepada Allah ﷻ dan Hari Akhirat, tidak akan mencari jalan untuk meninggalkan solat, sebaliknya menggunakan akal yang Allah ﷻ kurniakan untuk mencari jalan melaksanakannya dalam keadaan apa sekalipun.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman yang benar dalam agama.

Wallahua’lam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − thirteen =

Scroll to Top