Bagaimanakah cara untuk melakukan solat sunat tahajjud dan niatnya? Artikel ini akan membincangkan cara melakukan solat sunat ini berserta niatnya dengan panduan teks rumi dan arab yang mudah difahami.
Isi Kandungan |
Pengenalan
Solat sunat tahajjud merupakan solat yang sangat dituntut dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Pada zaman nabi, ia pernah disyariatkan sebagai ibadah wajib kaum muslimin pada ketika itu.
Anjuran solat tahajud ini selari dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-isra’ ayat 79:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Maksudnya: Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.
Daripada ayat ini, فَتَهَجَّدْ بِهِ membawa makna berjagalah diwaktu malam. Asal perkataannya adalah هَجَدَ yang bermakna tidur. Perkataan تَّهَجُّد yang mempunyai timbangan kata تَفَعُّلٌ, menjadikan ia bermaksud mengusahakan berjaga dari tidur dan menafikan maksud asal perkataan (tidur).
Waktu solat yang sesuai
Solat sunat tahajjud boleh dilakukan setelah bangun daripada tidur pada waktu selepas solat ‘isyak sehingga terbit fajar, yakni masuknya waktu solat subuh.
Terdapat waktu-waktu utama, lebih utama dan paling utama bagi solat malam. Kita boleh bahagikan waktu malam itu kepada tiga bahagian; awal malam, pertengahan malam dan akhir malam.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al Muzammil ayat 20:
إِنَّ رَبَّكَ يَعلَمُ أَنَّكَ تَقومُ أَدنىٰ مِن ثُلُثَيِ اللَّيلِ وَنِصفَهُ وَثُلُثَهُ وَطائِفَةٌ مِنَ الَّذينَ مَعَكَ ۚ وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ ۚ عَلِمَ أَن لَن تُحصوهُ فَتابَ عَلَيكُم ۖ فَاقرَءوا ما تَيَسَّرَ مِنَ القُرآنِ ۚ عَلِمَ أَن سَيَكونُ مِنكُم مَرضىٰ ۙ وَآخَرونَ يَضرِبونَ فِي الأَرضِ يَبتَغونَ مِن فَضلِ اللَّهِ ۙ وَآخَرونَ يُقاتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ ۖ فَاقرَءوا ما تَيَسَّرَ مِنهُ ۚ وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ وَأَقرِضُوا اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا ۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيرًا وَأَعظَمَ أَجرًا ۚ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ
Maksudnya: Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawa engkau (Muhammad) berdiri (solat) kurang dari dua pertiga malam atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersamamu. Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menentukan batas-batas waktu itu, maka Dia memberi keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari al-Quran; Dia megetahui bahawa aka nada diantara kamu orang-orang yang sakit dan yang lain berjalan di bumi mencari sebahagian kurnia Allah; dan yang lain berperang di jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari al-Quran dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Dan mohonlah ampunan kepada Allah; sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
Rasulullah s.a.w. bersabda,
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ
Maksudnya: “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Allah berfirman, ‘Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, niscaya Aku kabulkan. Barangsiapa yang meminta kepada-Ku, niscaya Aku penuhi. Dan barangsiapa yang memohon ampun kepada-Ku, niscaya Aku ampuni.” (HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 1808)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah anjuran solat tahajud itu afdhal pada waktu sepertiga akhir malam.
Jumlah rakaat
Para ulama’ berbeza pendapat mengenai jumlah rakaat solat tahajud ini. Rasulullah s.a.w. kadang-kadang melakukan 11 rakaat termasuk witir dan terkadang 13 rakaat termasuk witir.
Tidak ada had rakaat dalam melakukan solat ini akan tetapi sekurang-kurangnya ialah dua rakaat satu salam. Ia boleh dilakukan sebanyak dua, empat, lapan atau dua belas rakaat atau lebih sekiranya berkemampuan.
CARA SOLAT SUNAT TAHAJJUD
Dibawah ini merupakan cara melakukan solat tahajjud mengikut langkah yang betul
Rakaat Pertama
1. Berdiri Tegak dan Niat di dalam hati
Sebelum mengangkat takbir, bacakan niat ini di dalam hati
أُصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكعَتَينِ للهِ تَعَالَي
Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala
2. Takbiratul Ihram
Takbiratul Ihram dengan mengangkat kedua-dua tangan sambil menyebut
“Allahu akbar”
Maksud: Allah Maha Besar
3. Membaca Doa Iftitah
Doa ini sunat dibaca. Tetapi boleh sahaja terus membaca surah Fatihah
Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.
4. Membaca Surah Al-Fatihah
Maksudnya; “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”
5. Membaca surah atau mana-mana ayat pilihan di dalam al-quran
Jika anda tiada idea, anda boleh baca surah ini iaitu al-asr
Maksudnya: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran
6. Rukuk sambil bertakbir (lafaz Allahu akbar).
Bacaan rukuk:
“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.
Nota: Kedua-dua tangan kita terletak atas lutut kedua-dua kaki.
7. I’tidal sambil mengucapkan,
“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”
Maksudnya: Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
Nota: Bediri tegak dan kedua-dua tangan berada di sisi.
8. Sujud sambil bertakbir.
Bacaan sujud:
“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”
Maksudnya: Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Nota: Kedua-dua tapak tangan terletak atas lantai/sejadah separas bahu.
9. Duduk antara dua sujud sambil bertakbir.
Bacaan duduk antara dua sujud:
“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “
Maksudnya: Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
Nota: Kedua-dua tangan terletak atas kedua-dua peha.
10. Sujud kembali sambil bertakbir.
Bacaan sujud sama seperti di atas.
Rakaat Kedua
1. Berdiri daripada sujud sambil bertakbir.
2. Membaca surah al-Fatihah sehingga habis.
Bacaan seperti pada rakaat pertama
Nota: Tangan ketika qiyam adalah di bawah dada.
3. Membaca surah atau ayat-ayat lain di dalam al-Quran
Anda boleh baca surah al-kafirun.
“Bismillahirahmanirahim. Qul ya ayyuhal kafirun. La a’buduma ta’budun. Wa la antum ‘abidunama a’bud. Wa la ana ‘abidumma ‘abadtum. Wa la antum ‘abidunama a’bud. Lakum dinukum waliyadin.”
Maksudnya, “Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Katakanlah (Muhammad),”Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah, dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah, dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kau sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu, untukku agamaku.”
4. Rukuk dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
5. I’tidal dan bacaanya sama seperti rakaat pertama
6. Sujud dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
7. Duduk di antara dua sujud dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
8. Sujud balik semula dan bacaannya sama seperti rakaat pertama
9. Duduk Tahiyat Akhir
Bacaan untuk tahiyat akhir adalah:
“Attahiyatu mubarakatus solawatut toyyiba tulillah, assalamualaika ayyuhan nabi yu warah matullahi wabarakatuh, assalamualaina wa ‘ala ibadillah hissolihin. Ashhadualla ilaha illallah wa ashhadu anna muhammadar rasulullah. Allahumma solli ‘ala muhammad wa ‘ala ali muhammad, kama sollai taala ibrahim wa ‘ala ali Ibrahim. Wa barik ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad, kama barak taala Ibrahim wa ‘ala ali ibrahim fil ‘alamina innaka hamidum majid.”
Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.
10. Memberi Salam
Bacaan Surah dalam Solat Tahajud
Tidak ada surah yang khusus dalam mengerjakan solat sunat tahajud ini. Anda boleh membaca apa-apa surah di dalam al-quran.
Namun begitu, sebagai rekomendasi, surah yang boleh dibaca setelah bacaan al-fatihah:
Cadangan 1:
- Rakaat pertama: Surah Al-Kafirun
- Rakaat kedua:Surah Al-Ikhlas
Cadangan 2:
- Rakaat pertama: Ayat kursi (7 kali)
- Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas (11 kali)
Cadangan 3:
10 ayat terakhir surah Ali Imran(boleh campur rakaat pertama dan kedua)
Kelebihan solat tahajud
Terdapat banyak kelebihan orang yang melakukan solat tahajjud. Kelebihan-kelebihan tersebut ada disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Isra’ ayat 79-80.
Secara ringkasnya, terdapat empat kelebihan utama yang disebut pada ayat ini khusus bagi orang yang bertahajud yang tidak akan dapat dirasai oleh orang yang tidak bertahajud sekalipun solat fardhunya khusyuk iaitu:
1. Diangkat darjatnya
Kedudukan yang tinggi pasti belum tentu disukai atau disenangi oleh orang lain. Akan tetapi perkataan مَقَامًا مَحْمُودًا pada surah al-isra’ ayat 79 ini memberi maksud kedudukan yang terpuji yang disertai dengan kecintaan orang lain terhadap dirinya.
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (17:79)
2. Dibimbing Allah
Orang yang bertahajud akan dibimbing oleh Allah serta dipermudahkan urusan dalam seluruh aspek kehidupannya.
وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ
“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar-” (17:80)
3. Diberi solusi atau jalan penyelesaian yang terbaik
Solusi atau jalan penyelesaian yang terbaik akan diberikan kepada org yang bertahajud bilamana orang itu menghadapi pelbagai masalah dan persoalan dalam kehidupan sehariannya.
وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
“-serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar-” (17:80)
4. Ditolong Allah dalam setiap persoalan
Orang yang melazimi solat tahajud juga akan ditolong Allah dalam menghadapi setiap perkara yang membahayakan dan mencelakainya.
وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
“-dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku”.(17:80)
Kelebihan yang lain
Sekiranya seseorang itu menjaga solat tahajjudnya, dia akan mendapat kelebihan yang tidak didapati oleh orang lain yang tidak solat tahajud. Antara kelebihannya ialah:
1. Mendapat Kedudukan Yang Terpuji
Allah akan mengangkat darjatnya ke kedudukan yang tinggi, di dunia dan di akhirat. Kedudukan ini akan menjadikan dia dipuji manusia sekelilingnya dan menjadi golongan orang yang terpuji.
Maksudnya dia akan menjadi manusia yang dilonjakkan kedudukannya dari segi karier, pengajian, perniagaan, perhubungan, dan setiap lapangan yang diceburinya.
Itulah yang ditafsirkan Maududi pada perkataan “maqaman mahmudaa” berdasarkan firman Allah:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (17:79)
2. Memasuki Syurga Dengan Sejahtera
Seseorang yang menjaga solat malam apabila manusia-manusia sedang tidur dijanjikan syurga oleh Allah. Di dalam sebuah hadith ada disebutkan:
Daripada Abdullah bin Salam, Rasulullah bersabda:
“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkanlah silaturrahim, dan dirikanlah solat ketika manusia sedang tidur. Nescaya engkau akan memasuki syurga dengan sejahtera.”
Riwayat Ibn Majah
3. Doanya Dikabulkan Oleh Allah
Sesorang yang berusaha untuk bangun pada sepertiga malam untuk tahajjud, Allah akan datang kepadanya dan mendengar rintihannya.
Allah akan memaafkan dosa-dosanya bila mana dia memohon maaf. Juga Allah akan memakbulkan doa-doanya. Allah juga akan memberikan apa sahaja permintaannya. Ini berlaku pada setiap malam seperti tersebut pada hadith:
“Tuhan kami turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu pada sepertiga malam terakhir. FirmanNya: “Barangsiapa yang berdoa kepadaKu maka Aku akan mengkabulkannya. Barangsiapa yang meminta kepadaKu maka aku aku tunaikan permintaannya. Barangsiapa yang memohon keampunan kepadaKu maka akan aku mengampuninya.””
Riwayat Bukhari
4. Termasuk Daripada Kalangan Mereka Yang Dirahmati Allah
Sesiapa yang menjaga solat tahajjud, yang bangun mengerjakan qiam kemudian mengejutkan pasangannya untuk sama-sama mendirikannya, akan dikira Allah sebagai mereka yang mengingati Allah (dzakirin wa dzakiraat) di hari akhirat kelak. Di dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:
“Allah memberi rahmat ke atas seorang suami yang bangun malam untuk melaksanakan solat, kemudian membangunkan isterinya untuk solat juga. Jikalau isterinya tidak mahu bangun, dia memercikkan air ke wajah isterinya. Allah memberi rahmat seorang isteri yang bangun malam untuk melaksanakan solat, kemudian membangunkan suaminya untuk solat juga. Jikalau suaminya enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya.”
Riwayat Abu Daud
Adapun riwayat yang mengatakan seseorang yang menjaga tahajjud akan tampan wajahnya adalah tidak sahih. Barangkali air mukanya dielokkan Allah kerana cahaya amalannya semata-mata.
Doa Solat Sunat Tahajjud
Ada dua doa yang boleh dibacakan setelah mengerjakan solat tahajjud. Anda boleh rujuk dibawah.
1. Doa dari riwayat Ibn Abbas r.a.:
اَللّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُوْرُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، وَلَكَ الْحَمْدُ
Allahumma lakalhamdu anta nurussamawati wal ardhi wa man fi hin. Wa lakal hamdu anta Qaiyimus samawati wal ardh wa man fi hin wal kal hamd
Maksudnya: Ya Allah, hanya milik-Mu segala puji, Engkau cahaya langit dan bumi serta siapa saja yang ada di sana. Hanya milikMu segala puji, Engkau yang mengatur langit dan bumi serta siapa saja yang ada di sana. Hanya milikMu segala puji,
أَنْتَ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَمَنْ فِيْهِنَّ، أَنْتَ الْحَقُّ، وَوَعْدُكَ الْحَقُّ، وَقَوْلُكَ الْحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ الْحَقُّ، وَالْجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ،
Anta rabbus sama wati wal ardh waman fihin, antal haq, wa wa’dukal haq, wa qaulukal haq, wa liqo ukal haq, wal jannatu haq, wannaru haq, wassa’atu haq
Engkau pencipta langit dan bumi serta siapa saja yang ada di sana. Engkau Maha benar, janji-Mu benar, firman-Mu benar, pertemuan dengan-Mu benar. syurga itu benar, neraka itu benar, dan kiamat itu benar.
اَللّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ.
Allahumma aslamtu, wa bika amantu, wa ‘alaika tawakkaltu, wa ilaika anabtu, wa bika khosamtu, wa ilaika hakamtu
Ya Allah, hanya kepada-Mu aku pasrah diri, hanya kepada-Mu aku beriman, hanya kepada-Mu aku bertawakal, hanya kepada-Mu aku bertaubat, hanya dengan petunjuk-Mu aku berdebat, hanya kepada-Mu aku memohon keputusan,
فَاغْفِرْ لِيْ مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، أَنْتَ إِلٰهِيْ لاَ إِلٰهَ إِلاَّ أَنْتَ
Faghfirli ma qaddamtu wa ma Akhartu wama asrartu wa ma a’lantu, antal muqaddimu wa antal muakhiru, anta ilahi, la ilaha illa anta
Kerana itu, ampunilah aku atas dosaku yang telah lalu dan yang akan datang, yang kulakukan sembunyi-sembunyi mahupun yang kulakukan terang-terangan. Engkau yang paling awal dan yang paling akhir. Engkau Tuhanku. Tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau. (HR. Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad)
2. Doa dari riwayat Aisyah r.a.:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ،
Allahumma rabbi jibrila wa mika ila wa israfila fatirissamawati wal ardhi ‘alimal ghaibi washadati anta tahkumu baina ‘ibadika fima kanu fihi yakhtalifun
Maksudnya: Ya Allah, Tuhannya Jibril, Mikail, dan Israfil. Pencipta langit dan bumi. Yang mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Engkau yang memutuskan diantara hamba-Mu terhadap apa yang mereka perselisihkan
اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ أَنْتَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Ihdini limakh tulifa fihi minal haq bi iznika innaka anta tahdi man tasha u ila siratim mustakim.
Berilah petunjuk kepadaku untuk menggapai kebenaran yang diperselisihan dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada siapa saja yang Engkau kehendaki menuju jalan yang lurus. (HR. Muslim, Tirmidzi dan Abu Daud)
Penutup
Seringkali kita mengutamakan urusan dunia sehingga amal ibadah kita sering dipandang sepi. Di siang hari, kita disibukkan dengan urusan kerja dan hal-hal duniawi manakala di malam hari kita penuhi dengan tidur yang lena.
Di manakah pengisian rohani kita? Sekalipun kita sibuk dengan urusan dunia, berilah sedikit masa untuk kita mengisi rohani kita pada malamnya.
Dunia dikejar tidak akan pernah puas, lagi dikejar lagi dahaga. Marilah kita muhasabah diri kita. Moga-moga amalan yang sedikit, sekalipun 2 rakaat di malam hari, yang berterusan akan menjadi penolong kita di akhirat kelak.
Panduan solat sunat yang lain
Rujukan:
- Yahaya, M. H. (2011). Ensiklopedia solat. Kuala Lumpur: Telaga biru Sdn Bhd.
- Pusat Islam Universiti Utara Malaysia. (2005). Panduan ibadah muslim. Sintok: Pusat Islam.
- Al-kafi #793 : maksud tahajjud dan cara melakukannya. (n.d.). Retrieved from Mufti Wilayah Persekutuan
- Sahih muslim book 7 hadith 1810. (n.d.). Retrieved from Qaala Rasulallah